Tuesday, May 24, 2011

PELAJAR CEMERLANG: Menteri Pendidikan baru, Encik Heng Swee Keat, berbual dengan Encik Malik, antara lulusan terbaik jurusan berbilang media dan animasi NP. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh
Nurul Dayana Simangoon

AKIBAT keputusan Peperiksaan Sjil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' kurang memuaskan, beliau tidak dapat mengikuti kursus idamannya - perfileman dan animasi - di politeknik.

Encik Mohammed Malik Abdul Karim terpaksa ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Meskipun kecewa pada mulanya, beliau bekerja keras demi mengejar impian menjadi pembuat filem.

Hasilnya, setelah lulus ITE Dover, Encik Malik diterima mengikuti program diploma berbilang media dan animasi di Politeknik Ngee Ann (NP).

Kesungguhannya membuahkan hasil lagi apabila beliau menjadi antara lulusan terbaik jurusan itu.

Beliau menggenggam diploma merit kerana lulus dengan cemerlang, mendapat 12 kepujian dan 10 gred 'A' dengan gred mata purata (GPA) 3.8.

Encik Malik, 23 tahun, antara sekitar 320 lulusan Sekolah Teknologi Infokom yang menerima diploma mereka semalam.

Menteri Pendidikan baru, Encik Heng Swee Keat, menjadi tetamu terhormat dalam majlis penyampaian diploma itu.

NP akan mengadakan majlis penyampaian diploma hingga Jumaat ini.

Semasa ditemui semalam, Encik Malik, anak bongsu daripada tiga adik-beradik, berkata sejak kecil beliau minat pada animasi dan ingin menjadi pembuat filem.

Minat itu membakar semangatnya untuk menangani cabaran agar terus cemerlang dalam pelajaran.

Encik Malik, yang meminati filem-filem Tim Burton, merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang perfileman digital di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau sekarang dalam proses membuat sebuah filem pendek bersama sekumpulan rakan.

'Ia akan meneroka tema-tema berkaitan cara manusia berfikir. Saya berharap filem ini dapat memberi kami pendedahan kepada industri perfileman,' ujarnya.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189370,00.html?

No comments: