Sunday, September 26, 2010

Pilihan bagi Muslim agih wang CPF pusaka (BH, 24.09.10)

PANDUAN MORAL: Ustaz Nazirudin (kiri) berkata fatwa baru harus dilihat sebagai panduan moral, manakala Ustaz Fatris berkata ia membolehkan Muslim membuat keputusan berdasarkan keperluan keluarga.

ORANG Islam kini boleh memilih bagaimana wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang mereka tingalkan apabila meninggal dunia harus dibahagikan mengikut keperluan masing-masing.

Ini berikutan fatwa yang dikeluar semalam yang membolehkan pemegang Muslim akaun CPF membuat penamaan atau pencalonan bagi wang CPF-nya dan penamaan itu dikira sebagai hibah (hadiah) beliau kepada orang yang dicalon itu.

Dengan ini, orang yang dicalonkan itu tidak lagi perlu membahagikan wang tersebut mengikut faraid.

Pemegang akaun yang memilih mengagih wang CPF-nya mengikut faraid pula tidak perlu membuat sebarang pencalonan.

Fatwa itu, yang merupakan pengemaskinian fatwa 1971 oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), didedah dalam satu sidang akhbar semalam.

Jawatankuasa Fatwa menjelaskan usaha mengemas kini fatwa itu mengambil kira peranan wang CPF dan perbezaannya daripada harta peninggalan atau pusaka lain.

Berdasarkan fatwa itu, pencarum yang ingin, misalnya, memberi wang CPF-nya kepada misalnya isteri atau anak tanggungannya harus menamakan mereka sebagai penerima mengikut bahagian masing- masing sebagai hibah.

Waris lain tidak boleh menuntut wang itu mengikut faraid, seperti yang sering berlaku sekarang dan menimbulkan pertikaian walaupun pada hakikatnya di bawah undang-undang sivil CPF mereka memang tidak boleh menuntutnya.

Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Nazirudin Mohd Nasir, berkata masyarakat harus melihat fatwa itu sebagai satu panduan moral.

Dengan adanya panduan itu, pencalon dan orang yang dicalonkan tidak akan ragu-ragu mengenai pemilikan wang CPF itu sekalipun ada tuntutan atau pertikaian oleh waris lain.

Jawatankuasa Fatwa menganggap wang CPF sebagai aset khusus dengan fungsi tersendiri lantas tidak boleh dikategori sebagai harta pusaka di bawah hukum faraid. Namun, Muslim yang ingin menggunakan faraid bagi wang CPF mereka masih bebas berbuat demikian.

Ia berkata langkah baru itu bertujuan mengurangkan kesukaran Muslim dalam perancangan wang CPF, selain memastikan ia sejajar dengan pelbagai perubahan CPF.

Pencarum CPF harus menimbangkan pencalonannya dengan bijak kerana sekiranya orang yang dicalonkan tidak mahu membahagikan wang itu secara faraid, waris sah lain tidak boleh mencabarnya.

Fatwa 1971 menyatakan mereka yang dicalonkan hanya merupakan pengamanah, bukan penerima dan perlu membahagikan wang itu mengikut faraid.

Timbalan Mufti, Ustaz Fatris Bakaram, berkata sebab utama fatwa itu dikemas kini ialah bagi memberi masyarakat peluang membuat keputusan berdasarkan keadaan dan keperluan setiap keluarga.

'Ini tidak dapat diwujudkan dengan fatwa lama kerana fatwa lama tidak memberi pilihan itu,' katanya.

Menurut Jawatankuasa Fatwa lagi, fatwa itu menjejas hanya baki wang dalam akaun CPF dan tidak mengambil kira wang CPF yang telah digunakan bagi membeli flat pencarum.

No comments: