Tuesday, April 6, 2010

Antologi puisi untuk bantu mangsa gempa Haiti (BH, 07.04.10)

SASTERA UNTUK KEMANUSIAAN: Projek antologi puisi dwibahasa Verses of Angels merupakan cetusan idea (dari kiri) Encik Pitchay, Encik Noorhaqmal dan Encik Herwanto. Mereka berharap dapat mengumpul dana bagi membantu mangsa gempa di Haiti. -- Foto NADZRI EUNOS

Oleh Nadzri Eunos

SASTERA untuk kemanusiaan.

Itulah yang ingin dilakukan sekumpulan guru pelatih yang telah bekerjasama dengan Angkatan Sasterawan '50 (Asas 50) dengan menerbitkan sebuah antologi puisi dwibahasa demi membantu mangsa gempa Haiti.

Ini merupakan usaha kemanusiaan sulung Kelab Guru Pelatih (TTC) Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan juga Asas 50 yang menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini.

Antologi Verses of Angels atau Kalimat dari Langit setebal 120 muka surat itu mengandungi 35 puisi bahasa Inggeris dan 41 dalam bahasa Melayu.

Ia disumbangkan para guru pelatih NIE, mahasiswa daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan beberapa guru.

Hasil penjualannya akan disalurkan kepada badan kemanusiaan antarabangsa, Worldvision Singapore.

Puisi-puisi tersebut merakamkan reaksi para penulis kepada bencana alam yang menimpa Haiti pada 12 Januari lalu yang mengorbankan ribuan jiwa dan menjejas kehidupan jutaan lain penduduk di pulau Caribbean itu.

Budayawan dan presiden seumur hidup Asas 50, Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad, turut menyumbang serangkap Pantun Haiti.

Antologi itu dilancarkan secara rasmi baru-baru ini oleh Pengarah NIE, Profesor Lee Sing Kong, dan tetamu khas, Anggota Parlimen Pasir Ris-Punggol, Cik Penny Low.

Ditemui selepas majlis pelancaran itu, presiden TTC, Encik Muhammad Herwanto Johari, 30 tahun, berkata usaha kemanusiaan itu merupakan lanjutan daripada konsert Voices of Angels baru-baru ini, yang mengumpulkan artis-artis tempatan membuat persembahan untuk mengumpul dana bagi mangsa gempa Haiti.

Menurutnya, idea bagi buku itu tercetus selepas perbincangan dengan presiden Asas 50, Encik Mohamed Pitchay Gani, dan salah seorang penerbit konsert VOA, Encik Noorhaqmal Mohd Noor, 26 tahun.

'Bagi TTC, kami fikir buku tersebut adalah cara yang baik untuk memupuk sikap keihsanan terhadap kemanusiaan di kalangan para guru pelatih.

'Menderma lebih susah daripada menulis serangkap puisi kerana penulisan merupakan luahan peribadi,' kata Encik Herwanto.

Menurut Encik Pitchay, kerjasama ini membawa Asas 50 kembali kepada misi asalnya.

'Misi asal kami ialah menggunakan ilmu sastera bagi kemaslahatan masyarakat. Menerusi projek ini kami kembali kepadanya dengan menggunakan sastera untuk memberi harapan kepada mangsa gempa Haiti,' katanya.

Encik Noorhaqmal pula berkata: 'Projek ini memberi peluang kepada kita rakyat Singapura menunjukkan keprihatinan kita terhadap nasib insan lain di dunia.'

Orang ramai boleh membeli buku Verses of Angels yang dijual pada harga $16 di kedai buku Andalus atau menghubungi Encik Pitchay di talian 9383-6554 atau Encik Herwanto ( 9646-5848 ).

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,162328,00.html?