Friday, March 11, 2011

Menyingkap sejarah hitam hidup samseng (BH12.03.11)

Oleh Saini Salleh
RASA belas kasihan tidak sama sekali wujud dalam benak Chak ketika beliau dan para anggota kumpulannya turun ke medan 'perang' (istilah rusuhan bagi samseng).

Sebagai orang besar atau ketua kumpulan, bukan sekali malah dua atau tiga kali sebulan beliau mengarahkan geng kumpulannya menggempur kumpulan lawan.

Kerap juga mereka terperangkap dalam serang balas.

Pedang Samurai, parang, pisau dan pemutar skru adalah senjata di tangan.

Kecederaan memang mereka jangkakan. Tidak kurang yang terkorban.

Selain terlibat dalam rusuhan, Chak juga tidak peduli nasib mangsa ketika beliau mendesak hutang daripada peminjam yang cuba lari daripada pemiutang tidak sah atau tailong.

Peras ugut dan mengutip wang perlindungan daripada para peniaga di kawasan yang dikuasainya adalah permainannya.

Yang penting beliau dapat apa yang beliau mahu - kuasa dan pengaruh yang disertai nikmat berfoya-foya dengan wanita silih berganti.

Hukum rimba - siapa kuat dialah yang berkuasa - menjadi pegangan. Istilah halal atau haram tidak terlintas dalam kamus hidupnya.

Tidak pernah juga Chak, 32 tahun, terbayang jeriji besi jika beliau dijebak dan disumbat dalam penjara.

Sambil menunjukkan tatu pahlawan Jepun, Yakuza, di belakang badannya dan tatu patung budak jahat, Chucky, di dadanya, beliau berkata:

'Kami tak pernah peduli apa terjadi kepada sesiapa yang kami belasah...

'Mereka juga pun sama... yang penting siapa belasah dan siapa rodok dulu. Hidup ke mati soal kedua!' singkap Chak, bekas pekerja stor ketika ditanya mengenai perangainya yang brutal ketika menjadi anggota dua kumpulan kongsi gelap sepanjang 16 tahun.

Kumpulan pertama yang disertainya dianggotai ramai samseng bukan Melayu dan kumpulan kedua adalah 100 peratus Melayu yang memegang slogan 'Bersatu Teguh!'.

Kumpulan kedua yang beliau ketuai mempunyai lebih 50 anggota - rata-rata belia lelaki yang bekerja - dan 'menguasai' sebuah kawasan di timur Singapura.

Sambil terbatuk-batuk dan mengurut badannya yang sakit-sakit mungkin kerana terlalu banyak darah beku akibat kesan dipukul semasa merusuh, Chak menyatakan bahawa nyawanya hampir melayang ketika dibelasah sekumpulan belia di sebuah taman di sini.

'Ketika itu saya seorang diri... Apa yang saya ingat ialah saya tergelimpang bermandikan darah akibat ditikam dengan pemutar skru di leher dan pinggang.

'Saya bernasib baik kerana sekumpulan belia daripada kumpulan lain yang kebetulan ternampak saya menggelapar datang menyelamatkan saya. Kalau tidak mungkin saya dah mati!,' cerita Chak.

Menurutnya, dua anggota kumpulannya maut dalam dua rusuhan berasingan dengan kumpulan-kumpulan musuh.

Chak tidak pernah mendengar nasihat, termasuk daripada ayahnya sendiri, supaya buka baju atau keluar daripada kumpulan samseng.

Tetapi beliau tetap ingat amaran ayahnya: 'Satu hari kau pasti masuk penjara.'

Mulut arwah ayahnya itu terbukti masin apabila Chak dicekup dan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara) atau dulunya dikenali sebagai Seksyen 55.

Chak adalah antara 196 orang yang ditahan di bawah akta tersebut kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samseng.

Mengenai penahanannya, Chak berkata tabir penjara menyebabkan beliau betul-betul kesal dan insaf.

Lembar demi lembar sejarah hitamnya tersingkap - begitu menakutkan dan menginsafkan - ketika beliau cuba melelapkan mata.

'Saya bukannya semakin muda, semakin kuat dan sampai bila saya nak jadi samseng? Saya hilang hampir segala-galanya... masa remaja saya dihabiskan sia-sia, saya banyak menyusahkan keluarga dan mak ayah.

'Hidup saya sebenarnya tidak bebas... diburu bayang-bayang dan anggota kumpulan lain dan polis dari Cawangan Kongsi Gelap,' tambahnya.

Atas kesedaran itulah Chak rajin mengikuti bimbingan agama, banyak membaca Al-Quran sehingga khatam berkali-kali dan taat mengikuti program pemulihan.

Kesempatan tersebut beliau gunakan dengan mengikuti kursus seni halus yang dianjurkan pihak penjara dengan kerjasama Maktab LaSalle.

Dalam penjara juga beliau berkesempatan menemui pengasas kumpulannya yang menasihatkan beliau supaya memulakan hidup baru apabila dibebaskan kelak.

Beliau dibebaskan baru-baru ini selepas enam tahun meringkuk dalam penjara.

'Bila keluar saya terkapai-kapai kerana tak tahu apa nak buat... duit pun tak ada. Jiwa saya kosong. Buah hati saya juga dah tinggalkan saya. Tapi yang pasti saya serik dan tak mahu pulang ke lubuk lama.

'Saya pun macam dah tak boleh angkat dosa bertimbun yang saya lakukan dan bila teringat maut boleh menjemput bila-bila masa,' tambahnya sambil mulutnya kumat-kamit berdoa 'ampunilah dosaku ya Allah! Hanya pada Mu aku mohon... berilah aku petunjuk dan hidayah!'.

Chak kini giat berusaha mencari guru agama yang dapat membawanya ke jalan benar.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,183842,00.html?

No comments: