Sunday, July 4, 2010

Penyair marhaen muda hasilkan antologi sajak (BH, 05.07.10)


PENULIS PELAPIS: Sajak karya Nuramirah (kiri) dan Siti Umairah bukan sahaja diterbitkan dalam antologi Penyair Gen Z, bahkan mereka juga memenangi hadiah kerana karya mereka yang bermutu. -- Foto TUNI SHARIFF

Sebahagian usaha Asas 50 memasyarakatkan sastera Melayu

Oleh Safhras Khan

MEMBERI peluang kepada para belia dan menggilap potensi mereka dalam bidang penulisan sajak, sekali gus membentuk angkatan penulis pelapis yang mampu menjamin masa depan kesusasteraan Melayu tanah air.

Penerbitan buku bertajuk Penyair Gen Z oleh badan kesusteraan Melayu, Angkatan Sasterawan '50 (Asas 50), kelmarin, merealisasikan matlamat tersebut.

Buku setebal 104 muka surat itu telah dilancarkan dalam satu majlis di Perpustakaan Negara, oleh tetamu terhormat, Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Encik Khor Kok Wah.

Buku yang mengandungi 33 kuntum sajak diiringi dengan seni grafik dan ilustrasi itu ditulis oleh pelajar daripada 22 sekolah menengah.

Buku tersebut dihasilkan di bawah program Penyair Marhaen kelolaan Asas 50 - satu-satunya inisiatif serupa itu yang dilaksanakan di Singapura dan di rantau ini.

Program itu merupakan sebahagian daripada pendekatan serampang tiga mata untuk memasyarakatkan kesusteraan Melayu yang bersesuaian dengan usaha pemerintah memupuk minat kepada warisan dan bahasa ibunda.

Ia bermula Jun lalu dan melibatkan 521 pelajar sekolah menengah yang dibimbing 40 pemudahcara yang kebanyakannya guru pelatih.

Ketua Program dan Ketua Sayap Belia Asas 50, Encik Mohamed Herwanto Johari, 30 tahun, berkata pihaknya pada mulanya tidak mengharap sumbangan bermutu daripada peserta tetapi selepas beberapa sesi, beliau mendapati sajak yang dihasilkan bermutu tinggi.

'Ada di kalangan mereka yang tidak pernah menulis malah, tidak pernah membaca sajak sebelum ini. Tetapi, apabila diberi peluang, mereka menunjukkan bakat yang menyerlah.

'Beberapa di antara mereka berjaya menulis sajak yang mendalam dan saya sendiri tidak percaya mereka boleh mencapai tahap tersebut,' katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Mengulas mengenai bahasa yang digunakan pula, Encik Herwanto berkata pihaknya tidak memberi terlalu banyak perhatian kepada gaya bahasa.

'Kami mahu mereka menulis dalam laras bahasa mereka sendiri dan luahkan perasaan mereka,' ujarnya.

Ketua 1 Asas 50, Encik Mohamed Pitchay Gani, pula berkata program itu merupakan antara inovasi Asas 50 untuk menjadikan sastera relevan dan menarik.

Beberapa pelajar yang berjaya menghasilkan karya terbaik telah diberikan hadiah.

Salah seorang daripadanya ialah Siti Umairah Affandi, daripada Sekolah Menengah Woodlands, yang menghasilkan sajak berjudul Aku.

'Saya mendapat inspirasi daripada memerhatikan orang lain. Saya meluangkan masa 45 minit untuk menulis sajak tersebut dan melukis grafiknya sekali,' ujarnya yang melukis gambar singa.

Bagi Nuramirah Mohammad Isa pula berkata gurunya, Cik Juliana Johari, mendorong dan memberi inspirasi kepadanya untuk menulis

'Saya memang gemar menulis dan kalau boleh ingin menjadi penulis apabila besar kelak,' ujar pelajar Sekolah Menengah Evergreen itu, yang memenangi hadiah bagi sajak ilustrasinya, Di Mana Erti Keadilan.

Orang ramai yang ingin membeli buku tersebut daripada kedai-kedai buku Andalus dengan harga $15.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,167923,00.html