Friday, December 19, 2008

MENGENALI KONSEP ARIF BUDIMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK KITA (BH, 20.12.08)

KITA sering mendengar tentang visi Arif Budiman dalam pendidikan anak Melayu setempat, tetapi apakah pengertian Arif Budiman itu?

Arif Budiman adalah konsep berkenaan menyemai dan membangun manusia cemerlang menerusi pendidikan bahasa dan budaya Melayu.

Yang budiman itu tentunya memiliki ciri-ciri progresif sesuai dengan keperluan masyarakat Melayu Singapura.

Ia dicetuskan buat kali pertama dalam perancangan penyemakan kurikulum Bahasa Melayu pada 2005 oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Arif Budiman sebagai visi pendidikan menjuruskan perhatiannya kepada setiap pelajar Melayu demi membangunkan potensi akademik, sosial dan peribadi mereka.

Sebagai satu gagasan idealisme ia adalah gabungan dua perkataan yang sememangnya sarat dengan makna dan tuntutan.

Arif membawa erti sifat dan sikap berhemah, didukungi pemikiran yang berhikmah, teguh akalnya, ada kesantunan waktu berhujah, cerdas dan bijaksana serta berimbang jalan pemikiran akan diri seseorang itu.

Budiman adalah sifat seorang yang teguh peri budinya, berilmu pada kadar dan keperluan hidupnya, sensitif dan prihatin akan lingkungannya, serta sedia berjasa dan berbakti pada masyarakat di sekelilingnya.

Umumnya, budi membawa maksud gagasan nilai-nilai luhur dan ideal yang dicita-citakan pada seseorang manusia dan keseluruhan masyarakat Melayu itu.

Budi menjadi salah satu intipati dalam falsafah kehidupan Melayu, kerana ia bersangkutan dengan perihal kebajikan, kesopanan dan tingkah laku yang baik yang boleh kita sebut sebagai beradat atau beradab.

Insan budimann, dalam lain perkataan, adalah anggota masyarakat yang meneguhkan lingkungan kehidupan bermasyarakat itu dengan rasa tanggungjawab, kebersamaan, kasih sayang dan saling menghargai antara satu sama lain, serta akur akan kesamaan dan keberlainan di antara kita.

Soal menyemai dan memupuk manusia yang berwatak progresif ini adalah sebahagian daripada cita sempurna yang dari masa ke masa dicetuskan dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun dan sedar akan pentingnya kemajuan dan pembangunan manusia dan masyarakat.

Dalam masyarakat moden, ini diterjemahkan dalam falsafah pendidikan di mana soal pembentukan peribadi dan watak manusia dan masyarakat diperjelas.

Membina watak Arif Budiman bukan saja satu persoalan visi pendidikan, bahkan juga soal membangun kebudayaan.

Dalam tradisi keintelektualan dan keagamaan Islam, persoalan membangun manusia yang bertakwa, beriman, berihsan, berakal dan berhemah mendapat perhatian teguh walaupun banyak lagi potensi yang boleh dibangunkan hari ini.

Para pemikir Islam yang tercerah hari ini mengedepankan peri pentingnya dipersoalkan perkonsepsian manusia dalam wacana Islam kontemporari.

Dalam falsafah pendidikan Islam, baik yang digubal dalam zaman klasik mahupun hari ini, terus dipertekankan persoalan ini. Dalam tradisi kesufian Islam, terdapat suatu konsep kesempurnaan Islam yang diberikan julukan sebagai 'Insanul Kamil'.

Konsep Arif Budiman secara teori boleh dianggap sebagai suatu konsep manusia yang difikirkan sebagai tersempurna, luhur dan berfungsi dalam sebuah rangka kebudayaan dan masyarakat.

Beberapa ciri utama yang mencirikan manusia Arif Budiman baik difikirkan.

Antaranya:
Pertama, manusia Arif Budiman ini akur akan haknya sebagai individu, yang sedar akan amanahnya sebagai mahkluk Tuhan, yang sedar akan tanggungjawabnya kepada Tuhan, manusia sesama manusia dan lingkungan alamnya.

Juga ia sedar akan dirinya sebahagian daripada masyarakat dan negara yang ia diami. Kesedaran ini melahirkan sikap tanggungjawab dan kerelaan berkorban.

Kedua, asas pemikiran dan sistem nilai dalam diri Arif Budiman itu diperteguh oleh akal dan etika keagamaan dan kemanusian, yang diiktirafnya sebagai panduan kehidupan.

Ketiga, ia memahami dan mentakrifkan ilmu dan pendidikan secara progresif, kritis dan kreatif. Pendidikan tidak semestinya secara formal, tetapi juga penerokaan sepanjang hayat.

Nilai pendidikan bukan terletak setakat meraih segulung sijil, diploma atau ijazah, tetapi kemampuan menjadi anggota masyarakat yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Keempat, Arif Budiman itu memiliki keyakinan tinggi dan bangga akan kebudayaan dan jati dirinya.

Ia menghargai bahasa sebagai mengungkap roh jati dirinya, selain ia menjadi wadah demi menyampaikan idea dan perasaannya, dalam apa jua bidang, daripada ungkapan seni hinggalah ke wacana keintelektualan, dengan spontan, lancar, jelas dan berkeyakinan penuh.

Ia tidak pernah berasa kerdil dan mencemuh ataupun memperlekeh akan budayanya sendiri.

Ia bangga dengan warisan budaya silam serta penciptaan dan penyesuaian budaya hari ini, sehingga dapat ia membezakan antara unsur yang progresif dan regresif dalam budayanya itu.

Kelima, ia melihat budayanya itu sebagai dinamika yang terus bergerak untuk memberi makna dalam kehidupan ini bukan setakat simbol luaran atau barang pameran untuk mencirikannya sebagai manusia Melayu.

Visi budayanya luas dan tidak sekadar dibataskan pada persoalan bahasa, sastera dan keupacaraan adat resam tertentu.

Keenam, ia teguh meyakini dalam kehidupan keagamaannya berlandaskan moral-etika, akhlak dan keperibadiannya sebagai seorang Muslim. Agama Islam dilihatnya sebagai rahmatul alamin, rahmat kepada umat sejagat, bukan sebagai identiti eksklusif yang tertutup.

Di saat kita mahu menyemai ciri-ciri Arif Budiman di kalangan pelajar, wajar juga ia merangkumi warga guru serta para penggubal dan pentadbir pendidikan.

Para guru tidak akan berjaya memupuk keperibadian Arif Budiman di kalangan pelajar sekiranya mereka sendiri tidak meyakini falsafah dan pengertian sosial di sebalik konsep itu sendiri.

Dalam falsafah pendidikan, penjelasan mengenai jenis manusia apakah yang mahu kita bina dikaitkan rapat dengan jenis masyarakat apakah yang ingin kita bangun dan capai.

Pendidikan yang memperlekeh persoalan ini adalah gagasan yang tempang kerana soal manusia apakah yang paling berguna untuk kita bangunkan harus dirancang menerusi pendidikan, sama ada secara formal ataupun tidak.

Walaupun kita telah dengar akan konsep ini di sana sini, kita belum lagi memberi perhatian bersungguh-sungguh dan mengupasnya dengan jelas.

Di sinilah letaknya peri pentingnya kita membicarakan persoalan Arif Budiman. Justeru, mengundang para pendidik dan pemikir masyarakat untuk tampil merungkaikannya.

Tugas membina Arif Budiman tentunya bukan hanya urusan pihak Kementerian Pendidikan, bahkan juga semua yang bergelar manusia Melayu yang mahukan budayanya terus berkembang, mapan dan cemerlang.

Nota: Penulis adalah pensyarah di Institut Pendidikan Nasional
Oleh Azhar Ibrahim Alwee

No comments: