Friday, October 29, 2010

Aktivis wadah pemikiran kritikal (BH, 29.10.10)

Oleh Nadzri Eunos

HANYA dua tahun lalu penulisan dalam bahasa Melayu yang mampu dihasilkan oleh Cik Nurul Fasha Samsudin dan temannya Nur Hafizah Mohd Rashid terhad kepada karangan di bilik darjah dan berjinak-jinak dengan sajak dan penulisan kesusasteraan lain.

Pada masa itu tidak terlintas di hati kededua gadis berusia 19 tahun itu bahawa penulisan mereka boleh dijadikan sebuah alat kritikal yang mampu mengupas isu-isu yang merundung masyarakat Melayu setempat.

Namun, itulah kebolehan yang diraih Cik Fasha dan Cik Hafizah selepas mengikuti kursus Program Latihan Khas (Bahasa Ibunda) (STP) di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang selama dua tahun.

Di sana, mereka dilatih dalam penulisan akademik sebagai sebahagian daripada latihan mingguan.

Kini, kedua-duanya mampu menghasilkan penulisan akademik yang kritikal lagi mendalam, sekali gus membawa kesimpulan yang mudah dihadam pembaca.

Ketika ditemui baru -baru ini, kedua-dua guru pelatih bahasa Melayu itu akur kagum terhadap anjakan kemahiran yang diperoleh sejak mengikuti kursus STP pada 2008.

Kata Cik Fasha: 'Pada mulanya saya rancang lanjutkan pelajaran ke maktab rendah atau politeknik, tetapi selepas terbaca mengenai program STP, saya langsung sertai kerana tawarannya yang menarik.'

Bagi Cik Hafizah pula kecenderungannya dalam bahasa Melayu sejak di bangku sekolah menjadi pendorong utama.

'Kekuatan saya memang dalam bahasa Melayu. Apabila program ini ditawarkan, cikgu saya yang sarankan saya ikutinya,' katanya.

Menurut kedua-duanya, kursus STP mengajak mereka membincangkan isu-isu yang hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat.

'Kami diajak berbincang secara kritikal dan mengupas dalam kelas sebagai tugasan mingguan. Lama-kelamaan proses berfikir secara krikal sudah menjadi satu kebiasaan,' kata Cik Hafizah menguntum senyum.

Kelaziman ini, menurut Cik Fasha, ada kesan sampingannya.

'Yang paling ketara saya dapati saya macam dah tak sealiran dengan teman-teman sebaya saya yang lain. Sedang mereka masih lagi disibukkan dengan perkara-perkara kehidupan harian, fikiran saya sering menjurus kepada isu-isu lebih besar yang menjejas masyarakat,' ujar Cik Fasha.

Penulisan kritikal Cik Fasha dan Cik Hafizah, yang rata-rata mendapat gred A, mendapat pengiktirafan apabila ia terpilih untuk diterbitkan dalam edisi ke-10 jurnal separa akademik Aktivis, baru-baru ini.

Jurnal akademik berkala itu diterbitkan oleh Persatuan Budaya Melayu Program Latihan Khas (Bahasa Ibunda), NIE dan ditaja oleh Angkatan Sasterawan '50 (Asas 50).
Difahamkan, ia merupakan jurnal paling lama diterbitkan di Singapura.

Cik Fasha dan Cik Hafizah telah terlibat dalam penerbitan dua edisi jurnal tersebut.

Dalam edisi ke-10, Cik Fasha menyumbangkan sebuah artikel bertajuk Strategi Perguruan Di Sebalik Permainan Catur.

Cik Hafizah lebih prolifik dengan sumbangan enam artikel antaranya Agama Mangkin Vaksin Progresiviti Bangsa dan Sajak Saksi Tenggelamnya Melayu Kota Singa.

Bagi kedua-duanya kehadiran jurnal Aktivis amat penting sebagai wadah merangsang penulisan kritikal dalam kalangan guru-guru pelatih NIE yang bakal menjadi pentarbiah generasi muda yang akan datang.

Malah, bagi Cik Fasha, ia telah pun membuka laluan baginya berkembang menjangkau media silang bahasa.

'Penglibatan saya menulis dan menyunting artikel-artikel untuk Aktivis telah membantu saya dipilih sebagai editor majalah NIE,' dedah beliau.

Bagi Cik Hafizah, kemampuan berfikiran kritikal akan dibawanya ke bilik darjah.

Katanya: 'Pada masa yang sama kami ingin membuktikan salah tanggapan atau stereotaip guru bahasa Melayu dan buktikan kami juga mampu berfikiran kritikal dan mengupas isu-isu yang dekat di hati masyarakat.'

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175397,00.html?

No comments: