Tuesday, March 8, 2011

Pusat sehenti sedia bahan halal dan segala kelengkapan untuk barbeku (BH, 09.03.11)

BARBEKU LEBIH MUDAH: Encik Vincent Soh menunjukkan menu makanan barbeku yang ditawarkan syarikatnya di Frankel Avenue sedang beberapa pelanggan sibuk membuat pilihan dan tempahan. -- Foto KHALID BABA

Oleh Rosebi Mohd Sah

BAHAN makanan barbeku halal berserta barangan kelengkapannya di pusat sehenti.

Itulah yang disediakan syarikat BBQ Wholesale Centre di Frankel Avenue bagi majlis barbeku tidak kira di mana sahaja - di rumah, pejabat atau di tepi laut.

Syarikat itu menyediakan pelbagai makanan laut dan daging seperti ayam, kambing dan lembu yang sudah diperap dan dibubuh di dalam kotak-kotak bagi penghantaran.
Pengarah Urusan syarikat itu, Encik Vincent Soh, 50 tahun, berkata beliau memulakan perniagaan tersebut di kawasan Clementi pada akhir 1990-an dengan nama U-Food Singapore.

Pada 2002, nama syarikat itu ditukar kepada BBQ Wholesale bagi memudahkan orang ramai dan pelanggan mengingati perniagaan berkenaan dan mengaitkan nama itu dengan perniagaannya.

'Saya sendiri sangat menggemari barbeku. Namun, saya dapati membuat persediaan barbeku agak leceh. Saya perlu mengambil cuti setengah hari untuk ke pasar membeli bahan-bahan mentah yang perlu diperap, membeli arang dan peralatan barbeku lain termasuk pinggan mangkuk dan bermacam-macam lagi.

'Dari situ, saya mendapat idea memulakan perniagaan ini. Tujuannya ialah memudahkan pelanggan dengan menyediakan semua keperluan barbeku sebelum majlis dimulakan. Pelanggan hanya perlu masak dan makan sahaja,' jelasnya.

Beliau berkata selepas setahun berniaga, beliau menerima maklum balas supaya menjual barbeku halal agar semua golongan masyarakat termasuk masyarakat Islam dapat menikmatinya.

'Selepas kami mendapatkan sijil halal, penjualan perniagaan kami meningkat antara 10 dengan 20 peratus,' tambahnya.

Perniagaan itu menjana penjualan tahunan sebanyak $2 juta.

Menurut Encik Soh lagi, antara yang menjadi kegemaran pelanggannya ialah kepak ayam dengan pilihan sos lada hitam atau sos barbeku serta ikan pari sambal.

Beliau juga menjual sate dan otak-otak.

Perniagaan yang mendapat gred A daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu dibuka setiap hari dari 8 pagi hingga 6 petang kecuali Ahad yang dibuka dari 9 pagi hingga 2 petang.

BBQ Wholesale Centre juga menawarkan khidmat penghantaran atau pelanggan boleh mengunjungi syarikatnya dan memilih sama ada membuat tempahan pakej atau ala carte.

Pelanggan juga boleh membuat tempahan dan bayaran menerusi dalam talian yang disediakannya.

Menurut Encik Soh, antara pelanggan syarikat itu termasuk keluarga, syarikat, sekolah dan kem tentera.

'Kami juga menjual pada harga yang berdaya saing. Misalnya, harga secucuk sate di luar biasanya 50 sen tetapi kami hanya menjual 25 sen secucuk.

'Namun, apa yang lebih kami utamakan ialah kebersihan makanan dan khidmat yang baik kepada pelanggan tanpa mengira bangsa atau agama,' tambahnya.

Perincian perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu boleh didapatkan di laman www.bbqwholesale.com atau menerusi talian 6848-6848.

http://cyberita.asia1.com.sg/mekoniaga/story/0,6879,183607,00.html?

No comments: