Sunday, September 26, 2010

Yaacob: Fatwa baru CPF hurai konflik dengan aturan sivil (BH, 27.09.10)

MENTERI Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menyifatkan fatwa berhubung pembahagian wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sebagai 'satu jalan keluar positif yang dapat membantu menghuraikan percanggahan yang timbul antara undang-undang Islam dengan undang-undang negara'.

Beliau turut menyifatkan hasil semakan fatwa itu sebagai 'satu usaha penting yang perlu disanjung'.

Dr Yaacob berkata demikan ketika diminta mengulas mengenai fatwa 2010 berkaitan wang CPF yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) Khamis lalu.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai fatwa baru itu, Muis, kata Dr Yaacob, akan meneruskan dialog dengan asatizah dan para peguam mengenai cara fatwa tersebut dapat dilaksana masyarakat.

Memandang ke depan, beliau, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, berkata Pejabat Mufti akan terus meninjau masalah atau percanggahan yang boleh berlaku dan mencari huraiannya.

'Kita tidak akan hanya bersikap reaktif tetapi proaktif untuk meninjau apakah percanggahan yang boleh berlaku dan mencari jalan keluar. Ini satu proses yang saya sanjung tinggi,' kata Dr Yaacob semasa ditemui media selepas menghadiri majlis Hari Rahmatan Lil 'Alamin di Masjid Al-Mukminin di Jurong East semalam.

Beliau turut menggesa masyarakat agar merujuk kepada Pejabat Mufti jika ada kekeliruan atau salah faham berhubung fatwa baru itu.

Masyarakat boleh merujuk kepada laman Internet Muis di
http://www.muis.gov.sg/oom .

Menurut fatwa itu, orang Islam kini boleh memilih bagaimana wang CPF pusaka mereka boleh dibahagikan - sama ada mengikut faraid atau kepada orang yang dinamakannya sebagai penerima (nominee).

Fatwa itu bermakna pencarum Muslim CPF boleh membuat penamaan atau pencalonan bagi wang CPF- nya dan penamaan itu dikira sebagai hibah (hadiah) kepada orang yang dinamakan itu, tidak kira sama ada orang itu warisnya ataupun bukan.

Dengan ini, orang yang dicalonkan itu tidak perlu membahagikan wang tersebut mengikut faraid.

Pencarum yang memilih mengagihkan wang CPF-nya mengikut faraid pula tidak perlu membuat sebarang pencalonan.


http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,173460,00.html?

No comments: