Sunday, August 22, 2010

GURU BAHASA 'KELAS PERTAMA' (BH, 22.08.10)

MAHU BANGUNKAN PENGUASAAN BAHASA MELAYU PELAJAR: (Dari kiri) Cik Nurmin Ahmad, Encik Qamarul Azhar Ahmad Kamil, Encik Hidayat Hamzah dan cim Shahidah Mahfodz yakin masa depan Bahasa Melayu di Singapura kekal cerah dengan penggunaannya diasah dan pelbagai aktiviti bahasa dirancakkan untuk masyarakat segenap lapisan usia. - Foto KHALID BABA


Hanya lima siswazah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya diberi ijazah Kepujian Kelas Pertama, kesemuanya warga Singapura.

KERANA tidak serius dalam pelajaran dan banyak main-main suatu ketika dahulu, Encik Hidayat Hamzah tercicir daripada pengajian di Politeknik Temasek hanya selepas enam bulan menuntut di tahun pertama.

Beliau beralih pula ke Maktab Rendah Serangoon tetapi hanya 'cukup-cukup makan' untuk meneruskan pelajaran ke Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Selepas memasuki Perkhidmatan Negara (NS), barulah anak pemandu teksi dan operator pengeluaran itu sedar kehidupannya tidak mampu disia-siakan dan tekad baru harus dibina untuk mengecap kejayaan.

Kecekalan Encik Hidayat, 31 tahun, guru Sekolah Rendah Gan Eng Seng, berbaloi apabila beliau meraih ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dengan Kepujian Kelas Pertama daripada Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) pada 5 Ogos lalu.

Hanya lima siswazah APM daripada kohort seramai 230 orang diberikan ijazah Kepujian Kelas Pertama tahun ini.

Yang membanggakan, kesemuanya warga Singapura, dengan empat daripada mereka guru bahasa Melayu yang banyak berkorban dengan mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun.

Tahun lalu, enam guru Singapura mencatat kecemerlangan serupa, meneruskan tradisi kejayaan pelajar Singapura di UM.

Selain Encik Hidayat, guru- guru lain ialah Cik Shahidah Mahfodz, Cik Nurmin Ahmad dan Encik Qamarul Azhar Ahmad Kamil, yang merupakan rakan seperjuangan di NIE. Seorang lagi ialah Cik Siti Nurulhuda Abdul Razak, 23 tahun, lulusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

'Melihatkan pengorbanan ibu bapa saya yang bertungkus-lumus bekerja sehingga ke hari ini dan pahit getir saya berdikari di negara orang, rasanya tidak cukuplah kalau saya setakat lulus sahaja tanpa meraih sebarang kepujian,' kata Encik Hidayat, yang masih bujang dan anak sulung dua beradik.

Biaya pengajian di UM, jelasnya, tinggi mencecah RM18,000 ($7,772) untuk tempoh tiga tahun, menyusuli kenaikan yuran tiga kali ganda berbanding kohort sebelumnya.
Pelajar Melayu Singapura perlu membayar yuran setara pelajar antarabangsa lain dan tidak lagi bayaran keutamaan untuk Bumiputera seperti tahun-tahun sudah.

Ini belum termasuk sewa apartmen, makanan dan kos membeli buku. Justeru, beliau terpaksa bekerja sambilan sebagai guru tadika di seberang Tambak demi menampung perbelanjaan hariannya.

'Apabila bercuti tanpa gaji dan menetap di negara orang, susah payahnya perlu ditanggung sendiri.

'Selain merindui keluarga di Singapura, semangat untuk belajar berkobar-kobar sebab tidak mahu menghampakan ibu bapa dan diri sendiri. Lagipun, minat untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu memang sedia ada dan saya ingin berkongsi dengan pelajar-pelajar saya sekembalinya dari UM,' jelasnya.

Encik Qamarul Azhar, 27 tahun, guru Sekolah Rendah Juying, pula dapat merasakan perbezaan menuntut ilmu sebagai pendatang.

Ini, jelasnya, antara faktor pemacu kejayaan pelajar Singapura apabila belajar di rantau orang.

'Seperti pelajar dari China atau Indonesia yang ke Singapura di bawah tajaan biasiswa, kami, yang berkorban meninggalkan keluarga dan kerjaya buat sementara waktu untuk belajar di UM, juga lebih mampu menghargai nilai pembelajaran.

'Dah pergi jauh-jauh, dah banyak belanja... tentunya tekad bulat untuk mencapai yang terbaik,' kata beliau, yang langsung menyertai kampus NIE Townsville selepas tamat Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'.

Cabaran dari segi kewangan turut dirasakan anak kedua tiga beradik ini memandangkan niaga bapanya yang memiliki syarikat kejuruteraan dihambat kemelesetan ekonomi.

Encik Qamarul Azhar kemudian mencari mata pencarian tambahan dengan mengendalikan bengkel penulisan kreatif dan permainan tradisional di sekolah-sekolah.

Cik Shahidah, 25 tahun, guru Sekolah Rendah East View, menambah, selain masalah kewangan yang beliau atasi dengan bekerja sambilan sebagai kerani setiap cuti penggal di UM, ketetapan pemarkahan bagi mencapai gred A juga diubah untuk kohort mereka.

'Tekanan tentunya dirasakan apabila kita ingin capai yang terbaik. Kalau kohort pelajar sebelumnya boleh dapat gred A jika dapat 75 mata ke atas, kohort kami pula perlu dapat 85 mata ke atas untuk mencapai gred A,' jelas beliau, yang menyiapkan tesis bertajuk Retorik Kewartawanan Melayu bagi Berita Harian Singapura.

Cik Nurmin, 28 tahun, guru Sekolah Menengah Damai pula akur tiga tahun di UM mengajarnya erti kesabaran dan berdikari.

Pada masa yang sama, beliau tidak kecewa memilih kerjaya sebagai guru bahasa Melayu meskipun terfikir untuk mengajar Ekonomi Rumah Tangga.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,171306,00.html?

No comments: