Monday, October 4, 2010

Waspada tersandung kerikil ketika melangkah maju (BH, 05.10.10)

Oleh Rahmad Sakom

ADAKAH matlamat memastikan 40 peratus setiap kohort pelajar Melayu melangkah ke institusi pengajian tinggi akan tercapai?

Realistik dan dalam jangkauan. Itulah gambaran yang diberikan sejauh ini (Pastikan 40% setiap kohort pelajar Melayu ke institusi pengajian tinggi, BH, 20 September).

Tempoh 10 tahun (jangka masa yang ditetapkan) tidak terlalu singkat. Masih sempat dilakukan penyesuaian di pertengahan jalan jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.

Saya teringat kata-kata budayawan besar dari Riau, Dr Tenas Effendy, dalam majlis sempena Anugerah Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (Anugerah MAS) di Perpustakaan Negara tahun lalu.

Ketika menjawab teguran seorang hadirin yang mengajak massa lebih menumpukan minda dan tenaga kepada isu yang lebih genting daripada mensesiakan masa mengeluh perihal nasib bahasa dan budaya yang dicap isu remeh-temeh, Pak Tenas bersuara:

'Perbezaan pandangan tidak dapat dielakkan, tetapi perlu diingat bahawa kadangkala kita tersandung bukan kerana batu-batu besar tetapi kerikil-kerikil kecil.'

Apa kaitannya peringatan 'kerikil-kerikil kecil' Pak Tenas ini dengan matlamat 40 peratus tadi?

Selama ini aspek kewangan dan kelas bimbingan menjadi teras utama dalam usaha membantu pelajar melanjutkan pelajaran.

Pelbagai skim bantuan ditawarkan sama ada biasiswa, dermasiswa, anugerah pelajaran dan juga pinjaman pelajaran.

Kelas bimbingan pula masih terus-terusan memberi sumbangan.

Secara senyap-senyap satu lagi faktor mungkin memainkan peranan genting dalam pendakian anak-anak kita melanjutkan pelajaran, jika tidak sekarang mungkin masa depan - mata pelajaran Bahasa Ibunda (MTL).

Mungkin ada yang tersenyum sinis tanda kurang setuju MTL dianggap faktor genting. Bagi mereka paling tidak MTL setakat 'kerikil- kerikil kecil'.

Usah ambil mudah.

Lihat saja hari ini, walaupun berat untuk mengakuinya ternyata penguasaan bahasa Melayu para pelajar Melayu tidaklah sebaik pelajar dulu-dulu.

Malah, kebelakangan ini trend yang tidak pernah termimpi muncul depan mata - pelajar Melayu perlukan tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Mengejutkan? Pertambahannya pula agak ketara.

Di Pusat Tuisyen Yaya, misalnya, daripada hanya tiga pelajar kelas tuisyen Bahasa Melayu pada 2006, jumlah itu telah melonjak kepada 40 (Kian ramai murid Melayu ikuti tuisyen Bahasa Melayu, BH, 10 Jun).

Malah, jika anda membaca pandangan dan ulasan di akhbar ini, sudah lahir generasi anak Melayu yang di peringkat cilik merangkak-rangkak membaca bahasa Melayu dan lebih malang lagi tidak faham apa yang dibacanya (Usah biar Bahasa Melayu hambat kemajuan anak Melayu, BH, 14 Mei).

Lebih menyedihkan, ada yang langsung enggan mendengar apalagi bertutur bahasa Melayu!

Golongan ini walaupun kecil peratusannya boleh menjadi masalah di masa depan jika dibiarkan hanyut dibawa arus.

Kesannya amat besar dalam proses melanjutkan pelajaran.

Walaupun ada sebahagian kita menganggap trend pelajar Melayu mengikuti kelas tuisyen Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang positif, hakikatnya ia turut memaparkan bahawa ibu bapa juga bimbang dengan taraf penguasaan bahasa Melayu anak-anak mereka.

Keputusan pemerintah yang tidak akan mengurangkan nilai pemarkahan agregat MTL bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) menjadikan Bahasa Melayu terus kekal sebagai antara mata pelajaran genting.

Ramai pelajar yang kurang cemerlang dalam mata pelajaran lain mampu melanjutkan ke sekolah idaman gara-gara cemerlang dalam MTL.

Cuba bayangkan jika mutu penguasaan bahasa Melayu pelajar Melayu semakin merosot dari masa ke masa dan ramai yang gagal mencapai keputusan baik dalam peperiksaan (sebagaimana yang dihadapi pelajar Cina).

Kesannya pada matlamat 40 peratus tadi usah dipandang ringan.

Lebih membimbangkan, kajian terkini menunjukkan bahawa peratusan murid yang memasuki Darjah 1 yang datang daripada keluarga yang tidak bertutur dalam bahasa Melayu di rumah semakin meningkat daripada 29 peratus pada 2005, kepada 35 peratus tahun lalu.

Kajian tersebut juga mendapati minat golongan pelajar itu terhadap pelajaran Bahasa Melayu semakin berkurangan (Kembangkan Bahasa Melayu di prasekolah, BH, 9 Jun).

Menyedari trend yang membimbangkan ini sudah ada beberapa usaha memperkasakan anak-anak dengan bahasa Melayu di peringkat awal. Ini amat dialu-alukan.

Misalnya, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) akan menyediakan dana bagi pembentukan sukatan dan kegiatan bahasa Melayu di peringkat prasekolah.

Setiap matlamat jangka panjang perlu 'titik pantauan' bagi meninjau perkembangan agar boleh dilakar strategi selanjutnya.

Mungkin apabila mencecah lima tahun, kajian terperinci perlu dilakukan.

Berlatarkan sekitaran yang mencabar yang dihadapi bahasa Melayu, sudah sewajarnya ia mendapat perhatian khusus.

Adakah ia menunjukkan graf kemajuan atau sebaliknya?

Tidak dinafikan mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris penting.

Namun, usah lupa bahawa Bahasa Melayu juga membantu dalam pendakian anak-anak kita melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Ingat-ingatlah pesan Pak Tenas:

'...kadangkala kita tersandung bukan kerana batu-batu besar tetapi kerikil-kerikil kecil.'

No comments: