Wednesday, February 4, 2009

TOKOH AGAMA: 'TANGKAP HANTU' KERJA SIA-SIA (BH, 05.02.09)

KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama Malaysia berkata perbuatan menangkap hantu atau melihat perbuatan itu adalah sia-sia.

Mantan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Amran Kasimin, yang juga pengkaji kebudayaan Islam, berkata tiada guna manusia menghabiskan masa menangkap hantu atau melihat perbuatan itu.

'Buat apalah tangkap hantu. Itu semua mengarut. Secara ratio, atau perbandingan, jumlah jin 99 kali ganda daripada jumlah manusia. Tiada gunanya tangkap hantu,' katanya.

Menurut beliau, tiada satu ayat pun dalam Al-Quran yang menyebut salah satu tugas manusia di dunia ialah menangkap hantu syaitan.

Beliau tergelak apabila diajukan mengenai operasi menangkap hantu di Taman Rinting, Johor Bahru, oleh seorang pengamal perubatan tradisional yang dikatakan mendapat sambutan luar biasa di kalangan penduduk bandar raya itu, yang teruja untuk melihat cara menangkap makhluk tersebut.

Pengamal perubatan tradisional yang dikenali sebagai Kak Mek itu mendakwa sudah membantu menyelesaikan kira-kira 100 kes kerasukan, membuang saka dan menangkap hantu di rumah serta tempat berpenunggu.

'Dalam Al-Quran tidak sebut pun tugas manusia tangkap hantu. Yang ditekankan ialah supaya manusia menjauhi syaitan dan menganggap makhluk itu sebagai musuh. Cukuplah dengan pelbagai masalah akhlak di kalangan umat Islam. Sedarlah dengan hakikat dunia ketika ini, yang kita sedang ketinggalan. Malah, ada saudara kita sedang diperangi,' katanya.

Seorang lagi tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap individu yang mendakwa berupaya menangkap hantu kerana dikhuatiri ada unsur komersial.

'Sebagai contoh, satu masa dulu heboh diperkata mengenai 'jenglot' yang dikeringkan dan kemudian menjadi bahan pameran. Dalam istilah tauhid atau fiqah tiada makhluk bernama hantu, pontianak atau jenglot. Tapi yang ada ialah jin dan syaitan. Manusia tidak boleh nampak makhluk berkenaan, jadi bagaimana nak menangkapnya, lebih-lebih lagi konon dimasukkan ke dalam botol,' kata beliau. -- Harian Metro.

Tuesday, February 3, 2009

Kurniaan Tuhan

Aku berasa pelik. Manusia dicipta oleh Tuhan demi menjaga kesejahteraan dunia. Segala hidupan yang berkeliaran di muka bumi ini adalah tanggungjawab insan. Namun, semakin banyak hidupan-hidupan ini menjadi mangsa manusia. Malah, ada beberapa spesies hidupan yang telah pupus akibat angkara mereka. Manakah perikemanusiaan?

Aku duduk terfikir sambil menjilat bulu di tubuhku. Baru tadi buluku dibasahi air kotor dan hanyir yang telah dijirus oleh seorang manusia yang berkulit sawo matang. Dia masih kerdil. Tidakkah kedua orang tuanya mengajar bahawa aku juga ciptaan Tuhan yang bernyawa dan juga perlu dibelai?

"Putih, mari sini sayang," panggil tuanku dengan manja.

Aku pun merangkak longlai ke arahnya sambil menggesel kakinya. Tuanku mengangkat aku lalu mengusap buluku yang lembut serta berkilat. Aku berasa bangga kerana aku bukan haiwan terbiar tidak seperti nasib ibuku yang malang. Aku tidak tahu gerangan ibuku kerana ia mati setelah dianiaya oleh beberapa manusia setelah ia penat lelah melahirkanku ke alam fana ini.

"Keluar kau dari sini. Binatang jalang!" usir tuanku dengan nada lantang setelah usiaku mencecah dua tahun.

Aku terpaksa membawa nasib setelah tidak berbumbung lagi. Aku pun tidak tahu siapakah ayah kepada janin-janin yang berada dalam rahimku. Namun, aku tidak mahu mereka senasib aku dan seperti ibuku. Manakah manusia yang berperikemanusiaan? Kami adalah haiwan yang perlu dipelihara. Tidakkah kau manusia dijadikan khalifah menjaga bumi ini?

"Prr..." aku berbisik sendirian sambil mataku pejam, mungkin untuk selama-lamanya.

Woodlands Drive 75, 03.02.09, 2040 hrs

Sunday, February 1, 2009

Keluarga Bidai 2009

Keluarga Bidai 2009 Darjah 3-10.
Pengganti Keluarga Bidai 2006-2008: 2 Cemerlang BML, 8 A* & 25 A.