Monday, December 22, 2008

KELAKONAN PELAJAR MELAYU DALAM GCE 'A' 2007 MENINGKAT (BH, 23.12.08)

KELAKONAN pelajar Melayu dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A' terus meningkat, dengan 76.4 peratus pelajar lulus peperiksaan tersebut tahun lalu.

Malah, peratusan itu adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun antara 1998 dengan 2007.

Dalam 1998, hanya 67.4 peratus pelajar Melayu yang lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran peringkat 'A' dan Kertas AM (GP).

Dalam 2006 dan 2005 pula, kadarnya masing-masing adalah 72.1 peratus dan 71.6 peratus.

Bahkan, peningkatan 4.3 peratus antara tahun lalu dengan 2006 adalah yang tertinggi di kalangan kumpulan etnik utama di sini.

Bagi pelajar Cina, peratusannya merosot 0.1 peratus (dari 88.2 peratus ke 88.1 peratus), sementara bagi pelajar India pula, peratusannya meningkat 0.6 peratus (dari 81.6 peratus ke 82.2 peratus).

Demikian menurut perangkaan prestasi akademik pelajar pelbagai kaum yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (MOE) semalam.

Secara am, kadar kelulusan bagi peperiksaan GCE 'A' tahun lalu adalah 87.1 peratus.

Kelakonan pelajar Melayu tahun lalu yang memberansangkan itu amat bermakna memandangkan mereka adalah dari kohort pertama calon yang menduduki peperiksaan di bawah kurikulum baru GCE 'A'.

Kurikulum baru itu dimulakan dua tahun lalu untuk membolehkan pelajar mengambil jenis subjek yang lebih luas.

Di bawah perubahan itu, pelajar maktab rendah dikehendaki mengambil tiga mata pelajaran peringkat Lanjutan 2 (H2) yang serupa dengan mata pelajaran peringkat GCE 'A' sebelum ini.

Mereka juga diwajibkan mengambil satu subjek tambahan di luar bidang pengajian di peringkat Lanjutan 1 (H1) serupa dengan subjek 'AO' sebelum ini.

Mata pelajaran lain yang perlu diambil ialah Bahasa Ibunda, Kerja Projek dan Kertas Am (GP) atau Ilmu & Hematan.

'Sementara kurikulum peringkat 'A' yang telah disemak itu tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan kurikulum peringkat 'A' sebelum ini, peratusan yang memperolehi sekurang-kurang tiga kelulusan H2 dan Kertas Am atau Imu & Hematan serupa dengan kadar yang memperolehi kelulusan dalam sekurang-kurangnya tiga subjek peringkat 'A' dan Kertas Am dalam tahun-tahun sebelumnya,' kata MOE.

No comments: