Tuesday, December 16, 2008

UNISIM METERAI MOU DENGAN VARSITI MALAYSIA (BH, 17.12.08)

UNIVERSITI SIM (UniSIM) mendapat hampir 170 permohonan bagi program Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Melayu (BAML) yang dilancarkannya baru-baru ini.

Seramai 50 pelajar akan memulakan pengajian Januari ini dan 100 lagi dijangka menyertai mereka pada Julai 2009.

Para pelajar program tersebut - sebahagian besar merupakan golongan guru bahasa Melayu - akan dapat memanfaatkan kepakaran anggota fakulti dari universiti-universiti terkemuka rantau ini menyusuli kerjasama UniSIM dengan tiga universiti di Malaysia.

Semalam, UniSIM menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pertamanya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Dua lagi MOU, dengan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), akan ditandatangani di Kuala Lumpur bulan depan.

Pemeteraian MOU semalam, yang diadakan dalam satu upacara di Hotel Gurney di Georgetown, ditandatangani Presiden UniSIM, Profesor Cheong Hee Kiat, dan Naib-Canselor USM, Profesor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak.

Turut hadir ialah penasihat Program Bahasa dan Sastera Melayu UniSIM, Encik Yatiman Yusof, dan ketua program itu, Dr Lim Beng Soon.

Ketika ditemui Berita Harian di majlis semalam, Profesor Cheong berkata MOU dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia, termasuk USM amat bermakna kerana ia memperkukuh mutu program yang ditawarkan UniSIM.

'Gabungan kepakaran pensyarah setempat dan luar negara ini akan membantu pelajar membangunkan pemahaman dan penghargaan bahasa serta sastera Melayu yang lebih mendalam,' ujar beliau.

Tan Sri Dzulkifli pula berkata pada masa depan USM dan UniSIM merancang menyediakan program pertukaran bagi para penuntut program tersebut.

'Kerjasama ini hanya akan memperkayakan lagi pengajian bahasa, budaya dan sejarah Melayu di rantau ini,' kata beliau.

Di bawah MOU tersebut, para pensyarah USM akan mengendalikan kuliah di Singapura pada hujung minggu dan cuti sekolah di Pulau Pinang.

Program yang diperkenalkan UniSIM itu merupakan program sarjana muda bahasa Melayu pertama yang ditawarkan secara sambilan di Singapura.

Ia disasarkan kepada golongan guru bahasa Melayu yang tidak mempunyai ijazah dan boleh dilakukan selama tiga hingga lapan tahun.

Selain memberi penekanan kepada pedagogi, ia juga memberi tumpuan kepada aspek penterjemahan, perbandingan kesusasteraan, prosa dan puisi serta Jawi.

Turut dimuatkan ialah modul-modul mengenai bahasa Indonesia.

Mengulas, Encik Yatiman berkata modul yang ditawarkan selaras dengan perkembangan dan peranan bahasa masa kini.

'Ia memberi pelajar pemahaman luas dan pengetahuan praktikal, yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja dalam konteks bilik darjah bagi golongan guru tetapi juga relevan dalam urusan profesional dengan jiran-jiran kita termasuk Indonesia,' ujar beliau.

Oleh Nazri Hadi Saparin

http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,132421,00.html?

No comments: