Thursday, June 2, 2011

Guru diseru jadikan pusat bahasa Melayu 'pangkalan' (BH, 03.06.11)

TINJAU PAMERAN: (Dari kanan) Encik Mohamed Noh dan Profesor Dr Zamri bersama salah seorang guru peserta Seminar Bahasa Melayu, Encik Sherhan Suhandi, meninjau sebuah gerai pameran sempena seminar tersebut. -- Foto JOHARI RAHMAT

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

PUSAT Bahasa Melayu Singapura (MLCS) boleh menjadi pangkalan bagi guru Bahasa Melayu berkumpul, selain memainkan peranan utama menyokong perkembangan profesional mereka.

Ini disarankan Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pendidikan (MOE), Cik Ho Peng, semasa berucap merasmikan Seminar Bahasa Melayu di Pusat Bahasa MOE di Bishan kelmarin.

'Selain menyokong perkembangan profesional guru Melayu, MLCS bertujuan memperdalam etos guru Bahasa Melayu melalui latihan, (program) perkembangan, program matrikulasi, sesi perkongsian serta menjadi pangkalan bagi guru Melayu berkumpul,' ujarnya, yang menyifatkan pembentukan MLCS sebagai satu langkah ke depan yang penting.

Seminar itu, bertema Memperkasa Guru, Mempercekapkan Pelajar: Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Abad ke-21, disertai 420 guru sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah.

Penceramah undangan seminar itu ialah Ketua Jabatan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Zamri Mahamod.

Beliau menyentuh tentang empat konsep pengetahuan pedagogi kandungan yang perlu dikuasai setiap guru bagi menjadi guru cemerlang, berkesan, inovatif dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran.

Empat konsep itu ialah pengetahuan isi kandungan, pengetahuan pedagogi, pengetahuan tentang ciri pelajar dan pengetahuan kurikulum.

Setelah mendengar ucapan dasar Dr Zamri, peserta dibahagikan kepada kumpulan bagi sesi perbincangan selari 24 kertas kerja yang dibentang sekitar 60 guru sekolah rendah, menengah dan maktab rendah.

Bercakap kepada pemberita, Pengarah Pusat MLCS merangkap Penolong Pengarah Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CPDD), Encik Mohamed Noh Daipi, berharap seminar sedemikian akan membantu guru Bahasa Melayu meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu di Singapura.

'Saya mahukan setiap daripada kita (guru Bahasa Melayu) tahu bahawa apabila kita mengajar Bahasa Melayu, ia bukanlah bagi membantu pelajar kita lulus peperiksaan, tetapi memahami, menghayati bahasa mereka, menghargai kesusasteraan dan budaya kita, kerana bahasa kita adalah jati diri kita,' ujar beliau.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189995,00.html?

1 comment:

Anonymous said...

fscore youtube - Videoodl.cc
FScore Videosl is an best youtube to mp3 converter online online service provider to broadcast real-time scores, fixtures, videos, videos, and audio feeds of football matches, soccer, tennis, and basketball.