Thursday, January 15, 2009

MELAYU TERBAIK RAIH A1 BAHASA CINA (BH, 13.01.09)

MENJELANG peperiksaan GCE 'O' tahun lalu, Nadiah Nadhirah Abdul Majid sibuk menonton drama Cina di televisyen.

Namun, pelajar Sekolah Menengah Riverside itu menonton bukan untuk mendapat hiburan saja - sebalik sebagai sebahagian persiapan bagi peperiksaan Bahasa Cina.

Hasilnya, Nadiah, 16 tahun, mendapat gred A1 dalam Bahasa Cina. Malah, dia meraih enam lagi gred A1 dan dua gred A2, sekali gus menjadikannya pelajar Melayu terbaik dalam peperiksaan itu, yang keputusannya diumum semalam.

Semasa ditemui semalam, Nadiah, yang turut mendapat gred A1 bagi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, berkata dia memberi tumpuan yang lebih pada Bahasa Cina berbanding mata pelajaran lain.

Nadiah turut mendapat gred A1 dalam Matematik A, Matematik E, Fiziks dan Biologi. Dia meraih gred A2 bagi Kimia dan Kemanusiaan Sepadu.

'Semasa menengah empat gred Bahasa Mandarin saya merosot daripada A dan B kepada C kerana saya mendapati semakin sukar untuk saya menguasainya.

'Lantas, saya semakin rajin menonton drama Mandarin, membaca surat khabar Cina dan berlatih menulis dalam bahasa Cina supaya penguasaan bahasa saya lebih baik,' ujar anak sulung daripada dua adik-beradik itu, yang mengambil bahasa Cina di bawah Program Khas Cina.

Menurut Nadiah, dia sanggup melepaskan mata pelajaran Melayu Lanjutan dan memilih Bahasa Cina sebagai bahasa ketiga di menengah satu kerana minatnya terhadap bahasa tersebut.

'Jika saya menguasai bahasa Mandarin, saya dapat lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan. Saya juga dapat lebih memahami sejarah dan budaya masyarakat Cina,' katanya, yang merancang meneruskan pengajian dalam bahasa tersebut.

Mengenai rahsia kejayaannya meraih keputusan cemerlang, Nadiah berkata kekecewaan semasa Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dahulu membakar semangatnya untuk belajar lebih tekun.

Dia meraih agregat 237 dalam PSLE.

'Di sekolah rendah dulu saya terlalu banyak bermain. Apabila dapat keputusan saya kecewa dan kesal.

'Tapi ibu dan bapa terus beri sokongan dan dorongan, dan alhamdulillah berkat doa mereka saya berjaya,' tambahnya.

Bapanya, Encik Abdul Majid Hamzah, 50 tahun, seorang pegawai pembantu pentadbiran, berkata bahawa beliau dan isterinya, Cik Bibi Kahtoon Sardar Bahadur, 46 tahun, seorang suri rumah, tidak meletak sebarang tekanan ke atas anak mereka dalam peperiksaan GCE 'O'.

'Namun, dalam hati kecil kami kami tahu dia mampu cemerlang. Cuma tak sangka keputusan Nadiah sebaik ini,' katanya, tersenyum bangga.

Sementara itu, Dina Aziz mengharumkan nama madrasah dengan mendapat tujuh A1 dan dua A2.

Pelajar Madrasah Al-Maarif itu berkata: 'Alhamdulillah, keputusan peperiksaan saya sering konsisten sejak sekian lama, jadi saya yakin kalau saya teruskan belajar secara tekun saya mampu mencapai keputusan cemerlang.'

Sementara itu, pelajar terbaik peringkat nasional tahun ini ialah Haw Sue Hern daripada Sekolah Perempuan CHIJ St. Nicholas. Dia meraih 10 gred A1.

Seramai 36,640 pelajar mengambil peperiksaan GCE 'O' tahun lepas dan 80.8 peratus lulus lima mata pelajaran atau lebih.

Seramai 3,087 pelajar mengambil peperiksaan itu secara privet dan 88.7 peratus daripada mereka mendapat sijil.

Turut mengambil satu hingga dua mata pelajaran GCE 'O' tahun lalu ialah 4,254 pelajar Menengah 4 Normal Akademik (NA).

Oleh Nazri Hadi Saparin

No comments: