Sunday, March 27, 2011

Manfaatkan golongan muda Melayu (BH, 26.03.11)


Oleh Adli Yashir Kuchit

DI KALANGAN penduduk Melayu Singapura, peratusan penduduk mudanya adalah lebih tinggi daripada kaum lain dan perangkaan banci terbaru menunjukkan peratusannya masih tinggi.

Mengamati trend tersebut, Yayasan Mendaki melihat akan potensi besar dan positif generasi masa depan masyarakat dan kini mengajak masyarakat agar sama-sama menggilap dan memanfaatkan sumber penting tersebut.

Dalam hal ini, badan bantu diri itu menyatakan bahawa ia sedang menggiatkan lagi usaha mempertingkatkan program-programnya bagi memupuk potensi belia Melayu demi melengkapkan program-program sedia ada.

Ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Moliah Hashim, dalam satu wawancara dengan Berita Harian, berhubung antara tumpuan utama badan bantu diri itu dalam usahanya membantu mempertingkatkan masyarakat.

'Kami ingin seramai mungkin golongan muda berkongsi pandangan bagaimana mereka melihat diri mereka dapat menjadi penyumbang dan merealisasikan cita-cita mereka, sekali gus menjadi harapan bangsa,' kata beliau.

Penyelidikan Mendaki terhadap banci terbaru mendapati 54 peratus penduduk Melayu di negara ini berusia 34 tahun dan ke bawah.

Mereka yang berusia antara 10 tahun dengan 34 tahun membentuk 34 peratus.

Penduduk Melayu juga lebih 'muda' berbanding kaum lain.

Purata usia penduduk Melayu di sini ialah 31.4 tahun berbanding 38.9 tahun bagi penduduk Cina dan 33.4 tahun bagi penduduk India.

Sebagai antara langkah berterusan, Cik Moliah berkata satu forum yang bakal diadakan pertengahan bulan depan, yayasan itu ingin menarik maklum balas daripada golongan muda mengenai kesan Banci Penduduk 2010.

Seramai 150 pelajar maktab rendah akan diundang menyertai forum tersebut.

Secara jangka panjang, Mendaki telah mengatur program-program pembangunan, pendidikan dan bimbingan.

Antara lain Mendaki telah menganjurkan kempen kesedaran seksualiti dan kehamilan, dikenali dengan nama 'Lebih Seksi Katakan Tidak'.

Turut diadakan ialah program mentor Youth in Action dan program kembali ke sekolah Max Out.

Selanjutnya badan bantu diri itu memberi penekanan kepada pembangunan potensi golongan belia.

'Kami telah menerapkan konsep Pembangunan Belia Positif (PYD) yang menekankan peri pentingnya proses pembangunan potensi dan kekuatan golongan muda,' kata Cik Moliah.

Sebagai contoh, konsep PYD itu diterapkan menerusi program perintis seperti 'Program Memperkasakan Remaja Perempuan'.

Awal tahun ini, sebuah program pendekatan turut diperkenalkan bagi remaja lelaki. Memandang ke hadapan, selain forum bagi pelajar maktab rendah pada bulan depan, Mendaki sebagai sekretariat Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) akan mengadakan bengkel sastera sebagai lanjutan program 'Rumah Kita' yang diadakan tahun lalu.

'Jabatan Sukarelawan Mendaki juga kini sedang dalam perancangan untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai Mendaki dan menyumbang tenaga sebagai relawan,' tambah Cik Moliah.


Masjid Sultan kini lebih berangin (BH, 26.03.11)

LEBIH SELESA DAN NYAMAN: Tiga kipas angin raksasa buatan Australia ini telah pun dipasang sepenuhnya di ruang solat Masjid Sultan, setiap satu seberat 300 kilogram dan berharga $22,000 sebuah termasuk bayaran pemasangan. -- Foto JOHARI RAHMAT Oleh Saini Salleh CUACA di luar begitu berbahang dek terik pancaran matahari tetapi nyaman dan berangin apabila melangkahkan kaki ke ruang solat Masjid Sultan.


Suasana nyaman itu kini dinikmati para jemaah ekoran selesainya pemasangan tiga kipas angin raksasa di ruang solat masjid berusia 83 tahun itu secara berperingkat-peringkat dua bulan lalu.


'Macam kipas kapal terbang, anginnya kuat dan nyaman.


'Bukan mudah nak pasang sebab kipas-kipas angin ini bukan saja berat malah saiznya besar,' kata seorang jemaah, Haji Salim, 48 tahun, dari Jakarta, Indonesia, yang tercegat melihat ketiga-tiga kipas angin di siling masjid tersebut.


Peniaga yang berada di sini kerana menemui rakannya menyatakan beliau tidak pernah lihat kipas angin sebesar itu di masjid-masjid di negaranya atau di negara lain.


Pengurus Masjid Sultan, Ustaz Muhamed Khair Rahmat, mengesahkan pihaknya mula memasang kipas pertama pada Hari Raya Aidiladha lalu.


'Mulanya kami agak bimbang juga selepas memasang kipas pertama tetapi jemaah rata-rata memberi maklum balas positif. Malah, ada jemaah khususnya warga tua, mengadu kesejukan.


'Kami kemudian merancang memasang dua lagi kipas yang sama dan alhamdulillah, dua jemaah, pesara warga Singapura, masing-masing tampil menaja pemasangan kekedua kipas itu secara berasingan,' tambah Ustaz Khair.


Setiap kipas buatan Australia itu berharga $18,000 dan kos memasang termasuk khidmat konsultan kejuruteraan pula adalah $4,000.


Seberat 300 kilogram setiap satu, pemasangan kipas angin itu diperkukuh dengan ikatan kabel bagi memastikan ia tidak bergoyang dan selamat digunakan.


Menurut Ustaz Khair lagi, seorang peniaga Malaysia telah melahirkan minat menaja baki sebuah lagi kipas angin.


Beliau percaya Masjid Sultan adalah yang pertama di kalangan masjid di sini yang memasang kipas sebesar itu.


Mengenai keperluan memasang kipas-kipas raksasa itu, Ustaz Khair menyatakan pihaknya memang merancang menukar kipas-kipas angin lama yang bergoyang dan pihak masjid was was dari segi keselamatan jika terus menggunakannya.


'Dua tahun lalu kami diperkenalkan kepada kipas besar ini tetapi tidak meneruskan pemasangannya kerana bunyinya yang kurang menyenangkan.


'Tetapi, pihak pembekal membawa sejenis lagi kipas yang tidak berbunyi dan bebas daripada penyenggaraan. Lantas kami membuat keputusan memasangnya,' tambah beliau sambil menyatakan kipas raksasa itu menjimatkan kerana kuasa elektrik yang digunakan sama dengan empat kipas biasa.


Wednesday, March 23, 2011

Friday, March 11, 2011

Menyingkap sejarah hitam hidup samseng (BH12.03.11)

Oleh Saini Salleh
RASA belas kasihan tidak sama sekali wujud dalam benak Chak ketika beliau dan para anggota kumpulannya turun ke medan 'perang' (istilah rusuhan bagi samseng).

Sebagai orang besar atau ketua kumpulan, bukan sekali malah dua atau tiga kali sebulan beliau mengarahkan geng kumpulannya menggempur kumpulan lawan.

Kerap juga mereka terperangkap dalam serang balas.

Pedang Samurai, parang, pisau dan pemutar skru adalah senjata di tangan.

Kecederaan memang mereka jangkakan. Tidak kurang yang terkorban.

Selain terlibat dalam rusuhan, Chak juga tidak peduli nasib mangsa ketika beliau mendesak hutang daripada peminjam yang cuba lari daripada pemiutang tidak sah atau tailong.

Peras ugut dan mengutip wang perlindungan daripada para peniaga di kawasan yang dikuasainya adalah permainannya.

Yang penting beliau dapat apa yang beliau mahu - kuasa dan pengaruh yang disertai nikmat berfoya-foya dengan wanita silih berganti.

Hukum rimba - siapa kuat dialah yang berkuasa - menjadi pegangan. Istilah halal atau haram tidak terlintas dalam kamus hidupnya.

Tidak pernah juga Chak, 32 tahun, terbayang jeriji besi jika beliau dijebak dan disumbat dalam penjara.

Sambil menunjukkan tatu pahlawan Jepun, Yakuza, di belakang badannya dan tatu patung budak jahat, Chucky, di dadanya, beliau berkata:

'Kami tak pernah peduli apa terjadi kepada sesiapa yang kami belasah...

'Mereka juga pun sama... yang penting siapa belasah dan siapa rodok dulu. Hidup ke mati soal kedua!' singkap Chak, bekas pekerja stor ketika ditanya mengenai perangainya yang brutal ketika menjadi anggota dua kumpulan kongsi gelap sepanjang 16 tahun.

Kumpulan pertama yang disertainya dianggotai ramai samseng bukan Melayu dan kumpulan kedua adalah 100 peratus Melayu yang memegang slogan 'Bersatu Teguh!'.

Kumpulan kedua yang beliau ketuai mempunyai lebih 50 anggota - rata-rata belia lelaki yang bekerja - dan 'menguasai' sebuah kawasan di timur Singapura.

Sambil terbatuk-batuk dan mengurut badannya yang sakit-sakit mungkin kerana terlalu banyak darah beku akibat kesan dipukul semasa merusuh, Chak menyatakan bahawa nyawanya hampir melayang ketika dibelasah sekumpulan belia di sebuah taman di sini.

'Ketika itu saya seorang diri... Apa yang saya ingat ialah saya tergelimpang bermandikan darah akibat ditikam dengan pemutar skru di leher dan pinggang.

'Saya bernasib baik kerana sekumpulan belia daripada kumpulan lain yang kebetulan ternampak saya menggelapar datang menyelamatkan saya. Kalau tidak mungkin saya dah mati!,' cerita Chak.

Menurutnya, dua anggota kumpulannya maut dalam dua rusuhan berasingan dengan kumpulan-kumpulan musuh.

Chak tidak pernah mendengar nasihat, termasuk daripada ayahnya sendiri, supaya buka baju atau keluar daripada kumpulan samseng.

Tetapi beliau tetap ingat amaran ayahnya: 'Satu hari kau pasti masuk penjara.'

Mulut arwah ayahnya itu terbukti masin apabila Chak dicekup dan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara) atau dulunya dikenali sebagai Seksyen 55.

Chak adalah antara 196 orang yang ditahan di bawah akta tersebut kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samseng.

Mengenai penahanannya, Chak berkata tabir penjara menyebabkan beliau betul-betul kesal dan insaf.

Lembar demi lembar sejarah hitamnya tersingkap - begitu menakutkan dan menginsafkan - ketika beliau cuba melelapkan mata.

'Saya bukannya semakin muda, semakin kuat dan sampai bila saya nak jadi samseng? Saya hilang hampir segala-galanya... masa remaja saya dihabiskan sia-sia, saya banyak menyusahkan keluarga dan mak ayah.

'Hidup saya sebenarnya tidak bebas... diburu bayang-bayang dan anggota kumpulan lain dan polis dari Cawangan Kongsi Gelap,' tambahnya.

Atas kesedaran itulah Chak rajin mengikuti bimbingan agama, banyak membaca Al-Quran sehingga khatam berkali-kali dan taat mengikuti program pemulihan.

Kesempatan tersebut beliau gunakan dengan mengikuti kursus seni halus yang dianjurkan pihak penjara dengan kerjasama Maktab LaSalle.

Dalam penjara juga beliau berkesempatan menemui pengasas kumpulannya yang menasihatkan beliau supaya memulakan hidup baru apabila dibebaskan kelak.

Beliau dibebaskan baru-baru ini selepas enam tahun meringkuk dalam penjara.

'Bila keluar saya terkapai-kapai kerana tak tahu apa nak buat... duit pun tak ada. Jiwa saya kosong. Buah hati saya juga dah tinggalkan saya. Tapi yang pasti saya serik dan tak mahu pulang ke lubuk lama.

'Saya pun macam dah tak boleh angkat dosa bertimbun yang saya lakukan dan bila teringat maut boleh menjemput bila-bila masa,' tambahnya sambil mulutnya kumat-kamit berdoa 'ampunilah dosaku ya Allah! Hanya pada Mu aku mohon... berilah aku petunjuk dan hidayah!'.

Chak kini giat berusaha mencari guru agama yang dapat membawanya ke jalan benar.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,183842,00.html?

Tuesday, March 8, 2011

Kenyataan MM Lee (BH, 09.03.11)

Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going (Lee Kuan Yew: Kebenaran Pahit Bagi Meneruskan Penakatan Singapura) adalah buku yang diterbitkan berdasarkan wawancara selama 32 jam yang dilakukan sepanjang tempoh dua tahun.
Saya membuat komen mengenai isu integrasi kaum Muslim dengan kaum lain mungkin pada dua atau tiga tahun lalu.

Menteri-menteri dan Anggota-Anggota Parlimen Melayu dan bukan Melayu telah memaklumkan kepada saya bahawa Melayu Singapura telah melakukan usaha-usaha istimewa untuk berintegrasi dengan masyarakat lain, terutama sejak 9/11, dan pandangan saya itu sudah lapuk.

Saya akui kesilapan saya.

Saya berharap trend (berintegrasi) itu akan berterusan pada masa depan.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,183584,00.html?

Pusat sehenti sedia bahan halal dan segala kelengkapan untuk barbeku (BH, 09.03.11)

BARBEKU LEBIH MUDAH: Encik Vincent Soh menunjukkan menu makanan barbeku yang ditawarkan syarikatnya di Frankel Avenue sedang beberapa pelanggan sibuk membuat pilihan dan tempahan. -- Foto KHALID BABA

Oleh Rosebi Mohd Sah

BAHAN makanan barbeku halal berserta barangan kelengkapannya di pusat sehenti.

Itulah yang disediakan syarikat BBQ Wholesale Centre di Frankel Avenue bagi majlis barbeku tidak kira di mana sahaja - di rumah, pejabat atau di tepi laut.

Syarikat itu menyediakan pelbagai makanan laut dan daging seperti ayam, kambing dan lembu yang sudah diperap dan dibubuh di dalam kotak-kotak bagi penghantaran.
Pengarah Urusan syarikat itu, Encik Vincent Soh, 50 tahun, berkata beliau memulakan perniagaan tersebut di kawasan Clementi pada akhir 1990-an dengan nama U-Food Singapore.

Pada 2002, nama syarikat itu ditukar kepada BBQ Wholesale bagi memudahkan orang ramai dan pelanggan mengingati perniagaan berkenaan dan mengaitkan nama itu dengan perniagaannya.

'Saya sendiri sangat menggemari barbeku. Namun, saya dapati membuat persediaan barbeku agak leceh. Saya perlu mengambil cuti setengah hari untuk ke pasar membeli bahan-bahan mentah yang perlu diperap, membeli arang dan peralatan barbeku lain termasuk pinggan mangkuk dan bermacam-macam lagi.

'Dari situ, saya mendapat idea memulakan perniagaan ini. Tujuannya ialah memudahkan pelanggan dengan menyediakan semua keperluan barbeku sebelum majlis dimulakan. Pelanggan hanya perlu masak dan makan sahaja,' jelasnya.

Beliau berkata selepas setahun berniaga, beliau menerima maklum balas supaya menjual barbeku halal agar semua golongan masyarakat termasuk masyarakat Islam dapat menikmatinya.

'Selepas kami mendapatkan sijil halal, penjualan perniagaan kami meningkat antara 10 dengan 20 peratus,' tambahnya.

Perniagaan itu menjana penjualan tahunan sebanyak $2 juta.

Menurut Encik Soh lagi, antara yang menjadi kegemaran pelanggannya ialah kepak ayam dengan pilihan sos lada hitam atau sos barbeku serta ikan pari sambal.

Beliau juga menjual sate dan otak-otak.

Perniagaan yang mendapat gred A daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu dibuka setiap hari dari 8 pagi hingga 6 petang kecuali Ahad yang dibuka dari 9 pagi hingga 2 petang.

BBQ Wholesale Centre juga menawarkan khidmat penghantaran atau pelanggan boleh mengunjungi syarikatnya dan memilih sama ada membuat tempahan pakej atau ala carte.

Pelanggan juga boleh membuat tempahan dan bayaran menerusi dalam talian yang disediakannya.

Menurut Encik Soh, antara pelanggan syarikat itu termasuk keluarga, syarikat, sekolah dan kem tentera.

'Kami juga menjual pada harga yang berdaya saing. Misalnya, harga secucuk sate di luar biasanya 50 sen tetapi kami hanya menjual 25 sen secucuk.

'Namun, apa yang lebih kami utamakan ialah kebersihan makanan dan khidmat yang baik kepada pelanggan tanpa mengira bangsa atau agama,' tambahnya.

Perincian perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu boleh didapatkan di laman www.bbqwholesale.com atau menerusi talian 6848-6848.

http://cyberita.asia1.com.sg/mekoniaga/story/0,6879,183607,00.html?

Monday, March 7, 2011

MM Lee: Komen saya kurang tepat (BH, 08.03.11)

MENTERI Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, semalam berkata komen yang dibuatnya mengenai kaum Melayu dan integrasi dalam sebuah bukunya baru-baru ini mungkin tidak tepat dan boleh diperbaiki.

Beliau menjelaskan bahawa buku Hard Truths To Keep Singapore Going adalah berdasarkan wawancara selama 32 jam dalam tempoh dua tahun.

Menerusi satu kenyataannya lewat malam tadi, Encik Lee berkata beliau telah membuat komen mengenai isu integrasi oleh kaum Muslim dengan kaum-kaum lain mungkin dua atau tiga tahun lalu.

'Menteri-menteri dan Anggota-Anggota Parlimen Melayu dan bukan Melayu telah memberitahu saya bahawa Melayu Singapura telah berusaha gigih untuk berintegrasi dengan masyarakat-masyarakat lain, terutama sejak 9/11, dan pandangan saya itu sudah luput. Saya mohon diperbetulkan,' kata beliau.

Encik Lee berharap trend (berintegrasi) itu akan berterusan pada masa depan.

Wednesday, March 2, 2011

Panduan kempiskan perut (BH, 03.03.11)

Oleh Wan Shamsury Wan Hassan

PERUT merupakan sejenis organ berdinding tebal yang berotot.

Masalah yang sering dikaitkan dengan bahagian ini adalah masalah perut buncit atau boroi.

Maka, timbul pertanyaan yang kerap didengar, bagaimanakah caranya mengempis serta mengetatkan otot perut?

Pertanyaan ini datang bukan sahaja daripada golongan wanita, bahkan golongan lelaki juga.

Bagi kaum Adam pula, ada yang telah berusaha keras - menghabiskan wang untuk ke gimnasium dan melakukan latihan khusus untuk membentuk otot.

Namun, kesannya hanya pada otot-otot bahagian yang lain, tetapi tidak pada otot perut yang masih tidak berubah.

Dengan itu, pelbagai cara dilakukan untuk mengatasinya.

Ada pula yang mengambil suplemen atau makanan tambahan tertentu untuk mendapatkan kesan lebih segera.

Namun, walau apa pun cara yang dipilih, segalanya terserah kepada diri anda untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

Apa yang baik ialah mengetahui tentang otot anda.

Otot perut terdiri daripada otot di bahagian atas, bawah serta di bahagian sisi.

Untuk hasil yang lebih berkesan iaitu memiliki otot perut yang kental, lantas mengelakkan buncit, lakukan latihan ini sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Beberapa bentuk latihan khusus untuk perut boleh dijadikan panduan termasuk:

Latihan Untuk Otot Perut Bahagian Atas:

-'Sit up'
-'Crunches'

Latihan Untuk Otot Perut Bahagian Bawah:

- 'Naikkan kaki'

-Latihan Untuk Otot Perut Bahagian Sisi:

-Side to Side

MAKLUMAT TAMBAHAN:

Mengapa ada orang yang bertubuh kurus, tetapi perutnya mudah menjadi buncit? Ini kerana otot perut yang dimilikinya kurang.

Jika kita mempunyai otot perut yang cukup, maka apabila kita makan sedikit berlebihan pun ia tidak membuat perut buncit kerana terdapat otot yang menahan.
Otot perut membuat tubuh kelihatan lebih baik dan pejal.

Latih diri anda untuk melakukan latihan khusus untuk perut secara rutin di samping mengamalkan pemakanan seimbang. Tubuh juga lebih sihat dan cergas.

Ramai yang beranggapan jika kita kurus, makan sedikit dan kurang bersenam, perut boleh jadi lebih kecil dan kempis. Tanggapan sebegitu adalah salah.

Ambil sumber protein secukupnya bagi perkembangan otot yang baik.

Agar otot perut kelihatan menarik dan pejal, seseorang haruslah memiliki tahap lemak badan yang rendah.

Jika lemak masih banyak, berapa kali latihan pun yang kita lakukan, ia tetap tidak akan membuahkan hasil.

Nota: Penulis pakar kesihatan dan kecergasan di NTUC Healthcare.