Sunday, October 10, 2010

beRBAKTI untuk baiki mutu hidup insan (BH, 10.10.10)

BERKEUPAYAAN DAN BERCITA-CITA TINGGI: Lima penyelidik Melayu di IBN bersama Profesor Jackie Ying (berjaket hitam). Di sebelah beliau (keempat dari kanan) ialah Pengarah Pentadbiran IBN, Cik Noreena Abu Bakar. Dari kiri ialah Encik Mohammed Shahrudin Ibrahim; adiknya, Cik Nor Lizawati Ibrahim; Cik Siti Nurhanna Riduan; Cik Nur-Afidah Mohamed Suhaimi dan Cik Amalina Ebrahim Attia. - Foto TUNI SHARIFF

Profil saintis-saintis Melayu yang membuat penyelidikan di Institut Kejuruteraan Bio dan Teknologi Nano (IBN)

MEREKA adalah antara sekumpulan tujuh orang penyelidik Melayu di Institut Kejuruteraan Bio dan Teknologi Nano (IBN).

Berikut sedikit latar belakang mereka dan penerangan tentang bidang penyelidikan mereka:

Cik Nur-Afidah Mohamed
Suhaimi, 24 tahun,
pegawai makmal di IBN dan
sedang memburu ijazah
Doktor Falsafah (PhD)
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
(Kepujian) dalam sains biologikal,
Universiti Teknologi Nanyang
(NTU), 2007

Penerima Anugerah Pembangunan Kakitangan Saintifik A*Star ini melahirkan rasa gembira dengan anugerah yang diterimanya itu kerana dengannya beliau dapat meneruskan impiannya untuk menggenggam ijazah PhD dalam bidang fisiologi di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS), sambil bekerja di IBN.

Ketika ini beliau sedang menjalankan penyelidikan mengenai penyakit barah.

'Selama ini saya memang sangat tertarik dengan penyakit barah. Jumlah kematian pesakit barah setiap tahun disebabkan kurangnya rawatan ubat yang berkesan, amat membimbangkan.

'Menurut Kajian Barah United Kingdom, dianggarkan 12.7 juta manusia di seluruh dunia didiagnosis menghidap barah pada 2008 dan sekitar 7.6 juta meninggal dunia akibat penyakit itu pada tahun yang sama.

'Penyelidikan saya di IBN tertumpu kepada penghasilan ubat untuk penyakit-penyakit hati, khususnya fibrosis hati dan barah hati,' terang Cik Nur-Afidah.

Beliau menambah, penyakit-penyakit hati lazim dihidapi oleh kaum lelaki Asia disebabkan faktor sekitaran dan gaya hidup.

Barah hati juga merupakan barah yang kedua paling banyak meragut nyawa kaum lelaki di seluruh dunia. Ketika ini terdapat hanya satu ubat yang diluluskan badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat untuk barah hati dan ia dapat melanjutkan usia pesakit barah hati selama tiga bulan saja, katanya.

'Kini kami sedang mencari rawatan berkesan untuk barah hati dengan menggunakan bahan-bahan kompaun yang disintesiskan di IBN. Bahan-bahan kompaun ini tampak memberikan kesan memberangsangkan dan berguna bagi tikus yang dijadikan model ujian,' tambah Cik Nur-Afidah, yang bercita-cita menjadi seorang profesor agar dapat menyebarkan ilmunya kepada generasi muda.

Cik Nor Lizawati Ibrahim,
24 tahun, pegawai makmal
di IBN
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
(Kepujian) dalam bidang kimia
dan kimia biologikal di Sekolah
Sains Fizikal dan Matematik,
NTU, 2009.

Mengenai bidang penyelidikannya iaitu kimia sintetik, Cik Nor Lizawati, yang bekerja di IBN bersama abangnya, Encik Mohammed Shahrudin Ibrahim, 26 tahun, berkata:

'Saya memang sudah lama meminati bidang kimia sintetik, malah saya menganggap kimia sebagai 'ibu kepada semua ilmu sains'.

'Di IBN saya berpeluang menjalankan penyelidikan dalam biologi sintetik yang membolehkan saya mengaplikasikan kemahiran saya sebagai seorang ahli kimia untuk menghasilkan pendekatan-pendekatan baru dalam perubatan regeneratif (perubatan yang melibatkan proses penggantian tisu atau fungsi organ akibat penyakit atau kecacatan).'

Beliau dan kumpulannya di IBN kini sedang menjalankan penyelidikan mengenai sintesis bagi apa yang disebut sebagai extracellular matrix.

'Kami berharap dapat memanfaatkan dapatan-dapatan kami ini bagi menghasilkan rawatan berkesan untuk pesakit hati, ginjal, pankreas dan jantung,' katanya.

Kajian tersebut masih di peringkat awal. Beliau menyatakan penyelidikan yang dijalankan memerlukan banyak masa, tenaga dan minat mendalam di luar dan di dalam makmal.

'Bagaimanapun, saya tetap berasa puas jika saya mendapat hasil yang memberangsangkan, biarpun sedikit. Kepuasan yang saya rasakan selepas kerja keras yang dicurahkan sukar saya gambarkan,' katanya.

Encik Mohammed Shahrudin
Ibrahim, 26 tahun,
pegawai makmal IBN
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
(Kepujian) dalam bidang sains
biologikal di Sekolah Sains
Biologikal, NTU, 2009.

'Biologi memang bidang kekuatan saya dan saya ingin melakukan sesuatu yang mempunyai aplikasi dalam kehidupan sebenar. Maka itu, saya merebut peluang untuk menjalankan penyelidikan dalam kejuruteraan bio dalam kumpulan berbilang disiplin di IBN.

'Walaupun saya perlu meninggalkan zon selesa saya, kemungkinan bahawa penyelidikan saya akan membawa huraian kepada beberapa masalah dalam dunia sebenar, menjadi pendorong bagi saya,' ujar Encik Mohammed Shahrudin.

Di IBN beliau merupakan sebahagian anggota kumpulan yang mencipta bahan-bahan bio baru untuk membuat alat-alat organ tiruan.

Kumpulan itu juga telah menghasilkan membran yang dapat menyokong pertumbuhan sel-sel dan membolehkannya hidup dan berfungsi dalam sekitaran sintetik.

'Matlamat kami adalah menghasilkan ginjal tiruan bio sebagai alternatif dan bentuk rawatan yang lebih berkesan daripada dialisis untuk pesakit ginjal,' terangnya.

Kajian itu akan mengambil masa lapan hingga 10 tahun.

Cita-cita beliau pula ialah menjadi penyelidik perubatan dalam pembangunan organ-organ tiruan demi membanteras penyakit dan kerosakan organ.

Cik Siti Nurhanna Riduan,
27 tahun, pegawai penyelidik
di IBN
Kelulusan: Sarjana Muda Sains
Gunaan dalam bidang kimia
gunaan (Kepujian), NUS, 2005.

Beliau juga adalah penerima Anugerah Pembangunan Kakitangan Saintifik A*Star dan kini sedang memburu ijazah PhD dalam bidang kimia di NUS sambil bekerja di IBN.

'Saya memang sudah lama meminati bidang kimia, lantas meraih ijazah lanjutan dalam bidang itu adalah kemajuan yang semula jadi.

'Ketika ini kumpulan kami di IBN sedang menghasilkan proses- proses dan bahan-bahan baru untuk membantu menawan gas rumah hijau, karbon dioksida dan mengubahnya menjadi produk berguna.

'Kami berharap penyelidikan kami dapat mengurangkan kesan-kesan berbahaya terhadap perubahan iklim. Kumpulan IBN kami adalah yang pertama di dunia yang berjaya mengubah karbon dioksida menjadi metanol yang boleh digunakan sebagai bahan pembakar yang mesra alam sekitar,' katanya.

Cik Siti Nurhanna juga berharap agar penyelidikan kimia hijau (mesra alam) di IBN akan menjadi sesuatu yang dapat dikomersialkan dan digunakan untuk mengurangkan pencemaran global.

Cik Amalina Ebrahim Attia,
24 tahun, penuntut PhD
Kelulusan: Sarjana Muda
Kejuruteraan Kimia, NUS.

Beliau merupakan penerima biasiswa graduan A*Star dan sedang menjalankan penyelidikan PhD dalam bidang penyaluran ubat-ubatan.

Ini melibatkan proses penyaluran ubat-ubatan yang disasarkan kepada sel-sel barah di dalam tubuh agar ia tidak menjejas sel-sel lain. Ujian yang baru dijalankannya melibatkan sel-sel barah hati.

Penyelidikan itu sudah dimulakan tahun lalu dan disasarkan selesai pada 2013.

'Saya bukan kakitangan IBN, tetapi sekadar menjalankan kerja-kerja penyelidikan saya di sini.

'Bidang penyelidikan ini sangat menarik kerana kita dapat mempelajari sesuatu yang baru,' kata bekas pelajar Maktab Victoria ini.

Dua lagi penyelidik Melayu yang tidak sempat ditemui ialah Dr Emril Mohamed Ali, 33 tahun, seorang zamil pascadoktoral dan seorang wanita yang enggan namanya disiarkan.

No comments: