Sunday, January 30, 2011

Majlis kanak-kanak (BH, 31.01.11)

Oleh Amilia Gani

DENGAN bermulanya tahun baru, tentunya sudah menjadi kebiasaan bagi ramai anggota masyarakat kita untuk merancang jadual tahunan.

Ada yang ingin bercuti, mengadakan lawatan atau melancong ke luar negara, mengadakan majlis-majlis keramaian dan pelbagai jadual perjumpaan bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan antara sahabat handai.

Dengan lebih ramai orang yang cenderung menggunakan media sosial seperti Facebook dan Multiply, tentunya ramai yang semakin aktif berkenalan dan berinteraksi bersama rakan-rakan dan sanak saudara yang tinggal berdekatan atau berjauhan.

Kini terdapat syarikat-syarikat kecil yang menawarkan perkhidmatan hiasan serta katering keseluruhan untuk majlis kanak-kanak seperti sambutan hari jadi, berkhatan, cukur rambut atau lulus peperiksaan.

Selalunya, majlis keramaian ini diadakan setelah majlis kenduri tradisional untuk memenuhi tuntutan keagamaan dengan doa kesyukuran, sebelum meraikannya dengan tetamu yang lain yang mungkin terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama.

Syarikat-syarikat ini memberikan juga khidmat menyediakan kad undangan dengan hiasan grafik mengikut tema dan tatarias majlis - daripada hiasan dekor, grafik kad undangan, kek hari jadi hingga kepada khidmat penyelaras majlis dan permainan.

SYARIKAT MELAYU

Kini semakin banyak syarikat menawarkan juga khidmat perhiasan makanan pencuci mulut atau dessert table, antaranya dimiliki dan diusahakan oleh orang Melayu/Islam seperti Little Ones, Perfect Frosting dan Chic Factory Wedding by Fazly.

Khidmat mereka senang didapatkan menerusi Facebook.

Mungkin yang menggunakan khidmat syarikat-syarikat ini, ingin mengadakan satu majlis yang istimewa, selain di rumah atau di restoran makanan segera.

Sama ada majlis itu untuk seorang bayi berumur beberapa bulan atau kanak-kanak berusia satu, lima atau tujuh tahun, ibu bapa boleh mengadakan majlis dan jamuan istimewa mengikut kemampuan sambil memilih tema kartun dan barang permainan kesukaan anak mereka.

BOLEH PILIH TEMA

Tema-tema yang sering diminati adalah seperti Sesame Street, kartun popular seperti Upin & Ipin, Toy Story, Ben 10 atau Barbie, selain tema haiwan atau binatang laut.

Warna-warna yang cerah dan grafik menarik ikut gaya hiasan majlis keramaian Amerika Syarikat seperti pakar dekor buat sendiri Martha Stewart, juga boleh diadakan.

Ada kalanya, kita mengadakan majlis buat sendiri dengan bergotong-royong bersama sanak saudara. Ada juga masanya, jika ada rezeki berlebihan, kita menempah khidmat sebuah syarikat yang pakar untuk memberikan kelainan yang dapat menjadi kenangan indah sepanjang kehidupan kanak-kanak itu.

Apa yang harus diambil perhatian oleh anda yang akan mengadakan majlis ini ialah kecil atau besar majlis itu tidak ada perbezaannya. Majlis tetap majlis.

Apa yang penting ialah sesuatu majlis itu harus dirancangkan dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya supaya mampu meninggalkan kesan dan kenangan yang manis kepada tetamu yang hadir.

Nota: Penulis ialah konsultan tatahias daripada Facelift Design & Interiors (
www.faceliftdesign.biz)

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,181139,00.html?

PM: Pendirian pemerintah tak sama MM Lee (BH, 31.01.11)

SALAM MESRA: Encik Lee mengagih habuan sambil bersalam dengan salah seorang daripada sekitar 100 penduduk miskin dalam acara di Kelab Masyarakat Yio Chu Kang semalam. -- Foto ZAOBAO

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menjelaskan semalam kenyataan terus terang Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew mengenai masyarakat Muslim Singapura adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian pemerintah.

Encik Lee berkata apa yang dinyatakan MM Lee dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truth to Keep Singapore Going (Lee Kuan Yew: Kebenaran Pahit Bagi Meneruskan Penakatan Singapura) bahawa Muslim di sini 'berbeza dan terasing' daripada kaum lain dan perlu 'melonggarkan pegangan agama mereka' demi meningkatkan lagi integrasi dengan masyarakat Singapura, adalah berdasarkan pengalaman dan situasi yang dilaluinya lebih 50 tahun.

Keadaan hari ini sungguh berbeza, kata Perdana Menteri. Masyarakat Islam di sini telah melakukan banyak perkara bagi berintegrasi dengan kaum lain serta menyertai arus utama demi menjadi sebahagian daripada masyarakat Singapura.

'... pandangan saya tentang keadaan di Singapura, berdasarkan hubungan saya dengan masyarakat Melayu, dengan pemimpin akar umbi, dengan pemimpin masjid dan agama, agak tidak sama dengan MM. Saya rasa agama satu bahagian penting dalam pembentukan identiti masyarakat Melayu dan kehidupan Muslim di Singapura dan ia kini lebih ketara berbanding 50 tahun lalu.

'Ia adalah trend yang merentasi dunia dan kita sebahagian daripadanya,' kata Encik Lee semasa ditemui dalam satu acara akar umbi di Kelab Masyarakat Yio Chu Kang di Ang Mo Kio.

Mengenai kesedaran dan amalan agama yang lebih meningkat, beliau berkata bukan saja di kalangan masyarakat Islam, bahkan penganut agama lain, seperti Kristian dan Buddha.

Namun, perkembangan ini tidak harus mengenjotkan usaha perpaduan antara masyarakat, katanya.

'Contohnya, wanita Islam mungkin memakai tudung, tetapi mereka menyertai kegiatan-kegiatan masyarakat lain, mereka bersalam dengan saya, mereka bergambar dengan saya, kami berkumpul bersama dan selesa dengan satu sama lain.
'Dan orang Islam makan makanan halal, tetapi di banyak tempat kerja apabila mereka keluar makan mereka agak selesa keluar bersama orang bukan Islam.

'Orang Islam akan duduk bersama orang bukan Islam dan mereka berinteraksi secara sosial bersama-sama sebab jika anda asingkan diri anda mungkin tidak menghadapi masalah tetapi anda mempunyai kurang peluang untuk berinteraksi dan menjadi kawan.

'Dan saya rasa orang Islam sedar akan ini dan sedang berusaha merapatkan jurang dengan jayanya,' kata Encik Lee.

Beliau turut mengakui kesungguhan badan-badan, pemimpin dan orang Melayu/Islam untuk memperkukuh integrasi antara kaum di Singapura. Dan beliau menghargai pendirian masyarakat Melayu yang teguh menyokong pemerintah dan sistem meritokrasi yang menjadi tunggak penting negara ini.

Menjawab pertanyaan Berita Harian tentang keprihatinan masyarakat Melayu/Islam bahawa pandangan MM Lee merupakan pendirian pemerintah, Encik Lee berkata: 'Pandangan MM seperti yang saya nyatakan ialah pandangan peribadinya. Itu adalah perspektif hasil pengalamannya...

'Apa yang saya nyatakan hari ini, itulah pandangan saya dan saya fikir ia mewakili pandangan rakan-rakan saya (di kabinet) dan pemerintah.'

PM LEE: ORANG ISLAM BERINTERAKSI DENGAN KAUM LAIN

'Wanita Islam mungkin memakai tudung, tetapi mereka menyertai kegiatan-kegiatan masyarakat lain, mereka bersalam dengan saya, mereka bergambar dengan saya, kami berkumpul bersama dan selesa dengan satu sama lain. Dan orang Islam makan makanan halal, tetapi di banyak tempat kerja apabila mereka keluar makan mereka agak selesa keluar bersama orang bukan Islam. Orang Islam akan duduk bersama orang bukan Islam dan mereka berinteraksi secara sosial bersama-sama sebab jika anda asingkan diri... anda mungkin tidak menghadapi masalah tetapi anda mempunyai kurang peluang untuk berinteraksi dan menjadi kawan. Dan saya rasa orang Islam sedar akan ini dan sedang berusaha merapatkan jurang dengan jayanya.

-- Perdana Menteri Lee Hsien Loong

PM LEE: PANDANGAN SAYA TIDAK SAMA DENGAN PANDANGAN MM LEE

'MM memberi pandangan peribadi beliau dalam buku itu, ia berdasarkan pengalaman beliau melihat masyarakat Singapura berkembang sepanjang lebih 50 tahun sejak 1950-an dan melihat juga masyarakat lain di seluruh dunia. Terutamanya masyarakat berbilang kaum yang terdapat orang Islam, baik sebagai minoriti mahupun majoriti... tetapi semuanya menghadapi cabaran untuk berintegrasi menjadi sebuah negara dan sebuah masyarakat dan kesukaran serta masalah yang telah timbul di pelbagai negara dan juga risiko kita hadapi di Singapura jika kita tidak sedar akan perkara ini. Tetapi pandangan saya sendiri mengenai keadaan di Singapura, berdasarkan interaksi saya dengan masyarakat Melayu, masjid dan pemimpin agama, agak tidak sama dengan pandangan MM.

-- Perdana Menteri Lee Hsien Loong

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,181111,00.html?

Thursday, January 27, 2011

Mencari dinamisme guru Melayu (BH, 28.01.11)

Oleh Maarof Salleh

AWAL minggu ini saya mengunjungi Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI, (dulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris, MPSI), menemani rakan guru (bekas pelatih) dari institusi itu.

Seperti kebanyakan graduan MPSI, rakan saya itu dicengkam rindu mengenai latihan keguruannya. Ternyata beliau begitu teruja ketika kenderaan kami masuk ke pekarangan kampus di Tanjung Malim itu - bukan sangat pada ciri fizikalnya tetapi warisannya dalam membangun sumber insan.

Saya memahami emosinya. Walaupun tidak pernah menjadi siswa di situ, saya banyak mempelajari mengenai MPSI ketika belajar sejarah pembangunan nasionalisme di Malaya (kini Malaysia) dan Singapura yang dijajah British.

MPSI melahirkan ramai graduan berperanan elit dalam bidang pendidikan Melayu. Golongan ini gigih menyumbang dalam perjuangan bangsa Melayu termasuk dalam gerakan memperoleh kemerdekaan negara.

Selepas merdeka, banyak pula yang terus berkecimpung dalam usaha mengisi erti kemerdekaan - aktif dalam peranan kepimpinan dalam pelbagai bidang lain.

Ketika itu mereka yang diterima masuk ke MPSI datang daripada latar belakang keluarga masyarakat biasa - bukan daripada golongan bangsawan Melayu. Kemasukan ke institusi pengajian tinggi itu tentulah dirasakan sebagai satu keistimewaan.

Perubahan status daripada kedudukan sebagai anak petani, anak nelayan dan anak peon (pembantu pejabat) menjadi guru yang dihormati dan elit masyarakat - menjadi pencetus semangat untuk sebahagian besar graduan institusi itu terlibat dalam pergerakan nasionalisme. Sebahagiannya berjaya memahat nama terbilang sebagai pendidik, tokoh bahasa, penulis mapan sehinggalah penyandang jawatan penting dalam kerajaan.

Sebelum merdeka, Singapura belum mempunyai pusat latihan perguruan. Banyak guru dari Singapura dihantar ke MPSI.

Selepas tamat kursus MPSI, mereka kembali ke Singapura menjadi antara guru yang dikenali ramai. Mereka kekal memberi khidmat selepas Singapura mencapai taraf berpemerintahan sendiri dan seterusnya selepas mencapai kemerdekaan.

Antara mereka yang berjaya mengharum dalam bidang keguruan atau pendidikan serta aktif dalam bidang bahasa dan sastera, kemasyarakatan dan politik ialah Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad, sasterawan Suratman Markasan dan mantan menteri negara kanan, Sidek Saniff. Sumbangan mereka dalam arena pembangunan masyarakat Melayu di sini merupakan bukti kepada warisan hebat MPSI.

Di Malaysia, bilangan tokoh seperti ini lebih banyak lagi termasuk yang masih berkhidmat atau sudah bersara seperti Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang, Dr Abdul Rahman Abbas, sasterawan Kemala dan tokoh pendidikan Profesor Emeritus Awang Had Salleh, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Abdul Ghaffar Baba (almarhum), dan mantan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Onn Ismail.

Maklumat daripada pembacaan saya bak diperkuat apabila mendengar pengakuan langsung daripada beberapa tenaga pengajar UPSI dan para penulis mapan, graduan institusi itu sempena kunjungan itu. Mereka mengesahkan kesinambungan khidmat yang diberikan banyak graduan MPSI dalam pelbagai bidang, baik secara persendirian atau sebagai aktivis dan peneraju beberapa kumpulan.

Kebetulan antara mereka itu termasuk beberapa penulis mapan yang sehari sebelum kedatangan kami telah menganjurkan diskusi panel yang membahaskan isu tuntutan masyarakat India yang menolak novel Interlok sebagai buku teks sastera bagi tingkatan lima.

Novel itu karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussein, yang sebenarnya sudah lama diterbitkan. Ia tiba-tiba saja mendapat kritikan sebahagian masyarakat India kerana adanya kekata 'pariah' yang didakwa berbau perkauman dan menghina masyarakat India.

Perbualan singkat itu mengesankan saya betapa terdapat semangat dan dinamisme Melayu yang kuat dalam kalangan elit Melayu MPSI yang masih menghormati kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Saya sempat menghadiri majlis mengulas buku Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak bentangan penyusunnya, Yaakub Isa, seorang lagi graduan MPSI dan kini sejarawan di Muzium Negeri di Pahang. Sekali lagi saya mendapat kesan yang sama.

Contohnya, pemilihan buku itu sendiri dianggap satu usaha untuk menginsafkan siswa institusi itu tentang idealisme pemimpin Melayu seperti Tun Abdul Razak yang dianggap sebagai 'Bapa Pembangunan Malaysia'. Koleksi ucapan dan tukilan orang-orang yang rapat dengan Perdana Menteri Kedua Malaysia itu memberi fokus betapa pemimpin Melayu sepertinya akrab dengan rakyat serta prihatin dalam usaha membawa rakyat, khususnya orang Melayu, ke tahap kehidupan yang lebih maju dan bahagia.

Jelaslah umumnya para graduan MPSI mengongsi rasa kecintaan yang kuat kepada bangsa dan tanah air serta bersemangat memberikan khidmat kepada masyarakat. Inilah dinamisme yang memungkinkan banyak guru Melayu pada suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam perjuangan bangsa.

Apakah dinamisme guru Melayu yang demikian itu masih dapat dikekalkan? Begitulah pertanyaan saya kepada Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Aminah Ayob ketika bersantai dalam jamuan yang diberikannya kepada kami.

Jawapannya agak menarik.

Menurutnya, walaupun hasrat mengekal dan membangunkan dinamisme itu masih ada, perubahan suasana dan landskap politik lepas merdeka tidak memungkinkan institusi seperti UPSI (dulu MPSI) mampu memainkan peranan lamanya. Institusi itu bukan lagi khusus untuk orang Melayu, tetapi terbuka kepada kaum-kaum lain.

Juga, sesuai dengan keperluan sebuah negara yang merdeka, peranan UPSI kini lebih tertumpu pada membekalkan tenaga pengajar yang terlatih dalam pelbagai bidang keterampilan untuk keperluaan sekolah di seluruh Malaysia.

Apakah peranan dinamis guru tidak lagi menjadi keutamaan?

Dr Aminah yakin dinamisme guru Melayu masa kini masih perlu dikekalkan bagi memastikan apa yang menjadi cita-cita kemerdekaan dapat terus dibangunkan dan dicapai. Beliau komited untuk melihat para guru UPSI berperanan penting membangunkan idealisme yang betul dan murni dalam mengisi makna kemerdekaan bangsa dan negara, kemudian menyebarkannya kepada anak didik mereka.

Bagaimanapun, hematnya, semua itu banyak bergantung pada sikap dan kesungguhan guru UPSI. Jika mereka serius mahu menyaksikan satu transformasi cemerlang benar-benar berlaku dalam masyarakat, mereka sendiri harus serius melengkapkan diri masing-masing dengan sikap, nilai dan keterampilan yang diperlukan bagi melaksanakan tugas dan amanah sebagai guru.

Katanya, keadaan kini tidak sama dengan zaman negara di bawah penjajahan. Kini, dorongan untuk maju kerana mahu kebebasan daripada penjajahan bukan lagi satu faktor pendorong. Sebaliknya kini dorongan itu harus datang daripada kesedaran diri untuk melaksanakan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Malangnya, beliau mengeluh, semangat dan dinamisme seperti itu kurang menjadi ciri utama guru-guru sekarang. Mungkin dek keinginan untuk cepat meraih hasil daripada pekerjaan dan sikap yang salah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam memberikan khidmat telah menjadi antara sebab dinamisme guru Melayu sekarang merudum.

Saya cuba memikirkan lagi kebimbangan Naib Canselor itu ketika dalam perjalanan pulang ke Singapura - meninggalkan kampus UPSI di Tanjung Malim.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,180952,00.html?

Kecuali Muslim, masyarakat lain jalani integrasi dengan mudah (BH, 28.01.11)

MM Lee rasakan masalah timbul menyusuli kebangkitan Islam dari negara Arab

Kenyataan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, tentang isu integrasi dan masyarakat Muslim mendapat reaksi meluas. Ikuti sedutan kenyataan beliau yang dipetik daripada buku terbarunya, 'Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going (Kebenaran Pahit Untuk Meneruskan Penakatan Singapura)', dan reaksi terhadap kenyataan tersebut

SOALAN (S): Pandangan anda tentang dasar berbilang kaum merupakan asas pembangunan Singapura sejak 45 tahun lalu. Di Hari Kemerdekaan Singapura pada 9 Ogos 1965, anda berikrar Singapura tidak akan menjadi negara Melayu, Cina atau India. Apakah penilaian anda mengenai kemajuan Singapura ke arah dasar berbilang kaum ini?

Jawapan (J): Saya harus berterus terang tetapi saya tidak mahu menyinggung perasaan masyarakat Islam. Saya fikir kita telah mengecapi kemajuan yang baik sehinggalah timbul kebangkitan Islam, dan melalui pemerhatian saya, masyarakat lain menjalani integrasi dengan mudah - melalui teman, perkahwinan campur dan sebagainya, orang India dan Cina - berbanding kaum Muslim. Itu (kesukaran integrasi oleh kaum Muslim) adalah kerana kebangkitan (Islam) dari negara-negara Arab.

Oleh itu, jika anda ingin berkahwin dengan seorang Muslim, anda harus menjadi Muslim, ini satu langkah besar bagi seseorang bukan Muslim. Ia merupakan satu perubahan hidup yang besar. Anda pergi ke masjid, anda mempelajari bahasa Arab, mengamalkan solat, dan diet anda juga berubah. Dan saya fikir ini semacam satu hambatan yang agak sukar di atasi.

Saya mengambil ikrar idealisme Rajaratnam pada masa di mana saya sedar sepenuhnya bahawa adalah sukar dicapai bagi tempoh yang lama, dan ia bergerak secara perlahan sehingga berlaku kebangkitan tersebut. Hari ini, kita berupaya menjalani integrasi dengan semua agama dan kaum, kecuali Islam.

S: Adakah anda berkata adanya orang Islam di Singapura merupakan hambatan utama ke arah keharmonian kaum di sini?

J: Saya tidak berkata begitu. Saya fikir Muslim secara sosial tidak menimbulkan masalah, tetapi mereka berbeza dan terasing. Generasi yang bekerja dengan saya - Othman Wok, Rahim Ishak - sebelum kebangkitan tersebut berlaku dan mempengaruhi mereka; generasi tersebut menjalani integrasi dengan baik. Kami minum bir, pergi memancing undi dan berkempen bersama, kami makan bersama.

Kini mereka bertanya, 'Adakah pinggan ini bersih?' Saya berkata, 'Daripada mesin pencuci yang sama.' Isu tentang halal dan bukan halal semuanya boleh mengasingkan sesuatu kaum dengan yang lain. Ia membezakan saya dengan anda: 'Saya mempunyai kepercayaan, anda tidak.' Tiada sesiapa yang sangsi terhadap tahap kebersihan dan ia tidak ada kaitan dengannya, hanya kepercayaan agama yang membuat anda tidak melakukannya.

S: Jadi apakah yang harus orang Islam lakukan untuk berintegrasi?

J: Kurangkan amalan kuat Islam dan berkata, 'Baik, saya akan makan bersama anda.'

S: Namun terdapat cara lain untuk berintegrasi tanpa berkongsi makan?

J: Saya beritahu anda tentang reaksi seorang bukan Melayu, bukan Islam. Perdana Menteri menganjurkan jamuan perpisahan kepada semua Anggota Parlimen yang akan bersara. Jadi Othman Wok, seorang AP pesara, turut diundang. Beliau berada di meja saya. Saya mendapati beliau diberi makanan khusus. Saya berkata, 'Othman, adakah anda meminta makanan khusus?' Beliau jawab tidak. Lantas saya memanggil pelayan. Saya bertanya, 'Mengapa anda memberinya makanan berbeza? Mengapa beliau tidak boleh makan yang sama macam saya? Tiada babi pada makanan ini.' Dia menjawab, 'Tuan, peraturannya adalah semua Muslim mendapat makanan Muslim sekarang, kalau tidak akan mencetuskan rasa tidak senang.'

S: Adakah anda tersinggung beliau mendapat makanan berbeza?

J: Tidak, saya hanya berasa dunia sudah berubah, bahawa teman saya sudah berubah. Beliau merupakan teman lama yang sama sejak berdekad lalu, Othman Wok yang berkempen bersama-sama saya pada tahun 1950-an hingga 1970-an kini sudah berubah. Itu adalah kenyataan hidup.

Saya tidak menyatakan ia betul atau salah. Saya hanya berkata sebagai seorang Muslim, tekanan adalah ke atasnya supaya berkelakuan sedemikian di mata awam.

Saya bersekolah di Sekolah Inggeris Telok Kurau dan Raffles Institution, dan mempunyai ramai rakan Melayu. Beberapa rakan saya dari Telok Kuau juga ke Raffles dan kami bersahabat sepanjang tempoh persekolahan kami. Kami makan nasi lemak atau nasi goreng bersama, yang dibeli daripada wanita-wanita yang menjualnya di luar sekolah.

Pada waktu itu, tiada kantin sekolah, jadi anda membeli nasi lemak berharga 2 sen dan anda memakannya bersama.

Kini anda pergi ke sekolah dan universiti yang ada pelajar Melayu dan Cina, terdapat bahagian halal dan bukan halal dan para pelajar duduk berasingan agar (makanan) tidak dicemari. Semua itu menjadi jurang sosial. Saya tidak mengatakan ia betul atau salah. Saya hanya berkata ia adalah tuntutan agama, namun akibatnya terdapat satu jurang yang saya fikir direka sedemikian rupa. Islam adalah eksklusif.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,180931,00.html?

Rezeki dan meritokrasi Islam (BH, 28.01.11)

Oleh Mohd Yusop Hassim

SETIAP masyarakat ada hubungannya dengan ikatan rezeki sehingga membolehkan mereka mengharungi kehidupan di dunia.

Oleh itu, ada hubungan amalan individu dengan keperluan asas iaitu makanan, minuman, pakaian, pembelajaran dan sebagainya.

Seandainya Allah swt tidak mengait atau menghubungkan ikatan yang diperlukan ini nescaya kehidupan masyarakat akan menjadi huru-hara dan kucar-kacir.

Katakanlah dalam satu jabatan semuanya bertugas sebagai doktor, jurutera dan selain daripada tugas-tugas yang tinggi, siapa pula yang akan mengurus pembersihan jalan raya, memperbaiki kabel elektrik sama ada lampu ataupun telefon dan tugas-tugas lain yang berat?

Adakah mereka tadi yang akan mengendalikan tugas-tugas itu dengan sukarela? Adakah mereka akan mengatakan bahawa setiap hari ada sekumpulan yang akan membersihkan jalan raya, longkang dan sebagainya?

Jawapannya sudah pasti tidak. Ini akan membuat kehidupan masyarakat tidak tenang. Justeru, Allah swt menghubungkan amal dengan rezeki agar setiap insan perlu berusaha bukan sekadar melibur dan bersuka ria, namun bekerja dengan terpaksa untuk keperluannya.

Setiap daripada kita akan keluar mencari rezeki sambil bertawakal hingga mendapat ganjarannya.

Islam menyeru kita agar tidak membenci atau memandang rendah pada apa jua pekerjaan. Tidak wujud sama ada tugas besar ataupun kecil kerana ini semua ada ganjarannya di sisi Allah sehinggalah kita berhasil mendapatkan rezeki untuk diri kita dan juga seisi keluarga.

Allah swt amat mencintai setiap amalan atau pekerjaan, malah dalam ketekunan melakukan sesuatu tugas itu. Daripada Hakim bin Hizam ra, Rasulullah bersabda dengan maksud: 'Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.' (HR al-Bukhari).

Sabdanya lagi daripada Zubair bin Awwam ra: 'Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi ataupun tidak.'

Kita harus prihatin bahawa apa jua tugas dalam kehidupan ini wujud bagi kesinambungan pergerakan masyarakat.

Jika Allah mencipta manusia tanpa memerlukan pada rezeki nescaya akan terhenti atau tergendala segala-galanya.

Justeru, ikatan 'keperluanlah' yang mendorong meneruskan pergerakan hidup manusia.

Kita semua adalah makhluk Allah. Dari segi ini, tidak ada keistimewaan antara satu dengan yang lain. Oleh itu, Allah telah menaburkan bakat-bakat pergerakan hidup antara semua hamba-Nya.

Namun, manusia masih lagi melihat di satu sudut iaitu mengatasi yang lain dalam mengejar harta. Tetapi jika dikaji lebih mendalam, kita akan dapati bahawa setiap daripada kita ada bakat tersendiri yang mungkin tidak ada pada yang lain.

Contohnya, jika kita hendak membuat baju dan kita tidak tahu caranya, maka kita terpaksa menemui tukang jahit untuk menempahnya. Begitu juga untuk membuat pintu, kita terpaksa mendapatkan tukang kayu dan seterusnya.

Setiap kerjaya dilakukan oleh seorang yang mahir, maka yang lain juga akan memerlukannya. Semua tugas ini mempunyai rezeki yang melimpah.

Justeru, maka rezeki itu bukanlah di tangan guru. Kemungkinan seorang tukang lebih mewah rezekinya daripada seorang guru.

Ada satu 'kunci' rezeki yang dijadikan Allah dalam semua kerjaya iaitu tekun memperbaiki tugas sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud:

'Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya daripada meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.' (HR At-Tabrani)

Allah swt menjadikan 'kunci rezeki' pada setiap tugas dengan syarat hendaklah dilakukannya dengan baik dan bersungguh-sungguh daripada tangannya sendiri.

Penghargaan seseorang itu adalah pada ketekunan meningkatkan mutu kerjanya kerana itu bermakna dia telah berhasil mendapatkan rezeki Allah melalui bakatnya.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,180955,00.html?

Mengawal nafsu pada hiasan dunia (BH, 28.01.11)

Oleh M. Zuhal A. Lathif

HAYATILAH maksud firman Allah dalam Surah Aali Imram, ayat 14:

'Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).'

Berbanding dengan malaikat dan haiwan, manusia memiliki dwikelebihan: akal dan nafsu.

Dengan adanya nafsu, manusia terus berkarya menggunakan akal yang meraih ilmu sehingga terhasil pelbagai tamadun. Manusia mewarisi bumi yang isinya digunakan untuk mengisi nafsunya.

Ertinya, jika tanpa nafsu maka ia tiada tamadun dan kemajuan dunia seperti yang kita lihat sekarang ini.

Al-Quran membahagikan nafsu daripada yang bersifat gejolak iaitu amarah, diikuti dengan lawamah (dapat dikawal sebahagian luapannya) sehingga muthmainah atau tenang dalam mengabdi kepada Allah.

Nafsu termasuk juga keberahian atau syahwat. Islam mengaturkan kehidupan agar nafsu manusia terkawal. Aturan itu disebut 'syariat' iaitu menyangkut perundangan atau bidang fiqah.

Namun ada satu lagi kawalan yang dipanggil 'tasawuf' iaitu ilmu yang mengawal hati daripada sifat tercela (mazmudah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Allah menyenaraikan kesukaan nafsu manusia pada amnya kepada beberapa perkara asas (keperluan biologis), iaitu:

(Lelaki) menyukai wanita, dan sebaliknya, wanita menyukai lelaki. Lelaki adalah pakaian wanita dan begitulah sebaliknya. Keinginan untuk menikmati hubungan lelaki-perempuan merupakan fitrah alam. Ia diaturkan syariat dengan adanya pernikahan (aspek munakahat).

Berkeluarga: menyukai banyak anak atau zuriat juga suatu yang lumrah tetapi jangan sampai melampaui had agama.

Nabi pernah berpesan bahawa kerana anak cuculah, sebahagian manusia menjadi bakhil (untuk menderma) dan penakut (untuk berjihad, melakukan kebenaran) (rujuk HR Ibnu Majah, daripada Abu Bakr Bin Abi Syaibah).

Menyukai harta. Emas dan perak merupakan simbol kemewahan zaman dahulu. Kini hartanah, kereta, kad kredit, perhiasan rumah, wang simpanan, saham dan sebagainya ditonjol-tonjolkan manusia.

Kecintaan pada dunia (seks, keluarga dan harta) membawa padah kepada manusia. Ia bukan tujuan hidup murni.

Jika mengumpul harta dan jawatan diibaratkan sebagai perlumbaan, maka ia tanpa garis penamatnya kecuali kubur. Hal ini terpapar dalam maksud firman-Nya dalam Surah At Takaatsur, ayat 1 hingga 2 yang ertinya:

'Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan ketaatan) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur (mati).'

Suka kenderaan: Orang dulu menyukai kuda, tetapi kini kenderaan bermotor besar dan menjalar indah berkilat menunjukkan status sosial sebahagian orang. Akibat banyak kenderaan, jalan raya sesak dan melemahkan ekonomi negara serta menimbulkan pencemaran alam.

Kesukaan pada binatang ternak dan kebun adalah kesukaan sebahagian kecil orang untuk status atau niaga.

Semua kesenangan hidup di atas adalah harus jika berteraskan agama. Islam memberi tawaran kepada manusia akan yang lebih baik dan hakiki, Allah tawarkan pada Surah Aali Imran, ayat 15 yang ertinya:

'Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Mahukah supaya Aku beritahu kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah', dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.'

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,180954,00.html?

Monday, January 10, 2011

Pelajar Melayu terbaik raih 9 A1 termasuk Bahasa Cina (BH, 11.01.11)

CEMERLANG: Muhammad Amirul Haqim muncul bukan sahaja sebagai pelajar terbaik Sekolah Victoria, malah pelajar Melayu terbaik di peringkat nasional. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Nuradilah Mahbob

BUKAN mudah meraih gred tertinggi bagi setiap subjek, apatah lagi jika salah satu daripadanya bukan bahasa ibunda sendiri.

Namun, Muhammad Amirul Haqim Ghazali, 16 tahun, yang mengambil bahasa Cina sebagai 'Bahasa Ibunda' sejak daripada sekolah rendah, membuktikan sebaliknya.

Selain cemerlang dalam mata pelajaran tersebut, pelajar Sekolah Victoria (VS) itu muncul sebagai pelajar Melayu terbaik bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' tahun lalu.

Sembilan gred A1 menghiasi sijilnya bagi setiap mata pelajaran yang diambil - Bahasa Cina, Inggeris, Fizik, Kimia, Biologi, Geografi, Ilmu Kemanusiaan Gabungan, Matematik dan Matematik Tambahan.

Ditemui di sekolahnya semalam, Pengetua Sekolah Victoria, Encik Low Eng Teong, mengumumkan Muhammad Amirul Haqim sebagai pelajar terbaik sekolah tersebut.

Diminta berkongsi strateginya dalam meraih keputusan cemerlang bagi mata pelajaran Cina, Muhammad Amirul Haqim berkata:

'Saya berlatih berbual bahasa Mandarin dengan adik-beradik saya. Kami semua mengambil Cina sebagai Bahasa Ibunda sejak sekolah rendah,' ujar anak ketiga dalam empat beradik.

Azam untuk memberikan yang terbaik bagi mata pelajaran itu timbul daripada kegagalannya meraih kecemerlangan dalam kertas-kertas peperiksaan sebelum itu.

'Saya tak pernah gagal dalam mata pelajaran Bahasa Cina, jadi saya agak kecewa apabila mendapat C sewaktu kertas peperiksaan awal dan B3 bagi kertas pertengahan tahun lepas,' luah Muhammad Amirul Haqim.

Tambahnya lagi, selain sokongan padu ibu bapa dan guru-guru, kelas tuisyen bagi Bahasa Cina juga banyak membantu.

Walaupun akur tidak fasih berbahasa Melayu dan lebih kerap berbual bahasa Inggeris di rumah, Muhammad Amirul Haqim bukan jenis 'kacang lupakan kulit' dan masih bertutur bahasa Melayu kepada datuk dan neneknya.

Bapanya, Encik Ghazali Ibad, 50 tahun, berkata bahawa walaupun anak-anaknya mengambil bahasa Cina di sekolah, mereka mengikuti kelas agama mingguan dalam bahasa Melayu di Madrasah Wak Tanjong.

'Alhamdulillah, tiap-tiap tahun Haqim mendapat nombor satu di madrasah itu,' kata Encik Ghazali, seorang inspektor kanan (kedua), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Muhammad Amirul Haqim yang berharap memasuki Raffles Institution (RI), bercita-cita untuk menjadi pakar bedah jantung.

'Keluarga saya mempunyai sejarah penyakit jantung dan ayah saya sendiri telah diserang penyakit jantung tahun lalu.

'Saya janji kepada ayah bahawa saya akan menjaganya dan menjadi seorang pakar bedah jantung satu hari nanti,' kata Muhammad Amirul Haqim.

Tahun lalu, 37,655 pelajar telah menduduki peperiksaan GCE 'O', dan hampir semua, atau 99.8 peratus, telah meraih sijil.

Daripada jumlah itu, 81.2 peratus lulus lima mata pelajaran atau lebih.

Pelajar terbaik tahun ini adalah Chia Pei Yun dari Sekolah Perempuan St Nicholas CHIJ yang mendapat 10 A1.

Ini adalah kali ketiga berturut-turut sekolah tersebut melahirkan pelajar terbaik dalam GCE peringkat 'O'.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,179877,00.html?