Thursday, June 2, 2011

Teruja dilantik adikong Presiden (BH, 31.05.11)

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

BELIAU berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) hampir 11 tahun.

Selama itu, Mejar Halmie Hussein Mattar, 34 tahun, telah berkhidmat dalam pelbagai bidang di SAF.

Namun semalam, Mejar Halmie (gambar) mencuba satu lagi cabang baru dalam kerjayanya bersama SAF apabila beliau dilantik sebagai salah seorang daripada 97 Adikong Kehormat Presiden.

Daripada jumlah itu, 12 adalah pegawai Perkhidmatan Negara (NS) dan 27 adalah adikong kehormat yang dilantik kali pertama.

Menurut Mejar Halmie, yang juga berkhidmat sebagai kakitangan pengarah di Sekolah Lanjutan Pegawai Tentera, beliau teruja dengan pelantikan itu.

'Saya berpeluang berbual dengan beberapa pegawai yang telah menjawat adikong Presiden selama beberapa tahun. Mereka memberitahu ia merupakan jawatan yang memberi peluang kepada seseorang agar sentiasa mencuba sesuatu yang baru,' ujar Mejar Halmie, bapa dua orang anak berusia tujuh dan tiga tahun.

Antara tugas adikong Presiden ialah merancang acara di istana seperti jamuan negara, hari terbuka Istana dan mengiring Presiden bagi majlis-majlis rasmi.

Para adikong juga mewakili Presiden bagi menyambut ketua negara yang dalam transit selain daripada menunjukkan tetamu ke tempat mereka serta bergaul dengan para tetamu bagi acara- acara rasmi negara.

Selain daripada SAF, para pegawai Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN), Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) turut dilantik menjadi adikong Presiden.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189789,00.html?

No comments: