Thursday, October 7, 2010

Kedudukan wanita dalam Islam (BH, 08.10.10)

Oleh M. Zuhal A. Lathif

WANITA mempunyai martabat yang sangat tinggi dalam Islam.

Antara lain, Allah swt menamakan satu surah khas, An-Nisaa' (para wanita), dan Surah Maryam (kisah wanita suci Maryam dan puteranya, Isa as).

Dalam surah An-Nisaa', Allah menyebutkan beberapa hak kaum wanita antaranya dalam ayat tiga hingga empat yang ertinya:

'... dan jika kamu takut tidak boleh berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain); dua atau tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (gaulilah) hamba-hamba wanita yang kamu miliki, yang demikian itu lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

'... dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin mereka maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya.'

Apakah latar belakang ayat ketiga surah An-Nisaa'?

Kaum Arab pada zaman tersebut lebih suka berkahwin dengan anak yatim iaitu anak dara muda di bawah umur yang masih dalam jagaan keluarganya dan mempunyai banyak harta.

Mereka berkahwin kerana faktor muda dan harta wanita, maka Islam mensyaratkan agar mereka boleh berlaku adil, tidak berbuat aniaya terhadap isterinya kerana hukuman dan azab berbuat aniaya terhadap anak yatim sangat berat.

Ada juga yang meriwayatkan bahawa adat orang Quraisy sebelum kedatangan Islam membolehkan kaum lelakinya berkahwin seberapa banyak perempuan yang mereka mahu dan mampu, bahkan ada yang berkahwin dengan menggunakan harta anak yatim atau bekas peninggalannya. Tetapi Allah melarang perbuatan mereka itu dan memberi jalan keluar dangan turunnya ayat ini.

Perbuatan berkahwin dengan seberapa banyak wanita yang mereka mahu, bahkan dengan bekas isteri ayahnya sendiri (diterangkan dalam surah An-Nisaa', ayat 22) memang menjatuhkan maruah kaum perempuan - seakan-akan mereka sekadar barangan yang boleh dipakai oleh siapa sahaja yang memerlukannya. Maka Islam melarang semua perbuatan ini.

Islam menawarkan agar berkahwin dengan perempuan dewasa, jika tidak cukup satu maka boleh menambah menjadi dua atau tiga atau empat. Inilah ayat tentang diizinkan berpoligami, dengan syarat lurusnya niat untuk keadilan.

Untuk menjaga harta dan hak kaum wanita, Islam memberi syarat yang sangat berat bagi lelaki yang memilih untuk berpoligami, iaitu jangan sampai wujud ketidakadilan antara wanita yang bermadu. Jika hal ini muncul, Islam menyarankan agar bernikah dengan seorang wanita sahaja, atau menggauli hamba sahaya perempuannya sahaja.

Dengan ini, boleh diambil iktibar bahawa Islam tidak dengan mudahnya mengizinkan umatnya berpoligami. Syaratnya memang ketat iaitu keadilan terpenuh atau mendapat izin daripada isteri pertama atau terdahulu disebabkan keadaan seperti mandulnya isteri pertama.

Allah menggunakan kalimat 'wa' yang di sini seerti dengan 'aw' yang ertinya 'atau', jika 'wa' diertikan sebagai 'dan' maka jumlah wanita yang boleh dikahwini menjadi 10, lantas bercanggah dengan keterangan-keterangan yang ada dalam hadis Rasulullah saw.

Islam juga memberi batasan pada kalimat An-Nisaa' (wanita yang boleh dinikahi), pada ayatayat berikut dan keterangan lain, antaranya:

1. Wanita tersebut bukan bekas isteri ayahnya atau yang sekedudukan dengannya (AnNisaa': 22).

2. Wanita tersebut bukan mahramnya (An-Nisaa': 24-25).

3. Wanita tersebut adalah wanita Islam (An-Nisaa': 26).

4. Wanita tersebut tidak dalam keadaan idah iaitu masa menunggu sama ada diceraikan oleh suami atau ditinggalkan suami yang mati (Al-Baqarah: 228 dan 234).

5. Wanita tersebut bebas, tidak dalam pinangan orang lain (Hadis).

Antara hak kaum wanita ialah mereka berhak menerima mas kahwin semasa mereka bernikah, walaupun Islam sedikit melonggarkan masa, jumlah, juga bentuk pemberiannya bagi lelaki yang berkesempitan - dilonggarkan kerana ajaran Islam tidak akan memberatkan penganutnya.

Jika perkara ini diketatkan, maka tidak tertutup kemungkinan lelaki mencari jalan pintas dengan berzina sebagai alasan tidak mampu membayar mas kahwin atau mahar. Padahal walau kelonggaran pembayaran mahar sudah diaturkan, masih ramai lelaki yang curang, apalagi jika ia diketatkan.

Kini terdapat di sejumlah negara majoriti Muslim adat yang menetapkan harga yang tinggi ke atas kaum wanitanya sama ada atas nama mahar atau hantaran atau kededuanya sekali. Akibatnya banyak wanita dan lelaki membujang atau mengadakan hubungan zina.

... Bersambung

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,174115,00.html?

No comments: