Friday, December 19, 2008

'PELAJAR NORMAL TEKNIKAL JUGA MAMPU CEMERLANG' (BH, 20.12.08)

SEKEMBALINYA beliau ke Singapura lebih tiga tahun lalu, Nurul Farhana Winarto Utomo, yang dilahirkan di Indonesia, tidak begitu fasih berbahasa Inggeris lantas menyebabkan beliau sering tidak dapat mengikuti pelajaran dengan lancar di sekolah.

Namun, 'kelemahan' itu dijadikan Farhana, 17 tahun, sebagai dorongan untuk belajar dengan lebih tekun lagi.

Selain daripada bahasa Inggeris, beliau juga mempunyai misi tersendiri untuk mencapai keputusan cemerlang.

Misi tersebut ialah merubah tanggapan ramai tentang pelajar aliran Normal (Teknikal) sepertinya.

'Meskipun mereka tidak cakap secara terbuka tapi saya boleh lihat ada sesetengah orang yang memandang rendah pelajar Normal Teknikal seperti saya.

'Jadi, saya mahu buktikan bahawa kami juga mampu cemerlang,' katanya.

Farhana, yang dilahirkan di Yogyakarta, dengan ayahnya warga Indonesia dan ibu warga Singapura, mendapat gred A bagi kesemua tujuh mata pelajaran dalam peperiksaan GCE peringkat 'N'.

Menurut Farhana, ibunya, Cik Sabariyah Jalil, 53 tahun, merupakan tunggak kekuatannya kerana beliau sering memberi kata-kata perangsang dan menemaninya semasa belajar.

Farhana juga berterima kasih kepada guru-gurunya di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang yang tidak pernah membezakan antara pelajar Normal Teknikal dengan pelajar lain.

'Tiap kali saya belajar, ibu akan duduk di sebelah saya, siapkan minuman dan makanan ringan.

'Apabila saya keletihan, ibu akan ajak berbual atau kami baca buku bersama,' kata Farhana, yang enggan bercakap tentang bapanya kecuali beliau seorang usahawan yang menetap di Indonesia.

Mengenai rancangan masa depannya, Farhana berkata beliau telah membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

'Saya rasa laluan ITE lebih baik buat diri saya. Saya bercita-cita hendak ke politeknik dan kemudian universiti selepas ITE nanti.

'Saya percaya setiap pelajar itu ada kekuatan tersendiri dan terdapat laluan berbeza untuk kami mencapai kejayaan,' tambahnya.

Seramai 6,028 pelajar Normal (Teknikal) mengambil peperiksaan GCE peringkat 'N' tahun ini, dengan 97.2 peratus atau 5,859 dianugerahkan sijil Peringkat Normal (Teknikal).
Oleh Nazri Hadi Saparin

No comments: