Sunday, September 26, 2010

Pakar seni tembikar kini di 'rumah baru' (BH, 26.09.10)

'RUMAH' BARU DI TEMPAT LAMA: Encik Iskandar di ruang berkaryanya di Politeknik Temasek yang lengkap dengan dua tanur gas yang didermakan Taman Warisan Melayu. Di situ juga terdapat ruang pejabat, ruang mengajar pelajar dan tempat melayan tetamu berhawa dingin.

BAGAIKAN sirih pulang ke gagang.

Setelah pernah lebih sedekad mengajar di Politeknik Temasek (TP) sehinggalah beliau bersara pada 1999, pakar tembikar, Encik Iskandar Jalil, kini kembali semula ke politeknik tersebut.

Sejak sekitar tiga minggu lalu, Encik Iskandar, 71 tahun, sudah berpindah ke 'rumah barunya', sebuah ruang seluas kira-kira gelanggang bola keranjang, di pekarangan politeknik yang terletak di Tampines itu.

Ia kini menjadi studio ikon seni negara itu dan selain menjadi pusat bagi beliau berkarya, ia juga akan dijadikan sebuah pusat rujukan dan kajian tembikar.

'Siapa sahaja, pelajar atau peminat tembikar, boleh menghubungi kami dan memanfaatkan tempat ini.

'Saya merancang membangunkan semacam perpustakaan dan menyediakan pelbagai sumber rujukan di sini,' ujar beliau.

Mei lalu, akhbar ini melaporkan ketidaktentuan yang menyelubungi masa depan Encik Iskandar setelah beliau menerima surat untuk mengosongkan studionya di Taman Warisan Melayu.

Beliau bersama pelukis batik terkenal, Encik Sarkasi Said, diminta Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk meninggalkan TWM bagi membuka laluan kepada rombakan pusat itu yang akan dijalankan NHB.

Mujur, Pengerusi NHB, Profesor Tommy Koh, membantu Encik Iskandar mendapatkan tempat di TP. Beliau juga difahamkan telah membantu Encik Sarkasi mendapatkan tempat alternatif.

Ketika ditemui Berita Minggu di studio barunya itu, Encik Iskandar berkata beliau agak sedih meninggalkan TWM dan kawasan Kampong Gelam.

'Tapi saya menerima perubahan ini dengan hati dan sikap yang terbuka. Di sini tidak banyak gangguan, jadi lebih sesuai untuk berkarya. Saya ghairah dengan potensi tempat ini,' kata beliau.

Selain ruang-ruang berkarya untuk dirinya dan juga para pelajar beliau, lengkap dengan dua tanur gas yang didermakan TWM, Encik Iskandar juga mempunyai ruang pejabat dan tempat melayan tetamu berhawa dingin di studio barunya itu.

Encik Iskandar tidak perlu membayar sewa bagi studio barunya itu.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu, jurucakap TP berkata Encik Iskandar telah banyak menyumbang kepada politeknik itu sebagai seorang guru, pakar tembikar dan tokoh seni.

'Lantas, kami gembira dengan kehadiran Encik Iskandar sekali lagi di kampus kami untuk terus berkarya,' ujar beliau.

Jurucakap itu menambah, politeknik tersebut juga telah berbincang dengan pemenang pingat budaya itu untuk mengendalikan kelas-kelas tembikar bagi para pelajarnya.

'Encik Iskandar ialah seorang pakar tembikar terkemuka di dunia, tapi beliau seorang yang rendah hati. Motivasinya bukanlah wang, tetapi sebaliknya beliau berkarya secara jujur dan atas sikap cinta kepada seninya.

'Kami harap nilai-nilai beliau ini dapat menjadi inspirasi kepada para pelajar dan merangsang kreativiti mereka,' tambah jurucakap tersebut.

Encik Iskandar berkata beliau gembira untuk kembali mengajar.

'Mengajar memang sesuatu yang saya minat. Saya harap dapat menghasilkan generasi pelapis penggiat tembikar.

'Cuma satu saja, saya harap pelajar generasi baru ini dapat terima cara mengajar saya,' ujar beliau, yang memang dikenali sebagai guru yang tegas dan garang.

No comments: