Tuesday, August 17, 2010

Belum PSLE dah lulus cemerlang Matematik GCE 'A' (BH, 18.08.10)

PINTAR DAN CERDAS: Biarpun belum menduduki PSLE, Muhammad Farhan mencapai keputusan cemerlang dalam IGCSE dan GCE 'A' yang didudukinya antara November hingga Jun lalu. -- Foto TUKIMAN WARJI

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MUHAMMAD Farhan Abdullah Zain, 12 tahun, belum pun menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), tetapi kemampuan akademiknya sukar disangkal.

Ketika berusia 11 tahun November tahun lalu, pelajar Sekolah Rendah Rosyth itu menduduki peperiksaan Sijil Am Antarabangsa bagi Pendidikan Menengah (IGCSE) dalam empat mata pelajaran - Matematik, Matematik 'A', Fizik dan Biologi.

Jun lalu pula, anak kedua daripada empat adik-beradik ini menduduki peperiksaan lebih tinggi - Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A' bagi Matematik dan dua subjek IGCSE, Bahasa Inggeris serta Kimia.

Hasilnya?

Bagi IGCSE, Muhammad Farhan mendapat gred A* dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi dan gred 'A' bagi Matematik 'A'.

Bagi GCE 'A', dia meraih gred 'A' dalam Matematik.

Kesemua sekolah antarabangsa di sini menggunakan IGCSE bagi pelajar mereka dan ia serupa GCE peringkat 'O' yang diambil pelajar menengah empat dan lima Singapura.

Selain amat cemerlang dalam pelajaran, Muhammad Farhan memiliki tali pinggang hitam dalam seni pertahanan diri taekwondo bagi kategori kanak-kanak dan mendapat anugerah bintang emas dalam sukan renang.

Namun, dia akan tetap menduduki PSLE Oktober ini.

Dihubungi Berita Harian, ibunya, Cik Salha Abdat, 39 tahun, seorang suri rumah, berkata: 'Saya bersyukur dia meraih keputusan cemerlang dalam IGCSE dan GCE 'A', dan saya berharap dia terus cemerlang.'

Disember lalu, akhbar ini melaporkan tentang abangnya, Muhammad Haikal, 13 tahun, yang turut menunjukkan kecerdasan luar biasa - mendapat agregat 274 dalam PSLE, meraih 4A dalam peperiksaan GCE 'A' bagi Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi dan mendapat empat A* dalam IGCSE bagi Bahasa Inggeris, Fizik, Biologi dan Kimia.

Muhammad Haikal menuntut di Sekolah Tinggi Matematik dan Sains NUS sementara meneliti beberapa tawaran yang diterima daripada universiti luar negara.

Sementara itu, Muhammad Farhan, yang mengikuti Program Pelajar Bijak di sekolahnya, akan menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu bagi PSLE esok, lisan Bahasa Inggeris lusa dan prelim Isnin ini.

Semasa diwawancara akhbar ini, dia berkata:

'Sebenarnya Farhan nak ambil peperiksaan GCE 'A' bagi subjek Kimia, Fizik dan Biologi pada Oktober hingga November ini, tetapi kena tunda pasal jadual bertembung dengan PSLE.'

Apa 'resipi' kejayaannya?

'Saya membaca buku lebih daripada sekali dan bagi subjek Kimia, saya buat nota dan mengingatinya.

'Bagi Fizik dan Matematik pula, ia lebih pada pemahaman konsep,' dedah Muhammad Farhan, yang gemar bermain komputer, catur dan piano.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,170973,00.html?

No comments: