Thursday, October 7, 2010

Wanita suci bernama Maryam (BH, 08.10.10)

Oleh Sulaiman Jeem

TERNYATA Hannah hamil dan melahirkan anak perempuan yang dinamakannya Maryam.

Bak memenuhi nazarnya, anak ini kemudian dititipkan di rumah ibadah.

Menurut ahli tafsir, Ibnu Kathir, memang sudah menjadi adat Bani Israel menitipkan anak lelaki mereka ke rumah ibadah. Ia dianggap suatu kemuliaan di sisi mereka.

Sebelumnya, Imran, suami Hannah, pernah mempersoalkan nazar isterinya itu. Menurut Imran, jika anak yang akan lahir itu perempuan bagaimana hendak meletakkannya di rumah ibadah Baitulmakdis. Ini kerana golongan perempuan mempunyai masalah sendiri seperti haid dan aurat yang membatasi mereka menyesuaikan diri di rumah ibadah.

Ketika lahir, Maryam menjadi yatim kerana Imran telah meninggal dunia. Surah Ali-Imran ayat 33 hingga 36 menceritakan hal ini:

'(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: 'Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada-Mu anak yang dalam kandunganku menjadi seorang yang dibebaskan (daripada segala ikatan dengan makhluk). Kerana itu terimalah (nazar itu) daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'.

'Maka tatkala isteri Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: 'Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkan itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamakannya Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada-Mu daripada gangguan syaitan yang terkutuk'.'

Sebagai balu, Hannah takut hidup sendirian. Namun, beliau meneguhkan hatinya untuk melaksanakannya demi Allah. Hannah tetap menitipkan Maryam di tempat ibadah.

Menurut Imam Quraisy Syihab, nazar ini menunjukkan isteri Imran mengharapkan kiranya anak yang dikandungnya lelaki yang dapat bertugas di rumah Allah. Ini demi menjaga kesucian tempat ibadah daripada haid yang dialami wanita.

Apa yang lebih penting lagi bahawa nazar tersebut membuktikan betapa dalamnya iman Hannah hingga sanggup mempersembahkan anak tunggalnya demi kepentingan agama.

Allah lalu menerima nazar Hannah untuk menitipkan Maryam di rumah ibadah. Allah berfirman bermaksud:

'Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Nabi Zakaria as pemeliharanya. Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, beliau dapati ada makanan di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: 'Hai Maryam dari mana kamu memperoleh (makanan) ini?' Maryam menjawab: 'Makanan itu daripada sisi Allah. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya'.'

Pada suatu hari, malaikat Jibrail menampakkan diri sebagai seorang lelaki di depan Siti Maryam. Malaikat itu memberi salam. Ia lalu meminta Siti Maryam agar jangan takut.

'Sebab kau berkenan di sisi Allah. Engkau akan mengandung dan melahirkan seorang anak yang harus kau beri nama Isa. Bererti Allah menyelamatkan,' kata malaikat Jibrail.

'Tetapi saya belum bernikah. Bagaimana hal itu boleh terjadi?' jawab Siti Maryam.

'Melalui Mukjizat Allah. Itulah sebabnya anak yang akan engkau lahirkan akan dipanggil Kudus. Tidak ada yang mustahil bagi Allah.'

Maryam menjawab lagi:

'Saya ini hamba Allah; biarlah terjadi kepada saya seperti yang engkau katakan.'

Malaikat Jibrail kemudian meninggalkan Maryam. Tidak lama kemudian Maryam pun hamil.

Sampai masanya, Maryam berasa akan melahirkan. Demi mengelakkan keadaan ribut, beliau meninggalkan kota Baitulmakdis dan pergi ke kawasan terpencil untuk melahirkan Isa.

Maryam yang sarat hamil dibisikkan agar menggoncang batang pohon kurma sehingga buahnya jatuh untuk dimakan. Malah terbit air mata air di kaki Maryam agar dijadikan sumber minumannya.

'Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

'Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati daripada segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: 'Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapa pun daripada kalangan manusia pada hari ini'.' (Surah Maryam: 25-26)

Demikianlah akhirnya Maryam melahirkan Isa as yang sejak bayi lagi sudah boleh berkata-kata. Setelah tenaganya pulih, Maryam kembali ke Baitulmakdis. Ramai orang berasa hairan dan curiga melihat Maryam menggendong bayi. Mulalah orang menuduhnya berzina tetapi Maryam enggan menjawab. Sebaliknya, Isa yang masih bayi membela ibunya.

Demikianlah secebis kisah wanita suci dan bertaraf wali bernama Maryam yang menjadi iktibar kepada kemanusiaan.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,174113,00.html?

No comments: