Tuesday, February 15, 2011

Lebih ramai graduan baru NIE daripada golongan bertukar kerjaya (BH, 16.02.11)

ULANG KAJI PELAJARAN BERSAMA: Encik Muhammad Irwan Jamal dan tunangnya, Cik Norazian Mohamed Yahya, kededuanya guru Bahasa Melayu, menerima ijazah sarjana muda mereka daripada NIE semalam. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Nurul Dayana Simangoon

LEBIH ramai lepasan baru Institut Pendidikan Nasional (NIE) kini terdiri daripada golongan yang bertukar kerjaya.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), daripada 452 graduan baru NIE yang menerima ijazah mereka semalam, 21 peratus atau satu dalam lima guru, terdiri daripada golongan tersebut.

Golongan yang dimaksudkan itu berusia 28 tahun ke atas, mempunyai pengalaman bekerja dan berkelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Secara keseluruhannya, satu dalam empat guru di sini atau 25 peratus terdiri daripada golongan yang bertukar kerjaya.

Jumlah ini meningkat berbanding sebanyak 15 peratus sedekad lalu.

MOE mendedahkan perangkaan tersebut sempena majlis penyampaian diploma dan ijazah sarjana muda bagi guru-guru baru NIE, semalam.

Majlis penyampaian diadakan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan turut dihadiri tamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pendidikan), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Dalam ucapannya, Encik Masagos memberikan contoh seorang graduan baru NIE, Encik Gin Toh, 31 tahun, yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus pemasaran.

Beliau menarik perhatian bahawa pengalaman Encik Toh bekerja sebagai pengurus pemasaran sebelum ini telah mempersiapkannya dalam kerjaya sebagai guru.

Sementara itu, antara graduan baru NIE semalam ialah Encik Muhammad Irwan Jamal dan tunangnya, Cik Norazian Mohamed Yahya, yang muncul sebagai antara pelajar terbaik dalam kohort mereka.

Encik Irwan, 28 tahun, meraih kepujian kelas pertama dalam Sarjana Muda Sastera (Pendidikan) sementara Cik Norazian, 25 tahun, meraih kepujian kelas kedua dalam kursus yang sama.

Selama lebih empat tahun menuntut di NIE, pasangan yang berkenalan di kampus itu bekerja keras mengulang kaji pelajaran bersama-sama dan bersaing setiap kali tiba peperiksaan.

Kededuanya kini merupakan guru Bahasa Melayu - Encik Irwan di Sekolah Menengah Ngee Ann dan Cik Norazian di CHIJ Katong Convent.

'Setiap kali saya rasa tertekan kerana terpaksa memberi tuisyen sambil belajar untuk membiayai kos pengajian, tunang saya akan memberikan saya sokongan.

'Beliaulah yang tidak putus-putus memberi saya semangat dan keyakinan agar saya terus berusaha mencapai cita-cita dan membanggakan ibu bapa saya,' ujar Encik Irwan, yang muncul sebagai pelajar terbaik dalam kohortnya apabila meraih kepujian dalam diploma pendidikan di NIE pada 2008.

Kededuanya yang bakal mendirikan rumah tangga tahun depan berharap dapat menarik lebih ramai anak muda mencintai bahasa ibunda mereka.

'Saya bangga kami berdua dapat meraih kejayaan bersama dan menceburi kerjaya idaman kami.

'Saya berharap dapat terus menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu satu pengalaman menarik bagi para pelajar saya,' ujar Cik Norazian.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,182097,00.html?

1 comment:

Unknown said...

wohoo ! cikgu irwan sey ngan tunang . congrats ar cher . eu the best tcher ever :)