Sunday, December 14, 2008

Pak Lang Dalang (Cerpen)

Pak Lang sangat digeruni oleh pemain-pemain gasing daerah Gurun Pasir. Gurun Pasir ini mempunyai satu gelanggang permainan gasing. Pak Lang juga membela seekor burung helang berkepala botak yang sentiasa menyerbu pemain-pemain gasing apabila sesuatu peraduan gasing sedang diadakan. Pak Lang telah mengikut jejak ayahnya dengan menjadi seorang ketua kampung di Kampung Pusara. Tuk Lang, ayah Pak Lang, juga merupakan jaguh bermain gasing di daerah Gurun Pasir itu. Pada 12 tahun lepas, Tuk Lang mengarahkan orang-orang kampungnya untuk bertarung main gasing bersama ketua kampung Desa Daun Qari. Desa Daun Qari terletak berdekatan gelanggang gasing yang berpasir. Pertarungan itu terlalu hebat sehingga mengakibatkan orang-orang kampung kedua-dua belah pihak tercedera ataupun mati disebabkan bertempur.

Namun demikian, Rombongan Tuk Lang tetap menang kerana diberi bantuan oleh adik-beradiknya seramai empat orang. Mereka adalah Rusdi, Rancis, Manchi dan Mat Geris. Kelima-lima beradik ini diibaratkan seperti hulubalang lima beradik. Mereka akan sama-sama menyokong di antara satu sama lain sekiranya terdapat kampung-kampung lain yang ingin menguasai arena bermain gasing. Jika terdapat satu kampung yang dilanda keganasan oleh kampung lain semasa bermain gasing, kelima-lima beradik ini akan campur tangan dan berusaha meredakan keadaan. Malangnya, campur tangan itu bukan secara percuma. Kampung-kampung yang diselamatkan atau diberi perlindungan terpaksa akur dengan memberi keutamaan berurusan jual beli barang-barang keperluan kepada kelima-lima beradik ini.

Kali ini, Pak Lang ingin bertarung dengan ketua dan penduduk-penduduk Kampung Desa Qari kerana mereka dikatakan mempunyai cara rahsia untuk menundukkan pihak lawan. Pak Lang berpidato di seluruh daerah Gurun Pasir demi mendapatkan sokongan. Malangnya, keempat-empat pakciknya yang lain enggan turut serta dalam pertarungan kali ini kerana mereka berpendapat bahawa tidak ada sebarang hasil yang boleh diperoleh. Lagipun, mereka sendiri sedang bersusah payah untuk mencari nafkah demi sesuap nasi untuk ahli-ahli keluarga dan penduduk-penduduk di kampung masing-masing.

Pak Lang merupakan saudagar minyak pelincir di kampungnya tetapi perniagaannya itu tidak membuahkan hasil. Pendapatan keluarga dan penduduk-penduduk kampungnya semakin berkurangan semenjak dua menara yang diperbuat daripada konkrit di pertengahan kampungnya roboh akibat bedilan meriam buluh oleh kumpulan Mas Den, yang tidak diketahui di mana kelibatnya sekarang. Menara kembar itu sebenarnya lambang kemakmuran di Kampung Pusara. Pak Lang mendapat tahu bahawa, Kampung Daun Qari banyak menyimpan hasil-hasil minyak pelincir. Oleh itu, penduduk Kampung Daun Qari semakin digeruni oleh penduduk-penduduk kampung lain kerana gasing-gasing mereka ligat berpusing disebabkan dibubuhi minyak pelincir di bahagian paksi. Maka, Pak Lang menjadi iri hati lalu mengarahkan orang-orang kampungnya mengepung kawasan Kampung Daun Qari. Pak Lang kini berhati-hati kerana dia mendapat khabar bahawa ketua Kampung Daun Qari iaitu Pak Dam, ada membuat sejenis cecair yang boleh menghakis logam pada gasing-gasing pihak lawan.

Pak Lang bertekad untuk menyerang Pak Dam dengan menggunakan cecair itu sebagai alasan. Pak lang berpidato kepada penetap-penatap Gurun Pasir bahawa kaedah itu berbahaya dan melanggar undang-undang permainan gasing yang telah mereka lakarkan bersama selepas pertarungan pada 12 tahun yang lalu. Undang-undang ini melarang mana-mana kampung mengusahakan dan menyimpan bahan-bahan perosak yang boleh menjahanamkan gasing-gasing pihak lawan secara besar-besaran. Pak Dam memberitahu kesemua yang bermastautin di Gurun Pasir bahawa kampung halamannya tidak menyimpan bahan-bahan perosak seperti mana yang dikatakan Pak Lang. Tambahan pula, dia tidak bersubahat apatah lagi mempunyai hubungan dengan Mas Den yang lenyap entah ke mana.

Ramai penduduk kampung lain di Gurun Pasir itu membantah cadangan Pak Lang untuk menyerang Pak Dam kerana mengasihani anak-anak kecil tidak bersalah yang pasti akan turut terkorban jika tercetus serangan. Mereka juga mempercayai bahawa Pak Dam tulus orangnya. Pak Dam tidak sekali berdecit pun selepas tamat serangan ke atas kampungnya pada 12 tahun yang lepas. Pak Dam bermain gasing secara biasa tetapi kemahirannya bermain gasing begitu terserlah dengan adanya minyak pelincir yang sentiasa dibubuh pada bahagian paksi setiap gasing supaya ia boleh berputar lama dengan ligat.

Kampung Pusara akan menjalani undian untuk memilih ketua baru pada tahun depan. Maka, sekiranya Pak Lang berjaya menakluki dan menguasai perusahaan minyak pelincir di Desa Daun Qari, ia akan memulihkan keadaan ekonomi di kampungnya. Pak Lang pasti akan meraih undian yang banyak disebabkan itu. Tambahan pula, perniagaan minyak pelincirnya akan bertambah maju kerana dia akan menguasai pemasaran minyak pelincir gasing sepenuhnya.

Walaupun pakcik-pakcik Pak Lang menasihatkannya supaya jangan berdegil untuk beradu kemahiran bermain gasing dengan Pak Dam, Pak Lang tetap berdegil. Dia berhujah bahawa kemahiran Pak Dam perlu dikekang untuk kebaikan rakyat Gurun Pasir secara sejagat. Lagipun cecair perusahaan Pak Dam akan membinasakan gasing-gasing mereka. Sepatutnya, Persatuan Barang Bagus akan menentukan sama ada tindakan perlu diambil ke atas Pak Dam. Persatuan Barang Bagus mengarahkan Pak Lang supaya bersabar kerana pihaknya akan memeriksa jika khabar bahawa Pak Dam mempunyai perusahaan cecair perosak itu dapat disahihkan. Persatuan Barang Bagus adalah persatuan yang menetapkan sebarang undang-undang di Gurun Pasir. Arahan itu tetap tidak diambil peduli oleh Pak Lang.

Semakin ramai rakyat Gurun Pasir berpendapat bahawa rancangan Pak Lang persis ada udang di sebalik batu. Semakin ramai membantah termasuk penduduk-penduduk Kampung Pusara sendiri. Mereka lebih rela menumpukan perhatian untuk menyelamatkan ekonomi kampung daripada membazir tenaga dan wang belanja untuk menentang Pak Dam. Pak Lang telah menempatkan orang-orangnya di gelanggang gasing yang terletak di timur tengah Gurun Pasir. Pasti Pak Lang akan menyerang kerana telah membelanjakan banyak wang untuk persediaan itu. Nampaknya, Pak Lang masih berdegil seperti Tuk Lang. Bapak borek anak rintik.
Sama ada tujuan Pak Lang betul-betul demi memberi perlindungan keselamatan pemain-pemain gasing lain mahupun keterangan Pak Dam bahawa dia tidak mempunyai bahan cecair perosak, satu persoalan sangat ketara iaitu siapakah pengganas yang sebenar. Jika dahulunya, gerak-geri Pak Dam dikhuatiri dan disyaki mata rakyat Gurun Pasir, kini mereka merubah haluan ke arah Pak Lang. Semakin Pak Lang mendesak konco-konconya untuk menyerang semakin itulah dia dilihat sebagai pengganas manakala Pak Dam terkerisin melihat telatah Pak Lang yang tak ubah seperti seorang kanak-kanak yang mati-mati mahukan kemahuannya dituruti. Bahang krisis ini tetap merecik ke halaman kampung lain yang menjadi semakin berhati-hati.

Pak Lang sudah memberi amaran demi amaran supaya Pak Dam menghapuskan simpanan cecair perosak besi itu tetapi Pak Dam tidak mengendahkan amaran itu. Pak Dam berkali-kali mengatakan bahawa dia tak pernah mengusahakan dan menyimpan cecair seperti apa yang dituduh oleh Pak Lang. Lagipun, Persatuan Barang Bagus telah menghantar lima orang untuk memeriksa kampung halaman Pak Dam. Mereka juga bersetuju bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Pak Lang hanya melulu tanpa asal usul periksa. Pak Lang mengambil keputusan bahawa dia akan tetap menyerang Desa Daun Qari walaupun tanpa kebenaran Persatuan Barang Bagus mahupun sokongan daripada kampung-kampung lain kecuali ketua Kampung Barat.

Sedang orang-orang Kampung Pusara dikerahkan ke sana, ketua gempur Pak Lang berbalah dengan ketua gempur Kampung Barat kerana orang-orang Kampung Barat tercedera sebelum bertarung gasing pun. Mat Geris, ketua Kampung Barat, Mat Geris yang sebulat suara mahu menyertai pertempuran itu dikutuk pula oleh penduduk-penduduknya. Mat Geris bagai dipanggang apabila para penduduknya menyoal bertubi-tubi tentang motif sokongannya itu.
Sementara Pak Lang sibuk mengaturkan serangan ke atas Pak Dam, dia gagal melindungi Kampung Selat Tin daripada ditunjal oleh Pak Ron, ketua Kampung Selari. Sungguh ironi sikap Pak Lang yang menabalkan dirinya sebagai tunggak keamanan Gurun Pasir. Rupa-rupanya, orang-orang Pak Ron giat menyumbang kepada dana perniagaan Kampung Pusara.

Dalam suasana hiruk piruk itu, Manchi menabalkan salah seorang anak buah pilihannya sebagai ketua baru Kampung Agan. Nakchi menyokong arahan Persatuan Barang Bagus supaya serangan ke atas Desa Daun Qari dibatalkan. Nakchi juga berjanji bahawa dia akan menaikkan ekonomi kampungnya dan juga menjadikan ia sebuah kampung yang giat berniaga di samping menjadi kampung yang termasyhur di seluruh daerah Gurun Pasir. Nakchi berpendapat walaupun mereka golongan bermata sepet dan berkulit kuning, kekurangan itu harus diatasi demi penakatan mereka di hari muka. Tidak seperti Pak Lang yang gilakan kuasa dan mementingkan diri sendiri sementara asyik ketawa terbahak-bahak dan terbatuk-batuk oleh asap cerut yang dihisapnya. Seorang dalang petualang.

Majalah Aktivis, Persatuan Budaya Melayu Institut Pendidikan Nasional (Kampus Townsville), Jurnal Akademik Jilid 3, 2003, halaman 72-74.

No comments: