Wednesday, January 28, 2009

MAHKAMAH ARAH SYARIKAT BAYAR BALIK PELANGGAN (BH, 29.01.09)

$48,000 dan jumlah kerugian perlu dibayar selepas gagal serah surat hak milik apartmen

SEBUAH syarikat Melayu/Islam setempat yang memasarkan skim hak memiliki penginapan di Menara Zam Zam di Makkah, Arab Saudi, telah diarahkan membayar balik $48,000 dan faedah kepada seorang pelanggan ekoran kegagalannya menyerahkan surat ikatan hak milik apartmen studio yang dibelinya itu dalam 2005.

Oasis Properties Pte Ltd yang mempunyai pejabat di The Plaza, Beach Road, juga diarahkan membayar kerugian yang jumlahnya akan ditaksirkan kelak kepada plaintif, Haji Haris Fadzilah Din, 57 tahun, selain kos kepada pendaftar mahkamah.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Rendah pada 7 November lalu selepas syarikat tersebut tidak memberi sebarang respons kepada writ saman Haji Haris dan isterinya, Hajah Juariah Sungep, 52 tahun, dua minggu sebelum itu.

Dua tahun berlalu, pasangan yang menetap di Jurong itu sepatutnya menerima surat hak milik apartmen mereka pada April 2007 - selepas melangsaikan bayaran sebanyak $48,000.

Tetapi, usaha mendapatkan surat hak milik itu hanya berakhir dengan berputih mata dan sekali gus membantutkan niat mereka untuk mengerjakan umrah pada Ramadan 2007.

Oasis Properties memulakan kegiatan di pejabat asalnya di Havelock Road selepas didaftarkan pada Oktober 2004 sebelum berpindah ke pejabat lebih gah di Keypoint, Beach Road.

Kini, syarikat tersebut menyewa ruang pejabat di The Plaza, juga di Beach Road.

Dua teraju utama Oasis Properties sekarang ialah Encik Roslan Osman, 39 tahun, dan Encik Anwar Ali, 33 tahun, yang mengambil alih daripada pengurusan asalnya sekitar Julai 2006.

Selain Menara Zam Zam, mereka telah dilantik sebagai ejen Asia Tenggara bagi memasarkan juga Menara Hajar dan pusat beli-belah Abraj Al-Bait - dua hartanah raksasa di Makkah.

Unit-unit di Menara Zam Zam itu mereka pasarkan di bawah skim berkongsi masa, atau Sokouk Al-Intifa'a (hak memiliki penginapan).

Encik Roslan pernah memberitahu Berita Harian pada Disember 2006 bahawa sejak dipasarkan tahun sebelumnya, sekitar 200 warga setempat telah mengikat perjanjian bagi memiliki hak penginapan di apartmen di Menara Zam Zam.

Bagi Haji Haris, seorang pegawai keselamatan, segala janji yang dibuat syarikat tersebut adalah hanya 'manis di mulut' belaka.

Di bawah skim itu, pemilik layak menginap percuma selama tujuh hari di apartmen masing-masing setiap tahun.

Jika tidak digunakan, apartmen mereka akan disewakan dan pemilik boleh meraih pulangan AS$500 ($750) sehari atau AS$84,000 dalam tempoh 24 tahun.

'Saya ingat ada apartmen sendiri di Tanah Suci Makkah akan memudahkan saya menginap apabila kerjakan umrah atau haji.

'Tetapi, sampai sekarang tak dapat surat hak milik apartmen saya. Tanpa surat itu macam mana saya nak tempah penginapan di apartmen saya sendiri?

'Puas saya turun naik pejabat Oasis Properties tetapi diberi pelbagai alasan yang bercanggah dengan janji mereka untuk memberikan surat tersebut pada Februari 2007.

'Saya juga kecewa kerana belum dapat sebarang pulangan kerana tidak menggunakan peluang penginapan selama tujuh hari pada 2007 dan tahun lalu,' kata Haji Haris dengan penuh kesal.

Beliau bertekad untuk mendapatkan semula wang tersebut menerusi saluran undang-undang kerana ia merupakan simpanan hari tua isterinya yang bekerja sebagai jururawat.

PELAJAR NORMAL DIBERI GANJARAN SELEPAS BERJAYA BUAT 'LONCATAN' (BH, 29.01.09)

KEPUTUSAN Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) mereka jauh daripada yang diharap. Namun, kekecewaan itu tidak melemahkan semangat dua pelajar Sekolah Menengah Yusof Ishak (YISS), Muhammad Danial Israwi dan Siti Muliani Johari.

Sebaliknya, ia mendorong mereka belajar lebih tekun - hingga Muhammad Danial berjaya berpindah daripada aliran Normal Akademik (NA) kepada aliran Ekspres, manakala Siti Muliani daripada aliran Normal Teknikal (NT) kepada aliran NA.

Kerja keras pelajar menengah dua itu membawa ganjaran anugerah dan biasiswa pemberian YISS dan Pertubuhan Akar Umbi Bukit Batok East, yang pertama kali diberi kepada pelajar yang berjaya 'loncat' daripada aliran NT ke NA dan daripada NA ke Ekspres.

Pelajar boleh menukar aliran di menengah satu dan dua, berdasarkan keputusan akademik yang cemerlang. Seramai 43 daripada sekitar 300 pelajar menengah satu dan dua YISS berjaya membuat 'loncatan' itu.

Mereka menerima anugerah itu, dalam bentuk sijil dan wang tunai $250 setiap seorang bagi perbelanjaan sekolah, daripada Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Halimah Yacob, dalam satu majlis semalam.

Wang tersebut sumbangan penaung Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Bukit Batok East, Encik Richard Ong.

Muhammad Danial dan Siti Muliani, kedua-duanya 14 tahun, berkata azam untuk membuat ibu bapa bangga turut mendorong mereka belajar lebih gigih.

'Walaupun mereka tidak tunjukkan, tapi saya tahu ibu bapa saya kecewa akan keputusan PSLE saya. Jadi, saya berazam untuk bekerja keras dan melangkah ke aliran Ekspres untuk membanggakan mereka,' kata Muhammad Danial.

Siti Muliana pula berkata di menengah satu dia lebih tekun mengikuti pelajaran di kelas dan mengulang kaji mata pelajaran yang dia lemah.

'Saya pastikan saya belajar dua jam sehari dan beri tumpuan lebih pada subjeksubjek yang saya lemah, seperti Matematik,' katanya.

Cik Halimah berkata anugerah sedemikian penting kerana ia memberi perangsang kepada para pelajar di aliran Normal.

'Kita ada banyak program dan anugerah untuk pelajar cemerlang, tapi kita tidak harus melupakan pencapaian dan kejayaan kecil seperti ini kerana ia akan merangsang pelajar untuk terus mencapai yang terbaik,' ujar beliau.
Oleh
Nazri Hadi Saparin

Thursday, January 15, 2009

MELAYU TERBAIK RAIH A1 BAHASA CINA (BH, 13.01.09)

MENJELANG peperiksaan GCE 'O' tahun lalu, Nadiah Nadhirah Abdul Majid sibuk menonton drama Cina di televisyen.

Namun, pelajar Sekolah Menengah Riverside itu menonton bukan untuk mendapat hiburan saja - sebalik sebagai sebahagian persiapan bagi peperiksaan Bahasa Cina.

Hasilnya, Nadiah, 16 tahun, mendapat gred A1 dalam Bahasa Cina. Malah, dia meraih enam lagi gred A1 dan dua gred A2, sekali gus menjadikannya pelajar Melayu terbaik dalam peperiksaan itu, yang keputusannya diumum semalam.

Semasa ditemui semalam, Nadiah, yang turut mendapat gred A1 bagi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, berkata dia memberi tumpuan yang lebih pada Bahasa Cina berbanding mata pelajaran lain.

Nadiah turut mendapat gred A1 dalam Matematik A, Matematik E, Fiziks dan Biologi. Dia meraih gred A2 bagi Kimia dan Kemanusiaan Sepadu.

'Semasa menengah empat gred Bahasa Mandarin saya merosot daripada A dan B kepada C kerana saya mendapati semakin sukar untuk saya menguasainya.

'Lantas, saya semakin rajin menonton drama Mandarin, membaca surat khabar Cina dan berlatih menulis dalam bahasa Cina supaya penguasaan bahasa saya lebih baik,' ujar anak sulung daripada dua adik-beradik itu, yang mengambil bahasa Cina di bawah Program Khas Cina.

Menurut Nadiah, dia sanggup melepaskan mata pelajaran Melayu Lanjutan dan memilih Bahasa Cina sebagai bahasa ketiga di menengah satu kerana minatnya terhadap bahasa tersebut.

'Jika saya menguasai bahasa Mandarin, saya dapat lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan. Saya juga dapat lebih memahami sejarah dan budaya masyarakat Cina,' katanya, yang merancang meneruskan pengajian dalam bahasa tersebut.

Mengenai rahsia kejayaannya meraih keputusan cemerlang, Nadiah berkata kekecewaan semasa Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dahulu membakar semangatnya untuk belajar lebih tekun.

Dia meraih agregat 237 dalam PSLE.

'Di sekolah rendah dulu saya terlalu banyak bermain. Apabila dapat keputusan saya kecewa dan kesal.

'Tapi ibu dan bapa terus beri sokongan dan dorongan, dan alhamdulillah berkat doa mereka saya berjaya,' tambahnya.

Bapanya, Encik Abdul Majid Hamzah, 50 tahun, seorang pegawai pembantu pentadbiran, berkata bahawa beliau dan isterinya, Cik Bibi Kahtoon Sardar Bahadur, 46 tahun, seorang suri rumah, tidak meletak sebarang tekanan ke atas anak mereka dalam peperiksaan GCE 'O'.

'Namun, dalam hati kecil kami kami tahu dia mampu cemerlang. Cuma tak sangka keputusan Nadiah sebaik ini,' katanya, tersenyum bangga.

Sementara itu, Dina Aziz mengharumkan nama madrasah dengan mendapat tujuh A1 dan dua A2.

Pelajar Madrasah Al-Maarif itu berkata: 'Alhamdulillah, keputusan peperiksaan saya sering konsisten sejak sekian lama, jadi saya yakin kalau saya teruskan belajar secara tekun saya mampu mencapai keputusan cemerlang.'

Sementara itu, pelajar terbaik peringkat nasional tahun ini ialah Haw Sue Hern daripada Sekolah Perempuan CHIJ St. Nicholas. Dia meraih 10 gred A1.

Seramai 36,640 pelajar mengambil peperiksaan GCE 'O' tahun lepas dan 80.8 peratus lulus lima mata pelajaran atau lebih.

Seramai 3,087 pelajar mengambil peperiksaan itu secara privet dan 88.7 peratus daripada mereka mendapat sijil.

Turut mengambil satu hingga dua mata pelajaran GCE 'O' tahun lalu ialah 4,254 pelajar Menengah 4 Normal Akademik (NA).

Oleh Nazri Hadi Saparin

Sunday, January 11, 2009

Pelajar Terbaik Keluarga Cemerlang (Darjah 4-8 2008)




Tahniah kepada Muhammad Haziq Bin Hanif (Pelajar Lelaki Terbaik) dan Nurul Wardatul Jannah Binte Sanin (Pelajar Perempuan Terbaik)! Semoga pencapaian cemerlang kamu berterusan hingga ke peringkat PSLE.

Friday, January 2, 2009

MANFAATKAN KEPAKARAN DARI MALAYSIA (BH, 02.01.09)

PROGRAM ijazah Bahasa Melayu Universiti SIM (UniSIM), yang bakal dimulakan lewat bulan ini, memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendalami dunia Melayu lebih menyeluruh.

Kursus Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Melayu (BAML) itu bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek pedagogi, malah memberi fokus kepada bidang linguistik, penterjemahan, sosiobudaya dan sastera Melayu.

Oleh itu, selain melengkapkan golongan pendidik dengan kemahiran mengajar di bilik darjah, program itu juga memberi peserta pemahaman dan penghargaan terhadap bahasa Melayu dengan lebih mendalam.

Sebagai tambahan, perjanjian yang dimeterai UniSIM dengan tiga universiti terkemuka seberang Tambak bermakna para pelajar akan dapat memanfaatkan kepakaran terbaik di rantau ini dalam subjek berkaitan bahasa, budaya dan masyarakat Melayu.

Ketua program tersebut, Dr Lim Beng Soon, berkata program yang menyeluruh itu bukan sahaja sesuai bagi golongan guru, bahkan golongan karyawan yang mahu menceburi bidang penterjemahan bahasa, ataupun individu yang berminat dalam bahasa dan budaya Melayu.

Program tersebut membuka pintu kepada kumpulan pertama pelajar seramai 50 orang bulan ini dengan 100 lagi dijangka memulakan pengajian pada Julai ini.

Sebahagian besar peserta merupakan golongan guru.

'UniSIM mahukan satu program yang memberi penekanan terhadap aspek pedagogi dan juga aspek-aspek lain bahasa serta budaya Melayu kerana inginkan program yang relevan kepada semua, bukan sahaja golongan guru, meskipun para pendidik merupakan sasaran utama program kami,' ujarnya.

UniSIM baru-baru ini telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) pertamanya dengan universiti asing untuk mengendalikan beberapa modul BAML.

MOU dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang itu akan disusuli dua lagi perjanjian dengan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dua MOU itu akan ditandatangani di Kuala Lumpur pada 6 Januari ini.

Mengenai kerjasama dengan UM, Dr Lim berkata UniSIM akan memanfaatkan kepakaran anggota Fakulti Bahasa dan Linguistik universiti itu, khususnya dalam bidang terjemahan dan linguistik bahasa Melayu.

'Kami juga akan memeterai perjanjian dengan Akademi Pengajian Melayu UM, khususnya dalam bidang sosiobudaya Melayu dan juga kursus pengantar linguistik bahasa Melayu,' ujarnya.

Bagi UPM pula, Dr Lim berkata kepakaran universiti itu dalam sastera Melayu termasuk sastera kanak-kanak dan remaja serta filem Melayu akan dimanfaatkan.

Antara anggota fakulti UM yang akan mengendalikan kelas BAML di UniSIM termasuk Pengarah Akademik, Akademi Penyelidikan Melayu, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ketua Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu, Profesor Madya Dr Rohani Md Yusof.

Anggota fakulti UPM pula terdiri daripada Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Perhubungan Moden, Dr Arba'ie Sujud.

Mengulas mengenai tiga MOU itu, Presiden UniSIM, Profesor Cheong Hee Kiat, berkata walaupun terdapat banyak kepakaran dalam bidang bahasa dan budaya Melayu di Singapura, kepakaran anggota akademik di rantau ini dapat 'menghidupkan' sekitaran bahasa dan budaya di sini.

'Kami harap aspek ini dapat memberi kelebihan kepada para pelajar kami,' ujarnya.

KURSUS BAML SESUAI BAGI
Guru Bahasa Melayu yang ingin mendapatkan ijazah.
Karyawan media, pegawai penterjemah dan mereka yang berminat dalam bahasa, sastera dan budaya Melayu.
ANTARA MODUL
Tamadun, Falsafah dan Pemikiran Melayu
Struktur Bahasa Melayu
Pengantar Sastera Melayu
Pemerolehan Bahasa Kedua
Islam dan Masyarakat Melayu
Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu
Terjemahan Dua Hala Melayu- Inggeris
Jawi dalam Sastera Melayu
KRITERIA KEMASUKAN
Rakyat dan penduduk tetap Singapura.
Minimum dua kelulusan GCE 'A' atau diploma daripada institusi yang diiktiraf.
Lulus Bahasa Melayu GCE 'O'.
Pengalaman bekerja selama dua tahun atau bekerja sepenuh masa semasa memohon.
Berusia 21 tahun ke atas.
Mesti fasih berbahasa Melayu kerana 20 daripada 26 modul akan diajar dalam bahasa Melayu.
YURAN DAN TEMPOH
$15,000 (selepas 40 peratus subsidi pemerintah).
Boleh melengkapkan program dalam masa tiga hingga lapan tahun.
Oleh Nazri Hadi Saparin