Monday, August 23, 2010

Mahu guna anjing pemandu arah tapi bimbang tidak diterima masyarakat (BH, 23.08.10)

TIDAK MAHU SINGGUNG PERASAAN ORANG LAIN: Cik Sherriza, kelihatan bersama Encik Kua dan anjingnya Kendra, percaya bahawa khidmat anjing pemandu arah akan membuat beliau lebih berani meneroka dunia luar. -- Foto TAUFIK A. KADER

Dilema suri rumah Muslim buta yang takut keluar rumah walau bertongkat

Oleh Nuradilah Mahbob

KEGELAPAN mula menyelubungi dunia penulis bebas Sherriza Hareani Jalil sedekad lalu.

Cik Sherriza, 41 tahun, disahkan menghidapi penyakit retinitis pigmentosa, yang melenyapkan deria penglihatannya.

'Waktu itu, saya dibelenggu ketakutan kerana untuk hidupkan sendiri komputer pun saya tidak mampu lakukan,' kata beliau.

Sehingga kini Cik Sherriza takut keluar rumah walaupun bertongkat. Namun, ini mungkin berubah jika beliau memelihara anjing pemandu arah.

'Dengan menggunakan anjing pemandu arah, saya mungkin lebih berkeyakinan dan berani keluar rumah,' kata Cik Sherriza, yang sudah berumah tangga.

Suri rumah itu pernah bekerja sebagai tukang urut di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH).

Sedang beliau bercadang menggunakan anjing pemandu arah, yang menjadi kebimbangannya ialah penerimaan masyarakat, terutama Melayu/Islam.

Satu-satunya pengguna anjing pemandu arah di Singapura, Encik Kua Cheng Hock, berkata walaupun pemerintah telah banyak memberi kemudahan dari segi undang-undang, kesedaran pihak awam masih kurang, lebih-lebih lagi di kalangan penyedia khidmat.

Isu ini menjadi lebih sensitif apabila melibatkan masyakarat Melayu/Islam, terutama kehadiran beliau dan anjing pemandu arahnya, Kendra, di tempat makanan bersijil halal.

'Kadangkala bukan orang Melayu menentang, tetapi pemilik kedai bukan Melayu yang takut pelanggan Muslim mereka akan tersinggung,' kata Encik Kua, 55 tahun.

Menurut Encik Kua, beliau pernah cuba melanggani sebuah restoran halal di Tampines One tetapi ditolak.

Encik Kua berkata beliau membawa ke mana saja surat daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang membenarkan anjing pemandu arah dibawa masuk ke dalam tempat makan bersijil halal.

Muis mengesahkan makluman dalam surat itu dan menyatakan kenyataan tersebut turut tersiar di lamannya.

Antara lain, Muis menyarankan pengendali restoran menyediakan tempat khas bagi golongan itu dan anjing tersebut harus dikenakan abah-abah (harness) serta berada di sisi pemiliknya selalu.

'Sebenarnya, ramai tidak tahu perbezaan antara anjing pemeliharaan dan anjing pemandu arah,' ujar Encik Kua, seorang usahawan yang membekal kemudahan teknologi bagi orang buta.

Menurut beliau, antara lain anjing pemandu arah dilatih untuk diam berjam-jam.

'Dia boleh duduk diam sepanjang 15 jam penerbangan dari Los Angeles di Amerika Syarikat ke Singapura,' kata Encik Kua, yang kerap merantau ke luar negara, mengenai Kendra.

'Sejak menggunakan Kendra, saya lebih kerap keluar rumah dan tidak seperti dulu, hanya keluar jika perlu.

'Hasilnya, saya lebih bergaul dengan jiran-jiran dan saya juga rasa lebih sihat,' kata Encik Kua, yang sedang giat mendorong orang buta mendapatkan anjing pemandu arah melalui Persatuan Anjing Pemandu Arah bagi Orang Buta.

Encik Kua berharap menerusi usahanya masyarakat Melayu/Islam dapat menerima kehadiran anjing pemandu arah bagi digunakan golongan cacat Muslim.

'Kalau orang bukan Melayu boleh peka terhadap keperluan golongan minoriti orang Melayu, orang Melayu juga harus turut peka mengenai golongan lebih minoriti, seperti golongan buta,' ujar beliau.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,171332,00.html

No comments: