Tuesday, April 5, 2011

Saktiandi dilantik ahli lembaga Spring S'pore (06.04.11)

ENCIK SAKTIANDI: Harap pengalamannya dapat bantu Spring Singapore.


SEORANG pegawai kanan bank, Encik Saktiandi Supaat, merupakan antara empat anggota baru yang dilantik menganggotai lembaga Spring Singapore, menurut satu kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) semalam.

Encik Saktiandi, 37 tahun, merupakan Ketua, Kajian Forex, Pasaran Jagat di Maybank.

Sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai Pakar Ekonomi Perbendaharaan Kanan di UOB dan Ketua Pakar Ekonomi di Divisyen Analisis Permodalan dan Ekonomi di Jabatan Dasar Ekonomi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Beliau juga merupakan anggota panel penyeliaan saluran maklum balas pemerintah, Reach; presiden sayap belia Angkatan Karyawan Islam, AMP Muda, dan anggota Rangkaian Daya Kerja Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Menurut Encik Saktiandi, beliau berharap pengalamannya dalam sektor swasta dan penglibatannya dalam kerjakerja kemasyarakatan dapat membantunya memainkan peranan sebagai anggota lembaga Spring Singapore dengan berkesan.

'Ia merupakan satu penghormatan untuk dilantik dan saya harap dapat berkongsi perspektif yang berbeza dengan anggota lembaga yang lain,' ujarnya.

Tiga lagi anggota baru yang dilantik bagi penggal dua tahun itu ialah Encik Leslie Loh, Rakan Kongsi Umum, Extream Ventures Pte Ltd; Encik Wong Toon King; Pengerusi dan Perintis, Z Group; dan Encik Mike Booker, Ketua, Produk Pengguna dan Jualan, Bain & Company SE Asia, Inc.

Sementara itu, Encik Philip Yeo kekal menjadi Presiden Spring Singapore bagi penggal ketiga.

Menurut MTI, di bawah kepimpinan Encik Yeo, Spring Singapore akan terus berusaha meningkatkan daya penghasilan dan inovasi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).


Monday, April 4, 2011

Hadiah istimewa George Yeo buat Aljunied (BH, 05.04.11)

HADIAH PAPAR HUBUNGAN MESRA: Encik Yeo menyampaikan set ensiklopedia perundangan Islam dalam bahasa Arab di bawah huruf alif kepada Ustaz Mohd Murat dengan disaksikan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, dan Penolong Naib Mudir Madrasah Aljunied, Cik Khairiana Zainal Abiden. -- Foto M.O. SALLEH


Oleh Linilidia Abdul Hamid

HUBUNGAN mesra antara beliau dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah membuatkan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, memilih sekolah itu bagi sebuah hadiah istimewa - set ensiklopedia perundangan Islam dalam bahasa Arab dari Iran.

'Saya mempunyai jalinan mesra dengan Madrasah Aljunied. Walaupun ia tidak berada dalam kawasan undi saya, beberapa pemimpin akar umbi kawasan undi saya ada kaitan dengan madrasah ini,' ujarnya.

Oleh itu, Encik Yeo tidak teragak-agak menghadiahkan set ensiklopedia itu, yang diberi kepada beliau oleh seorang anggota Majlis Pelindung Iran, Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroudi, yang juga mantan ketua sistem perundangan Iran, semasa Encik Yeo melawat Iran November lalu.

'Dalam perbualan sejam saya dengan Ayatollah Shahroudi, beliau berjanji akan memberi saya set lengkap ensiklopedia Islam bermula dengan huruf alif dan hingga huruf terakhir,' kata Encik Yeo.

Beliau telah menerima set ensiklopedia di bawah huruf alif dan ini dihadiahkannya kepada Madrasah Aljunied semasa berkunjung ke madrasah itu semalam.

Pengarah Eksekutif Madrasah Aljunied, Ustaz Mohd Murat Md Aris, berkata ensiklopedia itu akan diletak di sudut khusus bagi kegunaan pelajar peringkat prauniversiti sebagai bahan rujukan.

Semasa kunjungan itu, Encik Yeo sempat memberi pandangan kepada media tentang calon parti pembangkang bagi pilihan raya umum akan datang.

'Calon-calon pembangkang yang lebih baik akan memberi warga Singapura pilihan lebih luas,' katanya.

Beliau menambah penting bagi Singapura mempunyai pembangkang boleh dipercayai kerana jika Parti Tindakan Rakyat (PAP) menjadi tidak bermoral atau lemah, ada pilihan lain bagi warga Singapura.

Calon pembangkang yang lebih baik juga bermakna pasukan yang dipimpinnya di GRC Aljunied harus bekerja lebih keras, katanya.

'Ini bermakna kami tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap pengundi, sama ada pengundi kali pertama, warga tua, cendekiawan mahupun buruh kasar,' ujar Encik Yeo.

Beliau juga berkata akhirnya terpulang pada pengundi memilih siapa di antara calon yang bertanding di kawasan mereka mampu mewakili mereka dengan lebih baik dan meningkatkan kehidupan mereka.


Sunday, April 3, 2011

Bas langgar pagar sekolah (30.03.11)

-- Foto PEMBACA B H, ABDUL SALAM MOHD NOOR


PAGAR sekolah di Woodlands Drive 14 ini remuk dan tembok ditepinya pula roboh setelah dirempuh sebuah bas petang semalam.

Bas yang dipercayai ditinggalkan pemandunya di luar Sekolah Rendah Woodgrove itu dikatakan terlajak dan merempuh pagar.


Menurut polis, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar 2.30 petang dan tiada seorang pun yang cedera dalam kejadian itu.


Mengesahkan kejadian tersebut, naib pengetua sekolah, Encik Teo Cheak Han, berkata tiada pelajar atau guru berada di tempat itu semasa kejadian berlaku.


Encik Abdul Salam Mohd Noor, 54 tahun, yang tinggal berdekatan, berkata beliau terdengar dentuman kuat sekitar 2.20 petang dan terus bergegas keluar.


'Dengar-dengar pemandu bas itu turun bas sekejap untuk rehat. Tapi bas itu hilang kawalan dan terus langgar pagar,' ujarnya.