Monday, December 22, 2008

PELAJAR MELAYU LULUS PSLE, GCE 'O' MEROSOT (BH, 23.12.08)

KADAR kelulusan pelajar Melayu dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' merosot tahun lalu.

Namun pelajar Melayu mencatatkan kemajuan memberangsangkan dalam peperiksaan GCE peringkat 'A', berdasarkan kad laporan Kementerian Pendidikan (MOE) yang membutirkan kelakonan pelajar pelbagai kaum semalam.

Kad laporan itu turut menunjukkan kadar kelulusan pelajar Melayu yang membimbangkan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat PSLE - dengan kadar kelulusan Sains merosot ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun.

Perangkaan tersebut terkandung dalam laporan akademik tahunan MOE bagi menunjukkan prestasi pelajar pelbagai kaum dalam PSLE, GCE 'O' dan 'A' tahun lalu.

Ia bertujuan memaklumkan kepada masyarakat mengenai prestasi pelajar pelbagai kaum dalam peperiksaan nasional.

Bilangan pelajar Melayu yang layak memasuki sekolah menengah merosot 0.5 peratusan mata kepada 93 peratus.

Pelajar Melayu yang lulus mata pelajaran Matematik di peringkat PSLE pula merosot kepada 56.8 peratus, antara yang terendah dalam lima tahun dan kedua terendah dalam tempoh 10 tahun.

Sejak 2001, kadar kelulusan pelajar Melayu dalam Matematik kekal di bawah 60 peratus.

Pelajar Melayu yang lulus mata pelajaran Sains di peringkat PSLE pula merosot kepada 73.6 peratus, paras terendah dalam tempoh 10 tahun.

Di peringkat GCE 'O' pula, bilangan pelajar Melayu yang lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran dan lima mata pelajaran ialah 86.6 peratus dan 59.4 peratus - kedua-duanya merosot masing-masing daripada 87. 1 peratus dan 60.3 peratus.

Bilangan pelajar Melayu yang lulus mata pelajaran Matematik di peringkat GCE 'O' juga merosot kepada 66.2 peratus - yang terendah dalam tempoh lima tahun.

Sebagai perbandingan paras kelulusan itu jauh ketinggalan dengan pelajar Cina yang mencapai kelulusan 91.7 peratus.

Bagi peperiksaan GCE peringkat 'A' pula, pelajar Melayu mencatatkan kemajuan memberangsangkan.

Bilangan pelajar yang lulus peperiksaan GCE peringkat 'A' melonjak kepada 76.4 peratus, yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Diminta mengulas, Anggota Parlimen GRC Hong Kah, Encik Zaqy Mohamad, berkata trend yang semakin menurun itu pasti menimbulkan keprihatinan kerana banyak sumber telah pun diagihkan bagi membantu pelajar Melayu yang lemah.

'Apa yang ingin saya tahu ialah sama ada kemerosotan itu berpunca faktor pendidikan semata-mata atau faktor lain seperti kurang sokongan di rumah atau bimbingan ibu bapa?

'Ini kerana selain badan-badan seperti Mendaki yang melaksanakan program pendidikan, sekolah-sekolah juga giat mengadakan kelas tambahan dan sebagainya,' ujarnya.

Dengan kemelesetan ekonomi pula menjejas pekerjaan, Encik Zaqy turut prihatin jika ini akan menjejas persekolahan pelajar Melayu, yang menerima bimbingan yang berkurangan kerana ibu bapa sibuk mencari pekerjaan.
Oleh Soraya Salim

No comments: