Tuesday, February 3, 2009

Kurniaan Tuhan

Aku berasa pelik. Manusia dicipta oleh Tuhan demi menjaga kesejahteraan dunia. Segala hidupan yang berkeliaran di muka bumi ini adalah tanggungjawab insan. Namun, semakin banyak hidupan-hidupan ini menjadi mangsa manusia. Malah, ada beberapa spesies hidupan yang telah pupus akibat angkara mereka. Manakah perikemanusiaan?

Aku duduk terfikir sambil menjilat bulu di tubuhku. Baru tadi buluku dibasahi air kotor dan hanyir yang telah dijirus oleh seorang manusia yang berkulit sawo matang. Dia masih kerdil. Tidakkah kedua orang tuanya mengajar bahawa aku juga ciptaan Tuhan yang bernyawa dan juga perlu dibelai?

"Putih, mari sini sayang," panggil tuanku dengan manja.

Aku pun merangkak longlai ke arahnya sambil menggesel kakinya. Tuanku mengangkat aku lalu mengusap buluku yang lembut serta berkilat. Aku berasa bangga kerana aku bukan haiwan terbiar tidak seperti nasib ibuku yang malang. Aku tidak tahu gerangan ibuku kerana ia mati setelah dianiaya oleh beberapa manusia setelah ia penat lelah melahirkanku ke alam fana ini.

"Keluar kau dari sini. Binatang jalang!" usir tuanku dengan nada lantang setelah usiaku mencecah dua tahun.

Aku terpaksa membawa nasib setelah tidak berbumbung lagi. Aku pun tidak tahu siapakah ayah kepada janin-janin yang berada dalam rahimku. Namun, aku tidak mahu mereka senasib aku dan seperti ibuku. Manakah manusia yang berperikemanusiaan? Kami adalah haiwan yang perlu dipelihara. Tidakkah kau manusia dijadikan khalifah menjaga bumi ini?

"Prr..." aku berbisik sendirian sambil mataku pejam, mungkin untuk selama-lamanya.

Woodlands Drive 75, 03.02.09, 2040 hrs

No comments: