Monday, April 4, 2011

Hadiah istimewa George Yeo buat Aljunied (BH, 05.04.11)

HADIAH PAPAR HUBUNGAN MESRA: Encik Yeo menyampaikan set ensiklopedia perundangan Islam dalam bahasa Arab di bawah huruf alif kepada Ustaz Mohd Murat dengan disaksikan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, dan Penolong Naib Mudir Madrasah Aljunied, Cik Khairiana Zainal Abiden. -- Foto M.O. SALLEH


Oleh Linilidia Abdul Hamid

HUBUNGAN mesra antara beliau dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah membuatkan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, memilih sekolah itu bagi sebuah hadiah istimewa - set ensiklopedia perundangan Islam dalam bahasa Arab dari Iran.

'Saya mempunyai jalinan mesra dengan Madrasah Aljunied. Walaupun ia tidak berada dalam kawasan undi saya, beberapa pemimpin akar umbi kawasan undi saya ada kaitan dengan madrasah ini,' ujarnya.

Oleh itu, Encik Yeo tidak teragak-agak menghadiahkan set ensiklopedia itu, yang diberi kepada beliau oleh seorang anggota Majlis Pelindung Iran, Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroudi, yang juga mantan ketua sistem perundangan Iran, semasa Encik Yeo melawat Iran November lalu.

'Dalam perbualan sejam saya dengan Ayatollah Shahroudi, beliau berjanji akan memberi saya set lengkap ensiklopedia Islam bermula dengan huruf alif dan hingga huruf terakhir,' kata Encik Yeo.

Beliau telah menerima set ensiklopedia di bawah huruf alif dan ini dihadiahkannya kepada Madrasah Aljunied semasa berkunjung ke madrasah itu semalam.

Pengarah Eksekutif Madrasah Aljunied, Ustaz Mohd Murat Md Aris, berkata ensiklopedia itu akan diletak di sudut khusus bagi kegunaan pelajar peringkat prauniversiti sebagai bahan rujukan.

Semasa kunjungan itu, Encik Yeo sempat memberi pandangan kepada media tentang calon parti pembangkang bagi pilihan raya umum akan datang.

'Calon-calon pembangkang yang lebih baik akan memberi warga Singapura pilihan lebih luas,' katanya.

Beliau menambah penting bagi Singapura mempunyai pembangkang boleh dipercayai kerana jika Parti Tindakan Rakyat (PAP) menjadi tidak bermoral atau lemah, ada pilihan lain bagi warga Singapura.

Calon pembangkang yang lebih baik juga bermakna pasukan yang dipimpinnya di GRC Aljunied harus bekerja lebih keras, katanya.

'Ini bermakna kami tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap pengundi, sama ada pengundi kali pertama, warga tua, cendekiawan mahupun buruh kasar,' ujar Encik Yeo.

Beliau juga berkata akhirnya terpulang pada pengundi memilih siapa di antara calon yang bertanding di kawasan mereka mampu mewakili mereka dengan lebih baik dan meningkatkan kehidupan mereka.


No comments: