Tuesday, February 22, 2011

BG Ishak letak jawatan untuk sertai sektor swasta (BH, 23.02.11)

BRIGEDIER-JENERAL ISHAK ISMAIL: Tolak spekulasi beliau akan menyertai politik. -- Foto fail

Oleh Chairul Fahmy Hussaini
SATU-SATUNYA pegawai kanan Melayu/Islam berpangkat Jeneral dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Brigedier-Jeneral (BG) Ishak Ismail, telah meletakkan jawatannya dan akan memasuki sektor swasta mulai 1 April ini.

BG Ishak, 48 tahun, akan meninggalkan kerjayanya sebagai Pegawai Pemerintah Divisyen Singapura Ke-6 pada akhir bulan ini.

Makalah dalam talian terbitan SAF, Cyberpioneer, kelmarin melaporkan bahawa BG Ishak, yang dilantik sebagai jeneral satu bintang dua tahun lalu, akan menyertai ST Electronics (e-Services) sebagai Naib Presiden Kanan/Pengurus Besar.

Berita tentang pemergian BG Ishak ke sektor swasta telah menghangatkan spekulasi tentang kemungkinan beliau ditampilkan sebagai calon yang bakal diketengahkan dalam pilihan raya umum akan datang atas tiket parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Namun, kehangatan spekulasi itu dipadamkan BG Ishak, yang ditukil akhbar The Straits Times semalam sebagai berkata bahawa beliau 'tidak mempunyai rancangan untuk menyertai politik'.

Kerjaya BG Ishak dalam SAF amat menyerlah dan pelantikannya sebagai jeneral pada Jun 2009 adalah satu titik bersejarah dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Isu Melayu dalam SAF dan ketiadaan pegawai kanan Melayu menduduki jawatan penting dalam tentera menimbulkan kontroversi sejak lebih dua dekad, menyusuli pendekatan berhati-hati pemerintah dalam hal tersebut.

Semasa pelantikannya, BG Ishak merupakan salah seorang daripada lima pegawai kanan SAF yang mendahului senarai kenaikan pangkat.

Kenaikan pangkat beliau ketika itu adalah satu pengiktirafan akan kemajuan yang dicatatkan masyarakat Melayu/Islam di sini menerusi sistem meritokrasi negara ini.

Pelantikan BG Ishak juga telah meningkatkan lagi gesaan daripada masyarakat Melayu dan bukan Melayu Singapura agar pemerintah mengetepikan soal bangsa sebagai faktor dalam menentukan jawatan dan tugas askar Melayu dalam SAF.

BG Ishak memulakan kerjaya sebagai pegawai infantri pada 1982 dan setelah itu memegang beberapa jawatan, termasuk Pegawai Pemerintah Rejimen Infantri Singapura; Pegawai Pemerintah Briged Infantri Ke-12 Singapura; dan Penolong Ketua Turus Tentera (Latihan).

BG Ishak juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa eksekutif dan penerbit eksekutif bagi majlis pembukaan dan penutup Temasya Olimpik Belia yang dianjurkan Singapura tahun lalu.

Beliau telah menyerahkan pemerintahan Divisyen Ke-6, yang dipimpinnya sejak Ogos 2008, kepada Kolonel Yeo See Peng dalam satu majlis di Kem Mandai Hill, Jumaat lalu.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,182564,00.html?

No comments: