Sunday, July 10, 2011

Didorong hasrat tinggalkan warisan berkekalan (BH, 09.07.11)

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

KETIKA mula bersekolah di Singapura 23 tahun lalu, Encik Muhammad Herwanto Johari langsung tidak boleh berbahasa Inggeris.

Ini kerana semasa darjah satu dan dua beliau belajar di Malaysia sebab keluarganya mengikut bapanya yang bekerja di sana.

Setelah bapa Encik Herwanto meninggal dunia ketika beliau berusia lapan tahun, ibunya membawa beliau dan adik perempuannya pulang ke Singapura.

Encik Herwanto kemudian dimasukkan ke Sekolah Rendah Towner dan terpaksa mengulangi darjah dua. Oleh kerana tidak boleh berbahasa Inggeris, sukar bagi beliau mengikuti mata pelajaran lain juga.

Namun, berkat kesabaran guru kelasnya ketika itu, Cik Pearly Chai, Encik Herwanto, 31 tahun, akhirnya dapat menguasai bahasa itu dan mengikuti mata pelajaran lain.

Malah, Encik Herwanto terdorong menjadi guru dan kelmarin menjadi antara lulusan terbaik kursus Diploma Pendidikan Universiti Teknologi Nanyang (NTU)-Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Beliau lulus dengan kepujian dan dianugerahi pingat emas Ulang Tahun ke-75 Rotary International bagi kepimpinan dan dedikasi cemerlang dalam menganjurkan aktiviti bagi pelajar NIE dan khidmat masyarakat.

Selain itu, beliau mendapat Hadiah Buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) kerana kelakonan cemerlang dalam pengajian pengkhususan Bahasa Melayu.

'Saya tidak begitu mengingati nama guru-guru lain yang pernah mengajar saya, tetapi nama Cik Chai kekal dalam ingatan kerana kesabaran dan bantuan yang beliau berikan supaya saya dapat bertapak mencari ilmu,' ujar Encik Herwanto.

Selain terdorong oleh Cik Chai, beliau memilih menjadi guru kerana ingin meninggalkan warisan berkekalan.

'Sebelum ini saya menceburi bidang seni bina kerana saya bercita-cita meninggalkan bangunan yang saya reka sebagai warisan yang dapat dinikmati masyarakat.

'Tetapi kemudian saya terfikir bahawa saya boleh juga meninggalkan warisan dalam bentuk lain dan saya rasa warisan minda lebih berkekalan dan bermakna,' ujar Encik Herwanto.

Beliau memutuskan menjadi guru Bahasa Melayu pula kerana ingin melihat masyarakat Melayu maju.

'Saya pernah diberitahu bahawa untuk sesebuah masyarakat itu maju, 5 peratus daripada anggota masyarakat itu harus menjadi pemimpin. Saya lihat masyarakat kita masih belum memenuhi keperluan itu dan kita perlu lahirkan lebih ramai model contoh,' ujarnya.

Encik Herwanto percaya cara mencapai itu ialah melalui pendidikan.

'Saya melihat pendidikan sebagai cara bagi seseorang mengubah nasib atau kehidupannya dan menjadi pendidik cara terbaik bagi saya menyumbang kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat itu.

'Guru Bahasa Melayu bukan sekadar mengajar bahasa, bahkan dapat menanam nilai dan budaya Melayu dalam diri pelajarnya,' kata beliau.

Sebelum itu, Encik Herwanto akan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda mulai bulan depan.

Mengenai peranannya sebagai pendidik pada masa depan, Encik Herwanto berkata: 'Saya ingin menjadi guru yang bukan sahaja mengajar bahkan membuka minda muridnya agar mereka dapat berfikir sendiri.'

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,192360-1310248740,00.html?

No comments: