Tuesday, November 30, 2010

An-Nur lebih bercahaya (BH, 27.11.10)

BERI TAKLIMAT: Encik Khoo memberi penerangan tentang Masjid An-Nur yang baru, yang dijangka siap pada akhir suku pertama 2012, kepada Encik Hawazi Daipi, Haji Rahim, Dr Yaacob Ibrahim dan Haji Mohd Alami. -- Foto KHALD BABA

Rekaan seni bina oleh firma arkitek yang reka The Pinnacles@Duxton

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MASJID An-Nur yang baru bukan sahaja mampu menampung lebih ramai jemaah tetapi juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan warga emas dan golongan kurang upaya.

Kos pembinaan semula masjid di Marsiling yang berusia 30 tahun itu menelan belanja sekitar $8 juta.

Pembinaan semula masjid itu akan dimulakan bulan depan.

Menariknya, arkitek yang terpilih menghasilkan rekaan senibina untuk 'wajah baru' Masjid An-Nur ini ialah Encik Khoo Peng Beng dari syarikat M/s Arc Studio, yang bertanggungjawab atas rekaan seni bina bagi estet The Pinnacles@Duxton di Tanjong Pagar.

Dalam ucapannya sempena pelancaran pelan peningkatan masjid itu semalam, pengerusinya, Haji Rahim Mawasi, berkata Masjid An-Nur berwajah baru dijangka siap pada akhir suku pertama 2012 dan boleh menampung hampir 4,500 orang - berbanding 3,500 sekarang.

Kelebihan masjid baru ini ialah, ia turut memuatkan dewan serbaguna dan ruang sivik serta ruang membolehkan keluarga solat berjemaah.

Ciri-ciri mesra warga emas dan kurang upaya mencakupi laluan bercerun, lif dan tandas untuk golongan kurang upaya di setiap tingkat.

Ia juga dilengkapi dengan alat mesra sekitaran seperti alat jimat air dan elektrik, penggunaan cahaya suria serta sistem kitar semula air.

Di samping itu, masjid baru akan turut mengetengahkan bilik darjah yang boleh diubah suai untuk digunakan sebagai ruang sembahyang.

Menurut Haji Rahim, sejauh ini pihak masjid telah berjaya mengumpulkan $4 juta.

Turut hadir dalam pelancaran itu semalam ialah Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohd Alami Musa, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi.

Menurut Dr Yaacob beliau bersyukur kepada masyarakat Melayu/Islam yang telah memberi sumbangan melalui Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) untuk membolehkan kerja-kerja peningkatan itu dijalankan.

'Kita telahpun meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) untuk gunakan sedikit wang daripada MBMF untuk kita perbaiki masjid yang telah usang seperti masjid An-Nur.

'Jadi saya rasa ini satu langkah yang baik oleh kerana kita tahu masjid seperti An-Nur yang telah lama memberi khidmat yang baik kepada masyarakat kita, tetapi dengan peredaran zaman dan peningkatan jemaah-jemaah yang ada di Woodlands ini, An-Nur memerlukan ruang yang lebih besar, ruang yang lebih relevan bagi masyarakat kita yang terkini.

'Jadi saya bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh masyarakat kita dan saya berharap kita akan terus menyumbang untuk masjid An-Nur dan masjid-masjid lain yang akan menjalankan perubahan, insya-Allah,' jelas Dr Yaacob lagi.

Semalam merupakan kali terakhir sembahyang Jumaat diadakan di masjid itu yang dipimpin Mufti Negara, Syed Isa Mohd Semait.

Sementara menantikan masjid yang baru didirikan, sebuah bangunan sementara akan didirikan bersebelahan Masjid An Nur.

Dijadualkan siap pertengahan bulan depan, ia dijangka boleh menampung lebih 1,000 jemaah.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,177211-1290895140,00.html?

Disiplin dan kegigihan bawa ganjaran (BH, 26.11.10)

BERCITA-CITA TINGGI: 'Aqilah Dariah dari Sekolah Rendah Coral mendapat agregat 278 mata hasil kerja keras mengulangkaji pelajaran enam jam sehari setiap hari. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Nurul Dayana Simangoon

SEJAK setahun lalu, 'Aqilah Dariah Mohd Zulkarnain, 12 tahun, menghabiskan enam jam sehari setiap hari mengulangkaji pelajaran.

Ini demi mengejar cita-citanya ingin menjadi doktor satu hari nanti.

Pengorbanan, disiplin diri yang tinggi dan kegigihannya ternyata tidak sia-sia.

'Aqilah muncul murid Melayu terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, dengan agregat 278 mata.

Murid Sekolah Rendah Coral yang turut muncul sebagai pelajar ketiga terbaik nasional dalam PSLE tahun ini, meraih empat gred A* dan merit bagi Bahasa Melayu Lanjutan.

Ditemui semalam, 'Aqilah berkata sejak tahun lalu dia rela mengorbankan dua perkara yang amat digemarinya - permainan komputer dan sukan berbasikal.

Anak bongsu dua beradik itu berkata dia sentiasa berusaha mencapai keputusan akademik terbaik kerana ingin menjadi doktor.

'Pernah saya begitu kecewa dengan keputusan ujian Sains kerana gagal meraih markah yang saya inginkan hingga saya menangis!

'Saya percaya seseorang itu harus sentiasa berusaha mencapai yang terbaik. Tiada yang mustahil jika anda yakin dengan kebolehan sendiri,' ujarnya, yang merancang ke Sekolah Menengah Perempuan Raffles (RGS).

Ibunya, Cik Eireena Rahman, 40 tahun, seorang guru Bahasa Melayu, berkata sejak kecil anaknya itu tidak perlu dipaksa belajar.

'Aqilah seorang yang bersikap 'go-getter' dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya. Ada kalanya, kami yang harus mengingatkannya supaya berhenti belajar dan berehat,' ujarnya.

Bapa 'Aqilah seorang jurutera berusia 45 tahun dan kakaknya, 16 tahun, menuntut di Sekolah Menengah Temasek.

Tahun ini, seramai 45,049 murid Darjah Enam menduduki PSLE.

Daripada jumlah itu, 43,826 murid atau 97.3 peratus layak ke sekolah menengah - 63.5 peratus ke aliran Ekspres, 22.1 peratus ke aliran Normal (Akademik) dan 11.7 peratus ke aliran Normal (Teknikal).

Bakinya belum bersedia untuk sekolah menengah atau lebih sesuai mengikuti latihan vokasional.

Murid Sekolah Rosyth, Alex Tan Kian Hye, muncul murid terbaik PSLE tahun ini dengan agregat 282 mata manakala Muhammad Hameem dari Sekolah Rendah Henry Park muncul murid India terbaik dengan agregat 274 mata.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,177130-1290808740,00.html
?

Sunday, November 14, 2010

Fatris jadi mufti mulai Januari (BH, 12.11.10)

TAHNIAH: Mufti Syed Isa Semait (kiri) mengucapkan tahniah kepada Ustaz Mohamed Fatris Bakaram yang akan mengambil alih jawatan Mufti mulai tahun depan. -- Foto TAUFIK A. KADER

Pelantikan dapat sokongan Muis dan dilulus Presiden Nathan

SINGAPURA akan mempunyai mufti baru mulai tahun depan.

Ustaz Mohamed Fatris Bakaram, 40 tahun, akan menyandang jawatan itu mulai 1 Januari ini, menggantikan Mufti Syed Isa Semait - mufti Singapura selama hampir 40 tahun - yang bersara hujung tahun ini.

Menyusuli persaraannya, Syed Isa, 72 tahun, akan berkhidmat sebagai penasihat kepada Pejabat Mufti.

Pelantikan itu diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi satu kenyataannya semalam.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, semalam mendedahkan bahawa Muis menyokong pelantikan Ustaz Mohamed Fatris.

Presiden S R Nathan juga telah meluluskan pelantikan itu seperti yang diperlukan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).

Ustaz Mohamed Fatris, yang mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Inggeris Pasir Panjang dan kemudian ke Madrasah Aljunied, adalah lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin.

Beliau juga memiliki sarjana dalam pentadbiran dan pengurusan pendidikan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kedoktoran Falsafah Pengajian Islam (menanti penganugerahan) daripada Universiti Birmingham, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjayanya di Madrasah Aljunied sebagai guru dalam 1993 sebelum menyertai Muis pada 1994 sebagai pegawai eksekutif.

'Saya ingin membawa masyarakat bersama menonjolkan diri kita sebagai sebuah masyarakat yang kukuh pegangan akidah dan pengamalan agama, tapi pada masa yang sama menjadi satu masyarakat yang menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan masyarakat, negara dan malah seluruh umat manusia.

'Peranan mufti akan datang ialah meletakkan dirinya dan masyarakatnya ke tahap yang lebih tinggi, bukan setakat dalam pengamalan agama, malah membuat sumbangan kepada kehidupan manusia dan dunia,' ujarnya.

Menurut Dr Yaacob, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Ustaz Mohamed Fatris sesuai dan berkelayakan mengambil alih jawatan Mufti. Beliau dapat menyambung dan menguatkan lagi sumbangan-sumbangan Syed Isa.

Presiden Muis, Haji Mohd Alami Musa, berkata Ustaz Mohamed Fatris secara bertahap-tahap menyelia lebih banyak tugas Pejabat Mufti sejak dilantik Timbalan Mufti pada April 2004.

Dr Yaacob dan Haji Mohd Alami memberi sanjungan tinggi kepada Syed Isa atas sumbangannya.

Dr Yaacob merakamkan terima kasih kepada Syed Isa atas kepimpinan keagamaan cemerlang beliau kepada masyarakat Muslim Singapura.

Beliau, yang dilantik menjadi Mufti pada 1972, disanjung secara meluas atas kepimpinan berprinsip dan progresif berhubung pelbagai isu selama menjadi mufti.

Syed Isa, lulusan Universiti AlAzhar, dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas) tahun lalu.

Beliau pernah melahirkan hasrat mengundurkan diri ketika berusia 65 tahun, tetapi perlu menyambung tugas kerana pengganti yang sesuai belum ditemui.

'Saya sambung dengan minta bantuan daripada Allah swt, dan saya syukuri khidmat-khidmat saya... jika saya hadapi masalah yang susah ditempuh, saya doa sahaja kepada Allah, dan saya bersyukur kerana boleh dikatakan kesemuanya itu terhurai dengan bantuan Allah swt.

'Jadi apabila sampai tahun bersara tetapi belum ditemui penggantinya, maka saya tidak dapat izin syarii untuk tinggalkan kerja ini kerana keperluan sehingga ada penggantinya, barulah saya boleh berhenti,' kata Syed Isa.

Haji Mohd Alami berkata persetujuan Syed Isa untuk menjadi penasihat kepada Pejabat Mufti dan Jawatankuasa Fatwa akan memastikan peralihan jawatan itu berjalan licin.

Menurut beliau, Muis akan mencari waktu sesuai bagi membolehkan para pemimpin masyarakat menunjukkan penghargaan secukupnya kepada Syed Isa atas sumbangan, nasihat dan kepimpinan keagamaan yang beliau curahkan kepada masyarakat sejak 38 tahun lalu.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,176204-1289599140,00.html
?


Friday, November 5, 2010

Kesusasteraan membina kemanusian (BH, 05.11.10)

Dr Ariff harap Asas '50 dapat terus hidup sekalipun beliau sudah tiada

Persatuan Angkatan Sasterawan '50 menyambut ulang tahunnya yang ke-60 pada 6 Ogos lalu. Sempena majlis sambutan malam ini tiga anugerah utama akan disampaikan kepada aktivis tegar persatuan itu. Nadzri Eunos (nadzri@sph.com.sg) menemu ramah penerima anugerah tersebut mengenai pengalaman mereka memartabatkan kesusasteraan Melayu di Singapura.

TIADA manusia yang mampu menilik apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Apatah lagi ahli kesusasteraan Melayu yang satu ketika dulu pernah dituduh sebagai ahli nujum.

Namun, setiap insan mampu berharap.

Begitu jugalah Pendeta, Dr Muhammad Ariff Ahmad, atau dikenali dengan nama penanya, Mas.

Sejak pertama kali 19 pemuda berkumpul di rumah bujangnya di Henderson Road pada 1950 dan bertekad untuk menubuhkan sebuah persatuan yang akan memartabatkan kesusasteraan Melayu di bumi Temasek, beliau menyimpan harapan - agar pertubuhan Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) yang baru dilahirkan - akan panjang umur dalam perjuangannya menggunakan sastera untuk membina manusia.
Ternyata 60 tahun kemudian, harapan yang ditanam itu bukan sahaja bertunas, malah kini subur dan mekar berbunga.

Sayangnya, daripada 19 yang menghadiri pertemuan pertama untuk melahirkan Asas 50, hanya seorang sahaja yang diizinkan melihatnya menyambut ulang tahun yang ke-60.

'Saya rasa seperti budak hitam yang ke-10 kerana saya satu-satunya pengasas yang tinggal,' kata Budayawan Negara, Dr Ariff, selamba tertawa, merujuk kepada lagu kanak-kanak 10 Budak Hitam.

Menyelongkar lembaran sejarah, Dr Ariff menceritakan secara ringkas antara pencetus penubuhan Asas 50 ialah ketandusan wadah bagi para penulis ketika itu.

'Ketika itu saya anggota Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS). Saya minta diberi ruang untuk mengumpulkan para penulis, tetapi isu yang hangat pada waktu itu ialah membela nasib guru-guru Melayu agar setaraf dengan guru-guru mata pelajaran lain dari segi gaji dan layanan,' jelas Dr Ariff yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-86 pada 6 Disember ini.

Katanya pada waktu itu tiada persatuan yang memperjuangkan nasib para penulis.

'Dulu apabila kami sumbang karya ke surat khabar kami tidak dapat apa-apa bayaran. Kalau karya diterbitkan besar hati kami, tapi kalau karya dibuang habislah pelaburan kami beli dakwat dan kertas.

'Selepas Asas 50 ditubuhkan saya dipanggil ketua Utusan Melayu ketika itu, Encik Yusof Ishak, pada 21 Januari 1951. Beliau beritahu para penerbit bahawa fikiran penulis amat berharga.

'Saya kemudian diberi 5 ringgit untuk penulisan saya yang menyangkal dakwaan bahawa sasterawan adalah ahli nujum,' kata Dr Ariff mempamerkan daya ingatannya yang masih tajam.

Selepas itu, katanya, para penulis yang menyumbangkan karya mendapat bayaran. Demikian antara kisah-kisah yang mewarnai tahun-tahun awal Asas '50 yang dikongsi Dr Ariff sepanjang temu bual selama sekitar sejam.

Terpancar kebanggaannya terhadap pencapaian persatuan itu sepanjang enam dekad.

Asas '50, katanya, kini mampu menerbitkan buku kerana adanya sokongan kewangan; meluaskan kegiatannya kepada pihak-pihak yang sealiran, juga para pelajar dan telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan badan-badan luar negara dalam usaha memperjuangkan kesusasteraan Melayu baik di persada negara mahupun dunia.

Beliau akur strategi yang digunakan Asas '50 dalam usaha memenuhi slogan 'Sastera Bina Manusia' telah berubah dari masa ke masa.

'Dalam erti kata lain, kesusasteraan adalah pembina kemanusiaan... Teknik dan taktik boleh berubah bergantung kepada tiga perkara - penganut, tempat dan zaman - tetapi terasnya tetap sama,' tegas Dr Ariff.

Justeru baginya, kaedah dwibahasa yang kini digunakan Asas '50 untuk memasyarakatkan kesusasteraan Melayu di Singapura adalah tepat pada masanya.

'Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa maklumat, tetapi karya tetap dalam bahasa Melayu,' katanya lagi.

Pendekatan tersebut telah membantu memperkenalkan Asas '50 kepada golongan bukan Melayu sekali gus membuka pintu kepada sokongan dan pengiktirafan di peringkat nasional.

Namun, Dr Ariff menekankan perlu adanya 'penghulu' teguh yang mampu memastikan perjuangan asas tidak dilencongkan.

'Kita patut ada pengawal mutu!' seloroh Dr Ariff.

Dalam hal ini beliau yakin golongan pemimpin pelapis Asas '50 mampu melaksanakannya.

Doa beliau, agar Asas '50 terus berjuang lama selepas 'budak hitam' yang tinggal satu ini berpulang.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175820-1288994340,00.html?

Pembuka jendela dunia Melayu (BH, 05.11.10)

GILA! Itulah herdikan yang dilemparkan kepada Cik Chan Maw Woh apabila ada yang mendapat tahu beliau sedang mempelajari bahasa Melayu secara sendiri.

Ia berlaku pada 1957. Cik Chan berusia 20-an tahun ketika itu.

'Kamu orang gila, hendak belajar bahasa yang mundur, padahal bahasa Inggeris yang bermutu tinggi itu kamu abaikan, seperti orang yang memakai kereta lembu sedangkan motokarnya disimpan saja!'

Itulah tohmahan yang dirakamkan Cik Chan dalam cerpen karyanya Mempelajari Bahasa Kebangsaan yang disiarkan Utusan Pelajar pada 23 Mac 1961.

'Saya tak pedulikan kerana saya gemar belajar bahasa Melayu. Waktu itu Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura baru mengecap kemerdekaan. Saya sedar perlu dipupuk perpaduan antara rakyat berbilang bangsa.

'Usaha saya menterjemahkan hasil-hasil karya Melayu ke dalam bahasa Cina dan sebaliknya diharap menyumbang kepada usaha tersebut,' jelas Cik Chan ketika ditemu bual di rumahnya di Jalan Mengkudu, baru-baru ini.

Katanya pada tahun-tahun menyusul merdeka, ramai orang Cina yang belajar bahasa Melayu.

'Mereka ingin tahu lebih mendalam mengenai masyarakat Melayu supaya boleh bersatu,' jelas nenek lima cucu yang kini menjangkau usia 73 tahun.

Berpandukan niat mulia itulah Cik Chan gigih menterjemahkan karya Melayunya yang pertama - novel Nyawa di Hujung Pedang - sekali gus mencipta sejarah.

Terjemahan yang memakan masa sekitar enam bulan untuk disiapkan dan diterbitkan pada 1959 itu merupakan novel Melayu pertama yang dialih bahasa dalam sejarah kesusasteraan Mahua (Cina Malaysia) dan Xinhua (Cina Singapura).

'Proses menterjemah novel itu amat mencabar. Saya gunakan kamus untuk fahami setiap perkataan. Selepas sekitar enam bulan ia siap dengan bantuan beberapa teman yang memperbetul dan menghalusi penterjemahan saya,' kata Cik Chan menguntum senyuman.

Itulah titik tolak penglibatan beliau dalam bidang penterjemahan dan penulisan dalam bahasa Melayu.

Selepas lebih 50 tahun, mantan wartawan akhbar Cina, Lianhe Zaobao, itu telah menghasilkan pelbagai genre penerbitan daripada kamus bersama suaminya, Dr Yang Quee Yee, juga penterjemah ulung, sehingga ke pojok yang disiarkan akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Cik Chan berkata usaha tersebut masih dilakukannya hingga ke hari ini sambil menunjukkan keratan akhbar yang dipotongnya dan kemudian diterjemah dan disiarkan Lianhe Zaobao.

Projek terbarunya ialah penerbitan edisi pindaan Kamus Bahasa Cina-Melayu yang dijangka dilancarkan awal tahun depan.

'Saya tidak terjemah sebarangan. Saya perlu faham sepenuhnya sesebuah karya. Kalau saya tak faham, saya tak terjemahkan,' kata anggota seumur hidup Angkatan Sasterawan '50 itu.

Dan selepas lima dekad tekun menterjemah dan menulis, Cik Chan berkata usahanya sudah membuahkan hasil.

'Baru-baru ini seorang mahasiswa Universiti Unisim telah bertemu saya. Beliau mengucapkan terima kasih kerana penterjemahan novel Satu Bumi karya Isa Kamari yang digunakannya untuk menulis tesis,' katanya dengan raut bersinar puas.

'Usaha saya selama ini merupakan sumbangan kecil kepada perpaduan kaum di Singapura. Saya harap ia akan diteruskan.

'Mungkin juga kita perlu menterjemah lebih banyak karya bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu supaya usaha membina jambatan persefahaman rentas budaya berlaku dua hala.

'Saya tidak mampu lakukannya seorang diri! '

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175821-1288994340,00.html?

Bagai sirih pulang ke gagang (BH, 05.11.10)

Herwanto menanti ketika apabila anak Melayu tidak lagi malu dipanggil Melayu

JELAS di mata semua yang mengenali diri Encik Muhd Herwanto Johari bahawa beliau amat menyerlah dalam arena kesusasteraan Melayu.

Ia terbukti dengan rentetan anugerah buku dan pertandingan yang dimenanginya semasa di Raffles Institution. Yang menonjol ialah anugerah Buku Perdana Menteri pada 1993.

Namun, pencapaiannya itu semuanya kabur di mata Encik Herwanto.

Beliau kemudian 'digoda' oleh keindahan seni bina yang membawanya mengejar Diploma Seni Bina di Politeknik Singapura.

Tetapi, lima tahun lalu pada usia 25 tahun, beliau tiba di persimpangan jalan hidupnya.

'Ia membuatkan saya berfikir panjang tentang diri saya dan haluan hidup saya.

'Barulah saya sedari bahawa cinta pertama saya ialah bahasa Melayu. Saya memohon untuk memasuki Program Latihan Khas (Bahasa Melayu) dan alhamdulillah diterima,' jelas Encik Herwanto yang kini berusia 30 tahun.

Beliau kini dalam tahun kedua kursus Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang.

'Semasa baru-baru masuk NIE, saya bertemu dua rakan saya di kantin. Mereka kata 'Kau memang sajak jadi guru bahasa Melayu sebab cenderung dalam bahasa dan sastera'. Saya tertawa kerana sebelum ini ia tidak terlintas dalam fikiran saya,' katanya.

Di NIE, beliau dicabar oleh seorang pensyarahnya untuk 'mencari dirinya' dengan meneroka bidang tukikan yang selari dengan nalurinya.

'Dari situ saya cuba dedahkan diri saya kepada pelbagai aktiviti - menerbitkan majalah, mengendalikan program dan berjinak-jinak dalam bidang kepimpinan,' ujarnya.

Keyakinan diri yang bertambah membuka peluang kepimpinan di beberapa pertubuhan termasuk menjadi Presiden Kelab Guru Pelatih NIE; anggota eksekutif Kesatuan Mahasiswa NTU dan anggota jawatankuasa eksekutif Angkatan Sasterawan '50.

Encik Herwanto turut menyerlah dalam bidang akademik apabila beliau merangkul anugerah Pelatih keseluruhan Terbaik bagi Program Latihan Khas Bahasa Melayu.

Semua itu bukan sahaja membuktikan bahawa beliau mampu cemerlang di luar 'kepompong' Melayu, malah membuka ruang baginya mengejar misi utamanya.

'Misi utama saya yang saya lakarkan untuk diri saya sendiri ialah membuat generasi muda Melayu bangga terhadap bahasa dan budayanya kembali,' kata Encik Herwanto bersungguh-sungguh.

Katanya ia tercetus selepas bertemu dengan pengasas, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Operation Hope, Encik John Hope Bryant, di Forum Global Sosial Innovators 2009.

'Saya mewakili NIE di forum itu. Saya bertanya kepada Encik Bryant apa yang boleh saya lakukan untuk memajukan masyarakat Melayu di Singapura.

'Beliau menjawab sebelum sesebuah masyarakat menjadi mantap, sekurang-kurangnya 5 peratus daripada anggotanya perlu menjadi pemimpin - baik pemikir mahupun penggerak.

'Justeru, saya berazam untuk memartabatkan masyarakat Melayu.

'Namun, selagi kita masih terus berasa malu dan menidakkan apa yang hakiki - bahawa kita semua adalah orang Melayu yang berbudaya dan berbahasanya sendiri, masyarakat Melayu tidak akan bersinar di kaca mata dunia,' katanya.

Justeru, Encik Herwanto menganggap pilihan kerjayanya sebagai guru bahasa Melayu dan penglibatannya dengan Asas '50 akan membolehkannya meneruskan perjuangan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad yang bermula 60 tahun lalu.

'Saya menanti ketika apabila anak Melayu kita tidak lagi malu dipanggil Melayu,' kata Encik Herwanto.

**** **** **** ****

ANUGERAH LAIN

Anugerah Munsyi Abdullah
Suratman Markasan - 58 tahun (1952-2010)
Mohamed Latiff Mohamed - 44 tahun (1966-2010)

Anugerah Bakti Cemerlang
Masran Sabran (Kewangan dan Perakaunan)
Abdul Samat Ali (Pentadbiran)
Fariz Husna Sajani (Gerakan Belia)
Muhd Irwan Jamal (Biro Penerbitan)
Hoirul Amri (Pengurusan Program)

Anugerah Jasawan Asas '50
Abdul Ghani Hamid
Aliman Hassan

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175822-1288994340,00.html?

Tuesday, November 2, 2010

Hotel Fairmont dijangka dapat markah mesra halal gred 5 (03.11.10)

PIKAT PELANGGAN ISLAM: Encik Fazal (kiri) yakin potensi hotel itu untuk dapat gred lima bagi mesra halal. Beliau dan Pengarah Urusan, Wellcare Executive Concierge Services, Encik Borhan Saini, menjamu masakan halal Asian Market Cafe di Hotel Fairmont, kelmarin. -- Foto KHALID BABA

Oleh Rosebi Mohd Sah

HOTEL Fairmont Singapore, yang baru-baru ini menerima sijil makanan halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi dapur restoran Asian Market Cafe, kemungkinan besar mendapat gred lima bagi ujian mesra halal, kata Pengarah Urusan, syarikat yang menilai hotel-hotel sedemikian, Crescentrating, Encik Fazal Bahardeen.

Gred lima adalah yang tertinggi bagi hotel mesra halal di Singapura sejauh ini yang sebelum ini hanya dicapai hotel lima bintang, Royal Plaza On Scotts.

Sebelum ini, Hotel Fairmont, yang terletak di Raffles City, Bras Basah Road, hanya mendapat gred tiga dalam ujian mesra halal Crescentrating lebih setahun lalu.

Sebelum mendapat sijil halal, restoran di tingkat dua hotel itu dikenali sebagai Plaza Market Cafe.

Ditemui Ekoniaga di majlis merasmikan sijil halal hotel itu kelmarin, Encik Fazal berkata, hotel itu mendapat gred tiga apabila ia menjalani ujian mesra halal yang dikendalikan syarikat tersebut pada Oktober tahun lalu.

Penilaian itu dibuat setelah mengambil kira apa yang diumumkan Pengurus Besar Fairmont Singapore dan Naib Presiden Serantau, Asia, Fairmount Hotels & Resorts, Encik Ian Wilson, mengenai beberapa perkhidmatan baru yang mesra halal bagi para pelanggannya, semasa mengumumkan sijil halal bagi dapur Asian Market Cafe kelmarin.

Antara perkhidmatan mesra halal lain yang ditawarkan hotel tersebut termasuk:

menyediakan Al-Quran dan sejadah

dapur bankuet halal yang diselia ketua tukang masak Muslim di Pusat Konvensyen Raffles City

pakej bankuet perkahwinan dan bilik-bilik mesyuarat yang mesra halal

saluran berita televisyen Al Jazeera dari Timur Tengah.

'Banyak perubahan baru yang dilakukan hotel itu selepas kami menilai hotel itu dari segi mesra halal lebih setahun lalu.

'Kami akan mengadakan penilaian semula ke atas hotel itu dalam tempoh seminggu. Kemungkinan besar gred mesra halal hotel lima bintang itu melompat daripada gred tiga kepada gred lima adalah suatu yang tidak mustahil,' tambah Encik Fazal.

Crescentrating menyediakan laman www.crescentrating.com untuk menilai dan menyenaraikan hotel-hotel setempat dan di seluruh dunia, yang berdaftar dengannya berdasarkan tahap kemudahan yang ditawarkan kepada pelanggan dan pelawat Islam.

Mengulas, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abdul Rohim Sarip, berkata: 'Dengan menjadi satu lagi restoran halal utama di pusat bandar, ia tentunya memudahkan kami membawa para tamu Islam bagi jamuan tengah hari atau malam di hotel lima bintang ini.

'Restoran ini juga berdekatan dengan pejabat Dewan di Kampong Glam. Ini tentunya baik bagi para pelawat dan peniaga Muslim serta baik bagi ekonomi negara.'

http://cyberita.asia1.com.sg/mekoniaga/story/0,6879,175676,00.html
?

Antara mistik Mbah Maridjan dan sains (BH, 03.11.10)

Oleh Ahmad Ali Nurdin

TRAGEDI yang menimpa sebahagian penduduk di lereng Gunung Merapi yang meletus minggu lalu telah menarik perhatian dunia.

Apatah lagi antara penduduk itu ialah Mbah Maridjan, 82 tahun, (mbah atau ejaan penuhnya, 'embah' bererti nenek atau datuk, di sini ia bermaksud suatu gelar ketua-tuaan).

Namanya terkenal seantero dunia sejak beberapa tahun lalu apabila Gunung Merapi mula menunjukkan tanda-tanda akan meletus.

Namun, sebagai 'sang jurukunci', beliau yang nama penuhnya Mas Penewu Surakso Hargo atau Ki Surakso Hargo pernah hanya menyifatkan dari segi kerohanian bahawa gunung itu sekadar 'batuk' saja.

Pada dekad 1970-an, namanya hanya dikenali para pendaki gunung yang tertinggi di Jawa. Kini ketika orang menyebut Merapi, maka fikiran orang akan terus ingat pada Mbah Maridjan.

Sekarang sang jurukunci itu telah tiada, wafat kerana awan panas yang dikenal sebagai wedhus gembel. Selain ditangisi banyak orang, kematian sang jurukunci itu menimbulkan tengkarah.

Ada yang menyalahkan Mbah Maridjan kerana kedegilannya menyebabkan ramai penduduk di lereng itu tidak mahu melarikan diri ('mengungsi') ke tempat selamat ketika Merapi meletus. Bagi kelompok ini, Mbah Maridjan dianggap sombong.

Ada pula yang memuji dan menghargainya kerana dianggap 'setia' pada tugasnya.

Menurut Sri Sultan Hamengku Buwono X (Gabenor Jawa Tengah dan juga sultan Mataram), Mbah Maridjan memang mahu mengungsi tetapi meminta waktu untuk solat dahulu. Ketika solat, awan panas menyerangnya.

Apa pun pendapat orang tentang kematiannya, banyak pelajaran yang dapat diambil daripada kisah Mbah Maridjan.

Pertama, beliau seorang sederhana yang setia pada tugasnya sehingga ke akhir hayatnya meskipun penuh risiko.

Memang sejak 1982 Mbah Maridjan ditunjuk sebagai jurukunci Merapi oleh Almarhum Sri Sultan Hamengku Buwono IX (ayahanda sultan).

Mbah Maridjan tidak mahu berpindah walaupun ketika Merapi mula meledak pada 2006 sungguhpun telah diarahkan oleh sultan sekarang.

Bagi Mbah Maridjan, perintah menjaga Merapi bererti perintah kekal di kawasan itu. Inilah pengabdiannya walaupun suatu hal yang tidak masuk akal atau logik.

Kedua, meskipun sudah popular kerana menjadi pelakon iklan sebuah produk minuman di televisyen, beliau hidup sederhana dan dermawan. Banyak wang hasil iklan itu didermakan kepada jiran-jirannya yang miskin.

Ketiga, walaupun dikatakan 'sang jurukunci' kerana memahami 'bahasa alam', ternyata ilmunya tetap kurang. Jika Tuhan sudah menghendaki, maka kudrat-Nya berlaku seperti letusan Merapi baru-baru ini.

Bagi sebahagian orang di Jawa, kematian sang jurukunci merupakan petanda baik kerana mengakhiri kepercayaan mistik - kebatinan Jawa. Kononnya, Mbah Maridjan ialah manusia sakti. Konsep 'sakti' bertentangan dengan akidah umat Islam.

Hakikatnya, Mbah Maridjan tidak pernah mengakui dirinya 'sakti', tetapi hal ini muncul kerana tanggapan sesetengah orang.

Keluarga dekatnya saja menyebut Mbah Maridjan sebagai Muslim yang warak sekalipun tidak alim. Sebab itulah, sewaktu meninggal beliau sedang sujud bersolat.

Ilmu beliau mengenai Gunung Merapi sangatlah luar biasa. Menurut rektor Universitas Islam Indonesia, Profesor Edy Swandi Hamid, Mbah Maridjan tidak bersekolah tinggi tetapi dapat membaca alam bak seorang profesor.

'Beliau dapat membaca isyarat alam - dari angin, gerak haiwan dan lainnya,' ujar Profesor Edy.

Bagi saya, kesetiaan bekerja Mbah Maridjan harus dijadikan contoh kepada para pegawai pemerintah - daripada menteri sehingga pekerja biasa. Jika ini dicapai, saya yakin Indonesia akan maju dan makmur.

Selamat jalan Mbah Maridjan. Semoga Tuhan mencucuri rahmat atas rohmu.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,175698,00.html?

Perlunya perancangan agar isteri dan anak dapat pembelaan wajar (BH, 03.11.10)

Jika orang yang tidak amanah dilantik menjadi 'administrator' atau 'executor', besar kemungkinan pembahagian harta pusaka tidak akan diuruskan dengan adil dan saksama

Oleh Suhaimi Salleh

DERINGAN telefon menyentak kekyusukan Marfuah. Beliau baru saja selesai solat asar dan sedang menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi.

Jantungnya tiba-tiba berdebar.

'Jangan-jangan si Harun tu lagi ke?' hatinya berbisik.

'Helo,' Marfuah menjawab telefon dengan suara perlahan.

'Helo, Kak Mar, eh?... ini Harunlah. Bila kakak nak bincangkan fasal harta pusaka abang Hashim. Dah dekat dua bulan abang meninggal. Bila lagi kak?' tanya Harun.

Marfuah tidak dapat berkata apa-apa.

'Kakak..., kakak tak boleh buat bodoh saja tau kak,' sambung Harun.

'Lagipun rumah kakak perlu kakak jual dan bahagikan hasilnya ikut faraid!' desak Harun lagi.

Marfuah hanya dapat menangis di sisi telefonnya. Tangisannya semakin kuat. Tiada perkataan yang keluar daripada mulutnya, walaupun memang banyak yang dia hendak katakan kepada adik iparnya yang biadab itu.

Gagang telefon dihempaskan ke tempatnya. Tidak sanggup lagi beliau mendengar kata-kata lantang si Harun.

'Kalau aku kena jual rumah ini, mana aku nak tinggal nanti...,' hatinya berbisik diiringi sedu-sedan.

Marfuah dan Hashim telah berumah tangga selama lebih 20 tahun, tetapi tidak dikurniakan zuriat. Harun adalah satu-satunya adik suaminya itu. Ibu bapa Hashim sudah lama meninggal dunia.

Bagaimanapun, hubungan Harun dengan abangnya tidak begitu rapat. Harun sering keluar masuk penjara kerana masalah dadah. Kerana itu, Hashim seberapa boleh menjauhkan diri daripada Harun.

Hashim meninggal dunia akibat kemalangan di jalan raya.

Sejak kematian Hashim, Harun yang tidak pernah mengenali agama, tiba-tiba sahaja bercakap fasal faraid.

'Kakak, kawan saya bilang, kerana arwah abang tak ada emak bapak dan zuriat, saya sebagai adik kandungnya mewarisi tiga perempat daripada harta pusaka arwah abang. Kakak sebagai isteri hanya dapat satu perempat saja tau,' kata Harun, selepas satu majlis tahlil arwah Hashim.

Marfuah hampir pengsan mendengar kata-kata Harun itu.

'Betul ke apa yang dikatakan si Harun tu?' bisik hatinya ketika itu.

Marfuah belum sempat bertanyakan kepada sesiapa mengenai pembahagian harta pusaka suaminya itu. Hatinya masih begitu sedih dengan pemergian mendadak orang yang disayanginya itu. Kini, hidupnya sebatang kara kerana beliau anak tunggal yang kematian ibu bapa.

'Rumah abang dan kakak ini pun nak kena faraid,' sambung Harun dengan nada sinis.

Sejak malam itu, hampir setiap hari Harun akan menelefon Marfuah untuk bertanyakan mengenai harta pusaka Hashim.

'Kalau kakak tak mahu uruskan juga, saya akan dapatkan lawyer. Sudah tentu saya akan diberikan kuasa administrator harta pusaka abang, kerana hak faraid saya lebih tinggi daripada kakak,' kata Harun dalam suatu perbualan di telefon.

Marfuah tidak tahu apa yang dimaksudkan Harun tentang administrator. Namun, beliau tetap cemas dengan kenyataan Harun ingin mendapatkan seorang peguam.

ULASAN

Mengikut faraid, oleh kerana Hashim hanya meninggalkan seorang isteri dan seorang adik lelaki, harta pusakanya akan dibahagikan kepada isteri (satu perempat) dan adik lelaki (tiga perempat).

Disebabkan Hashim tidak membuat wasiat untuk melantik seorang pengurus dan pengamanah harta pusakanya (atau executor), maka pihak mahkamah selalunya akan memilih waris yang mempunyai hak tertinggi untuk menjadi administrator, jika ini dipersetujui oleh waris-waris yang lain. Dalam kes ini, mahkamah juga boleh memilih untuk melantik kedua-dua adik serta isteri Hashim untuk menjadi joint administrators.

Administrator dilantik jika si mati tidak meninggalkan wasiat. Executor pula dilantik jika si mati ada wasiat.

Peranan kedua-duanya sama, iaitu untuk mengurus dan membahagikan harta pusaka si mati mengikut faraid, wasiat atau instrumen perancangan harta pusaka yang dibuat si mati.

Jika orang yang tidak amanah dilantik menjadi administrator atau executor, besar kemungkinan pembahagian harta pusaka tersebut akan diuruskan tanpa mengambil kira kepentingan dan kebajikan waris-waris lain.

Dalam kes ini, jika Harun dilantik menjadi administrator harta pusaka Hashim, mungkinkah kebajikan Marfuah diambil kira oleh Harun?

Bagi mengelakkan hal ini daripada terjadi, mungkin Hashim semasa hidupnya boleh membuat wasiat dan melantik Marfuah atau orang yang dipercayainya menjadi executor.

Orang yang dinamakan sebagai executor dalam wasiat selalunya dilantik mahkamah secara automatik untuk menjadi pengurus dan pengamanah harta pusaka si mati.

Selain daripada itu, bagi menjaga kebajikan isteri setelah ketiadaannya, Hashim mungkin dapat membuat nuzriah atau hibah ruqba untuk rumah yang dimiliki secara joint-tenancy itu bagi memberikan hak miliknya kepada isterinya setelah kematiannya.

Mengikut fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dengan cara ini hak milik rumah tersebut akan berpindah kepada Marfuah mengikut prinsip joint-tenancy dan syarak.
Niat Hashim untuk memberikan hak miliknya kepada isterinya dapat dinyatakan dengan jelas dalam instrumen nuzriah atau hibah ruqba itu, dan tidak boleh dipertikaikan lagi oleh Harun.

Dengan cara membuat perancangan harta pusaka seperti ini, sekurang-kurangnya Hashim dapat memberikan rumah serta sebahagian daripada harta pusakanya kepada isterinya.

Memandangkan keadaan perumahan yang agak unik di negara kita ini, penting bagi para suami memastikan kepentingan dan kebajikan isteri dan anak-anak mereka dari aspek perumahan tetap terjaga, dan tidak menyebabkan isteri dan anak-anak merempat akibat kurang perancangan daripadanya.

Wallahuaklam.

Nota: Penulis ialah ketua pegawai eksekutif Barakah Capital Planners, sebuah syarikat yang memberi khidmat penyediaan wasiat, nuzriah dan hibah ruqba serta perancangan dan pembahagian harta pusaka.

Beliau boleh dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 9185-2559 atau dengan melungsuri laman http://www.barakahcapital.com.sg/.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175707,00.html?

Melayari kerjaya di lautan luas (BH, 03.11.10)

BERHASRAT JADI KAPTEN: Pegawai kedua di kapal Asean Cableship, Cik Lina Soho, mengatasi pelbagai cabaran, termasuk harus mengimbangi masa tugas dan menulis tesis di atas kapal, untuk meraih ijazah Sarjana Muda dalam Operasi Kelautan. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Nur' Adilah Mahbob

KERJAYA sebagai kelasi mungkin tidak digemari ramai anak muda Singapura hari ini.

Namun, bagi Cik Lina Soho, 28 tahun, beliau melihat peluang pekerjaan dalam bidang tersebut bak hamparan lautan terbentang luas.

'Saya yakin bidang ini dapat menawarkan peluang pekerjaan yang baik bukan sahaja di Singapura malah di seluruh dunia,' kata Cik Lina, pegawai kedua di Asean Cableship Pte Ltd, ketika ditemu ramah Berita Harian di kapal Asean Restorer, baru-baru ini.

Kini, lebih banyak peluang mungkin terbuka kepadanya kerana Cik Lina telah berjaya meraih ijazah Sarjana Muda dalam Operasi Laut dari Akademi Kelautan Singapura (SMA) di Politeknik Singapura (SP), Jumaat lalu.

Sebelum ini, beliau telah meraih diploma dalam pengajian nautika dari SP pada 2002.
Namun, 'pelayarannya' bagi menggenggam ijazah dalam tangan perlu menghadapi 'badai'.

Pada peringkat pertama dan kedua kursus tersebut, Cik Lina menghadiri pengajian tiga bulan di SMA, diikuti tiga bulan pula di Maritime Institute Willem Barentsz, pada 2006.

Beliau mengimbas pengalaman menyambut Ramadan dan Aidilfitri di rantauan, seorang diri tanpa keluarga.

'Kampus kami terletak di sebuah pulau yang terpencil dan tiada masjid atau sesiapa pun yang boleh bersama rayakan.

'Ia satu pengalaman yang penuh emosi buat saya,' kata Cik Lina, yang belum berumah tangga.

Pada 2007, Cik Lina ditawarkan bekerja di Asean Cableship dan mendapati dirinya harus mengimbangi masa kerja dan menulis tesis bagi peringkat akhir kursus sarjana muda itu, lantas bercadang menunda ke tahun lalu.

'Kami bekerja tujuh hari seminggu. Jadi, saya harus mencari masa lapang dan korbankan masa rehat menulis tesis.

'Bukan mudah, terutama sekali apabila lautan bergelora, saya tidak dapat beri perhatian sepenuhnya kepada penulisan tesis,' ujar Cik Lina.

Namun, beliau tidak mudah menyerah diri dan meneruskan perjuangannya.

Tesis beliau meneliti kaitan perhubungan wayarles dengan operasi meletakkan dan memperbaiki kabel di dasar laut, yang dikendalikan kapal syarikat Asean Cableship.

'Ayah saya selalu mendorong kami berdikari, bahawa kaum wanita juga boleh lakukan apa yang dilakukan kaum lelaki dalam hampir semua kerjaya.

'Itu yang membuat saya ingin tahu tentang 'kerjaya orang lelaki' dan merangsang saya merantau dan mula belayar sejak usia 18 tahun,' ujar anak kedua dalam keluarga dua beradik perempuan itu.

Cik Lina merupakan salah seorang daripada hanya dua orang wanita daripada sekitar 50 anak kapal Asean Restorer.

'Kadang-kadang rasa sunyi juga. Tetapi saya isikan masa lapang dengan membaca atau membuat yoga di kabin,' katanya.

Cik Lina, yang kini hanya dua pangkat di bawah kapten, berura-ura mengambil lesen 'Master Mariner' bagi melayakkan dirinya menjadi kapten.

'Saya juga miliki impian mendirikan rumah tangga satu hari nanti. Walaupun saya tidak akan menjadi pelaut seumur hidup, saya ingin terus bekerja dalam industri ini,' ujar Cik Lina.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,175668,00.html?