Saturday, March 28, 2009

SASTERA TIDAK LAGI 'BORING', (BH 28.03.09)

Sayap Belia Asas 50 bukukan dan lagukan lakaran emosi belia bermasalah dalam bentuk penulisan kreatif


Oleh Hanim Mohd Saleh


MUNGKINKAH tanggapan bahawa sastera itu membosankan bakal menjadi sejarah dengan semangat baru yang disuntik kaum belia terhadap dunia penulisan Melayu? Bayangkan senario ini.

Anda mempunyai masalah peribadi. Kalau biasanya anda memekik dan menghentakkan kepala untuk mengeluarkan perasaan yang mencengkam, kini anda mempunyai wadah meluahkan perasaan dalam bentuk penulisan.

Bahasa ilmiahnya, anda memilih kaedah bibliotheraphy. Lebih mengasyikkan, tulisan anda dibukukan dan pengalaman anda dijadikan lagu yang dapat menenangkan perasaan.

Bukan setakat penulisan lagu, bahkan lakaran emosi yang diluahkan dalam bentuk penulisan kreatif itu ditafsirkan dalam seni rekaan grafik digital, yang dapat digerak dan diamati secara sensasi di layar lebar.

Apabila ini terjadi, apakah anda terus-terusan menyatakan sastera itu boring?

Apa yang dinyatakan di atas bukan sekadar angan-angan, tetapi sudah pun dilaksanakan oleh anggota yang selama ini mungkin dianggap golongan yang slow and steady apabila menyentuh urusan dunia sastera Melayu, iaitu Angkatan Sasterawan 50.

Lebih tepat, ia merupakan idea segar yang sedang bersungguh-sungguh dijayakan oleh anggota Sayap Belia Asas 50 yang majoritinya dianggotai guru-guru pelatih berusia awal dan pertengahan 20-an tahun.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2003 ini diasaskan oleh mentor dan Ketua 1 Asas 50 yang baru dilantik dalam Mesyuarat Agungnya baru-baru ini, Encik Mohd Pitchay Gani.

Kumpulan yang diketuai oleh Encik Suryadi Md Bajuri, seorang guru, itu baru-baru ini melancarkan buku Diari Hitam, koleksi cerpen yang dihasilkan oleh penghuni dan bekas penghuni Pusat Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan Pertapis.

Buku tersebut merupakan hasil daripada terapi penulisan yang dipergiatkan oleh anggota Asas 50 dalam usaha mendekati belia bermasalah.

Lanjutan daripada projek itu, penyanyi Aqmal Noor (juara Anugerah 2004) yang turut menganggotai sayap belia tersebut, mencipta dan merakamkan empat single yang liriknya ditulis oleh Encik Herwanto Johari, Encik Mohd Latiff Mohd dan Encik Jailani. Ia merupakan paparan pengalaman yang dilalui para penghuni tersebut.

Antara lagu tersebut, Cindai, sudah pun diputar di corong radio.

Ketika ditemui baru-baru ini, Aqmal, juga guru pelatih, berkata pendekatan yang diambil anggota muda Asas 50 ini mahu menjadikan kegiatan sastera relevan dengan perkembangan teknologi hari ini demi memikat golongan belia.

'Kita tidak lagi mampu mengehadkan kegiatan sastera dalam ruangan dewan yang hanya dihadiri para peminat sastera.

'Untuk mendekati belia, kita kena bersikap proaktif. Kami berusaha mengenali apa yang diminati belia.

'Justeru kami gunakan wadah IT, sukan dan hiburan untuk memancing golongan remaja dan belia mengenali seni bahasa dan budaya kita dengan cara yang menarik dan dianggap kool.

'Kami tak mahu mereka kata, ah, sastera itu boring,' kata Encik Aqmal.

Menyentuh tentang aspek sukan, Encik Herwanto, ketua program, berkata kumpulannya mengenalkan acara yang diberi nama Bintang Olimpik Impian, yang berkonsepkan rancangan realiti popular, Amazing Race.

Di setiap stesen cabaran, peserta diberi arahan meneka atau melakukan aksi yang berkaitan dengan bahasa dan budaya termasuk permainan tradisional. Aspek bahasa, tentunya menjadi penekanan utama dalam projek ini.

Mereka juga akan melancarkan Program Bingkas Belia (PBB) atau Heartland Poet, acara sempena Olimpik Belia dengan kerjasama dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan. Ia akan berlangsung dari Mei hingga Julai ini.

Menerusi projek ini, lebih 500 pelajar di peringkat sekolah menengah akan dilatih dalam pembelajaran, penghayatan dan penerapan hasil sastera di dalam konteks kontemporari.

'Program ini akan menerapkan beberapa aspek seperti Muzitra (kaedah penggunaan dan penerapan muzik dalam pembinaan dan penghayatan sastera), Olimpiad, kaedah pemerkasaan pelajaran melalui aspek jasmani, drama, bahasa, budaya, sastera. Kami juga akan kenalkan Tektra yang menggunakan alat komputer dan perekaan grafik digital berdasarkan karya sastera,' tambah beliau.

Untuk memastikan kaedah IT dimanfaatkan sepenuhnya, jabatan IT yang diketuai Cik Nur Namira Mazlan juga telah dibentuk.

Menurut ketua biro penerbitan, Encik Muhd Irwan Jamal, laman Facebook akan digunakan sebagai wadah perkongsian hasil penyelidikan dan pelajaran yang telah dilalui para pelajar.

Kalau generasi lama Asas 50 bergerak dengan berteraskan slogan Seni Untuk Masyarakat, generasi mudanya pula menambah kepada Seni Membina Manusia.

'Kami harap dapat melakarkan lebih banyak program yang dapat memperkayakan jiwa masyarakat, terutama untuk belia, generasi masa depan kita,' kata Encik Herwanto lagi.