Sunday, October 3, 2010

Ucapan takziah terus mencurah (BH, 04.10.10)

BERI PENGHORMATAN: Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed bersama kira-kira 250 hadirin majlis Sinaran Aidilfitri anjuran MAEC Punggol CC bertafakur seminit bagi memperingati mendiang Puan Kwa Geok Choo, isteri MM Lee Kuan Yew yang meninggal dunia kelmarin. -- Foto TUKIMAN WARJI

Pemimpin dan rakyat dalam dan luar negara luahkan simpati kepada keluarga mendiang

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

BERPULANGNYA Cik Kwa Geok Choo, isteri Menteri Pembimbing (MM), Encik Lee Kuan Yew, petang kelmarin, begitu terasa di watan ini.

Ucapan takziah melimpah daripada pemimpin dan rakyat dalam dan luar negara, baik di Internet, media massa mahupun yang diluahkan secara peribadi kepada keluarga mendiang.
Malah, masyarakat Singapura yang meraikan pelbagai acara kemasyarakatan - termasuk anggota masyarakat Melayu/Islam yang meraikan sambutan Aidilfitri di Kelab Masyarakat Punggol dan Balai Rakyat Eunos - telah bertafakur selama seminit semalam bagi mengingati pemergian dan sumbangan besar Puan Lee, 89 tahun, kepada negara.

Bak luahan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (RC) Greenville di Ubi Avenue 1, Encik Mohd Arfan Ambran, 48 tahun:

'Mendiang bukan hanya sumber inspirasi MM Encik Lee tetapi juga tunggak yang teguh dalam membina keluarga serta menyokong dan berganding bahu bersama-sama suaminya dalam membangunkan dan memajukan Singapura.'

Selain pemimpin dan anggota masyarakat, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) turut mengirimkan ucapan takziah kepada keluarga MM Lee.

Dalam suratnya kepada Encik Lee semalam, NTUC menyatakan, 'Puan Lee memberikan nasihat guaman kepada NTUC secara percuma dan dengan senyap-senyap tanpa inginkan penghargaan untuk dirinya.

'Beliau juga adalah pelakar utama bagi Akta Yayasan Buruh Singapura'.

Sementara itu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang seharusnya berada di Belgium bagi menghadiri mesyuarat dua hala peringkat tinggi dengan pemimpin negara itu dan pemimpin Eropah, telah selamat pulang ke tanah air, petang semalam.

Encik Lee, 58 tahun, ialah anak sulung Puan Lee (daripada tiga beradik), telah bergegas pulang ke Singapura sebaik mendapat berita akan pemergian ibunya.

Tempat beliau sebagai ketua delegasi Singapura bagi sidang puncak Asia-Eropah (ASEM) ke-8 di Brussels kini diganti oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Lim Hwee Hua.

Perdana Menteri Belgium, Encik Yves Leterme, telah menelefon Encik Lee bagi menyampaikan ucapan takziahnya sebelum Encik Lee berlepas pulang ke Singapura, dengan diiringi isterinya, Cik Ho Ching, dan setiausaha peribadi utama, Encik Ng How Yue.

Encik Lee turut menerima ucapan takziah daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

'Saya menyampaikan ucapan takziah kepadanya dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) turut menelefon isteri Hsien Loong bagi menyampaikan rasa simpatinya,' kata Datuk Seri Najib kepada wartawan sebelum berlepas dari Kuala Lumpur untuk ke Brussels bagi menghadiri sidang puncak ASEM.

Cik Kwa telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 5.40 petang kelmarin di rumahnya di Oxley Road, di sisi anak perempuannya, Dr Lee Wei Ling, 55 tahun, yang merupakan pengarah Institut Neurosains Kebangsaan (NNI).

Anak lelakinya yang kedua, Encik Lee Hsien Yang, 53 tahun, yang merupakan Pengerusi Fraser & Neave Pte Ltd, telah bersama ibunya awal sebelum itu.

Bapa mereka, Encik Lee Kuan Yew, berada di Hospital Besar Singapura (SGH) semasa isterinya menghembuskan nafas terakhir kerana mengalami jangkitan kuman di dada.
Encik Lee, 87 tahun, bagaimanapun pulang sebentar ke rumah sebelum kembali ke SGH, setelah dimaklumkan mengenai pemergian isterinya yang disifatkan beliau sebagai 'sumber kekuatan dan keselesaan' dirinya.

Ini didedahkan Encik Lee Hsien Yang, yang ditukil pihak MediaCorp semalam.

Cik Kwa telah menghadapi beberapa serangan angin ahmar pada 2008 hingga menyebabkannya tidak dapat bergerak dan bercakap sejak lebih dua tahun lalu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam pada itu menyatakan, jenazahnya kini berada di kediaman rasmi Perdana Menteri, di Sri Temasek, di Istana.

Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir pada hari ini dan esok, antara 10 pagi hingga 5 petang.

Upacara persemadian privet akan berlangsung di Krematorium Mandai lusa.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,173850,00.html?


No comments: