Sunday, October 18, 2009

Bersemangat bantu mangsa gempa Padang (BH, 19.10.09)

SELAMAT PULANG: LTC (Dr) Mohamad Rosman memeluk erat anaknya, Zara, engan diperhatikan isterinya, Cik Khaiyisah, sekembali beliau ke tanah air selepas berbakti membantu mangsa gempa di Padang.


Pasukan perubatan SAF rawat ramai pesakit dan sediakan klinik bergerak

Oleh Safhras Khan

SECARA purata, beliau dan pasukan perubatannya menolong 100 mangsa gempa bumi sehari di Pariaman, Padang.

Bagi Leftenan Kolonel (Dr) Mohamad Rosman Othman, cabaran terbesar yang dihadapi pasukannya ialah bilangan pesakit yang ramai menunggu giliran untuk dirawat.

'Apabila kami tiba di Pariaman untuk memulakan operasi, ramai pesakit ingin dirawat. Ini amat mencabar. Tetapi pasukan saya dapat menjalankan tugas dengan penuh motivasi dan menghabiskan masa yang lama untuk merawat pesakit,' ujar LTC (Dr) Mohamad Rosman, 36 tahun.

Beliau mengetuai pasukan perubatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dikerah ke Pariaman untuk menolong mangsa gempa yang melanda Sumatera pada 30 September lalu.

Pasukannya bermarkas dekat Hospital Awam Pariaman.

'Kami juga harus bersikap fleksibel dengan keadaan daerah itu, apatah lagi hospital tersebut mengalami kerosakan teruk,' kata LTC (Dr) Mohamad Rosman semasa ditemui di Muzium Angkatan Udara semalam.

Beliau antara 87 anggota SAF dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang pulang semalam selepas menghabiskan masa dua minggu membantu mangsa gempa itu.

Selain menolong mangsa di kawasan Pariaman, pasukan perubatan itu mengadakan klinik bergerak di kawasan Koto Bongko.

'Di Koto Bongko hanya ada seorang doktor sahaja. Beliau gembira kerana kami bersedia membantunya di kawasan itu,' kata LTC (Dr) Mohamad Rosman.

Menurut beliau, pasukan klinik bergerak itu dianggotai dua orang doktor dan enam paramedik. Pasukan tersebut beroperasi dari 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.

Kepulangan LTC (Dr) Mohamad Rosman disambut gembira oleh isterinya, Cik Khaiyisah Abdullah Chng, dan anak perempuan mereka, Zara, lapan bulan.

Cik Khaiyisah, 30 tahun, bangga akan sumbangan suaminya.

'Beliau memang ingin membantu dan sebelum pergi bagi misi ini beliau telah banyak membuat persediaan,' katanya.

Kini LTC (Dr) Mohamad Rosman ingin menghabiskan masa dengan anaknya.

'Saya rindu akannya,' ujar beliau sambil tersenyum.

Kepulangan pasukan itu disambut Panglina Tentera Darat, Mejar Jeneral Neo Kian Hong. Dalam ucapannya, beliau berkata misi tersebut menunjukkan SAF sentiasa bersiap sedia untuk menolong walaupun dalam jangka masa yang singkat.

'Sebagai jiran, Singapura harus membantu Indonesia. Pasukan kami juga telah berjaya membina dua klinik mudah alih, satu di Koto Bongko di Pariaman dan satu lagi di Padang Pasir di Padang,' ujarnya.

Sementara itu pasukan perubatan SCDF yang ditugaskan ke Rumah Sakit Umum Daerak Pariaman juga telah pulang semalam. Pasukan itu terdiri daripada seorang doktor dan dua paramedik.

Mereka antara 42 anggota Kontingen Operasi Lionheart SCDF yang dikerahkan ke Padang pada 2 Oktober lalu.

Seramai 39 anggota lain SCDF telah pulang ke Singapura pada 8 Oktober lalu.

Friday, October 9, 2009

MBMS akan wujudkan kumpulan pakar bahasa Melayu (BH, 10.10.09)

Oleh Linilidia Abdul Hamid

MAJLIS Bahasa Melayu Singapura (MBMS) akan mewujudkan kumpulan pakar bahasa Melayu.

Di samping itu, MBMS juga akan menemui badan-badan Melayu untuk merangka acara-acara kebahasaan bagi mengembangkan bahasa kebangsaan Singapura.

Badan bahasa itu juga akan mengadakan acara mengumpul dana bagi menampung kegiatan-kegiatan yang diharap dapat diadakan sepanjang tahun dan tidak tertumpu pada Bulan Bahasa sahaja, jika perlu.

Kesemua itu telah diumumkan Pengerusi MBMS, Encik Hawazi Daipi, dalam satu acara jamuan teh anjuran MBMS di Restoran Tepak Sireh semalam.

Menyentuh tentang penubuhan kumpulan pakar bahasa Melayu, beliau berkata pihaknya ingin mengenal pasti tokoh-tokoh atau kalangan individu yang boleh menjadi rakan bahasa Melayu.

'Mereka boleh menjadi contoh dalam bidang yang mereka khususi. Contohnya, saya harap kita dapat kenal pasti golongan karyawan yang boleh menggunakan bahasa Melayu dengan baik supaya menjadi rakan bahasa Melayu. Mereka inilah yang akan menjadi contoh kepada karyawan lain untuk menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin,' ujar Encik Hawazi, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan).

Mengenai pertemuan dengan badan-badan Melayu, beliau berkata pertemuan akan diadakan 'pada bulan-bulan mendatang'.

Mengenai soal dana, selain daripada sumbangan pemerintah sebanyak lima kali ganda daripada apa yang dikumpulkan MBMS, Encik Hawazi berharap jumlah itu dapat ditambah melalui kegiatan pengumpulan dana daripada masyarakat.

Beliau, bagaimanapun, tidak memberikan perincian mengenai usaha itu.

Semasa ditemui di akhir majlis, Ketua Jabatan Bahasa Melayu Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, berkata usaha mengadakan kumpulan pakar adalah sesuatu yang wajar.

'Kita perlu membina segolongan elit budaya, di mana jumlahnya harus cukup dan mantap. Elit budaya ini diperlukan dalam bidang kepakaran tertentu dari segi linguistik, bahasa dan kebudayaan,' ujar beliau.