Sunday, February 27, 2011

KINI MENGAJAR PULA: Dari kiri, Encik Ratna Suffian Ishak, Cik Nurulaini Ariffin dan Encik Ng Gek Heng kini ingin menabur jasa di bidang pendidikan pula selepas berkecimpung dalam bidang sukan. -- Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Safhras Khan

MEREKA merupakan antara atlit terhebat Singapura sebelum ini yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Kini, selepas bertahun mengibar bendera Singapura di arena sukan, mereka menabur jasa pula pada masa depan negara melalui pendidikan.

Bagi Encik Ng Gek Heng, Encik Ratna Suffian Ishak dan Cik Nurulaini Ariffin, pengalaman yang mereka miliki harus dikongsi dengan golongan belia negara ini.

Mereka bertiga kini bertugas sebagai guru pendidikan jasmani (PE) di Kolej ITE East.

Encik Ng, 41 tahun, pernah menyarungi jersi negara dalam sukan bola keranjang; Encik Ratna, merupakan pemain pertahanan pasukan bola sepak negara; sementara Cik Nurulaini pula adalah bekas ratu pecut Singapura.

Encik Ng, yang pernah beraksi dalam Sukan Belia Asia pada 1989 dan Sukan Asia 2001, berkata menjadi guru di ITE merupakan mimpi yang menjadi nyata.

'Saya adalah bekas pelajar ITE. Saya menuntut di Institusi Teknikal Singapura (STI) dari 1988 hingga 1989.

'Mengajar di ITE bagaikan pulang ke tempat asal bagi saya,' katanya yang pernah bermain secara profesional di Singapura.

Ditanya bagaimana pengalamannya sebagai seorang atlit negara dapat membantunya dalam kerjaya sebagai seorang guru, Encik Ng berkata, pelajarnya sering meminta bimbingan dan menghormati pencapaiannya.

Sentimen yang sama dikongsi Encik Ratna, 32 tahun, yang menambah bahawa lanskap sukan kini berbeza.

'Sebagai guru, kami harus memahami minda pelajar kami.

'Saya boleh memahami mereka kerana saya dahulu sama seperti mereka. Mereka hanya perlukan bimbingan yang betul,' kata Encik Ratna yang kini pemain sambilan dalam Liga-S dengan pasukan Hougang United, setelah bersara sebagai pemain sepenuh masa pada 2009.

Encik Ratna yang telah mengambil lesen jurulatih AFC kelas C, juga menjadi jurulatih pasukan wanita Kolej ITE East dan merupakan penolong jurulatih pasukan lelaki sekolah tersebut.

Bagi Cik Nurulaini pula, kerjayanya sebagai seorang guru melengkapkan perjalanan hidupnya.

Menurut Cik Nurulaini, 32 tahun, beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang pengurus projek sebelum menukar haluan sebagai seorang pembantu peribadi.

'Menjadi guru merupakan sesuatu yang saya inginkan. Ayah saya juga seorang guru pesara,' kata beliau yang memegang rekod 100 meter pecut di peringkat sekolah dengan masa 12 minit 54 saat.

Cik Nurulaini berkata cabaran terbesar sebagai seorang guru di ITE ialah memastikan pelajarnya kekal di bangku sekolah.

Beliau sering memberi perangsang dan kata-kata positif kepada mereka.

Ketika dihubungi, Pengerusi Dewan Sukan ITE, Encik Chong Leong Fatt, berkata pihaknya gembira mendapat guru-guru yang mempunyai pengalaman sukan kerana tradisi sukan ITE sangat kuat.

'Bukan sahaja mereka boleh menyumbang daripada segi latihan dan pembangunan sukan di ITE, mereka juga dapat berkongsi pengalaman mereka,' ujarnya.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,182926,00.html
?

No comments: