Tuesday, October 12, 2010

Terhutang budi pada Orang Laut (BH, 13.10.10)

Oleh M. Effendy A. Hamid

PERANAN golongan suku kaum Melayu yang kecil seperti Bajau dan Orang Laut sebenarnya besar dalam sejarah.

Itulah garapan saya selepas meneliti kisah Orang Bajau, suku kaum perantau dan pedagang laut di antara perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Orang Laut memang disebut dalam Sejarah Melayu. Suku kaum ini berbakti kepada sultan atau raja Melayu dengan melindungi jalan laut.

Saya teringat suatu perbincangan tentang Sejarah Melayu dan Orang Laut dalam satu pertemuan tidak lama dulu.

Saya sendiri menimbulkan kedudukan mereka yang penting tetapi kurang dicatat apatah lagi diperkatakan.

Pada 1819, menurut catatan British, Singapura digambarkan sebagai sebuah kampung nelayan. Ertinya, Singapura sebelum 1819 tidak begitu penting. Padahal ini bukan hakikatnya.

Kajian arkeologi (penggalian) oleh sejarawan Universiti Nasional Singapura, Dr John Miksic, telah mendedahkan peranan Singapura yang penting sepanjang abad ke-14.

Ertinya, dasar kewujudan Singapura sebagai pelabuhan perdagangan telah lama ada sejak zaman bahari. Bahkan, Thomas Stamford Raffles menyedari hal ini ketika berkunjung ke Singapura pada 1819 untuk membangunkannya semula sebagai pelabuhan entrepot.

Dr Leonard Andaya, yang kebetulan penyelia kajian kesarjanaan saya, telah menulis buku yang kini dianggap adikarya iaitu Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (University of Hawaii Press, 2008).

Dalam bab keenam bukunya, Dr Andaya menyelongkar peranan Orang Laut yang amat penting dalam pembentukan kerajaan-kerajaan Melayu (diejanya Malayu dan bukan Malays).

Orang Laut dianggap penting sehingga diberi darjat kehormatan oleh raja-raja Melayu.

Mereka mengawal jalan laut dan sekali gus memastikan keamanan yang penting bagi perdagangan antarabangsa.

Orang Laut memang arif laut - dari segi musim, ombak, makanan laut seperti ikan sehinggalah mutiara yang diperlukan untuk pasaran China.

Namun, sumbangan terbesar mereka yang diakui raja Melayu ialah memelihara laluan laut termasuk 'memujuk' kapal dagang agar singgah di pelabuhan, kata Dr Andaya.

Sayangnya, bakti Orang Laut berkurangan selepas perubahan besar dalam perkembangan ekonomi Melayu daripada bergantung pada laut kepada pertanian dan perlombongan mulai akhir abad ke-19 Masihi.

Hakikatnya, kurang kajian mengenai Orang Laut dari segi sejarah, kebudayaan dan pemikiran mereka.

Kehadiran mereka mengawali kerajaan pesisir di Selat Melaka termasuk Kesultanan Melaka.

Memandangkan cara hidup mereka yang 'menyendiri' dan hanya sekali-sekala menemui masyarakat terbanyak, kita perlu mengupas tanggapan mereka mengenai, misalnya:

pembangunan bahasa Melayu dan budaya di Malaysia dan Singapura;

kesan pada diri mereka sejak perpisahan Singapura dari Malaysia;

kedatangan British dan pertumbuhan Singapura sebagai pusat perdagangan penting;

peranan orang Cina dalam sejarah Asia Tenggara - bagaimanakah Orang Laut menanggapi masyarakat Cina?

kesan Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara;

bagaimanakah Orang Laut menyesuaikan diri dengan transformasi Asia Tenggara yang sedang berlaku kini;

apakah perspektif Orang Laut tentang proses-proses ini?

Saya pernah membaca makalah dari The Straits Times, 25 Disember 1949, mengenai Orang Laut Singapura di selatan Johor.

Ketua Orang Laut bergelar 'batin' atau 'tok batin'. Ketika itu, terdapat dua suku Orang Laut di Singapura, iaitu Orang Kalang dan Orang Selat.

Orang Kalang datang dari Riau dan menetap di Pulau Kalang, tetapi mereka harus berpindah ketika lapangan terbang dibina pada masa itu.

Banyak Orang Kalang menetap di Pasir Panjang. Orang Kalang dibahagi dua, iaitu Orang Kopek dan Orang Senggera.

Wanita suku Kopek menjadi ibu susuan (wet nurse) kerabat Sultan Singapura. Hal ini mengingatkan kita kisah wanita kaum Badwi yang menjadi ibu susuan kepada anak-anak di Makkah, termasuk Nabi Muhammad saw.

Orang Senggera pula menjadi pengikut Sultan Hussin Shah Singapura, termasuk sebagai pemain muzik pesta keramaian diraja.

Orang Selat (atau Orang Singapura) menjadi pengikut Temenggong Abdul Rahman dan tinggal di perahu-perahu mereka di muara sungai Singapura. Mereka mengakui diri mereka sebagai suku yang memandu bot Raffles mendarat di tebing Sungai Singapura.

Gambaran tentang kegiatan ekonomi Orang Kalang memang menarik. Mereka berjualan daun nipah muda untuk membuat kertas rokok. Mereka mengumpulkan nipah tersebut di Kepulauan Riau dengan berperahu layar kecil yang disebut 'perahu.pucuk'.

Walaupun Orang Laut dikatakan tidak terpelajar atau dikatakan menjauhi kemajuan, hal ini tidak benar. Ada yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, gigih dan sangat memelihara maruah dan berbangga dengan asal mereka sebagai 'Orang Asli Singapura' seperti mantan menteri kabinet, Haji Othman Wok.

Kini dengan Singapura menerima banyak orang asing untuk bekerja dan bermastautin di sini, apakah yang terjadi pada penakatan 'Orang Asli Singapura'?

Hal ini bukan sekadar pertimbangan sejarah, bahkan jati diri Singapura. Wajar kita mengkaji hal ini sebelum kisah Orang Laut tidak lagi diketahui dan suku kaum ini pupus dek masa.


http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,174425,00.html?

No comments: