Thursday, June 23, 2011

Manfaatkan iPhone galak warga membaca (BH, 24.06.11)

APLIKASI GALAK MEMBACA: 'MobileRead', yang dilancarkan Dr Yaacob bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NLB, Cik Elaine Ng, bertujuan menggalak warga Singapura, terutama golongan muda, mengamalkan gaya hidup membaca. -- Foto M.O. SALLEH

Oleh
Nurul Dayana Simangoon

DENGAN membawa hanya telefon pintar iPhone, orang ramai kini boleh membaca - di mana sahaja - cerpen yang diketengahkan dalam kempen membaca Read! Singapore tahun ini dan tahun-tahun lalu.

Ini boleh dilakukan dengan sebuah aplikasi baru iPhone, 'MobileRead', yang dilancarkan sempena pelancaran Read! Singapore 2011 di Perpustakaan Woodlands semalam.

'MobileRead' hasil kerjasama penganjur kempen, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), dan Penguasa Pembangunan Infokom Singapura (IDA) dan boleh dimuat naik daripada laman iTunes secara percuma.

Ia bertujuan menggalak warga Singapura, terutama golongan muda, mengamalkan gaya hidup membaca dalam era serba moden ini.

Berucap merasmikan kempen itu, Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr Yaacob Ibrahim, berkata adalah penting bagi sebuah masyarakat progresif merangsang minat membaca dan belajar seumur hidup.

'Membaca penting dalam pembangunan bahasa dan kemahiran berkomunikasi kita. Ia memperdalam pengetahuan kita dan memperkaya kehidupan kita dengan membuka kita kepada dunia dan pengalaman baru,' kata beliau.

Dr Yaacob berkata beliau gembira akan usaha NLB bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) menggalak badan akar umbi menubuhkan kelab membaca.

Lebih 20 kelab masyarakat (CC) telah menubuhkan kelab membaca sejak 2005. CC Clementi pula telah menubuhkan kelab membaca buku Melayu khusus bagi warga emas, Mari Membaca, pada 2004.

Pengerusi Mari Membaca, Cik Jamilah Osman, 65 tahun, berkata kelab itu kini dianggotai 35 orang dan mengadakan sesi bual bicara tentang novel Melayu setiap bulan.

'Dengan usia kita yang semakin lanjut ini, saya rasa penting untuk kita tajamkan minda kita dan amalkan budaya membaca,' ujar nenek sembilan cucu itu.

Sementera itu, setiausaha jawatankuasa pemilihan buku Melayu kempen tersebut, Cik Norshida Mahmood, berkata pihaknya kali ini memilih karya sesuai dengan cita rasa anak muda, terutama belia berusia 15 hingga 20 tahun.

Ini termasuk novel Ayat-Ayat Cinta, yang telah dijadikan filem, oleh penuis Indonesia, Habiburrahman El Shirazy, dan cerpen tentang seorang lelaki yang memperisteri sebuah robot, Isteriku Zelga, oleh penulis tempatan, Fauzani Azima Mawi.

'Saya rasa jalan ceritanya yang lebih kepada unsur cereka sains dan mencabar daya imaginasi dapat menarik perhatian belia. Malah saya juga cuba mengelak dari membincangkan isu-isu yang terlalu berat dalam cerpen ini,' ujar Cik Fauzani, seorang guru berusia 25 tahun.

Antara aktiviti menarik kempen yang akan diadakan hingga 28 September itu ialah sesi berjumpa Encik Habiburrahman, yang akan diadakan di Perpustakaan Woodlands pada 15 Julai.

Mereka yang berminat boleh mendaftarkan menerusi e-mel kepada readsingapore@nlb.gov.sg.

Bagi maklumat lanjut, sila lungsuri laman www.readsingapore.sg.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,191328,00.html?

Saturday, June 18, 2011

Tujuan ajak isteri jadi umat bertakwa (18.06.11)

PERJELAS DUDUK PERKARA: Dr Darlan Zaini, yang ditemani isterinya, Profesor Madya Kamsiah Abdullah, mengatakan para isteri yang menganggotai kelab itu juga akan dilatih dari segi menjadi wanita solehah seperti tidak tinggalkan perkara-perkara wajib seperti solat dan puasa. -- Foto KHALID BABA

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

NIAT di sebalik penubuhan dan apa yang bakal dilakukan cawangan Kelab Isteri Taat (KIT) Singapura telah disalah ertikan.

Menurut salah seorang warga Singapura yang menggerakkan usaha menubuhkan cawangan KIT di sini, Dr Darlan Zaini, tujuan kelab itu ditubuhkan adalah mengajak para isteri menjadi umat yang bertakwa.

'Kita tahu, bagi para isteri masuk syurga, mereka cuma perlu taat pada suami dan taat pada Tuhan. Tapi kita juga tahu ada hadis Nabi saw yang mengatakan lebih ramai wanita yang masuk neraka,' ujarnya.

Oleh itu, kelab itu ditubuhkan dengan niat melakukan kebaikan, kata Dr Darlan, 69 tahun, semasa ditemui Berita Harian kelmarin.

Beliau ditemani isterinya, Profesor Madya Kamsiah Abdullah, 64 tahun, dari Jabatan Bahasa Melayu dan Budaya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk pertemuan itu.

Pasangan itu, yang sudah berumah tangga selama 44 tahun, mempunyai enam anak dan lapan cucu.

Menurut Dr Darlan, beliau terkilan dengan kritikan yang diterima kelab itu sejauh ini.

'Dari segi apa agaknya kelab ini memecah-belahkan masyarakat? Rasanya, kenyataan yang dibuat PPIS (Persatuan Pemudi Islam Singapura) itu yang boleh memecah-belahkan masyarakat,' ujarnya.

Isterinya, Profesor Kamsiah, pula mencelah dan bertanya, apa salahnya menubuhkan kelab yang mengajak isteri agar taat kepada suami memandangkan ia berdasarkan ajaran Islam dan bagaimana pula ia menghina wanita?

'Lainlah kalau kami tubuhkan kelab yang suruh isteri derhaka pada suami atau untuk golongan homoseksual. Adakah ketaatan itu satu penghinaan?' ujar Profesor Kamsiah lagi.

Tambahnya, kelab itu adalah sebuah kelab bagi kelompok sekepentingan.

'Rasanya sudah ada kelab atau pertubuhan lain yang memberi perhatian kepada isu keluarga atau khusus untuk lelaki.

'Jadi apa salahnya ditubuhkan kelab khusus untuk wanita. Ia tidak ubah seperti kelab yang ditubuhkan khusus untuk pencinta kucing atau khusus untuk pencinta haiwan tertentu,' ujarnya.

Menurut Profesor Kamsiah lagi, isu seks atau memuaskan nafsu suami mendapat perhatian kelab itu kerana ia tahu ada isteri yang kurang sedar tentang pentingnya aspek ini dalam perkahwinan.

'Jika seorang isteri dapat memuaskan suaminya, bukankah ia juga bermakna isteri akan puas?' ujarnya lagi.

Namun, Profesor Kamsiah akur ada batas-batas dari segi ketaatan.

'Takkanlah kalau suami minta isteri menjadi pelacur atau mencuri, isteri mesti ikut. Sebagaimana yang diterangkan dalam Islam, ketaatan itu ada batas-batasnya,' ujarnya lagi.

Dr Darlan menambah para isteri yang menganggotai kelab itu juga akan dilatih dari segi menjadi wanita solehah seperti tidak meninggalkan perkara-perkara wajib seperti solat dan puasa.

Tambah pasangan itu lagi, memandangkan kelab itu masih baru lagi, banyak perkara yang belum diperhalusi.

'Kami akan tubuhkan jawatankuasa sementara sebelum kami tetapkan sama ada kelab ini akan bergerak secara formal atau tidak,' ujar Profesor Kamsiah.

Menurut Dr Darlan, sejauh ini 10 keluarga sudah menyatakan kesediaan menganggotai kelab itu.

Katanya, walaupun idea penubuhan KIT berasal dari Malaysia, ia pertama kali dilancarkan di Jordan.

Tambahnya, kelab itu juga akan dilancarkan di Indonesia hujung minggu ini.

Kelab itu merupakan inisiatif syarikat berbilang nasional, Global Ikhwan Sendirian Berhad, yang bertapak di Malaysia.

Global Ikhwan, yang sebelum ini dinamakan sebagai Rufaqa' Corporation, dibentuk oleh bekas pengikut kumpulan Al-Arqam.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,191002,00.html?

Muis tolak penubuhan Kelab Isteri Taat, tidak setuju dengan asas dan matlamat (BH, 18.06.11)

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) tidak bersetuju dengan rancangan menubuhkan Kelab Isteri Taat (KIT) di Singapura.

Dalam kenyataan yang dikirimkan kepada pihak media semalam, Muis menyatakan 'ia tidak bersetuju dengan asas-asas atau matlamat kelab tersebut seperti mana yang dilaporkan oleh media'.

Muis menyifatkan pandangan kelab itu bahawa layanan seksual yang memuaskan dapat menyelesaikan masalah sosial sebagai 'sempit', 'tidak menggambarkan kerumitan rumah tangga dengan tepat', 'merendahkan martabat wanita dan institusi keluarga yang dimuliakan dalam ajaran Islam'.

Pandangan Muis itu bagaimanapun disanggah sekumpulan warga Singapura yang menggerakkan usaha menubuhkan KIT di sini.

Menurut Dr Darlan Zaini, 69 tahun, 'masyarakat sebenarnya salah faham tentang tujuan penubuhan kelab ini'.

Dr Darlan adalah ahli Global Ikhwan, sebuah syarikat perniagaan berbilang negara berpangkalan di Malaysia yang menerajui usaha ini.

Global Ikhwan digerakkan oleh bekas pengikut Al-Arqam, yang pertubuhannya telah diharamkan.

Dr Darlan turut terkilan dengan reaksi Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware).

'Saya tidak lihat bagaimana penubuhan kelab yang tujuannya untuk kebaikan dapat memecahbelahkan masyarakat,' ujarnya, ketika ditemui Berita Harian kelmarin.

Isteri beliau, Profesor Madya Kamsiah Abdullah, 64 tahun, berkata:

'Penubuhan kelab ini sama macam kelab pencinta kucing atau kelab pencinta anjing.

'Apa salahnya, sekumpulan wanita tubuhkan kelab ini agar isteri mematuhi suami,' ujarnya.

Profesor Madya Kamsiah adalah mantan ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu dan mantan Penolong Ketua Kumpulan Akademik Bahasa-Bahasa dan Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Menurut pasangan itu, kelab itu akan menubuhkan jawatankuasa sementara bagi memutuskan sama ada ia perlu ditubuhkan secara formal ataupun tidak.

Tentang tumpuan kelab itu dalam memuaskan nafsu suami, Profesor Kamsiah menjawab, ini kerana 'ada sesetengah wanita tidak fikir ia soal penting dalam perkahwinan'.

Namun Muis menyatakan bahawa keteguhan institusi keluarga adalah berdasarkan hak dan tanggungjawab bersama kedua-dua belah pihak suami dan isteri.

'Konsep ketaatan di dalam perkahwinan juga adalah berdasarkan imbangan hak dan tanggungjawab kedua-dua suami dan isteri... (dan kebahagiaan dalam sesebuah perkahwinan)... menjangkau lebih dalam daripada sekadar layanan seksual daripada seorang isteri,' kata Muis dalam kenyataan tujuh perenggan semalam.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,191000,00.html?

Sunday, June 12, 2011

Hidung 'aset' penting bagi pengusaha minyak atar (BH, 13.06.11)

PENUHI CITA RASA TERKINI: Encik Jamal Kazura yang berkecimpung dalam 'dunia minyak atar' sejak berusia 12 tahun, mahu mengembangkan produk yang ditawarkan bagi memenuhi tabiat membeli yang sering berubah-ubah. -- Foto TUKIMAN WARJI

Nama Jamal Kazura cukup sinonim dengan produk minyak atar dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, sekali gus mencerminkan keutuhan jenama itu setelah puluhan tahun ia ditubuhkan. Ikuti laporan mengenai rahsia syarikat itu mengekalkan perniagaan sehingga ke hari ini. Laporan oleh ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg).

Pemilik Jamal Kazura Aromatics warisi dan kembangkan niaga yang dibina ayahnya pada 1933

JIKA ditanya sebilangan besar orang, apakah aset paling penting bagi mereka, mungkin ada yang mengatakan rumah, anak atau wang.

Namun, bagi Encik Jamal Kazura jawapannya mudah dan ringkas.

'Hidung. Seperti seorang tukang masak, hidung ini boleh 'merasa' dan 'tahu' apakah ramuan sesuatu wangian itu,' katanya sambil tersenyum apabila ditemui baru-baru ini.

Walaupun ganjil bagi sesetengah orang tetapi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau merupakan antara usahawan minyak atar paling mapan di negara ini.

Encik Jamal telah mewarisi dan mengembangkan perniagaan Jamal Kazura Aromatics. Bisnes ini dibina oleh ayahnya dan kini mempunyai tiga cawangan di Singapura iaitu di Bussorah Street dan Arab Street serta kedai asalnya di North Bridge Road, yang turut berfungsi sebagai makmal pemerosesan bagi produk minyak atar.

Maka itu, hidungnya adalah aset paling penting dalam menjalankan perniagaannya.

Usahawan berusia 63 tahun itu percaya bahawa kebolehan dan kepakaran 'menghidu' serta bakat menghargai wangian dan haruman merupakan satu kelebihan yang diwarisi daripada ayahnya, Allahyarham Mohamed Hanifa Kazura.

Encik Mohamed Hanifa, yang berasal dari India, adalah pengasas perniagaan minyak atar Jamal Kazura yang dimulakan sekitar 1933.

Menurut Encik Jamal, anak kedua daripada lima beradik, pada mulanya arwah ayahnya berhijrah ke Indonesia untuk membantu datuknya menjual minyak meredakan sakit.

Hanya setelah berpindah ke Singapura, Encik Mohamed Hanifa mendapat idea menjual minyak atar dengan mendapatkan sumber bekalan mentah, khususnya kayu-kayan, dari serata dunia untuk menghasilkan sendiri produknya.

Kini, penat jerih Encik Mohamed Hanifa itu tidak sia-sia kerana perniagaan minyak atar yang diasaskannya masih bertahan sehingga ke hari ini.

Bahkan minat berniaga dalam minyak atar mengalir ke dalam diri kelima-lima anaknya.

Sementara Encik Jamal mengendalikan perniagaan yang diasaskan ayahnya itu, empat adik-beradiknya yang lain masing-masing menubuhkan perniagaan wangian dan minyak atar berasingan namun saling bertukar-tukar pandangan.

Berkongsi tentang bagaimana beliau boleh kekal menguruskan perniagaan ayahnya, bapa empat anak itu berkata ia adalah hasil pendedahan dalam dunia perniagaan yang diterima sejak di bangku sekolah.

'Saya masih ingat semasa berusia 12 tahun, selepas sekolah saya akan terus ke kedai ayah di North Bridge Road dan membantunya dalam pelbagai tugasan termasuk membungkus botol-botol minyak atar.

'Lama-kelamaan setelah dua atau tiga jam membungkus, saya mula mengenali bau setiap wangian dan haruman. Kemudian timbul pula minat mencipta wangian berlainan dan menghasilkan wangian ini umpama mencipta lagu yang berlainan melodi dan rentak,' kata Encik Jamal penuh ghairah.

Sejak mengambil alih perniagaan ayahnya pada awal 1980-an, Encik Jamal telah memperkenalkan pembaharuan demi mengikuti peredaran zaman.

Dahulu, perniagaan itu sematamata menjual minyak atar yang merupakan campuran lima atau lebih jenis minyak dengan wangian yang agak kuat untuk pengguna masyarakat Islam sahaja.

Tetapi kini Encik Jamal berusaha menarik golongan bukan Melayu juga dengan meniru bau minyak wangi jenama Barat serta menghasilkan beberapa wangian yang lebih lembut dan serasi dengan cita rasa pelanggan bukan Melayu ataupun pengguna Melayu yang lebih muda.

'Saya sedar untuk mengekalkan perniagaan ini kami harus memperbaharui produk kami bagi menampung lapisan generasi yang berbeza dan oleh itu saya harus mengikuti perkembangan dalam industri ini.

'Contohnya, jika ke luar negara ataupun ke pusat beli-belah setempat saya akan meninjau apakah wangian terkini dalam pasaran.

'Mungkin golongan sebaya saya atau yang berumur 50 tahun ke atas, gemarkan wangian lebih kuat tetapi golongan muda lebih sukakan bau lebih lembut seperti vanila dan sebagainya, jadi inilah permintaan yang perlu diisi,' kata Encik Jamal yang mempunyai 18 pekerja.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan rangkaian minyak aromaterapi yang lebih diminati oleh pelanggan asing terutama sekali kaum Cina.

Menurutnya, 80 peratus daripada pelanggannya adalah masyarakat Melayu/Islam, namun pelanggan bukan Melayu semakin tertarik dengan produk-produknya.

Jamal Kazura Aromatics bukan sahaja beroperasi di negara ini, bahkan sudah dikembangkan ke pasaran luar khususnya di Dubai, India dan Kuala Lumpur, Malaysia.

Malahan, 60 peratus daripada penjualannya adalah daripada pasaran Timur Tengah dan Dubai.

Ini berbanding 20 tahun lalu, dengan pasaran eksport hanya menyumbang kepada 30 hingga 40 peratus sahaja.

Di Singapura sendiri ia mempunyai 30 pengedar, termasuk Mustafa Centre manakala di negara luar, ia mempunyai pejabat wakil di Dubai dan seorang pembeli francais di Malaysia.

Setiap bulan, syarikat itu mengeksport sekitar 30,000 botol minyak atar dan memproses sekitar 2,000 hingga 3,000 kilogram minyak tersebut.

Apabila ditanya prinsip perniagaan yang dipegang sehingga membolehkan perniagaan itu bertahan, Encik Jamal berkata:

'Kami tidak mempunyai apa-apa rahsia tetapi yang paling utama bagi kami ialah mengekalkan mutu, kuantiti dan harga yang tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu.

'Ramai yang tahu kalau mahu mencari mutu minyak atar yang bersih dan asli pada harga yang berpatutan, maka Jamal Kazuralah tempatnya,' jawab beliau.

Encik Jamal juga sangat mementingkan mutu bahan yang digunakan dalam campuran produk minyak atarnya kerana ini akan menjejas mutu produk yang dihasilkan.

'Sejak saya mengambil alih pada 1980-an sehingga sekarang, terdapat banyak pendatang baru dalam industri dan ini memberikan kami persaingan dari segi harga dan mutu.

'Tetapi oleh kerana kami sudah lama dalam pasaran, keyakinan pelanggan terhadap kami tidak pernah luntur sebab mereka juga tahu kami menawarkan minyak atar asli,' ujar Encik Jamal yang mendapatkan sumber kayu-kayan dari serata dunia termasuk Eropah, India dan Asia.

Encik Jamal menjelaskan, dengan adanya teknologi moden, ramai peniaga boleh mengeksploitasi mutu produk yang dijual, contohnya, mencampurkan kadar minyak asli lebih rendah dengan kadar bahan kimia yang tinggi tetapi mengenakan harga yang tinggi.

'Satu lagi yang sangat saya prihatin ialah layanan pelanggan dan saya boleh dikatakan kedai-kedai kami memberikan antara layanan paling mesra sehingga dipuji sendiri oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

'Pelanggan selalu betul walaupun mereka datang ke kedai kita dan tidak membeli apa-apa pun,' katanya lagi.

Encik Jamal, yang menganggap ayahnya sebagai contoh utama dalam hidupnya, juga mempelajari betapa pentingnya sifat menderma dan membantu masyarakat - sesuatu yang memang diamalkan oleh ayahnya sejak mula bertapak dalam perniagaan.

'Matlamat kami bukan sekadar mengejar wang malah pada masa yang sama, membantu mereka yang memerlukan dengan memberikan pekerjaan kepada golongan ini,' ujarnya.

Memandang ke hadapan, Encik Jamal berharap dapat menghasilkan produk-produk yang mesra kesihatan memandangkan ramai pelanggan Melayu/Islam sekarang mempunyai tabiat membeli yang berbeza.

'Trend mementingkan kesihatan sangat ketara, dan harga tidak lagi menjadi hambatan bagi pengguna Melayu kita dan mereka mementingkan mutu dan nilai kesihatannya.

'Ekoran suasana kehidupan yang penuh tekanan, masyarakat kita sekarang gemarkan jenis minyak yang diperbuat daripada bahan asli seperti 'lavender' yang mempunyai kelebihan menenangkan perasaan,' katanya.

Jamal Kazura menjual lebih 200 jenis minyak atar.

http://cyberita.asia1.com.sg/mekoniaga/story/0,6879,190581,00.html?

Friday, June 10, 2011

Pegawai SAF Melayu jadi Komander NDP (09.06.11)

BERSEDIA Leftenan-Kolonel Mohd Fahmi Aliman, Komander Perbarisan dan Ketua Pegawai Waran Jennifer Tan Siang Liang, Sarjan Mejar Rejimen (RSM) di NDP tahun ini. -- Foto ZAOBAO

Oleh
Nuradilah Mahbob

SEORANG pegawai tinggi Melayu dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah dipilih menjadi Komander Perbarisan bagi memimpin Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

Leftenan-Kolonel (LTC) Mohd Fahmi Aliman, 38 tahun, akan menjadi pegawai SAF Melayu/Islam pertama menjadi Komander Perbarisan sejak 2000.

Dalam upacara penuh istiadat dan gilang-gemilang itu, suara lantang LTC Fahmi akan bergema di Pelantar Terapung Marina Bay, memberi arahan kepada sekitar 2,500 peserta perbarisan.

Ketika ditemui Berita Harian di acara taklimat media NDP, semalam, LTC Fahmi berkata beliau terharu diberi penghormatan sebagai Komander Perbarisan yang dianggapnya sebagai satu tanggungjawab yang berat.

'Setiap arahan yang diberikan akan menjejas sama ada perbarisan itu akan dilaksanakan dengan baik.

'Seorang komander perbarisan yang baik perlu memahami sekitarannya, memberi arahan dengan tegas dan muktamad, dan pada masa yang sama mengekalkan gaya diri dengan penuh keyakinan,' kata bapa empat anak berusia antara 14 tahun dengan enam bulan.

Kali ini juga, tugas itu lebih mencabar kerana LTC Fahmi akan menjalani ibadah puasa pada Hari Kebangsaan yang jatuh pada bulan Ramadan.

Namun, LTC Fahmi berkata beliau tetap akan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin.

Ditanya perkara yang akan terlintas dalam fikirannya dalam segmen sekitar 30 minit apabila berjuta penonton dijangka menumpukan perhatian terhadapnya, LTC Fahmi berkata:

'Saya akan cuba luputkan segala gangguan dalam fikiran dan memberi tumpuan pada melakukan tugas itu dengan baik.'

LTC Fahmi, yang telah berkhidmat 19 tahun di SAF, kini bertugas sebagai Ketua Cawangan di Ibu Pejabat Kawalan dan juga Adikung Kehormat kepada Presiden.

Sebelum LTC Fahmi, Komander Perbarisan NDP Melayu/Islam lain termasuk LTC Adam Haji Hamzah pada 2000, dan LTC Ishak Ismail pada 1997.

Sementara itu Ketua Pegawai Waran (MWO) Jennifer Tan Siang Liang, 44 tahun, akan menjadi Sarjan Mejar Rejimen (RSM) Perbarisan wanita pertama di NDP bagi memimpin perbarisan kumpulan pancaragam SAF.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,190331-1307656740,00.html?



Selamat tinggal Singapura (BH, 10.06.11)

SEDIH TINGGALKAN TANJONG PAGAR: Ketua-ketua stesen di Stesen KTMB di Tanjong Pagar, Encik Shamsul (kiri) dan Encik Mohd Ayob. -- Foto M.O. SALLEH

Oleh
Nur' Adilah Mahbob

SETELAH 15 tahun bertugas di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, ketua stesen Encik Shamsul Bahari Sahari meninggalkan stesen itu dengan berat hati.

Warga Malaysia itu bercadang berpindah ke Kuala Lumpur pula, setelah diumumkan operasi stesen Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu bakal dipindahkan dari Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai ini.

Ditemui Berita Harian di platform stesen itu sebelum beliau berangkat menaiki kereta api ke Kuala Lumpur Selasa lalu, Encik Shamsul, 43 tahun, berkata:

'Perasaan sedih itu sudah tentu ada. Bohong kalau saya kata tak ada perasaan sedih langsung kerana sudah lama saya bertugas di sini.

'Sebagai rakyat, ada rasa kecewa juga kerana Tanjong Pagar itu satu-satunya harta pusaka kami di Singapura tetapi mungkin keputusan ini baik juga buat kededua negara.'

Ditanya mengapa beliau tidak bekerja di Woodlands pula, Encik Shamsul berkata beliau sudah selesa dengan keadaan di Tanjong Pagar, dan tidak yakin dapat membiasakan diri di Woodlands.

Beliau ke Kuala Lumpur kerana dinaikkan pangkat bekerja di bahagian kejuruteraan.

Seorang lagi ketua stesen yang ditemu ramah akhbar ini ialah Encik Mohd Ayob Embong, 49 tahun, warga Malaysia yang telah berkhidmat di stesen itu selama enam tahun.

'Stesen ini adalah tanda kebanggaan negara kami di Singapura. Kami juga telah sebati dengan suasana kerja di sini,' kata Encik Ayob, yang akan melihat kereta api terakhir berlepas dari Tanjong Pagar pada 30 Jun.

Setelah operasi berpindah ke Woodlands pula, Encik Ayob berkata beliau akan balik kampung ke Segamat, Johor.

Pengendali tiket warga Malaysia, Encik Razali Tandang, 35 tahun, merupakan antara pekerja KTMB di Tanjong Pagar yang akan bertugas ke Woodlands.

'Suasana di Woodlands sudah tentunya tidak sama seperti di Tanjong Pagar. Kalau di sini, kami bebas bergerak,' ujar Encik Razali, yang suka bekerja di Singapura kerana 'elaunnya yang tinggi'.

Pada 24 Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mengumumkan stesen KTMB akan dipindahkan dari Tanjong Pagar ke Woodlands menjelang 1 Julai.

Pengumuman itu dibuat setelah kededua pihak mencapai kata sepakat bersejarah bagi menghuraikan isu-isu tertunggak dalam Butiran Perjanjian (POA) melibatkan KTMB, selepas hampir 20 tahun dipertikaikan.

April lalu, Lembaga Pemuliharaan Monumen (PMB) telah mewartakan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar sebagai monumen negara.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,190390-1307743140,00.html?

Thursday, June 2, 2011

Tuah si buta kerana mensyukuri nikmat Ilahi (BH, 03.06.11)

Oleh
Sulaiman Jeem

ADA tiga lelaki miskin daripada kaum Bani Israel.

Nama sebenar mereka tidak diketahui. Namun, masing-masing mempunyai gelaran tersendiri - Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.

Si Sopak mendapat nama itu kerana kulitnya yang berpenyakit sopak. Oleh itu, beliau sering dipandang hina dan dijauhi oleh orang ramai. Beliau sentiasa berangan-angan menjadi orang kaya dan berkulit halus.

Si Botak pula mendapat nama kerana berkepala botak. Beliau inginkan agar kepalanya ditumbuhi rambut dan tidak lagi ditertawakan orang.

Si Buta pula adalah orang yang cacat penglihatannya. Beliau mahu agar dapat melihat dunia.

Allah swt mengutus malaikat untuk menguji mereka. Malaikat mendatangi mereka dalam bentuk manusia.

Malaikat mendatangi Si Sopak dan bertanya:

'Apakah yang kamu inginkan?'

'Kulit yang bersih dan sembuh daripada penyakit menjijikkan,' jawab Si Sopak spontan dan penuh hormat.

Malaikat lalu menyapu kulit Si Sopak.

Dengan serta-merta kulitnya berubah menjadi bersih dan beliau kelihatan tampan. Si Sopak hairan melihat akan perubahan dirinya itu.

Malaikat kemudian bertanya lagi:

'Apakah harta yang ingin kamu miliki?'

'Unta,' jawab Si Sopak, singkat dan tegas.

Malaikat lalu memberikannya seekor unta bunting dan berdoa:

'Moga Allah memberkati kamu dengannya.'

Selepas itu, malaikat mendatangi Si Botak dan bertanya:

'Apakah yang kamu inginkan wahai Si Botak?'

'Rambut yang cantik dan sembuh daripada penyakit botak ini, yang menyebabkan orang tertawa melihat wajahku,' jawab Si Botak, sedih tapi penuh harapan.

Malaikat kemudian mengusap kepala Si Botak. Ketika itu juga tumbuhlah rambut di kepalanya itu. Si Botak berasa sungguh gembira.

Malaikat bertanya lagi:

'Apakah harta yang kamu inginkan?'

'Lembu,' jawab Si Botak dengan tegas.

Malaikat kemudian menyerahkan seekor lembu bunting kepada Si Botak dan berdoa:

'Semoga Allah memberkati kamu dengannya.'

Seterusnya malaikat mendatangi Si Buta dan bertanya:

'Apakah yang kamu inginkan?'

'Aku inginkan agar Allah menyembuhkan mataku dan aku dapat melihat,' jawab Si Buta penuh ikhlas.

Setelah diusap matanya oleh malaikat, Si Buta pun dapat melihat.

Malaikat kemudian bertanya apakah yang beliau inginkan.

'Kambing,' jawab Si Botak, ringkas dan tegas.

Malaikat kemudian memberikannya seekor kambing bunting dan mendoakannya sebagaimana yang didoakan kepada Si Sopak dan Si Botak.

Beberapa tahun kemudian ternakan ketiga-tiganya membiak dan mereka terkenal sebagai orang kaya.

Haiwan-haiwan ternakan mereka itu memenuhi lembah.

Kemudian pada satu hari, datanglah malaikat tadi menjenguk ketiga-tiga mereka dengan menyerupai keadaan asal mereka.

Malaikat mendatangi Si Sopak yang kini hidup mewah lalu berkata:

'Saya seorang musafir miskin, terkandas dalam perjalanan. Tidak ada bekalan untuk pulang melainkan mengharapkan pertolongan Allah dan belas kasihanmu.

'Demi Allah yang telah mengurniakan tuan paras yang cantik dan harta melimpah, moga tuan dapat bersedekah kepada saya seekor unta supaya dapat saya meneruskan perjalanan saya.'

Permintaan musafir itu dijawab dengan sombong oleh Si Sopak:

'Aku banyak tanggungan dan hutang yang mesti diselesaikan. Aku tidak dapat memberikan sesuatu kepadamu.'

Malaikat kemudian pura-pura bertanya:

'Rasa-rasanya saya pernah mengenali tuan. Bukankah tuan dulu seorang yang miskin dan berpenyakit sopak dan kemudian Allah memberi tuan kekayaan?'

Meskipun terkejut dengan pertanyaan malaikat itu, Si Sopak terus berbohong:

'Aku mewarisi semua kekayaan ini daripada datuk dan nenekku.'

'Andai tuan berdusta, moga Allah mengembalikan tuan seperti keadaan asal tuan,' ujar malaikat.

Sebaik-baik sahaja malaikat itu pergi, Si Sopak kembali menghidap sopak. Kulitnya kelihatan menjijikkan sesiapa saja yang melihatnya. Setiap hari binatang ternakannya mati hingga habis semuanya.

Malaikat kemudian mendatangi Si Botak dengan menyerupai seorang lelaki botak dan melarat.

Malaikat meminta seekor lembu untuk meneruskan perjalanannya setelah memberikan alasan yang sama seperti yang diberikan kepada Si Sopak.

Jawapannya yang diterima tidak berbeza daripada jawapan Si Sopak.

Maka malaikat pun mendoakan supaya Si Botak kembali seperti keadaannya yang asal. Semua lembu ternakannya mati satu demi satu. Beliau kembali menjadi botak.

Akhirnya malaikat mendatangi Si Buta dengan menyerupai seorang buta yang miskin dan meminta bantuan dengan alasan yang sama seperti yang diberikan kepada Si Sopak dan Si Botak sebelumnya.

'Sesungguhnya dahulu saya seorang buta,' ujar Si Buta dengan penuh hormat dan menambah:

'Kemudian Allah memulihkan penglihatan saya. Ambillah apa yang kamu inginkan. Tinggalkan apa yang kamu tidak suka. Demi Allah, aku tidak mahu menyusahkan kamu kerana apa yang kamu ambil itu kerana Allah.'

Namun, malaikat berkata:

'Peliharalah baik-baik hartamu ini. Allah telah menguji kamu dan kamu telah diredai-Nya, sedang kedua-dua rakanmu gagal dan dimurkai-Nya.'

Demikian ujian Allah kepada manusia.

Namun, manusia sering gagal dalam ujian yang berupa hikmah. Sesungguhnya beruntunglah orang yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,190026,00.html?