Friday, December 26, 2008

ANTARA HOBI TERBAIK DI DUNIA (BH, 27.12.08)

TAHUKAH anda apakah antara hobi terbaik di dunia? Ia adalah membaca.

Jika anda berasa anda orang yang tidak perlu membaca buku kerana Internet boleh memberikan banyak maklumat, anda silap.

Dibentangkan di sini 10 sebab mengapa membaca buku suatu hobi paling bermanfaat.

Membaca ialah satu proses mental yang aktif. Dalam proses ini, banyak sel kelabu di dalam otak akan digunakan agar kita dapat berfikir dengan lebih baik dan menjadi lebih bijak.

Membaca meluaskan perbendaharaan kata. Kita akan terdedah kepada banyak perkataan baru dan yang indah-indah.

Ia membuka minda kepada budaya dan tempat-tempat baru di dunia. Bagaimanakah kita dapat mengetahui tentang kehidupan orang di Mexico, misalnya, jika kita tidak membaca mengenai mereka?

Ia membaiki daya tumpuan. Membaca memerlukan pemikiran yang fokus untuk satu tempoh lama. Ia tidak sama seperti membaca majalah atau e-mel. Buku memberi kisah sepenuhnya, dan maka itu tumpuan yang penuh diperlukan.

Membaca meningkatkan keyakinan diri. Lebih banyak kita membaca buku, lebih banyak pengetahuan kita dan ini membuat kita lebih yakin untuk berdepan dengan orang lain.

Ia membaiki daya ingatan. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa membaca meregangkan otot-otot memori kerana kita perlu memahami dan menghayati banyak fakta, tema dan watak.

Ia membuat kita lebih berdisiplin. Caranya ialah meluangkan masa setiap hari untuk membaca. Buatlah jadual harian untuk membaca dan patuhi.

Ia meningkatkan daya kreatif. Membaca mendedahkan kita kepada kepelbagaian corak hidup dan ini akan membuka minda kita kepada pemikiran yang lebih kreatif.

Membaca membuat kita sentiasa ada bahan untuk berbual. Jika kita buntu tidak tahu apa yang boleh dibualkan, bercakap tentang buku yang telah dibaca boleh membantu.

Ia mengurangkan kebosanan. Buku ialah teman setia di mana-mana saja. Jika bosan, bacalah buku.

No comments: