Monday, July 25, 2011

Empat Melayu lulus kelas pertama di NTU (BH, 26.07.11)

CEMERLANG: Cik Sharifah akan menjalani latihan kerja selama setahun di Taiwan mulai September, sementara Encik Muhammad Azhar, yang lulus dengan kepujian kelas satu, bakal kembali ke set penggambaran filem The Hunter di Sarawak, esok.


Oleh

Linilidia Abdul Hamid


EMPAT siswazah Melayu antara pelajar terbaik Universiti Teknologi Nanyang (NTU) - lulus dengan kepujian kelas pertama.


Seorang daripada mereka, Encik Muhammad Azhar Mohamed Shukor, 25 tahun, meraih Sarjana Muda Seni Halus (Pembikinan Filem Digital) dan menerima ijazahnya pagi semalam.


Tiga lagi - Encik Mohamed Shahid Shawall Hamid; Encik Idznursham Ismail dan Encik Mohammed Rafdi Rafique - bakal menerima ijazah mereka dalam majlis konvokesyen NTU yang akan diadakan sepanjang minggu ini hingga Isnin depan.


Seramai 9,066 graduan akan mendapat ijazah kesemuanya. Ia jumlah kelas tamatan terbesar dalam sejarah NTU.


Majlis konvokesyen pertama pagi semalam di Auditorium Nanyang turut dihadiri Presiden S R Nathan, yang juga Canselor NTU; Menteri Pendidikan, Encik Heng Swee Keat; dan Menteri Pertahanan, Encik Ng Eng Hen.


Ia turut menyaksikan pelantikan rasmi Profesor Bertil Andersson sebagai presiden ketiga NTU.


Profesor Andersson mengambil alih tempat Professor Su Guaning, yang telah memimpin NTU selama lapan setengah tahun dan kini mendapat gelaran Presiden Emeritus NTU.


Dalam ucapannya, Profesor Andersson turut mendedahkan dua pertiga lulusan NTU tahun ini telah mendapat pekerjaan sebelum majlis konvokesyen mereka.


Ini bermakna, seperti tahun- tahun lalu, lebih 90 peratus siswazah tahun ini dijangka mendapat kerja dalam masa empat bulan setelah meraih ijazah.


Menurut NTU, kajian awal Pejabat Kerjaya dan Latihan Kerja universiti itu juga mendapati lima siswazah mendapat gaji permulaan paling tinggi, lebih $10,000 sebulan.


Walaupun Cik Sharifah Mohamed Nasser, 23 tahun, yang mennerima ijazah Sarjana Muda Seni Halus dengan kepujian kelas dua atas dalam bidang rekaan produk semalam, tidak mendapat gaji tertinggi, beliau tetap dapat tersenyum gembira.


Ini kerana beliau telah ditawarkan peluang mengikuti latihan kerja yang ditaja sepenuhnya di Taiwan selama setahun untuk mereka produk komputer jenama Asus.


'Tentu sekali ia peluang yang amat saya hargai kerana ramai yang inginkan peluang ini tetapi saya yang terpilih,' ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.


Menurut Cik Sharifah, latihan kerja itu, yang ditawarkan oleh syarikat Pega Design, salah sebuah anak syarikat Asus, memberinya peluang meneroka budaya, cara bekerja dan pemikiran berbeza dalam mereka produk.


'Saya tidak sabar ke Taiwan untuk melihat apakah yang bakal saya pelajari dan lakukan di sana,' ujarnya, yang akan memulakan latihan kerjanya pada September.


No comments: