Sunday, December 6, 2009

Babi dianggap haiwan jijik (BH, 07.12.2009)

Banyak peribahasa dan istilah yang gunakan simbol babi beri maksud atau gambaran negatif

Oleh Noor Hasnah Adam

Mexico cityBabinya tiba-tiba menggemparkan duniaBawaan wabak selesema yang dikaitkan dengannyaMembunuh manusia dalam perenggan beberapa ketika saja.

BEGITULAH permulaan bait sajak Selesema Babi karya Khalid Salleh yang dideklamasikan di Rumah Pena Kuala Lumpur pada 21 November lalu. Sajak yang dideklamasikan secara bersahaja itu mengundang tawa para penonton, menggeletek hati dan mencuit minda.

Walaupun binatang babi dianggap memualkan oleh masyarakat Melayu, namun sifat dan dunia babi perlu dikaji mengikut perspektif Melayu.

Ternyata, babi kurang dibicarakan dan dikaji kerana pada pandangan orang Melayu, babi adalah binatang kotor yang tidak boleh dipegang. Mengucapkan nama 'babi' sahaja sudah dianggap maki dan mengundang dosa. Apatah lagi mahu dikaji.

Babi Ikon Negatif

Sebenarnya world-view masyarakat Melayu tentang babi sudah terpancar dalam kesusasteraan Melayu. Binatang babi seolah-olah menjadi seperti 'ikon negatif'. Banyak peribahasa dan istilah menggunakan simbol babi untuk memberi maksud atau gambaran negatif.

Sebagai contoh, peribahasa seperti babi merasai gulai membawa maksud seseorang yang hendak menyamai orang besar.

Babi jalang membawa maksud berzina atau bermukah.

Sifat manusia yang membabi buta pula bermaksud orang yang melakukan sesuatu tanpa berfikir dahulu.

Sememangnya begitulah sifat babi seperti yang diperhatikan oleh orang Melayu yang peka.

Babi sekiranya terkejut atau meradang akan terus meluru ke hadapan dan merempuh apa sahaja. Babi tidak boleh menoleh ke kanan dan ke kiri kerana tidak berleher.
Seperti sajak Khalid Salleh;
'...babi adalah babi
Yang tak mampu menoleh
Ke kiri atau ke kanan
Mengenali tanda pengenalan
Dia sebenarnya babi atau bukan...'

Penjenisan Babi oleh Orang Melayu

Dalam Kamus Dewan, babi dikatakan binatang mamalia yang berbadan gemuk, berkaki pendek, berkulit tebal, dan bermuncung (diharamkan bagi orang Islam).

Babi berkuku seperti kuda, berekor kecil, berleher pendek dan berkepala besar.

Babi dianggap sebagai binatang yang buruk rupanya dan dalam sel-sel darahnya terdapat kuman-kuman yang berbahaya kepada otak dan fikiran manusia.

Babi juga menjadi makian apabila digunakan ketika marah.

Babi Kurus pula merupakan sejenis tumbuhan seperti beras-beras, kasir, kedondong matahari, kempas roman dan pauh kijang (Trigonochlamys griffithii). Rumput Babi pula adalah sejenis rumpai seperti getang-getang, ketumbi padang, tutup bumi paya (Synedrella).

Dalam sastera Melayu, babi diberi banyak gelaran. Spesies babi yang diketahui ialah babi hutan (Sus scrofa), babi janggut (Sus barbatus) dan babi rusa (Babyrousa babyrussa).

Jenis-jenis atau gelaran babi lain yang terdapat dalam sastera Melayu seperti babi alu tenuk, babi balar, babi bodoh, babi nangoi, babi duyung, babi laut, babi tanah, babi rantai dan babi tunggal tidak pula dijelaskan spesiesnya dalam Kamus terbitan Malaysia atau Indonesia.

Babi laut memang diketahui bukan babi tetapi binatang laut yang rupanya macam babi atau dalam bahasa Inggerisnya seal.

Namun nama sains bagi babi laut tidak dicatatkan dalam kamus-kamus tersebut.

Babi tanah dikatakan namanya demikian kerana babi jenis ini kononnya suka menyondol tanah. Namun bukankah semua babi memang suka menyondol tanah kerana mencari makanannya?

Babi tunggal pula dikatakan sejenis babi jantan yang mempunyai saiz luar biasa besarnya serta tidak suka berkawan.

Babi balar pula dikatakan berwarna putih, seperti juga lembu balar, harimau balar. Balar bermaksud putih.

Sawan Babi dan Gila Babi

Sawan Babi dan Gila Babi dikatakan boleh berlaku pada budak dan orang dewasa. Tanda penyakit ini ialah mulutnya berbuih dan badannya terketar-ketar.

Mengikut pandangan tabib Melayu, biasanya orang itu diserang ketika cuaca hujan atau sejuk oleh angin.

Dikatakan juga, penyakit ini datangnya dari tapak kaki dan kemudian melata hingga ke kepala. Apabila sampai ke otak, orang itu akan rebah.

Dalam perubatan Melayu, tabib dan bijak pandai Melayu mempunyai cara tersendiri untuk menangani penyakit sawan babi dan gila babi. Orang yang terkena penyakit ini harus dikurung di dalam rumah yang tiada dapat masuk angin ke dalamnya.

Tubuh pesakit itu harus digosok dengan kunyit dan minyak lenga. Pesakit harus diberi makan makanan yang lemak manis dan hangat unsurnya. Sebagai contoh, berikan nasi dan kuning telur ayam, atau daging kambing dan biri-biri, atau minyak sapi, madu dan sakar.

Penyakit gila babi dianggap lebih kritikal daripada Sawan Babi. Justeru pengubatannya juga lebih sukar.

Babi ingin Jadi Manusia

Dalam sastera rakyat Melayu, Tangkuban Perahu, ada menceritakan perihal babi ingin menjadi manusia.

Seorang raja bernama Raja Sungging Perbangkara telah pergi berburu di hutan. Di tengah hutan, Raja itu telah membuang air seninya (air mani) dan air itu tertampung ke dalam daun caring (keladi hutan). Seekor babi hutan betina bernama Wayung yang yang sedang bertapa kerana ingin menjadi manusia telah meminum air seni tadi.

Babi betina itu hamil dan kemudian melahirkan seorang bayi perempuan yang cantik. Raja Sungging membawa bayi itu pulang ke istana dan dinamakan Dayang Sumbi.

Kesimpulan

Dalam surah Al-Baqarah ayat 173, babi diharamkan memakannya.

Dalam masyarakat kita, sekiranya seseorang itu berperangai jahat, buruk ragam dan tidak beradab sopan, maka disamakanlah dengan babi.

Manusia yang jahat diberi gelaran babi buta iaitu manusia yang tidak mengendahkan apa yang ada di hadapannya dan terus melanggar peraturan serta peradaban manusia.

Sememangnya babi membawa pelbagai kuman dan penyakit. Terdahulu dinamakan penyakit Japanese Encephalitis dan terkini, selesema babi. Babi dan sifat kebabiannya membawa kebinasaan kepada manusia.

Begitulah juga luahan Khalid Salleh dalam sajaknya Selesema Babi;
..Babi selamanya memang babi
Kerana babi itu pelahap, pengotor, perosak, pemusnah
Pembawa mala petaka, pembawa keburukan,penentang kebenaran dan kesejahteraan
paksi kebiadaban dan kekurangajaran
penyangak, penceroboh, peragut keselesaan
penjarah budaya, penjahanam harta benda,