Sunday, August 22, 2010

SATU DEMI SATU PELUANG UNTUK NURUL (BH, 22.08.10)

NURUL DI STUDIO KANTARE: Peserta 'Singapore Idol 3' ini dilihat oleh penerbit albumnya sebagai mempunyai potensi dan bakatnya boleh digilap serta dikembangkan jika diberi perhatian serius. - Foto TUKIMAN WARJI


Bakat baru dari Singapore Idol 3 kini diangkat jadi artis syarikat rakaman baru

KEBANYAKAN penyanyi baru terpaksa meredah pelbagai kesusahan untuk memenuhi impian menghasilkan album. Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun dan mengeringkan simpanan peribadi di bank untuk membiayai rakaman sendiri.

Tetapi, tuah nampaknya berpihak kepada bakat baru dari Singapore Idol 3, Nurul Huda.

Satu demi satu peluang terbuka untuknya.

Tahun lalu, setelah tersingkir di peringkat Piano Show, Nurul tiba-tiba tersenarai sebagai peserta 'Top 13' apabila beliau terpilih untuk menggantikan finalis MJ Kuok yang mengundur diri atas sebab-sebab peribadi.

Kini, biarpun beliau merupakan antara peserta paling 'menyepi diri' berbanding dengan rakan-rakan seperjuangan termasuk Tabihta Nauser, Faizal Isa dan Farhan Shah yang aktif membuat persembahan di sana sini, Nurul dalam senyap-senyap melangkah setapak dengan menghasilkan album mini pertamanya, Kaulah (dot dot dot), yang diterbitkan oleh Baharudin Ismail.

Nurul bahkan merupakan artis pertama suntingan syarikat rakaman Kantare Productions milik Baharudin dan adiknya, Suraya Ismail. Syarikat yang berusia setahun jagung itu juga mempunyai studio rakaman dan jamming di North Bridge Road, yang dikenali sebagai Kantare - The Music Chamber.

Nurul, 23 tahun, yang kini menjadi artis sepenuh masa dengan Kantare berkata, beliau pertama kali mendapat panggilan daripada pihak penerbit ketika Singapore Idol 3 baru berakhir.

'Masa itu saya bekerja di sebuah butik dan memang ada rancangan nak keluarkan single. Apabila pihak Kantare telefon, saya mulanya tidak begitu ghairah kerana terfikir, betul ke tidak ada orang nak terbitkan album untuk saya? Memang saya ragu-ragu dan sukar untuk percaya,' kata bakat muda bersuara besar ini.

Baharudin, yang berpengalaman 12 tahun menerbitkan album penyanyi termasuk Rahimah Rahim, Fredo (Flybaits) dan Zaleha Hamid dengan syarikat Life Record, mengakui beliau sendiri mulanya tidak begitu pasti sejauh mana seriusnya Nurul untuk meneruskan langkah dalam bidang seni. Namun, Suraya melihat potensi gadis berkulit hitam manis ini boleh digilap dan dikembangkan jika diberi perhatian serius.
'Saya lihat ada sesuatu dalam diri Nurul. Sayang kalau dibiarkan bakatnya terbiar begitu saja. Tetapi pada masa yang sama, saya lihat Nurul perlu banyak bimbingan.

'Saya mengambil keputusan meminta Nurul berhenti kerja di butik dan menjadi artis sepenuh masa kami, kerana kami mahu pastikan beliau siap sepenuhnya untuk diketengahkan sebagai penyanyi profesional,' kata Suraya, yang mempunyai latar belakang dunia korporat sebelum membuka studionya sendiri.

Nurul tidak saja dilatih dari segi vokal oleh Baharudin, bahkan diberi bimbingan tentang penataan pakaian, pergerakan dan peningkatan personaliti.

'Setelah menjalani latihan, memang banyak perubahan saya lihat pada vokal dan penyampaian saya. Memang banyak yang perlu saya belajar untuk memperbaiki diri,' ujarnya.

Album Kaulah (dot dot dot) yang berkonsep progresif rok, mengandungi enam lagu, dua daripadanya merupakan trek Inggeris, Don't You Waste Your Time yang ditulis dan digubah oleh Nurul sendiri dan I'm not a fool, ciptaan bersama Galileo dan Moliano.

Selain Kaulah, tiga trek Melayu lain ialah Cukup Hanya Sekali ciptaan Moliano, Erti Cinta ciptaan Iskandar Rahmat dan Tarian Cinta ciptaan Baharudin Ismail.

Kata Nurul, beliau berharap akan dapat memainkan peranan untuk menyuntik kesegaran dalam dunia hiburan tempatan.

'Semangat saya kuat untuk melangkah jauh, kerana saya yakin kemampuan saya. Kalau boleh, saya mahu mewakili Singapura dalam persembahan luar negeri,' ujarnya.

Sesuai dengan suasana menjelang Syawal juga, Nurul telah menghasilkan single lagu Hari Raya berjudul Inang Lebaran.

Rakaman muzik video bagi lagu ini juga sudah disiapkan dan diharap mendapat tempat di kaca televisyen. Memang Nurul kelihatan cantik dan meyakinkan ketika membawakan lagu berentak inang itu dalam MTV yang sempat ditunjukkan kepada wartawan.

Sempena pelancaran album tersebut, satu sesi pertemuan dengan Nurul akan diadakan untuk para peminatnya pada 26 Ogos di Kantare - Music Chamber di 737A North Bridge Road. Kira-kira 100 peminatnya telah diundang dan ia masih dibuka kepada orang ramai. Mereka yang ingin hadir boleh hubungi telefon 6297-9815 untuk pendaftaran.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,171300,00.html?

No comments: