Tuesday, November 30, 2010

An-Nur lebih bercahaya (BH, 27.11.10)

BERI TAKLIMAT: Encik Khoo memberi penerangan tentang Masjid An-Nur yang baru, yang dijangka siap pada akhir suku pertama 2012, kepada Encik Hawazi Daipi, Haji Rahim, Dr Yaacob Ibrahim dan Haji Mohd Alami. -- Foto KHALD BABA

Rekaan seni bina oleh firma arkitek yang reka The Pinnacles@Duxton

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MASJID An-Nur yang baru bukan sahaja mampu menampung lebih ramai jemaah tetapi juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan warga emas dan golongan kurang upaya.

Kos pembinaan semula masjid di Marsiling yang berusia 30 tahun itu menelan belanja sekitar $8 juta.

Pembinaan semula masjid itu akan dimulakan bulan depan.

Menariknya, arkitek yang terpilih menghasilkan rekaan senibina untuk 'wajah baru' Masjid An-Nur ini ialah Encik Khoo Peng Beng dari syarikat M/s Arc Studio, yang bertanggungjawab atas rekaan seni bina bagi estet The Pinnacles@Duxton di Tanjong Pagar.

Dalam ucapannya sempena pelancaran pelan peningkatan masjid itu semalam, pengerusinya, Haji Rahim Mawasi, berkata Masjid An-Nur berwajah baru dijangka siap pada akhir suku pertama 2012 dan boleh menampung hampir 4,500 orang - berbanding 3,500 sekarang.

Kelebihan masjid baru ini ialah, ia turut memuatkan dewan serbaguna dan ruang sivik serta ruang membolehkan keluarga solat berjemaah.

Ciri-ciri mesra warga emas dan kurang upaya mencakupi laluan bercerun, lif dan tandas untuk golongan kurang upaya di setiap tingkat.

Ia juga dilengkapi dengan alat mesra sekitaran seperti alat jimat air dan elektrik, penggunaan cahaya suria serta sistem kitar semula air.

Di samping itu, masjid baru akan turut mengetengahkan bilik darjah yang boleh diubah suai untuk digunakan sebagai ruang sembahyang.

Menurut Haji Rahim, sejauh ini pihak masjid telah berjaya mengumpulkan $4 juta.

Turut hadir dalam pelancaran itu semalam ialah Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohd Alami Musa, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi.

Menurut Dr Yaacob beliau bersyukur kepada masyarakat Melayu/Islam yang telah memberi sumbangan melalui Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) untuk membolehkan kerja-kerja peningkatan itu dijalankan.

'Kita telahpun meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) untuk gunakan sedikit wang daripada MBMF untuk kita perbaiki masjid yang telah usang seperti masjid An-Nur.

'Jadi saya rasa ini satu langkah yang baik oleh kerana kita tahu masjid seperti An-Nur yang telah lama memberi khidmat yang baik kepada masyarakat kita, tetapi dengan peredaran zaman dan peningkatan jemaah-jemaah yang ada di Woodlands ini, An-Nur memerlukan ruang yang lebih besar, ruang yang lebih relevan bagi masyarakat kita yang terkini.

'Jadi saya bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh masyarakat kita dan saya berharap kita akan terus menyumbang untuk masjid An-Nur dan masjid-masjid lain yang akan menjalankan perubahan, insya-Allah,' jelas Dr Yaacob lagi.

Semalam merupakan kali terakhir sembahyang Jumaat diadakan di masjid itu yang dipimpin Mufti Negara, Syed Isa Mohd Semait.

Sementara menantikan masjid yang baru didirikan, sebuah bangunan sementara akan didirikan bersebelahan Masjid An Nur.

Dijadualkan siap pertengahan bulan depan, ia dijangka boleh menampung lebih 1,000 jemaah.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,177211-1290895140,00.html?

Disiplin dan kegigihan bawa ganjaran (BH, 26.11.10)

BERCITA-CITA TINGGI: 'Aqilah Dariah dari Sekolah Rendah Coral mendapat agregat 278 mata hasil kerja keras mengulangkaji pelajaran enam jam sehari setiap hari. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Nurul Dayana Simangoon

SEJAK setahun lalu, 'Aqilah Dariah Mohd Zulkarnain, 12 tahun, menghabiskan enam jam sehari setiap hari mengulangkaji pelajaran.

Ini demi mengejar cita-citanya ingin menjadi doktor satu hari nanti.

Pengorbanan, disiplin diri yang tinggi dan kegigihannya ternyata tidak sia-sia.

'Aqilah muncul murid Melayu terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, dengan agregat 278 mata.

Murid Sekolah Rendah Coral yang turut muncul sebagai pelajar ketiga terbaik nasional dalam PSLE tahun ini, meraih empat gred A* dan merit bagi Bahasa Melayu Lanjutan.

Ditemui semalam, 'Aqilah berkata sejak tahun lalu dia rela mengorbankan dua perkara yang amat digemarinya - permainan komputer dan sukan berbasikal.

Anak bongsu dua beradik itu berkata dia sentiasa berusaha mencapai keputusan akademik terbaik kerana ingin menjadi doktor.

'Pernah saya begitu kecewa dengan keputusan ujian Sains kerana gagal meraih markah yang saya inginkan hingga saya menangis!

'Saya percaya seseorang itu harus sentiasa berusaha mencapai yang terbaik. Tiada yang mustahil jika anda yakin dengan kebolehan sendiri,' ujarnya, yang merancang ke Sekolah Menengah Perempuan Raffles (RGS).

Ibunya, Cik Eireena Rahman, 40 tahun, seorang guru Bahasa Melayu, berkata sejak kecil anaknya itu tidak perlu dipaksa belajar.

'Aqilah seorang yang bersikap 'go-getter' dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya. Ada kalanya, kami yang harus mengingatkannya supaya berhenti belajar dan berehat,' ujarnya.

Bapa 'Aqilah seorang jurutera berusia 45 tahun dan kakaknya, 16 tahun, menuntut di Sekolah Menengah Temasek.

Tahun ini, seramai 45,049 murid Darjah Enam menduduki PSLE.

Daripada jumlah itu, 43,826 murid atau 97.3 peratus layak ke sekolah menengah - 63.5 peratus ke aliran Ekspres, 22.1 peratus ke aliran Normal (Akademik) dan 11.7 peratus ke aliran Normal (Teknikal).

Bakinya belum bersedia untuk sekolah menengah atau lebih sesuai mengikuti latihan vokasional.

Murid Sekolah Rosyth, Alex Tan Kian Hye, muncul murid terbaik PSLE tahun ini dengan agregat 282 mata manakala Muhammad Hameem dari Sekolah Rendah Henry Park muncul murid India terbaik dengan agregat 274 mata.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,177130-1290808740,00.html
?

Sunday, November 14, 2010

Fatris jadi mufti mulai Januari (BH, 12.11.10)

TAHNIAH: Mufti Syed Isa Semait (kiri) mengucapkan tahniah kepada Ustaz Mohamed Fatris Bakaram yang akan mengambil alih jawatan Mufti mulai tahun depan. -- Foto TAUFIK A. KADER

Pelantikan dapat sokongan Muis dan dilulus Presiden Nathan

SINGAPURA akan mempunyai mufti baru mulai tahun depan.

Ustaz Mohamed Fatris Bakaram, 40 tahun, akan menyandang jawatan itu mulai 1 Januari ini, menggantikan Mufti Syed Isa Semait - mufti Singapura selama hampir 40 tahun - yang bersara hujung tahun ini.

Menyusuli persaraannya, Syed Isa, 72 tahun, akan berkhidmat sebagai penasihat kepada Pejabat Mufti.

Pelantikan itu diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi satu kenyataannya semalam.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, semalam mendedahkan bahawa Muis menyokong pelantikan Ustaz Mohamed Fatris.

Presiden S R Nathan juga telah meluluskan pelantikan itu seperti yang diperlukan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).

Ustaz Mohamed Fatris, yang mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Inggeris Pasir Panjang dan kemudian ke Madrasah Aljunied, adalah lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin.

Beliau juga memiliki sarjana dalam pentadbiran dan pengurusan pendidikan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kedoktoran Falsafah Pengajian Islam (menanti penganugerahan) daripada Universiti Birmingham, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjayanya di Madrasah Aljunied sebagai guru dalam 1993 sebelum menyertai Muis pada 1994 sebagai pegawai eksekutif.

'Saya ingin membawa masyarakat bersama menonjolkan diri kita sebagai sebuah masyarakat yang kukuh pegangan akidah dan pengamalan agama, tapi pada masa yang sama menjadi satu masyarakat yang menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan masyarakat, negara dan malah seluruh umat manusia.

'Peranan mufti akan datang ialah meletakkan dirinya dan masyarakatnya ke tahap yang lebih tinggi, bukan setakat dalam pengamalan agama, malah membuat sumbangan kepada kehidupan manusia dan dunia,' ujarnya.

Menurut Dr Yaacob, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Ustaz Mohamed Fatris sesuai dan berkelayakan mengambil alih jawatan Mufti. Beliau dapat menyambung dan menguatkan lagi sumbangan-sumbangan Syed Isa.

Presiden Muis, Haji Mohd Alami Musa, berkata Ustaz Mohamed Fatris secara bertahap-tahap menyelia lebih banyak tugas Pejabat Mufti sejak dilantik Timbalan Mufti pada April 2004.

Dr Yaacob dan Haji Mohd Alami memberi sanjungan tinggi kepada Syed Isa atas sumbangannya.

Dr Yaacob merakamkan terima kasih kepada Syed Isa atas kepimpinan keagamaan cemerlang beliau kepada masyarakat Muslim Singapura.

Beliau, yang dilantik menjadi Mufti pada 1972, disanjung secara meluas atas kepimpinan berprinsip dan progresif berhubung pelbagai isu selama menjadi mufti.

Syed Isa, lulusan Universiti AlAzhar, dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas) tahun lalu.

Beliau pernah melahirkan hasrat mengundurkan diri ketika berusia 65 tahun, tetapi perlu menyambung tugas kerana pengganti yang sesuai belum ditemui.

'Saya sambung dengan minta bantuan daripada Allah swt, dan saya syukuri khidmat-khidmat saya... jika saya hadapi masalah yang susah ditempuh, saya doa sahaja kepada Allah, dan saya bersyukur kerana boleh dikatakan kesemuanya itu terhurai dengan bantuan Allah swt.

'Jadi apabila sampai tahun bersara tetapi belum ditemui penggantinya, maka saya tidak dapat izin syarii untuk tinggalkan kerja ini kerana keperluan sehingga ada penggantinya, barulah saya boleh berhenti,' kata Syed Isa.

Haji Mohd Alami berkata persetujuan Syed Isa untuk menjadi penasihat kepada Pejabat Mufti dan Jawatankuasa Fatwa akan memastikan peralihan jawatan itu berjalan licin.

Menurut beliau, Muis akan mencari waktu sesuai bagi membolehkan para pemimpin masyarakat menunjukkan penghargaan secukupnya kepada Syed Isa atas sumbangan, nasihat dan kepimpinan keagamaan yang beliau curahkan kepada masyarakat sejak 38 tahun lalu.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,176204-1289599140,00.html
?


Friday, November 5, 2010

Kesusasteraan membina kemanusian (BH, 05.11.10)

Dr Ariff harap Asas '50 dapat terus hidup sekalipun beliau sudah tiada

Persatuan Angkatan Sasterawan '50 menyambut ulang tahunnya yang ke-60 pada 6 Ogos lalu. Sempena majlis sambutan malam ini tiga anugerah utama akan disampaikan kepada aktivis tegar persatuan itu. Nadzri Eunos (nadzri@sph.com.sg) menemu ramah penerima anugerah tersebut mengenai pengalaman mereka memartabatkan kesusasteraan Melayu di Singapura.

TIADA manusia yang mampu menilik apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Apatah lagi ahli kesusasteraan Melayu yang satu ketika dulu pernah dituduh sebagai ahli nujum.

Namun, setiap insan mampu berharap.

Begitu jugalah Pendeta, Dr Muhammad Ariff Ahmad, atau dikenali dengan nama penanya, Mas.

Sejak pertama kali 19 pemuda berkumpul di rumah bujangnya di Henderson Road pada 1950 dan bertekad untuk menubuhkan sebuah persatuan yang akan memartabatkan kesusasteraan Melayu di bumi Temasek, beliau menyimpan harapan - agar pertubuhan Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) yang baru dilahirkan - akan panjang umur dalam perjuangannya menggunakan sastera untuk membina manusia.
Ternyata 60 tahun kemudian, harapan yang ditanam itu bukan sahaja bertunas, malah kini subur dan mekar berbunga.

Sayangnya, daripada 19 yang menghadiri pertemuan pertama untuk melahirkan Asas 50, hanya seorang sahaja yang diizinkan melihatnya menyambut ulang tahun yang ke-60.

'Saya rasa seperti budak hitam yang ke-10 kerana saya satu-satunya pengasas yang tinggal,' kata Budayawan Negara, Dr Ariff, selamba tertawa, merujuk kepada lagu kanak-kanak 10 Budak Hitam.

Menyelongkar lembaran sejarah, Dr Ariff menceritakan secara ringkas antara pencetus penubuhan Asas 50 ialah ketandusan wadah bagi para penulis ketika itu.

'Ketika itu saya anggota Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS). Saya minta diberi ruang untuk mengumpulkan para penulis, tetapi isu yang hangat pada waktu itu ialah membela nasib guru-guru Melayu agar setaraf dengan guru-guru mata pelajaran lain dari segi gaji dan layanan,' jelas Dr Ariff yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-86 pada 6 Disember ini.

Katanya pada waktu itu tiada persatuan yang memperjuangkan nasib para penulis.

'Dulu apabila kami sumbang karya ke surat khabar kami tidak dapat apa-apa bayaran. Kalau karya diterbitkan besar hati kami, tapi kalau karya dibuang habislah pelaburan kami beli dakwat dan kertas.

'Selepas Asas 50 ditubuhkan saya dipanggil ketua Utusan Melayu ketika itu, Encik Yusof Ishak, pada 21 Januari 1951. Beliau beritahu para penerbit bahawa fikiran penulis amat berharga.

'Saya kemudian diberi 5 ringgit untuk penulisan saya yang menyangkal dakwaan bahawa sasterawan adalah ahli nujum,' kata Dr Ariff mempamerkan daya ingatannya yang masih tajam.

Selepas itu, katanya, para penulis yang menyumbangkan karya mendapat bayaran. Demikian antara kisah-kisah yang mewarnai tahun-tahun awal Asas '50 yang dikongsi Dr Ariff sepanjang temu bual selama sekitar sejam.

Terpancar kebanggaannya terhadap pencapaian persatuan itu sepanjang enam dekad.

Asas '50, katanya, kini mampu menerbitkan buku kerana adanya sokongan kewangan; meluaskan kegiatannya kepada pihak-pihak yang sealiran, juga para pelajar dan telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan badan-badan luar negara dalam usaha memperjuangkan kesusasteraan Melayu baik di persada negara mahupun dunia.

Beliau akur strategi yang digunakan Asas '50 dalam usaha memenuhi slogan 'Sastera Bina Manusia' telah berubah dari masa ke masa.

'Dalam erti kata lain, kesusasteraan adalah pembina kemanusiaan... Teknik dan taktik boleh berubah bergantung kepada tiga perkara - penganut, tempat dan zaman - tetapi terasnya tetap sama,' tegas Dr Ariff.

Justeru baginya, kaedah dwibahasa yang kini digunakan Asas '50 untuk memasyarakatkan kesusasteraan Melayu di Singapura adalah tepat pada masanya.

'Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa maklumat, tetapi karya tetap dalam bahasa Melayu,' katanya lagi.

Pendekatan tersebut telah membantu memperkenalkan Asas '50 kepada golongan bukan Melayu sekali gus membuka pintu kepada sokongan dan pengiktirafan di peringkat nasional.

Namun, Dr Ariff menekankan perlu adanya 'penghulu' teguh yang mampu memastikan perjuangan asas tidak dilencongkan.

'Kita patut ada pengawal mutu!' seloroh Dr Ariff.

Dalam hal ini beliau yakin golongan pemimpin pelapis Asas '50 mampu melaksanakannya.

Doa beliau, agar Asas '50 terus berjuang lama selepas 'budak hitam' yang tinggal satu ini berpulang.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175820-1288994340,00.html?

Pembuka jendela dunia Melayu (BH, 05.11.10)

GILA! Itulah herdikan yang dilemparkan kepada Cik Chan Maw Woh apabila ada yang mendapat tahu beliau sedang mempelajari bahasa Melayu secara sendiri.

Ia berlaku pada 1957. Cik Chan berusia 20-an tahun ketika itu.

'Kamu orang gila, hendak belajar bahasa yang mundur, padahal bahasa Inggeris yang bermutu tinggi itu kamu abaikan, seperti orang yang memakai kereta lembu sedangkan motokarnya disimpan saja!'

Itulah tohmahan yang dirakamkan Cik Chan dalam cerpen karyanya Mempelajari Bahasa Kebangsaan yang disiarkan Utusan Pelajar pada 23 Mac 1961.

'Saya tak pedulikan kerana saya gemar belajar bahasa Melayu. Waktu itu Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura baru mengecap kemerdekaan. Saya sedar perlu dipupuk perpaduan antara rakyat berbilang bangsa.

'Usaha saya menterjemahkan hasil-hasil karya Melayu ke dalam bahasa Cina dan sebaliknya diharap menyumbang kepada usaha tersebut,' jelas Cik Chan ketika ditemu bual di rumahnya di Jalan Mengkudu, baru-baru ini.

Katanya pada tahun-tahun menyusul merdeka, ramai orang Cina yang belajar bahasa Melayu.

'Mereka ingin tahu lebih mendalam mengenai masyarakat Melayu supaya boleh bersatu,' jelas nenek lima cucu yang kini menjangkau usia 73 tahun.

Berpandukan niat mulia itulah Cik Chan gigih menterjemahkan karya Melayunya yang pertama - novel Nyawa di Hujung Pedang - sekali gus mencipta sejarah.

Terjemahan yang memakan masa sekitar enam bulan untuk disiapkan dan diterbitkan pada 1959 itu merupakan novel Melayu pertama yang dialih bahasa dalam sejarah kesusasteraan Mahua (Cina Malaysia) dan Xinhua (Cina Singapura).

'Proses menterjemah novel itu amat mencabar. Saya gunakan kamus untuk fahami setiap perkataan. Selepas sekitar enam bulan ia siap dengan bantuan beberapa teman yang memperbetul dan menghalusi penterjemahan saya,' kata Cik Chan menguntum senyuman.

Itulah titik tolak penglibatan beliau dalam bidang penterjemahan dan penulisan dalam bahasa Melayu.

Selepas lebih 50 tahun, mantan wartawan akhbar Cina, Lianhe Zaobao, itu telah menghasilkan pelbagai genre penerbitan daripada kamus bersama suaminya, Dr Yang Quee Yee, juga penterjemah ulung, sehingga ke pojok yang disiarkan akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Cik Chan berkata usaha tersebut masih dilakukannya hingga ke hari ini sambil menunjukkan keratan akhbar yang dipotongnya dan kemudian diterjemah dan disiarkan Lianhe Zaobao.

Projek terbarunya ialah penerbitan edisi pindaan Kamus Bahasa Cina-Melayu yang dijangka dilancarkan awal tahun depan.

'Saya tidak terjemah sebarangan. Saya perlu faham sepenuhnya sesebuah karya. Kalau saya tak faham, saya tak terjemahkan,' kata anggota seumur hidup Angkatan Sasterawan '50 itu.

Dan selepas lima dekad tekun menterjemah dan menulis, Cik Chan berkata usahanya sudah membuahkan hasil.

'Baru-baru ini seorang mahasiswa Universiti Unisim telah bertemu saya. Beliau mengucapkan terima kasih kerana penterjemahan novel Satu Bumi karya Isa Kamari yang digunakannya untuk menulis tesis,' katanya dengan raut bersinar puas.

'Usaha saya selama ini merupakan sumbangan kecil kepada perpaduan kaum di Singapura. Saya harap ia akan diteruskan.

'Mungkin juga kita perlu menterjemah lebih banyak karya bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu supaya usaha membina jambatan persefahaman rentas budaya berlaku dua hala.

'Saya tidak mampu lakukannya seorang diri! '

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175821-1288994340,00.html?

Bagai sirih pulang ke gagang (BH, 05.11.10)

Herwanto menanti ketika apabila anak Melayu tidak lagi malu dipanggil Melayu

JELAS di mata semua yang mengenali diri Encik Muhd Herwanto Johari bahawa beliau amat menyerlah dalam arena kesusasteraan Melayu.

Ia terbukti dengan rentetan anugerah buku dan pertandingan yang dimenanginya semasa di Raffles Institution. Yang menonjol ialah anugerah Buku Perdana Menteri pada 1993.

Namun, pencapaiannya itu semuanya kabur di mata Encik Herwanto.

Beliau kemudian 'digoda' oleh keindahan seni bina yang membawanya mengejar Diploma Seni Bina di Politeknik Singapura.

Tetapi, lima tahun lalu pada usia 25 tahun, beliau tiba di persimpangan jalan hidupnya.

'Ia membuatkan saya berfikir panjang tentang diri saya dan haluan hidup saya.

'Barulah saya sedari bahawa cinta pertama saya ialah bahasa Melayu. Saya memohon untuk memasuki Program Latihan Khas (Bahasa Melayu) dan alhamdulillah diterima,' jelas Encik Herwanto yang kini berusia 30 tahun.

Beliau kini dalam tahun kedua kursus Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang.

'Semasa baru-baru masuk NIE, saya bertemu dua rakan saya di kantin. Mereka kata 'Kau memang sajak jadi guru bahasa Melayu sebab cenderung dalam bahasa dan sastera'. Saya tertawa kerana sebelum ini ia tidak terlintas dalam fikiran saya,' katanya.

Di NIE, beliau dicabar oleh seorang pensyarahnya untuk 'mencari dirinya' dengan meneroka bidang tukikan yang selari dengan nalurinya.

'Dari situ saya cuba dedahkan diri saya kepada pelbagai aktiviti - menerbitkan majalah, mengendalikan program dan berjinak-jinak dalam bidang kepimpinan,' ujarnya.

Keyakinan diri yang bertambah membuka peluang kepimpinan di beberapa pertubuhan termasuk menjadi Presiden Kelab Guru Pelatih NIE; anggota eksekutif Kesatuan Mahasiswa NTU dan anggota jawatankuasa eksekutif Angkatan Sasterawan '50.

Encik Herwanto turut menyerlah dalam bidang akademik apabila beliau merangkul anugerah Pelatih keseluruhan Terbaik bagi Program Latihan Khas Bahasa Melayu.

Semua itu bukan sahaja membuktikan bahawa beliau mampu cemerlang di luar 'kepompong' Melayu, malah membuka ruang baginya mengejar misi utamanya.

'Misi utama saya yang saya lakarkan untuk diri saya sendiri ialah membuat generasi muda Melayu bangga terhadap bahasa dan budayanya kembali,' kata Encik Herwanto bersungguh-sungguh.

Katanya ia tercetus selepas bertemu dengan pengasas, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Operation Hope, Encik John Hope Bryant, di Forum Global Sosial Innovators 2009.

'Saya mewakili NIE di forum itu. Saya bertanya kepada Encik Bryant apa yang boleh saya lakukan untuk memajukan masyarakat Melayu di Singapura.

'Beliau menjawab sebelum sesebuah masyarakat menjadi mantap, sekurang-kurangnya 5 peratus daripada anggotanya perlu menjadi pemimpin - baik pemikir mahupun penggerak.

'Justeru, saya berazam untuk memartabatkan masyarakat Melayu.

'Namun, selagi kita masih terus berasa malu dan menidakkan apa yang hakiki - bahawa kita semua adalah orang Melayu yang berbudaya dan berbahasanya sendiri, masyarakat Melayu tidak akan bersinar di kaca mata dunia,' katanya.

Justeru, Encik Herwanto menganggap pilihan kerjayanya sebagai guru bahasa Melayu dan penglibatannya dengan Asas '50 akan membolehkannya meneruskan perjuangan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad yang bermula 60 tahun lalu.

'Saya menanti ketika apabila anak Melayu kita tidak lagi malu dipanggil Melayu,' kata Encik Herwanto.

**** **** **** ****

ANUGERAH LAIN

Anugerah Munsyi Abdullah
Suratman Markasan - 58 tahun (1952-2010)
Mohamed Latiff Mohamed - 44 tahun (1966-2010)

Anugerah Bakti Cemerlang
Masran Sabran (Kewangan dan Perakaunan)
Abdul Samat Ali (Pentadbiran)
Fariz Husna Sajani (Gerakan Belia)
Muhd Irwan Jamal (Biro Penerbitan)
Hoirul Amri (Pengurusan Program)

Anugerah Jasawan Asas '50
Abdul Ghani Hamid
Aliman Hassan

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175822-1288994340,00.html?

Tuesday, November 2, 2010

Hotel Fairmont dijangka dapat markah mesra halal gred 5 (03.11.10)

PIKAT PELANGGAN ISLAM: Encik Fazal (kiri) yakin potensi hotel itu untuk dapat gred lima bagi mesra halal. Beliau dan Pengarah Urusan, Wellcare Executive Concierge Services, Encik Borhan Saini, menjamu masakan halal Asian Market Cafe di Hotel Fairmont, kelmarin. -- Foto KHALID BABA

Oleh Rosebi Mohd Sah

HOTEL Fairmont Singapore, yang baru-baru ini menerima sijil makanan halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi dapur restoran Asian Market Cafe, kemungkinan besar mendapat gred lima bagi ujian mesra halal, kata Pengarah Urusan, syarikat yang menilai hotel-hotel sedemikian, Crescentrating, Encik Fazal Bahardeen.

Gred lima adalah yang tertinggi bagi hotel mesra halal di Singapura sejauh ini yang sebelum ini hanya dicapai hotel lima bintang, Royal Plaza On Scotts.

Sebelum ini, Hotel Fairmont, yang terletak di Raffles City, Bras Basah Road, hanya mendapat gred tiga dalam ujian mesra halal Crescentrating lebih setahun lalu.

Sebelum mendapat sijil halal, restoran di tingkat dua hotel itu dikenali sebagai Plaza Market Cafe.

Ditemui Ekoniaga di majlis merasmikan sijil halal hotel itu kelmarin, Encik Fazal berkata, hotel itu mendapat gred tiga apabila ia menjalani ujian mesra halal yang dikendalikan syarikat tersebut pada Oktober tahun lalu.

Penilaian itu dibuat setelah mengambil kira apa yang diumumkan Pengurus Besar Fairmont Singapore dan Naib Presiden Serantau, Asia, Fairmount Hotels & Resorts, Encik Ian Wilson, mengenai beberapa perkhidmatan baru yang mesra halal bagi para pelanggannya, semasa mengumumkan sijil halal bagi dapur Asian Market Cafe kelmarin.

Antara perkhidmatan mesra halal lain yang ditawarkan hotel tersebut termasuk:

menyediakan Al-Quran dan sejadah

dapur bankuet halal yang diselia ketua tukang masak Muslim di Pusat Konvensyen Raffles City

pakej bankuet perkahwinan dan bilik-bilik mesyuarat yang mesra halal

saluran berita televisyen Al Jazeera dari Timur Tengah.

'Banyak perubahan baru yang dilakukan hotel itu selepas kami menilai hotel itu dari segi mesra halal lebih setahun lalu.

'Kami akan mengadakan penilaian semula ke atas hotel itu dalam tempoh seminggu. Kemungkinan besar gred mesra halal hotel lima bintang itu melompat daripada gred tiga kepada gred lima adalah suatu yang tidak mustahil,' tambah Encik Fazal.

Crescentrating menyediakan laman www.crescentrating.com untuk menilai dan menyenaraikan hotel-hotel setempat dan di seluruh dunia, yang berdaftar dengannya berdasarkan tahap kemudahan yang ditawarkan kepada pelanggan dan pelawat Islam.

Mengulas, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abdul Rohim Sarip, berkata: 'Dengan menjadi satu lagi restoran halal utama di pusat bandar, ia tentunya memudahkan kami membawa para tamu Islam bagi jamuan tengah hari atau malam di hotel lima bintang ini.

'Restoran ini juga berdekatan dengan pejabat Dewan di Kampong Glam. Ini tentunya baik bagi para pelawat dan peniaga Muslim serta baik bagi ekonomi negara.'

http://cyberita.asia1.com.sg/mekoniaga/story/0,6879,175676,00.html
?

Antara mistik Mbah Maridjan dan sains (BH, 03.11.10)

Oleh Ahmad Ali Nurdin

TRAGEDI yang menimpa sebahagian penduduk di lereng Gunung Merapi yang meletus minggu lalu telah menarik perhatian dunia.

Apatah lagi antara penduduk itu ialah Mbah Maridjan, 82 tahun, (mbah atau ejaan penuhnya, 'embah' bererti nenek atau datuk, di sini ia bermaksud suatu gelar ketua-tuaan).

Namanya terkenal seantero dunia sejak beberapa tahun lalu apabila Gunung Merapi mula menunjukkan tanda-tanda akan meletus.

Namun, sebagai 'sang jurukunci', beliau yang nama penuhnya Mas Penewu Surakso Hargo atau Ki Surakso Hargo pernah hanya menyifatkan dari segi kerohanian bahawa gunung itu sekadar 'batuk' saja.

Pada dekad 1970-an, namanya hanya dikenali para pendaki gunung yang tertinggi di Jawa. Kini ketika orang menyebut Merapi, maka fikiran orang akan terus ingat pada Mbah Maridjan.

Sekarang sang jurukunci itu telah tiada, wafat kerana awan panas yang dikenal sebagai wedhus gembel. Selain ditangisi banyak orang, kematian sang jurukunci itu menimbulkan tengkarah.

Ada yang menyalahkan Mbah Maridjan kerana kedegilannya menyebabkan ramai penduduk di lereng itu tidak mahu melarikan diri ('mengungsi') ke tempat selamat ketika Merapi meletus. Bagi kelompok ini, Mbah Maridjan dianggap sombong.

Ada pula yang memuji dan menghargainya kerana dianggap 'setia' pada tugasnya.

Menurut Sri Sultan Hamengku Buwono X (Gabenor Jawa Tengah dan juga sultan Mataram), Mbah Maridjan memang mahu mengungsi tetapi meminta waktu untuk solat dahulu. Ketika solat, awan panas menyerangnya.

Apa pun pendapat orang tentang kematiannya, banyak pelajaran yang dapat diambil daripada kisah Mbah Maridjan.

Pertama, beliau seorang sederhana yang setia pada tugasnya sehingga ke akhir hayatnya meskipun penuh risiko.

Memang sejak 1982 Mbah Maridjan ditunjuk sebagai jurukunci Merapi oleh Almarhum Sri Sultan Hamengku Buwono IX (ayahanda sultan).

Mbah Maridjan tidak mahu berpindah walaupun ketika Merapi mula meledak pada 2006 sungguhpun telah diarahkan oleh sultan sekarang.

Bagi Mbah Maridjan, perintah menjaga Merapi bererti perintah kekal di kawasan itu. Inilah pengabdiannya walaupun suatu hal yang tidak masuk akal atau logik.

Kedua, meskipun sudah popular kerana menjadi pelakon iklan sebuah produk minuman di televisyen, beliau hidup sederhana dan dermawan. Banyak wang hasil iklan itu didermakan kepada jiran-jirannya yang miskin.

Ketiga, walaupun dikatakan 'sang jurukunci' kerana memahami 'bahasa alam', ternyata ilmunya tetap kurang. Jika Tuhan sudah menghendaki, maka kudrat-Nya berlaku seperti letusan Merapi baru-baru ini.

Bagi sebahagian orang di Jawa, kematian sang jurukunci merupakan petanda baik kerana mengakhiri kepercayaan mistik - kebatinan Jawa. Kononnya, Mbah Maridjan ialah manusia sakti. Konsep 'sakti' bertentangan dengan akidah umat Islam.

Hakikatnya, Mbah Maridjan tidak pernah mengakui dirinya 'sakti', tetapi hal ini muncul kerana tanggapan sesetengah orang.

Keluarga dekatnya saja menyebut Mbah Maridjan sebagai Muslim yang warak sekalipun tidak alim. Sebab itulah, sewaktu meninggal beliau sedang sujud bersolat.

Ilmu beliau mengenai Gunung Merapi sangatlah luar biasa. Menurut rektor Universitas Islam Indonesia, Profesor Edy Swandi Hamid, Mbah Maridjan tidak bersekolah tinggi tetapi dapat membaca alam bak seorang profesor.

'Beliau dapat membaca isyarat alam - dari angin, gerak haiwan dan lainnya,' ujar Profesor Edy.

Bagi saya, kesetiaan bekerja Mbah Maridjan harus dijadikan contoh kepada para pegawai pemerintah - daripada menteri sehingga pekerja biasa. Jika ini dicapai, saya yakin Indonesia akan maju dan makmur.

Selamat jalan Mbah Maridjan. Semoga Tuhan mencucuri rahmat atas rohmu.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,175698,00.html?

Perlunya perancangan agar isteri dan anak dapat pembelaan wajar (BH, 03.11.10)

Jika orang yang tidak amanah dilantik menjadi 'administrator' atau 'executor', besar kemungkinan pembahagian harta pusaka tidak akan diuruskan dengan adil dan saksama

Oleh Suhaimi Salleh

DERINGAN telefon menyentak kekyusukan Marfuah. Beliau baru saja selesai solat asar dan sedang menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi.

Jantungnya tiba-tiba berdebar.

'Jangan-jangan si Harun tu lagi ke?' hatinya berbisik.

'Helo,' Marfuah menjawab telefon dengan suara perlahan.

'Helo, Kak Mar, eh?... ini Harunlah. Bila kakak nak bincangkan fasal harta pusaka abang Hashim. Dah dekat dua bulan abang meninggal. Bila lagi kak?' tanya Harun.

Marfuah tidak dapat berkata apa-apa.

'Kakak..., kakak tak boleh buat bodoh saja tau kak,' sambung Harun.

'Lagipun rumah kakak perlu kakak jual dan bahagikan hasilnya ikut faraid!' desak Harun lagi.

Marfuah hanya dapat menangis di sisi telefonnya. Tangisannya semakin kuat. Tiada perkataan yang keluar daripada mulutnya, walaupun memang banyak yang dia hendak katakan kepada adik iparnya yang biadab itu.

Gagang telefon dihempaskan ke tempatnya. Tidak sanggup lagi beliau mendengar kata-kata lantang si Harun.

'Kalau aku kena jual rumah ini, mana aku nak tinggal nanti...,' hatinya berbisik diiringi sedu-sedan.

Marfuah dan Hashim telah berumah tangga selama lebih 20 tahun, tetapi tidak dikurniakan zuriat. Harun adalah satu-satunya adik suaminya itu. Ibu bapa Hashim sudah lama meninggal dunia.

Bagaimanapun, hubungan Harun dengan abangnya tidak begitu rapat. Harun sering keluar masuk penjara kerana masalah dadah. Kerana itu, Hashim seberapa boleh menjauhkan diri daripada Harun.

Hashim meninggal dunia akibat kemalangan di jalan raya.

Sejak kematian Hashim, Harun yang tidak pernah mengenali agama, tiba-tiba sahaja bercakap fasal faraid.

'Kakak, kawan saya bilang, kerana arwah abang tak ada emak bapak dan zuriat, saya sebagai adik kandungnya mewarisi tiga perempat daripada harta pusaka arwah abang. Kakak sebagai isteri hanya dapat satu perempat saja tau,' kata Harun, selepas satu majlis tahlil arwah Hashim.

Marfuah hampir pengsan mendengar kata-kata Harun itu.

'Betul ke apa yang dikatakan si Harun tu?' bisik hatinya ketika itu.

Marfuah belum sempat bertanyakan kepada sesiapa mengenai pembahagian harta pusaka suaminya itu. Hatinya masih begitu sedih dengan pemergian mendadak orang yang disayanginya itu. Kini, hidupnya sebatang kara kerana beliau anak tunggal yang kematian ibu bapa.

'Rumah abang dan kakak ini pun nak kena faraid,' sambung Harun dengan nada sinis.

Sejak malam itu, hampir setiap hari Harun akan menelefon Marfuah untuk bertanyakan mengenai harta pusaka Hashim.

'Kalau kakak tak mahu uruskan juga, saya akan dapatkan lawyer. Sudah tentu saya akan diberikan kuasa administrator harta pusaka abang, kerana hak faraid saya lebih tinggi daripada kakak,' kata Harun dalam suatu perbualan di telefon.

Marfuah tidak tahu apa yang dimaksudkan Harun tentang administrator. Namun, beliau tetap cemas dengan kenyataan Harun ingin mendapatkan seorang peguam.

ULASAN

Mengikut faraid, oleh kerana Hashim hanya meninggalkan seorang isteri dan seorang adik lelaki, harta pusakanya akan dibahagikan kepada isteri (satu perempat) dan adik lelaki (tiga perempat).

Disebabkan Hashim tidak membuat wasiat untuk melantik seorang pengurus dan pengamanah harta pusakanya (atau executor), maka pihak mahkamah selalunya akan memilih waris yang mempunyai hak tertinggi untuk menjadi administrator, jika ini dipersetujui oleh waris-waris yang lain. Dalam kes ini, mahkamah juga boleh memilih untuk melantik kedua-dua adik serta isteri Hashim untuk menjadi joint administrators.

Administrator dilantik jika si mati tidak meninggalkan wasiat. Executor pula dilantik jika si mati ada wasiat.

Peranan kedua-duanya sama, iaitu untuk mengurus dan membahagikan harta pusaka si mati mengikut faraid, wasiat atau instrumen perancangan harta pusaka yang dibuat si mati.

Jika orang yang tidak amanah dilantik menjadi administrator atau executor, besar kemungkinan pembahagian harta pusaka tersebut akan diuruskan tanpa mengambil kira kepentingan dan kebajikan waris-waris lain.

Dalam kes ini, jika Harun dilantik menjadi administrator harta pusaka Hashim, mungkinkah kebajikan Marfuah diambil kira oleh Harun?

Bagi mengelakkan hal ini daripada terjadi, mungkin Hashim semasa hidupnya boleh membuat wasiat dan melantik Marfuah atau orang yang dipercayainya menjadi executor.

Orang yang dinamakan sebagai executor dalam wasiat selalunya dilantik mahkamah secara automatik untuk menjadi pengurus dan pengamanah harta pusaka si mati.

Selain daripada itu, bagi menjaga kebajikan isteri setelah ketiadaannya, Hashim mungkin dapat membuat nuzriah atau hibah ruqba untuk rumah yang dimiliki secara joint-tenancy itu bagi memberikan hak miliknya kepada isterinya setelah kematiannya.

Mengikut fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dengan cara ini hak milik rumah tersebut akan berpindah kepada Marfuah mengikut prinsip joint-tenancy dan syarak.
Niat Hashim untuk memberikan hak miliknya kepada isterinya dapat dinyatakan dengan jelas dalam instrumen nuzriah atau hibah ruqba itu, dan tidak boleh dipertikaikan lagi oleh Harun.

Dengan cara membuat perancangan harta pusaka seperti ini, sekurang-kurangnya Hashim dapat memberikan rumah serta sebahagian daripada harta pusakanya kepada isterinya.

Memandangkan keadaan perumahan yang agak unik di negara kita ini, penting bagi para suami memastikan kepentingan dan kebajikan isteri dan anak-anak mereka dari aspek perumahan tetap terjaga, dan tidak menyebabkan isteri dan anak-anak merempat akibat kurang perancangan daripadanya.

Wallahuaklam.

Nota: Penulis ialah ketua pegawai eksekutif Barakah Capital Planners, sebuah syarikat yang memberi khidmat penyediaan wasiat, nuzriah dan hibah ruqba serta perancangan dan pembahagian harta pusaka.

Beliau boleh dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 9185-2559 atau dengan melungsuri laman http://www.barakahcapital.com.sg/.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175707,00.html?

Melayari kerjaya di lautan luas (BH, 03.11.10)

BERHASRAT JADI KAPTEN: Pegawai kedua di kapal Asean Cableship, Cik Lina Soho, mengatasi pelbagai cabaran, termasuk harus mengimbangi masa tugas dan menulis tesis di atas kapal, untuk meraih ijazah Sarjana Muda dalam Operasi Kelautan. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Nur' Adilah Mahbob

KERJAYA sebagai kelasi mungkin tidak digemari ramai anak muda Singapura hari ini.

Namun, bagi Cik Lina Soho, 28 tahun, beliau melihat peluang pekerjaan dalam bidang tersebut bak hamparan lautan terbentang luas.

'Saya yakin bidang ini dapat menawarkan peluang pekerjaan yang baik bukan sahaja di Singapura malah di seluruh dunia,' kata Cik Lina, pegawai kedua di Asean Cableship Pte Ltd, ketika ditemu ramah Berita Harian di kapal Asean Restorer, baru-baru ini.

Kini, lebih banyak peluang mungkin terbuka kepadanya kerana Cik Lina telah berjaya meraih ijazah Sarjana Muda dalam Operasi Laut dari Akademi Kelautan Singapura (SMA) di Politeknik Singapura (SP), Jumaat lalu.

Sebelum ini, beliau telah meraih diploma dalam pengajian nautika dari SP pada 2002.
Namun, 'pelayarannya' bagi menggenggam ijazah dalam tangan perlu menghadapi 'badai'.

Pada peringkat pertama dan kedua kursus tersebut, Cik Lina menghadiri pengajian tiga bulan di SMA, diikuti tiga bulan pula di Maritime Institute Willem Barentsz, pada 2006.

Beliau mengimbas pengalaman menyambut Ramadan dan Aidilfitri di rantauan, seorang diri tanpa keluarga.

'Kampus kami terletak di sebuah pulau yang terpencil dan tiada masjid atau sesiapa pun yang boleh bersama rayakan.

'Ia satu pengalaman yang penuh emosi buat saya,' kata Cik Lina, yang belum berumah tangga.

Pada 2007, Cik Lina ditawarkan bekerja di Asean Cableship dan mendapati dirinya harus mengimbangi masa kerja dan menulis tesis bagi peringkat akhir kursus sarjana muda itu, lantas bercadang menunda ke tahun lalu.

'Kami bekerja tujuh hari seminggu. Jadi, saya harus mencari masa lapang dan korbankan masa rehat menulis tesis.

'Bukan mudah, terutama sekali apabila lautan bergelora, saya tidak dapat beri perhatian sepenuhnya kepada penulisan tesis,' ujar Cik Lina.

Namun, beliau tidak mudah menyerah diri dan meneruskan perjuangannya.

Tesis beliau meneliti kaitan perhubungan wayarles dengan operasi meletakkan dan memperbaiki kabel di dasar laut, yang dikendalikan kapal syarikat Asean Cableship.

'Ayah saya selalu mendorong kami berdikari, bahawa kaum wanita juga boleh lakukan apa yang dilakukan kaum lelaki dalam hampir semua kerjaya.

'Itu yang membuat saya ingin tahu tentang 'kerjaya orang lelaki' dan merangsang saya merantau dan mula belayar sejak usia 18 tahun,' ujar anak kedua dalam keluarga dua beradik perempuan itu.

Cik Lina merupakan salah seorang daripada hanya dua orang wanita daripada sekitar 50 anak kapal Asean Restorer.

'Kadang-kadang rasa sunyi juga. Tetapi saya isikan masa lapang dengan membaca atau membuat yoga di kabin,' katanya.

Cik Lina, yang kini hanya dua pangkat di bawah kapten, berura-ura mengambil lesen 'Master Mariner' bagi melayakkan dirinya menjadi kapten.

'Saya juga miliki impian mendirikan rumah tangga satu hari nanti. Walaupun saya tidak akan menjadi pelaut seumur hidup, saya ingin terus bekerja dalam industri ini,' ujar Cik Lina.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,175668,00.html?

Sunday, October 31, 2010

Burung garuda hikmat (BH, 01.11.10)

Khidmat unggas banyak terdapat dalam hikayat lama sejarah raja-raja Melayu

Oleh Noor Hasnah Adam

UNGGAS atau burung merupakan haiwan yang sering diperkatakan dalam sastera sejarah atau dongeng-dongeng Melayu.

Pelbagai jenis burung mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Dalam sastera Melayu lama, terdapat seekor burung yang dipercayai merupakan burung gergasi dan mempunyai kuasa hikmat.

Burung garuda dikatakan berbentuk sebahagian manusia dan sebahagian burung. Ada kepercayaan yang mengatakan burung garuda merupakan salah satu dewa Hindu.

Hikayat Merong Mahawangsa atau 'Sejarah Kedah' banyak melibatkan burung dalam penceritaannya.

Hikayat ini dimulai dengan taufan yang membubarkan angkatan laut yang mengiring anak Raja Rom dalam pelayarannya ke Benua China gara-gara seekor burung garuda.

Burung garuda ini kononnya duduk bersendirian di Pulau Langkawi selepas peperangan Pyrhic antara Sri Rama Vishnu dengan Hanuman (dewa Monyet) yang telah membinasakan pulau itu.

Pada suatu hari datanglah seekor burung rajawali (kingfisher) berjumpa burung garuda itu dan menyampaikan berita bahawa anak Raja Rom sedang bersiap hendak berangkat ke Benua China kerana Raja Rom akan berkahwin dengan seorang puteri Raja China. Rajawali mendapat berita itu daripada seekor burung kakak tua (parrot) yang menyatakan juga angkatan Raja Rom sangat besar.

Apabila burung garuda mendengar berita itu, garuda berazam hendak menghalang perkahwinan itu daripada terjadi. Sebelum garuda berbuat demikian, garuda pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman terlebih dahulu.

Burung garuda memaklumkan kepada baginda Nabi Sulaiman bahawa perkahwinan itu tidak harus terjadi kerana kedua-dua anak Raja itu tinggal berjauhan.

Nabi Allah Sulaiman bersabda jika sudah ada jodoh pertemuan di antara kedua-duanya, tiada sesiapa dalam dunia ini berkuasa boleh menahannya.

Burung garuda itu dengan bongkaknya menjawab bahawa dia boleh menahan perkahwinan itu daripada berlaku. Jika tidak berjaya, garuda akan berundur dari dunia ini.

Burung garuda itu pun bermohon pergi lalu terbang ke Benua China dan berjanji akan balik menghadap Nabi Sulaiman untuk menceritakan kesudahannya.

Sesampainya di benua China, garuda pun menyambar Puteri Raja China itu dengan kukunya bersama dengan dayang dan kundangnya (budak suruhan) lalu diterbangkan ke Pulau Langkawi.

Di Langkawi, puteri dengan dayang dan kundangnya diletakkan dalam sebuah mahligai.

Sementara itu, angkatan laut anak Raja Rom pun berlayar di bawah perintah Raja Merong Mahawangsa. Ayah Merong Mahawangsa ini ialah keturunan indera-indera dan bondanya berasal dari dewa-dewa raksasa. Mengikut kepercayaan Hindu, indera merupakan golongan dewa yang memerintah angkasa kayangan.

Selepas angkatan laut itu bertolak, garuda itu pun datang menyerang. Setiap kali garuda cuba hendak membinasakan kapal-kapal angkatan itu, Merong Mahawangsa menukar anak panahnya menjadi jentayu untuk menangkisnya. Jentayu merupakan sejenis burung seperti garuda juga. Burung ini mempunyai sifat suka berseru meminta hujan.

Sewaktu kapal Merong Mahawangsa singgah di sebuah pulau kerana hendak mengambil bekalan air dan terpaksa berpisah dengan kapal-kapal yang lain, burung garuda telah berjaya menyempurnakan cita-citanya. Garuda telah menenggelamkan kesemua kapal.

Burung garuda itu menyangka bahawa anak Raja Rom telah mati lemas tetapi sebenarnya anak Raja itu dapat menyelamatkan dirinya dengan bergantung pada sekeping papan lalu hanyut dibawa arus ke pantai Pulau Langkawi.

Di pulau itu, anak Raja Rom telah berjumpa dengan dayang dan kundang Puteri Raja China itu dan dibawa menghadap Puteri Raja China. Burung garuda itu tidak tahu tentang hal ini kerana dirahsiakan. Anak Raja Rom itu bersembunyi di dalam sebuah gua.

Setelah yakin bahawa anak Raja Rom itu telah terkorban, burung garuda pun terbang pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman untuk memaklumkan sembah dengan takburnya mengatakan bahawa dia telah menangkap Puteri Raja China, dayang dan kundangnya dan telah memusnahkan angkatan laut Raja Rom serta membunuh anak Raja Rom.

Apabila Nabi Allah Sulaiman mendengar percakapan takbur burung garuda itu, Nabi Sulaiman pun menitahkan Raja Jin yang bernama Harman Shah, menghantarkan wazirnya (menteri) dengan seratus orang jin membawa Puteri Raja Cina dan anak Raja Rom serta dayang dan kundang masuk menghadap. Wazir itu pun menyembah dan membawa balik keempat-empat orang itu.

Disebabkan malu di atas kegagalannya menahan perkahwinan itu, burung garuda pun terbang berundur dari dunia membuang diri seperti mana yang telah dia janjikan.

Nabi Allah Sulaiman pun memerintahkan Harman Shah membawa kedua-dua putera dan puteri ke Benua China dan dikahwinkan mengikut adat istiadat anak raja-raja.

Raja Merong Mahawangsa, yang menyangka anak Raja Rom itu telah hilang, belayar masuk ke Kuala Merbok dan menurut sejarah Kedah, ia telah dilantik menjadi Raja Kedah yang pertama.

Setiap hikayat Melayu perlu direnungkan secara mendalam dan tidak boleh dinilai secara tersurat. Penggunaan burung-burung dalam dongeng atau Hikayat Kedah ini mungkin terjadi untuk mengaitkan kisah-kisah sejarah Islam yang banyak juga menceritakan perihal burung.

Penggunaan burung-burung dan watak Nabi dalam hikayat ini mungkin untuk menguatkan kepercayaan masyarakat zaman itu tentang tingginya darjat raja mereka. Mungkin juga, pencerita Melayu yang bijaksana menggunakan burung-burung sebagai simbol kuasa dan sindiran terhadap perlakuan manusia.

Falsafah Melayu turut terlihat kerana burung dianggap sebagai haiwan yang dapat menghubungkan kuasa di langit dan di bumi, antara dunia nyata dan dunia misteri.

Dalam pepatah peribahasa Melayu turut menggunakan berbagai jenis burung sebagai perumpamaan dan nasihat kepada masyarakat.

Burung terbang dipipiskan lada bermaksud, belum tentu lagi memperolehi sesuatu tetapi sudah direka-reka akan gunanya.

Kuat burung kerana sayap bermaksud setiap orang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Ibarat burung, mulut manis jangan dipakai membawa maksud kata-kata yang manis-manis selalunya mengandungi semu atau hanya berpura-pura. Membadai burung atas langit, merendah diharap jangan pula membawa maksud janganlah kita terlalu mengharapkan sesuatu yang sukar untuk mendapatkannya.

Dengarkan cerita burung, anak di pangku dilepaskan bermaksud meninggalkan urusan sendiri untuk menyelesaikan urusan orang lain.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175598,00.html?

Friday, October 29, 2010

Aktivis wadah pemikiran kritikal (BH, 29.10.10)

Oleh Nadzri Eunos

HANYA dua tahun lalu penulisan dalam bahasa Melayu yang mampu dihasilkan oleh Cik Nurul Fasha Samsudin dan temannya Nur Hafizah Mohd Rashid terhad kepada karangan di bilik darjah dan berjinak-jinak dengan sajak dan penulisan kesusasteraan lain.

Pada masa itu tidak terlintas di hati kededua gadis berusia 19 tahun itu bahawa penulisan mereka boleh dijadikan sebuah alat kritikal yang mampu mengupas isu-isu yang merundung masyarakat Melayu setempat.

Namun, itulah kebolehan yang diraih Cik Fasha dan Cik Hafizah selepas mengikuti kursus Program Latihan Khas (Bahasa Ibunda) (STP) di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang selama dua tahun.

Di sana, mereka dilatih dalam penulisan akademik sebagai sebahagian daripada latihan mingguan.

Kini, kedua-duanya mampu menghasilkan penulisan akademik yang kritikal lagi mendalam, sekali gus membawa kesimpulan yang mudah dihadam pembaca.

Ketika ditemui baru -baru ini, kedua-dua guru pelatih bahasa Melayu itu akur kagum terhadap anjakan kemahiran yang diperoleh sejak mengikuti kursus STP pada 2008.

Kata Cik Fasha: 'Pada mulanya saya rancang lanjutkan pelajaran ke maktab rendah atau politeknik, tetapi selepas terbaca mengenai program STP, saya langsung sertai kerana tawarannya yang menarik.'

Bagi Cik Hafizah pula kecenderungannya dalam bahasa Melayu sejak di bangku sekolah menjadi pendorong utama.

'Kekuatan saya memang dalam bahasa Melayu. Apabila program ini ditawarkan, cikgu saya yang sarankan saya ikutinya,' katanya.

Menurut kedua-duanya, kursus STP mengajak mereka membincangkan isu-isu yang hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat.

'Kami diajak berbincang secara kritikal dan mengupas dalam kelas sebagai tugasan mingguan. Lama-kelamaan proses berfikir secara krikal sudah menjadi satu kebiasaan,' kata Cik Hafizah menguntum senyum.

Kelaziman ini, menurut Cik Fasha, ada kesan sampingannya.

'Yang paling ketara saya dapati saya macam dah tak sealiran dengan teman-teman sebaya saya yang lain. Sedang mereka masih lagi disibukkan dengan perkara-perkara kehidupan harian, fikiran saya sering menjurus kepada isu-isu lebih besar yang menjejas masyarakat,' ujar Cik Fasha.

Penulisan kritikal Cik Fasha dan Cik Hafizah, yang rata-rata mendapat gred A, mendapat pengiktirafan apabila ia terpilih untuk diterbitkan dalam edisi ke-10 jurnal separa akademik Aktivis, baru-baru ini.

Jurnal akademik berkala itu diterbitkan oleh Persatuan Budaya Melayu Program Latihan Khas (Bahasa Ibunda), NIE dan ditaja oleh Angkatan Sasterawan '50 (Asas 50).
Difahamkan, ia merupakan jurnal paling lama diterbitkan di Singapura.

Cik Fasha dan Cik Hafizah telah terlibat dalam penerbitan dua edisi jurnal tersebut.

Dalam edisi ke-10, Cik Fasha menyumbangkan sebuah artikel bertajuk Strategi Perguruan Di Sebalik Permainan Catur.

Cik Hafizah lebih prolifik dengan sumbangan enam artikel antaranya Agama Mangkin Vaksin Progresiviti Bangsa dan Sajak Saksi Tenggelamnya Melayu Kota Singa.

Bagi kedua-duanya kehadiran jurnal Aktivis amat penting sebagai wadah merangsang penulisan kritikal dalam kalangan guru-guru pelatih NIE yang bakal menjadi pentarbiah generasi muda yang akan datang.

Malah, bagi Cik Fasha, ia telah pun membuka laluan baginya berkembang menjangkau media silang bahasa.

'Penglibatan saya menulis dan menyunting artikel-artikel untuk Aktivis telah membantu saya dipilih sebagai editor majalah NIE,' dedah beliau.

Bagi Cik Hafizah, kemampuan berfikiran kritikal akan dibawanya ke bilik darjah.

Katanya: 'Pada masa yang sama kami ingin membuktikan salah tanggapan atau stereotaip guru bahasa Melayu dan buktikan kami juga mampu berfikiran kritikal dan mengupas isu-isu yang dekat di hati masyarakat.'

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175397,00.html?

Sunday, October 17, 2010

Kesihatan kurang baik tapi kekal bekerja berkat sokongan kesatuan (BH, 18.10.10)

OLEH kerana menghidap penyakit kencing manis sejak berusia 21 tahun, kaki kanan Cik Riaz Bebe Baharom terpaksa dipotong tiga tahun lalu.

Setahun kemudian, beliau menghidap penyakit ginjal pula dan kini perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu.

Namun, Cik Riaz, 37 tahun, tidak patah semangat dan berpeluk tubuh atau sekadar mengharapkan bantuan orang lain sahaja.

Sebaliknya, beliau terus bekerja sebagai operator telefon di Hotel Furama City Centre, tugas yang dijawatnya sejak 16 tahun lalu.

Cik Riaz berkata beliau dapat mengekalkan kerjanya begitu lama walaupun dengan keadaan kesihatan tidak begitu baik atas bantuan Kesatuan Pekerja Makanan, Minuman dan Bersekutu (FDAWU).

'Saya dapat kekalkan kerja saya kerana FDAWU banyak bantu saya berbincang dengan pihak pengurusan di hotel tempat saya bekerja tentang keadaan saya dan bagaimana saya boleh terus bekerja di situ,' ujar ibu seorang anak lelaki, Muhammed Azri Huzaimi, 12 tahun.

Katanya, sebahagian besar daripada gaji $1,600 yang diterimanya digunakan untuk membayar belanja perubatannya.

'Lebihnya saya gunakan untuk bayar bil, duit keperluan sekolah anak dan belanja dapur. Nasib baik FDAWU banyak juga berikan bantuan seperti baucar pasar raya dan baucar untuk beli buku sekolah,' ujarnya.

Baru-baru ini, Cik Riaz, yang telah menjadi anggota FDAWU sejak 1994, sekali lagi mendapat bantuan daripada FDAWU apabila beliau menerima beg berisi barangan keperluan bernilai $50 dalam acara 'Hadiah daripada Hati'.

Acara di Downtown East itu dianjurkan bersama FDAWU dan Kesatuan Pekerja Industri Kimia (CIEU). Ia merupakan kali keempat acara itu diadakan.

Tahun ini, barang makanan dan keperluan harian bernilai $100,000 telah diagihkan kepada seramai 2,000 anggota kesatuan bergaji rendah.

Mereka menerima beg barangan berisi beras, gula, minyak masak dan serbuk pencuci.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174522-1287179940,00.html?

Thursday, October 14, 2010

Pelajar cemerlang terima Biasiswa Nanyang (15.10.10)

Oleh Linilidia Abdul Hamid

KETIKA usianya 12 tahun, ibu bapa Cik Noor Hiqmah Syed Abdul Rahim Syah memutuskan untuk bercerai.

Pada masa itu, Cik Noor Hiqmah bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Namun, beliau tidak membiarkan dugaan yang melanda keluarganya menghambatnya daripada mencapai kejayaan.

Sebaliknya, beliau membulatkan tekad akan belajar bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam pelajaran.

Baru-baru ini, usaha gigihnya mendapat pengiktirafan apabila beliau terpilih sebagai antara penerima Biasiswa Nanyang daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Mengimbas kembali detik-detik pahit yang dialaminya sekitar lapan tahun lalu itu, Cik Noor Hiqmah berkata beliau sedar ada sesetengah remaja akan memberontak dengan tidak belajar bersungguh-sungguh atau tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran apabila berdepan dengan keadaan tersebut.

Namun, katanya, beliau berasakan itu bukan alasan untuk gagal.

'Pilihan terletak di tangan pelajar itu sendiri, sama ada ingin kalah dengan keadaan dan abaikan pelajaran, atau pilih mahu berjaya. Saya pilih mahu berjaya,' ujar pelajar tahun pertama kursus ijazah berganda, Perniagaan dan Perakaunan, itu.

Tambahnya, mengecap kejayaan dalam pelajaran adalah satu-satunya cara untuk beliau membalas jasa bukan sahaja ibunya, malah abang dan kakaknya.

'Mereka semua telah berkorban untuk saya. Saya tidak punya harta atau cara lain untuk membalas jasa mereka, selain berjaya dalam pelajaran,' ujar anak bongsu tiga beradik itu.

Cik Noor Hiqmah merupakan antara 133 pelajar yang menerima Biasiswa Nanyang daripada NTU.

Menurut NTU, tahun ini jumlah biasiswa yang diberikan merupakan yang terbanyak berbanding tahun-tahun sudah.

Tahun lalu, 112 Biasiswa Nanyang diberikan.

Selain Cik Noor Hiqmah, seorang lagi mahasiswa Melayu, Encik Syafiq Hazman Zakariah, 21 tahun, juga menerima Biasiswa Nanyang.

Encik Syafiq juga mengambil kursus ijazah berganda - Kejuruteraan Aeroangkasa dan Ekonomi.

Daripada 133 penerima Biasiswa Nanyang itu, 15 pelajar dipilih bagi Anugerah CN Yang.

Anugerah CN Yang diberi kepada pelajar cemerlang yang mempunyai minat mendalam bagi bidang sains dan kejuruteraan.

Encik Omar Faruq Idris, 21 tahun, merupakan antara penerima anugerah itu. Beliau kini mengikuti pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

Sebagai penerima Biasiswa Nanyang, ketiga-tiga mahasiswa menerima sehingga $10,250 setahun bagi melunaskan yuran tuisyen dan elaun lain.

Jumlah itu termasuk elaun tempat tinggal sehingga $2,000 setahun yang diberikan buat kali pertama.

Semasa berucap di majlis penyampaian biasiswa, Dekan Penerimaan Masuk NTU, Profesor Lalit Goel, berkata elaun itu membolehkan mahasiswa tinggal di asrama NTU dan menikmati sepenuhnya kehidupan di kampus.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174521,00.html?

Cikgu Naim bersara selepas 43 tahun berbakti (BH, 15.10.10)

JASA DIHARGAI: Encik Masagos (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Cikgu Mohd Naim dengan disaksikan (dari kiri) Encik Wan Imran Woojdy, Encik Abdul Malek Ahmad, Encik Mohammad Thahirrudin S. Kadarisman, Encik Yatiman dan Encik Esfan Rizal Rahwom. -- Foto TUNI SHARIFF

Oleh Azahar Mohd

SELEPAS berbakti lebih 43 tahun dalam bidang pendidikan, guru pakar Melayu pertama, Encik Mohd Naim Daipi, 61 tahun, bersara bulan lalu.

'Saya sering ditanya guru-guru muda bagaimana saya dapat bertahan selama lebih 43 tahun?

'Jawapan saya hanya dua. Pertama, anda sentiasa berfikiran baru. Bagi guru berpengalaman, saya mudah mengajar tanpa membuat sebarang persediaan.

'Namun setiap tahun saya akan berdepan dengan orang-orang baru, pelajar baru dan situasi yang juga baru.

'Lantas saya perlu memastikan bahan-bahan yang perlu diajar baru, pelan pembelajarannya baru kerana latar belakang mereka (pelajar) juga baru.

'Kedua, jadikan tugas yang anda lakukan suatu keseronokan. Sekiranya anda seronok melakukan tugas, anda akan berusaha lebih gigih menjalankan tugas itu, termasuk merangsang minda anak-anak muda,' kata Encik Mohd Naim.

Beliau berkata demikian semasa dirai oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Restoran Kintamani di Hotel Furama RiverFront, kelmarin.

Turut hadir ialah mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Penerangan, Perhubungan dan Kesenian), Encik Yatiman Yusof, yang kini Duta Besar Singapura ke Rwanda dan Kenya, dan wakil Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS).

Encik Mohd Naim lepasan sekolah menengah dan Maktab Perguruan Singapura di Paterson Road.

Beliau pernah mengajar di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan menjawat jawatan penulis di Institut Perkembangan Kurikulum (MOE).

Jawatan terakhirnya ialah Guru Pakar Kelompok Timur.

Beliau juga aktif dalam dunia persuratan dan pernah menyumbang dalam bidang cerpen, puisi dan esei sastera.

Encik Mohd Naim merancang berehat selama tiga bulan sebelum menimbangkan pelbagai lamaran yang diterima sejauh ini, termasuk menyediakan khidmat perunding cara kepada Kementerian Pendidikan (MOE).

Beliau juga merancang menerbitkan empat buku, termasuk sebuah yang berjudul 100 Hari Selepas Bersara, dan menyiapkan kit permainan bahasa bagi dimanfaatkan pelajar setempat.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174517,00.html?

Tuesday, October 12, 2010

Po'ad Mattar wajar ditimbang jadi calon Presiden

SAYA merujuk laporan tentang Encik Po'ad Mattar yang menerima Anugerah Jasa Cemerlang Muis, daripada Presiden S R Nathan (BM, 10 Oktober).

Membaca jasa baik dan sumbangan Encik Po'ad dan melihat gambarnya berdamping bersebelahan Presiden Nathan, tergerak hati saya untuk mengesyorkan agar beliau ditimbang sebagai antara calon yang boleh menggantikan Presiden S R Nathan dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Tentunya lebih baik jika calon untuk mengganti Presiden Nathan nanti datang daripada kaum Melayu kita.

Bukan sahaja orang Melayu merupakan bumiputera dalam perlembagaan negara, malah presiden pertama dan akhir seorang Melayu adalah kira-kira 40 tahun lalu iaitu 1965-1970 apabila Encik Yusof Ishak menerajui peranan tersebut.

Lagipun, sehingga kini, semua kaum telah pun diwakili untuk menjadi Presiden Singapura.

Namun, perlembagaan Singapura tidak mensyaratkan pemegang jawatan tertinggi negara ini mestilah orang Melayu dan mendapatkan seorang tokoh Melayu yang kelayakan dan ketokohannya boleh kita ketengahkan sebagai calon nampaknya sukar sekali.

Terfikir saya akan Pak Ridzwan Dzafir kerana pengalaman dan penglibatan beliau di peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi beliau kini uzur dan tidak setangkas dahulu.

Siapakah yang patut mengganti Presiden Nathan kelak? Sebagaimana maklum, Allahyarham Yusof Ishak digantikan oleh Presiden Benjamin Sheares, daripada keturunan Serani (1971-1981); disusuli Presiden Devan Nair (India: 1981- 1985); Presiden Wee Kim Wee (Cina Baba: 1985-1993); Presiden Ong Teng Cheong (Cina: 1993-1999); dan akhirnya Presiden S R Nathan (India: 1999-2005), yang kemudian dipilih untuk penggal kali kedua mulai 2005 dan akan tamat tempohnya pada 2011.

Maka mungkinkah nama Encik Po'ad Shaik Abu Bakar Mattar turut sama diajukan sebagai calon?

Walaupun usianya agak muda bagi jawatan ini (62 tahun), beliau mempunyai beberapa kelayakan dan pengalaman yang sesuai bagi jawatan penting ini.

Ini termasuk latar belakangnya membantu usaha-usaha kemasyarakatan dan agama, kerjayanya sebagai seorang akauntan dan Rakan Kanan Kongsi di syarikat besar antarabangsa Deloitte & Touche, anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) dan anggota Majlis Penasihat Presiden (CPA).

Selain kelayakan dan pengalaman tersebut, memilih seorang wakil daripada kaum Arab akan bererti semua kaum diberi peluang menerajui amanah penting kepimpinan negara ini.

Namun, sama ada Encik Po'ad Mattar (atau tokoh lain yang setaraf) dicalonkan atau tidak, tidaklah sepenting daripada memastikan sebarang calon Melayu yang diketengahkan benar-benar merupakan tokoh yang dihormati rakyat Singapura secara amnya dan direstui masyarakat Melayu khasnya.

Apalah gunanya kita mendesak dipilih seorang Melayu yang kelayakan dan kewibawaannya tidak begitu terserlah, hanya kerana mahu melihat seorang Melayu memegang jawatan ini? Nanti yang kita dapat tidak lain hanya simbol sahaja.

Profesor Madya Hussin Mutalib


http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,174419,00.html?

Terhutang budi pada Orang Laut (BH, 13.10.10)

Oleh M. Effendy A. Hamid

PERANAN golongan suku kaum Melayu yang kecil seperti Bajau dan Orang Laut sebenarnya besar dalam sejarah.

Itulah garapan saya selepas meneliti kisah Orang Bajau, suku kaum perantau dan pedagang laut di antara perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Orang Laut memang disebut dalam Sejarah Melayu. Suku kaum ini berbakti kepada sultan atau raja Melayu dengan melindungi jalan laut.

Saya teringat suatu perbincangan tentang Sejarah Melayu dan Orang Laut dalam satu pertemuan tidak lama dulu.

Saya sendiri menimbulkan kedudukan mereka yang penting tetapi kurang dicatat apatah lagi diperkatakan.

Pada 1819, menurut catatan British, Singapura digambarkan sebagai sebuah kampung nelayan. Ertinya, Singapura sebelum 1819 tidak begitu penting. Padahal ini bukan hakikatnya.

Kajian arkeologi (penggalian) oleh sejarawan Universiti Nasional Singapura, Dr John Miksic, telah mendedahkan peranan Singapura yang penting sepanjang abad ke-14.

Ertinya, dasar kewujudan Singapura sebagai pelabuhan perdagangan telah lama ada sejak zaman bahari. Bahkan, Thomas Stamford Raffles menyedari hal ini ketika berkunjung ke Singapura pada 1819 untuk membangunkannya semula sebagai pelabuhan entrepot.

Dr Leonard Andaya, yang kebetulan penyelia kajian kesarjanaan saya, telah menulis buku yang kini dianggap adikarya iaitu Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (University of Hawaii Press, 2008).

Dalam bab keenam bukunya, Dr Andaya menyelongkar peranan Orang Laut yang amat penting dalam pembentukan kerajaan-kerajaan Melayu (diejanya Malayu dan bukan Malays).

Orang Laut dianggap penting sehingga diberi darjat kehormatan oleh raja-raja Melayu.

Mereka mengawal jalan laut dan sekali gus memastikan keamanan yang penting bagi perdagangan antarabangsa.

Orang Laut memang arif laut - dari segi musim, ombak, makanan laut seperti ikan sehinggalah mutiara yang diperlukan untuk pasaran China.

Namun, sumbangan terbesar mereka yang diakui raja Melayu ialah memelihara laluan laut termasuk 'memujuk' kapal dagang agar singgah di pelabuhan, kata Dr Andaya.

Sayangnya, bakti Orang Laut berkurangan selepas perubahan besar dalam perkembangan ekonomi Melayu daripada bergantung pada laut kepada pertanian dan perlombongan mulai akhir abad ke-19 Masihi.

Hakikatnya, kurang kajian mengenai Orang Laut dari segi sejarah, kebudayaan dan pemikiran mereka.

Kehadiran mereka mengawali kerajaan pesisir di Selat Melaka termasuk Kesultanan Melaka.

Memandangkan cara hidup mereka yang 'menyendiri' dan hanya sekali-sekala menemui masyarakat terbanyak, kita perlu mengupas tanggapan mereka mengenai, misalnya:

pembangunan bahasa Melayu dan budaya di Malaysia dan Singapura;

kesan pada diri mereka sejak perpisahan Singapura dari Malaysia;

kedatangan British dan pertumbuhan Singapura sebagai pusat perdagangan penting;

peranan orang Cina dalam sejarah Asia Tenggara - bagaimanakah Orang Laut menanggapi masyarakat Cina?

kesan Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara;

bagaimanakah Orang Laut menyesuaikan diri dengan transformasi Asia Tenggara yang sedang berlaku kini;

apakah perspektif Orang Laut tentang proses-proses ini?

Saya pernah membaca makalah dari The Straits Times, 25 Disember 1949, mengenai Orang Laut Singapura di selatan Johor.

Ketua Orang Laut bergelar 'batin' atau 'tok batin'. Ketika itu, terdapat dua suku Orang Laut di Singapura, iaitu Orang Kalang dan Orang Selat.

Orang Kalang datang dari Riau dan menetap di Pulau Kalang, tetapi mereka harus berpindah ketika lapangan terbang dibina pada masa itu.

Banyak Orang Kalang menetap di Pasir Panjang. Orang Kalang dibahagi dua, iaitu Orang Kopek dan Orang Senggera.

Wanita suku Kopek menjadi ibu susuan (wet nurse) kerabat Sultan Singapura. Hal ini mengingatkan kita kisah wanita kaum Badwi yang menjadi ibu susuan kepada anak-anak di Makkah, termasuk Nabi Muhammad saw.

Orang Senggera pula menjadi pengikut Sultan Hussin Shah Singapura, termasuk sebagai pemain muzik pesta keramaian diraja.

Orang Selat (atau Orang Singapura) menjadi pengikut Temenggong Abdul Rahman dan tinggal di perahu-perahu mereka di muara sungai Singapura. Mereka mengakui diri mereka sebagai suku yang memandu bot Raffles mendarat di tebing Sungai Singapura.

Gambaran tentang kegiatan ekonomi Orang Kalang memang menarik. Mereka berjualan daun nipah muda untuk membuat kertas rokok. Mereka mengumpulkan nipah tersebut di Kepulauan Riau dengan berperahu layar kecil yang disebut 'perahu.pucuk'.

Walaupun Orang Laut dikatakan tidak terpelajar atau dikatakan menjauhi kemajuan, hal ini tidak benar. Ada yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, gigih dan sangat memelihara maruah dan berbangga dengan asal mereka sebagai 'Orang Asli Singapura' seperti mantan menteri kabinet, Haji Othman Wok.

Kini dengan Singapura menerima banyak orang asing untuk bekerja dan bermastautin di sini, apakah yang terjadi pada penakatan 'Orang Asli Singapura'?

Hal ini bukan sekadar pertimbangan sejarah, bahkan jati diri Singapura. Wajar kita mengkaji hal ini sebelum kisah Orang Laut tidak lagi diketahui dan suku kaum ini pupus dek masa.


http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,174425,00.html?

Jampi serapah lebih murah (BH, 13.10.10)

Rawatan daripada bomoh lebih disenangi berbanding doktor

Oleh Zulkiple Ibrahim

KENAPA masih ada orang di Malaysia yang lebih gemar mendapatkan rawatan bomoh bagi penyakit atau masalah kesihatan yang mereka alami berbanding mendapatkan khidmat profesional di hospital?

Penulis masih ingat satu episod pada 1974 apabila sepupunya, Halimah (bukan nama sebenar), mengadu berasa kebas di lengan kiri beliau yang kemudiannya merebak ke seluruh tangan itu sehingga menyebabkan tangan itu lumpuh.

Halimah, yang sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya pergi berjumpa bomoh yang mengatakan masalah itu disebabkan gangguan makhluk halus.
Bomoh itu kemudian membekalkannya dengan 'air jampi' dan ubatan.

Beberapa bulan selepas berjumpa bomoh itu, Halimah sakit teruk dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Doktor kemudian memberitahu anggota keluarganya bahawa Halimah menghidap barah buah dada pada peringkat lanjut.

Tidak lama kemudian, Halimah meninggal dunia.

Pada 2004 seorang lagi anggota keluarga penulis, Mohamaad, mengadu sakit dada dan sukar bernafas.

Beliau dikejarkan ke Pusat Pakar di Damansara dan kemudian dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur tempat beliau menjalani pemeriksaan 'angiogram'.

Mohamaad kemudian diberitahu doktor tentang tiga arteri koronari di jantung beliau tersumbat dan beliau perlu menjalani pembedahan pintasan koronari.

Tetapi kerana takut menjalani pembedahan, Mohamaad lebih rela mendapatkan rawatan tradisional. Pada tahun yang sama, beliau meninggal dunia selepas satu 'serangan jantung'.

Kenapa?

Walaupun mengetahui implikasi perkara itu, masih ada yang lebih rela berjumpa bomoh bagi menyelesaikan masalah perubatan yang mereka alami daripada mendapatkan rawatan profesional di hospital.

Pesakit itu termasuk mereka yang berpelajaran tinggi.

Dr Florence Lim, seorang pakar perubatan di hospital awam di Malaysia, menghuraikan beberapa faktor mengenai isu itu.

'Ada yang lebih suka jumpa bomoh kerana rawatan yang disediakan bomoh lebih murah daripada kos rawatan di hospital.

'Contohnya bagi kes barah, rawatannya memerlukan kemoterapi, radioterapi dan juga pembedahan dan itu memerlukan perbelanjaan besar.

'Jadi, mereka yang tidak mampu akan mencari rawatan yang kosnya adalah lebih rendah, seperti mendapatkan rawatan tradisional,' kata beliau.

Menurut Dr Lim lagi, ada juga pesakit yang tidak suka kesesakan di institusi kesihatan awam, terutama di hospital kerajaan.

'Sudah tentu apabila pesakit datang ke hospital dan mengadu mereka mengalami sesuatu masalah yang mencurigakan, mereka akan dikehendaki menjalani prosedur pemeriksaan lengkap selain daripada beberapa ujian yang diperlukan.

'Pada rutinnya, pesakit akan diperiksa dahulu oleh pegawai perubatan di klinik sebelum dirujuk kepada pensyarah, pakar atau konsultan.

'Ujian seperti profil darah dan juga air kencing perlu dilakukan. Begitu juga dengan pemeriksaan radiograf (sinar-x dan juga pemeriksaan imbasan) perlu dijalankan bagi membantu doktor mengenal pasti penyakit yang dialami. Tetapi ada pesakit yang tidak suka diminta pergi atau dirujuk dari satu jabatan ke jabatan yang lain.

'Bagaimanapun, ujian-ujian itu penting dan diperlukan untuk mengetahui sebab sebenar penyakit yang mereka hidapi,' kata Dr Lim lagi, sambil menambah bahawa ada juga pesakit yang tidak gemar hadir pada pemeriksaan lanjutan kerana dianggap memakan masa.

Menurut beliau, ada juga pesakit yang menolak hakikat yang sebenar.

'Kami memahami perkara ini. Kami tahu reaksi sesetengah pesakit apabila mereka diberitahu tentang penyakit kronik yang mereka alami seperti penyakit kegagalan ginjal. Ada yang tidak boleh terima. Ada pula yang berharap penyakit itu akan pulih selepas beberapa waktu. Keadaan itu adalah 'tahap penolakan'.

'Itulah sebabnya ada pesakit yang tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana takut berhadapan dengan kenyataan yang sebenar. Jadi, mereka lebih selesa dengan mendapatkan rawatan bomoh.'

Ada juga pesakit yang menghadapi kesukaran dan tidak mahu pergi jauh ke hospital kerana ini dianggap rumit, terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Ini adalah sebab utama mereka tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana bomoh sebaliknya hanya tinggal sekampung dengan mereka, kata beliau.

'Ada juga yang takut dengan wad di hospital serta juga peralatan yang digunakan.

'Ada yang takut dengan mesin radiografik dan mesin imbasan selain daripada prosedur pengambilan darah dan infusi intravena. Sudah tentu ujian lain seperti 'pengambilan air tulang' adalah menyakitkan,' kata Dr Lim.

Seorang lagi pakar perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Tan berkata tiada bukti kukuh mengenai rawatan tradisional boleh merawat penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang dan hati.

'Pengamal perubatan tradisional mengatakan mereka ada ubat bagi penyakit kronik, termasuk juga yang boleh membawa maut seperti kanser. Pesakit tidak sedar ubat tradisional hanya boleh memburukkan keadaan mereka.

'Ada yang mengalami penyakit seperti kanser lebih suka pergi jumpa bomoh daripada mendapatkan rawatan doktor di hospital. Kerana itu keadaan mereka jadi lebih teruk,' kata beliau.

Menurut Dr Tan, ada pesakit yang apabila diberitahu mereka menghidapi barah mengatakan bahawa mereka mahu pulang dulu dan bincang dengan keluarga tentang rawatan yang akan dijalankan.

Sebenarnya, mereka pergi jumpa bomoh untuk mendapatkan rawatan.

'Malangnya, apabila keadaan bertambah buruk ahli keluarga akan membawa pesakit ke hospital tetapi keadaan mungkin sudah terlambat,' tambah Dr Tan.


http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,174414,00.html?

Nikmati perjalanan kereta api, hidup kampung (BH, 13.10.10)

PENGALAMAN MENARIK: Encik Samad dan Cik Ainon meneroka Kelantan dan merasai kehidupan kampung dengan menginap dengan sebuah keluarga angkat di Tumpat. -- Foto TUKIMAN WARJI

KTMB lancar pakej pelancongan rel berserta inapan keluarga di kampung di Kelantan, beberapa negeri lain

Oleh Safhras Khan

MEREKA menghabiskan masa 14 jam dalam gerabak kereta api untuk melancong ke Kelantan.

Tetapi bagi Encik Abdul Samad Abu Bakar dan isterinya, Cik Ainon Mohamad, masa yang diluangkan dalam tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu berbaloi kerana percutian tersebut memberi mereka peluang merasai hidup di kampung dengan menginap bersama sebuah keluarga di Tumpat, Kelantan.

Pasangan itu antara 120 penumpang Singapura, ejen pelancongan dan anggota media yang mengikuti pakej Pelancongan Rel Malaysia yang dilancarkan Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Seri Dr Ng Yen Yen, baru-baru ini.

Pakej tersebut termasuk tiket kereta api dan menginap di sebuah rumah kampung di Kelantan serta menikmati hidangan tempatan serta kegiatan seperti memancing dan memetik buah-buahan.

Di samping Kelantan, KTMB menawarkan pakej ke negeri seperti Kedah, Perak dan Melaka.

Ketika ditemui di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, Cik Ainon, 54 tahun, berkata beliau tidak sabar untuk melawat Kelantan.

'Memang perjalanannya jauh dan lebih selesa kalau menaiki kapal terbang, tetapi ini satu pengalaman yang pasti tidak dapat saya lupakan.

'Saya nak rasa seronoknya menaiki kereta api selama 14 jam,' ujar suri rumah itu sambil tersenyum.

Beliau dikenakan tambang $290, sementara Encik Samad, 59 tahun, membayar $240 kerana usianya melebihi 55 tahun.

Encik Samad, seorang pengendali bot, berkata beliau gembira berpeluang menikmati keamanan dan ketenteraman suasana kampung.

'Saya sudah bersedia bermalam dalam kereta api. Ini pengalaman baik kerana saya dapat melihat pemandangan sepanjang perjalanan ke Kelantan,' katanya.

Dalam ucapannya melancarkan pakej itu, Dr Ng berkata pelancongan rel itu menarik kerana ia menggabungkan dua pengalaman - menaiki kereta api dan menginap bersama keluarga di kampung.

Menurut beliau, program inapan keluarga (homestay) boleh membantu keluarga-keluarga di kampung.

Sebanyak 3,000 keluarga telah dikaji dan mereka dilatih oleh pihaknya untuk menjadi keluarga angkat dalam program inapan keluarga itu.

'Mereka boleh mendapatkan wang dengan membuka pintu rumah mereka kepada pelancong. Ini boleh membantu mereka menyara hidup,' kata Dr Ng.

Menurut beliau lagi, Malaysia menerima 12.7 juta pelancong Singapura tahun lalu, bertambah 15.7 peratus daripada 2008.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174398,00.html?


Suratman terima Pingat Budaya (BH, 13.10.10)

TINGKAT MARTABAT SASTERA MELAYU: Sasterawan mapan, Haji Suratman Markasan, menerima Pingat Budaya daripada Presiden S R Nathan di majlis yang diadakan di Istana malam tadi. -- Foto M.O.SALLEH

Oleh Nuradilah Mahbob

SASTERAWAN mapan, Haji Suratman Markasan, dipilih sebagai salah seorang daripada tiga penerima Pingat Budaya yang dianugerahkan Presiden S R Nathan di majlis yang berlangsung di Istana malam tadi.

Dua penerima lain anugerah tertinggi bagi ahli seni tempatan bagi tahun ini ialah penggubah lagu, Dr Liang Wern Fook, 45 tahun, dan seniman seni visual, Cik Amanda Heng, 59 tahun.

Kali terakhir seorang seniman Melayu menerima anugerah tersebut adalah pada 2007 bila penyair Isa Kamari dianugerahkan pingat tersebut bagi kategori seni persuratan.

Ditemui Berita Harian semalam, Haji Suratman, 79 tahun, melahirkan rasa syukurnya di atas pengiktirafan itu.

'Saya anggap penganugerahan ini sebagai satu pengiktirafan bukan sahaja kepada diri saya, tetapi kepada semua penulis yang menyumbang kepada sastera dan bahasa di negara ini,' kata bapa empat orang anak dan datuk dua cucu itu.

Menurut pengarang novel Subuh Hilang Senja (1989), yang kini digunakan sebagai buku teks sastera di peringkat menengah empat, dan kumpulan cerpen Perempuan Kerudung Hitam (1991), beliau menulis setiap hari sejak awal 1950-an lagi bagi genre novel, esei, cerpen mahupun puisi.

Hingga ke hari ini, karya-karya Haji Suratman menjadi tatapan murid-murid sekolah hinggalah orang dewasa, apatah lagi golongan pencinta sastera.

Sebagai penerima Pingat Budaya, beliau layak menerima Geran Pingat Budaya bernilai $80,000 bagi penghasilan karya seterusnya.

Haji Suratman merancang untuk menggunakan wang geran itu bagi menerbitkan lebih banyak lagi karyanya, termasuk dua novel dan 11 kumpulan puisi, esei serta cerpen.

Sebelum ini, Haji Suratman pernah memenangi Anugerah Pujangga dari Malaysia pada 2003, Anugerah Tun Seri Lanang dari Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Sastera Nusantara dari Menteri Besar Johor pada 1999, serta Anugerah Penulis Asia Tenggara (Southeast Asia Write Award) pada 1989.

Mengulas mengenai ciri-ciri serta tanggungjawab seorang penulis, Haji Suratman menekankan bahawa seorang penulis harus berdisiplin dalam membaca dan menulis setiap hari.

'Kita harus berani dan tegas menggambarkan sesuatu di sekeliling kita.

'Lebih-lebih lagi dewasa ini, di mana banyak perkara yang bertentangan dengan (keadaan) semula jadi,' jelas Haji Suratman, yang pernah mengajar di Sekolah-sekolah Menengah Pasir Panjang, Swiss Cottage dan Tun Sri Lanang.

Sejak ia diperkenalkan pada 1979, Pingat Budaya ini telah dianugerahkan kepada tokoh-tokoh seniman Melayu seperti: Bani Buang, Ahmad Ja'afar, Nadiputra, Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, Som Said, N Abdul Rahman, Iskandar Jalil, Abdul Ghani Abdul Hamid, Isa Kamari dan Iskandar Mirza Ismail.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174432,00.html?


Monday, October 11, 2010

Angkawasan pertama Malaysia naik pelamin pula (BH, 12.10.10)

ADUNAN TRADISIONAL DAN FUTURISTIK: Persandingan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina bertema Pahlawan Melayu di Istana Kayangan dengan sentuhan rona lambang angkasa lepas, warisan Melayu dan futuristik. -- Foto UTUSAN MALAYSIA

PUTRAJAYA: Tanggal 10.10.10 Oktober akan kekal menjadi tarikh istimewa angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Tiga tahun lalu, beliau menjadi warga Malaysia pertama mengikuti satu misi angkasa lepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Kelmarin tarikh itu menjadi lebih istimewa bagi Datuk Dr Sheikh Muszaphar apabila beliau melangsungkan perkahwinan dengan temanitanya selama lapan tahun, Dr Halina Mohd Yunos.

Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina diijab kabul oleh bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (Bersara) Mohd Yunos Ali, dengan disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, kira-kira 11.40 pagi kelmarin.

'Saya bersyukur dan gembira kerana majlis (pernikahan) berjalan lancar, malah bertambah ceria dengan kehadiran ribuan rakyat Malaysia.

'Apa yang pasti, walaupun sudah berkahwin, saya tetap Dr Sheikh Muszaphar yang sama dan akan terus mencurahkan bakti kepada negara dan terus memberikan ceramah kepada pelajar,' kata Dr Sheikh Muszaphar, 38 tahun.

Kemuncak percintaan angkasawan pertama Malaysia itu dengan Dr Halina kemudian diabadikan dalam majlis persandingan gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada sebelah malam.

Dr Sheikh Muszaphar segak berbaju Melayu songket putih serta bertanjak sementara Dr Halina, 30 tahun, cantik memakai baju kebaya moden berwarna perak.

Mereka diiringi masuk ke dewan persandingan dengan penuh adat istiadat Melayu dan paluan kompang.

Memilih tema perkahwinan Pahlawan Melayu di Istana Kayangan dengan sentuhan rona biru menggambarkan angkasa lepas, emas-keemasan lambang warisan Melayu dan perak sebagai unsur futuristik), majlis itu ditujukan khas kepada rakyat Malaysia yang selama ini banyak memberi sokongan dan dorongan serta mendoakan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar dalam misinya ke angkasa lepas.

Pasangan itu juga memotong kek berbentuk kapal angkasa Soyuz dengan penampilan persalinan khas berwarna perak rekaan Bernard Chandran.

Tetamu majlis perkahwinan itu termasuk Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah, serta isterinya, Sultanah Haminah Hamidun; dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail, serta isterinya, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah. -- The Star, Harian Metro, Utusan Malaysia.

http://cyberita.asia1.com.sg/mluarnegara/story/0,6879,174356,00.html?


Sunday, October 10, 2010

beRBAKTI untuk baiki mutu hidup insan (BH, 10.10.10)

BERKEUPAYAAN DAN BERCITA-CITA TINGGI: Lima penyelidik Melayu di IBN bersama Profesor Jackie Ying (berjaket hitam). Di sebelah beliau (keempat dari kanan) ialah Pengarah Pentadbiran IBN, Cik Noreena Abu Bakar. Dari kiri ialah Encik Mohammed Shahrudin Ibrahim; adiknya, Cik Nor Lizawati Ibrahim; Cik Siti Nurhanna Riduan; Cik Nur-Afidah Mohamed Suhaimi dan Cik Amalina Ebrahim Attia. - Foto TUNI SHARIFF

Profil saintis-saintis Melayu yang membuat penyelidikan di Institut Kejuruteraan Bio dan Teknologi Nano (IBN)

MEREKA adalah antara sekumpulan tujuh orang penyelidik Melayu di Institut Kejuruteraan Bio dan Teknologi Nano (IBN).

Berikut sedikit latar belakang mereka dan penerangan tentang bidang penyelidikan mereka:

Cik Nur-Afidah Mohamed
Suhaimi, 24 tahun,
pegawai makmal di IBN dan
sedang memburu ijazah
Doktor Falsafah (PhD)
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
(Kepujian) dalam sains biologikal,
Universiti Teknologi Nanyang
(NTU), 2007

Penerima Anugerah Pembangunan Kakitangan Saintifik A*Star ini melahirkan rasa gembira dengan anugerah yang diterimanya itu kerana dengannya beliau dapat meneruskan impiannya untuk menggenggam ijazah PhD dalam bidang fisiologi di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS), sambil bekerja di IBN.

Ketika ini beliau sedang menjalankan penyelidikan mengenai penyakit barah.

'Selama ini saya memang sangat tertarik dengan penyakit barah. Jumlah kematian pesakit barah setiap tahun disebabkan kurangnya rawatan ubat yang berkesan, amat membimbangkan.

'Menurut Kajian Barah United Kingdom, dianggarkan 12.7 juta manusia di seluruh dunia didiagnosis menghidap barah pada 2008 dan sekitar 7.6 juta meninggal dunia akibat penyakit itu pada tahun yang sama.

'Penyelidikan saya di IBN tertumpu kepada penghasilan ubat untuk penyakit-penyakit hati, khususnya fibrosis hati dan barah hati,' terang Cik Nur-Afidah.

Beliau menambah, penyakit-penyakit hati lazim dihidapi oleh kaum lelaki Asia disebabkan faktor sekitaran dan gaya hidup.

Barah hati juga merupakan barah yang kedua paling banyak meragut nyawa kaum lelaki di seluruh dunia. Ketika ini terdapat hanya satu ubat yang diluluskan badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat untuk barah hati dan ia dapat melanjutkan usia pesakit barah hati selama tiga bulan saja, katanya.

'Kini kami sedang mencari rawatan berkesan untuk barah hati dengan menggunakan bahan-bahan kompaun yang disintesiskan di IBN. Bahan-bahan kompaun ini tampak memberikan kesan memberangsangkan dan berguna bagi tikus yang dijadikan model ujian,' tambah Cik Nur-Afidah, yang bercita-cita menjadi seorang profesor agar dapat menyebarkan ilmunya kepada generasi muda.

Cik Nor Lizawati Ibrahim,
24 tahun, pegawai makmal
di IBN
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
(Kepujian) dalam bidang kimia
dan kimia biologikal di Sekolah
Sains Fizikal dan Matematik,
NTU, 2009.

Mengenai bidang penyelidikannya iaitu kimia sintetik, Cik Nor Lizawati, yang bekerja di IBN bersama abangnya, Encik Mohammed Shahrudin Ibrahim, 26 tahun, berkata:

'Saya memang sudah lama meminati bidang kimia sintetik, malah saya menganggap kimia sebagai 'ibu kepada semua ilmu sains'.

'Di IBN saya berpeluang menjalankan penyelidikan dalam biologi sintetik yang membolehkan saya mengaplikasikan kemahiran saya sebagai seorang ahli kimia untuk menghasilkan pendekatan-pendekatan baru dalam perubatan regeneratif (perubatan yang melibatkan proses penggantian tisu atau fungsi organ akibat penyakit atau kecacatan).'

Beliau dan kumpulannya di IBN kini sedang menjalankan penyelidikan mengenai sintesis bagi apa yang disebut sebagai extracellular matrix.

'Kami berharap dapat memanfaatkan dapatan-dapatan kami ini bagi menghasilkan rawatan berkesan untuk pesakit hati, ginjal, pankreas dan jantung,' katanya.

Kajian tersebut masih di peringkat awal. Beliau menyatakan penyelidikan yang dijalankan memerlukan banyak masa, tenaga dan minat mendalam di luar dan di dalam makmal.

'Bagaimanapun, saya tetap berasa puas jika saya mendapat hasil yang memberangsangkan, biarpun sedikit. Kepuasan yang saya rasakan selepas kerja keras yang dicurahkan sukar saya gambarkan,' katanya.

Encik Mohammed Shahrudin
Ibrahim, 26 tahun,
pegawai makmal IBN
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
(Kepujian) dalam bidang sains
biologikal di Sekolah Sains
Biologikal, NTU, 2009.

'Biologi memang bidang kekuatan saya dan saya ingin melakukan sesuatu yang mempunyai aplikasi dalam kehidupan sebenar. Maka itu, saya merebut peluang untuk menjalankan penyelidikan dalam kejuruteraan bio dalam kumpulan berbilang disiplin di IBN.

'Walaupun saya perlu meninggalkan zon selesa saya, kemungkinan bahawa penyelidikan saya akan membawa huraian kepada beberapa masalah dalam dunia sebenar, menjadi pendorong bagi saya,' ujar Encik Mohammed Shahrudin.

Di IBN beliau merupakan sebahagian anggota kumpulan yang mencipta bahan-bahan bio baru untuk membuat alat-alat organ tiruan.

Kumpulan itu juga telah menghasilkan membran yang dapat menyokong pertumbuhan sel-sel dan membolehkannya hidup dan berfungsi dalam sekitaran sintetik.

'Matlamat kami adalah menghasilkan ginjal tiruan bio sebagai alternatif dan bentuk rawatan yang lebih berkesan daripada dialisis untuk pesakit ginjal,' terangnya.

Kajian itu akan mengambil masa lapan hingga 10 tahun.

Cita-cita beliau pula ialah menjadi penyelidik perubatan dalam pembangunan organ-organ tiruan demi membanteras penyakit dan kerosakan organ.

Cik Siti Nurhanna Riduan,
27 tahun, pegawai penyelidik
di IBN
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
Gunaan dalam bidang kimia
gunaan (Kepujian), NUS, 2005.

Beliau juga adalah penerima Anugerah Pembangunan Kakitangan Saintifik A*Star dan kini sedang memburu ijazah PhD dalam bidang kimia di NUS sambil bekerja di IBN.

'Saya memang sudah lama meminati bidang kimia, lantas meraih ijazah lanjutan dalam bidang itu adalah kemajuan yang semula jadi.

'Ketika ini kumpulan kami di IBN sedang menghasilkan proses- proses dan bahan-bahan baru untuk membantu menawan gas rumah hijau, karbon dioksida dan mengubahnya menjadi produk berguna.

'Kami berharap penyelidikan kami dapat mengurangkan kesan-kesan berbahaya terhadap perubahan iklim. Kumpulan IBN kami adalah yang pertama di dunia yang berjaya mengubah karbon dioksida menjadi metanol yang boleh digunakan sebagai bahan pembakar yang mesra alam sekitar,' katanya.

Cik Siti Nurhanna juga berharap agar penyelidikan kimia hijau (mesra alam) di IBN akan menjadi sesuatu yang dapat dikomersialkan dan digunakan untuk mengurangkan pencemaran global.

Cik Amalina Ebrahim Attia,
24 tahun, penuntut PhD
Kelulusan: Sarjana Muda
Kejuruteraan Kimia, NUS.

Beliau merupakan penerima biasiswa graduan A*Star dan sedang menjalankan penyelidikan PhD dalam bidang penyaluran ubat-ubatan.

Ini melibatkan proses penyaluran ubat-ubatan yang disasarkan kepada sel-sel barah di dalam tubuh agar ia tidak menjejas sel-sel lain. Ujian yang baru dijalankannya melibatkan sel-sel barah hati.

Penyelidikan itu sudah dimulakan tahun lalu dan disasarkan selesai pada 2013.

'Saya bukan kakitangan IBN, tetapi sekadar menjalankan kerja-kerja penyelidikan saya di sini.

'Bidang penyelidikan ini sangat menarik kerana kita dapat mempelajari sesuatu yang baru,' kata bekas pelajar Maktab Victoria ini.

Dua lagi penyelidik Melayu yang tidak sempat ditemui ialah Dr Emril Mohamed Ali, 33 tahun, seorang zamil pascadoktoral dan seorang wanita yang enggan namanya disiarkan.