Monday, August 17, 2009

Peluang sama rata bagi pelajar Muslim kerana SJI toleran terhadap semua agama (BH, 18.08.09)

PENDIDIKAN MENYELURUH: Menurut Dr Koh (kanan) dan Encik Azhar, seperti pelajar lain di sekolah itu, pelajar Muslim, seperti Umar, turut berpeluang berjaya kerana sistem pendidikannya kukuh dan menyeluruh.


Oleh Safhras Khan

PELUANG saksama bagi mencapai kecemerlangan, ruang bersama untuk pelajar pelbagai kaum dan agama bergaul serta kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

Inilah yang disediakan St Joseph's Institution, sebuah sekolah Katholik, bagi semua pelajarnya.

Oleh itu, bagi lebih 88 pelajar Melayu di sekolah itu, walaupun mereka kumpulan minoriti, mereka tidak pernah dilayan sebagai orang luar. Sebaliknya, mereka anggota sebuah keluarga yang lebih besar.

Malah, mereka diberi kelonggaran mengerjakan solat Jumaat di Masjid Ba'alwie yang terletak tidak jauh dari sekolah di Malcolm Road itu.

Pelajar menengah dua ekspres sekolah itu, Umar Mohd Noor, 14 tahun berkata dia gembira diberi peluang belajar di situ.

'Kami mempunyai guru-guru yang mengambil berat bukan saja dari segi pendidikan bahkan perkembangan peribadi kami.

'Sistem pendidikan di sini fleksibel dan pelajar Melayu diberi kebebasan untuk ke masjid pada hari Jumaat,' ujarnya, yang meraih agregat 248 dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Seorang lagi pelajar menengah dua, Ahmad Syadzwan Jamaluddin, berkata pelajar SJI diberi peluang saksama untuk mencapai kecemerlangan dan mengasah kebolehan serta bakat.

'Saya memilih SJI kerana ia satu institusi pendidikan baik dan prestasi pelajarnya dalam GCE peringkat 'O' cukup memberangsangkan,' ujarnya.

Dalam Rapat Hari Kebangsaan kelmarin, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata kegiatan keagamaan seperti doa, kelas Kitab Injil dan lain-lain tidak harus dijadikan kegiatan wajib di sekolah Katholik.

Beliau menyebut tentang pelajar SJI, Mohamed Salman Mohamed Khair, yang dipilih sebagai pelajar terbaik sekolah itu pada 2003 kerana kecemerlangan akademik dan sukan serta menjadi pemimpin pelajar.

Ketika ditemui semalam, pengetua SJI, Dr Koh Thiam Seng, menjelaskan bahawa anugerah pelajar terbaik diberi kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang di dalam dan luar bilik darjah.

'Ia dianugerahkan tanpa menimbangkan soal agama atau bangsa. Kami ingin menyiapkan pelajar kami bagi menghadapi dunia sebenar dan kami mempunyai sistem pendidikan kukuh dan menyeluruh,' kata Dr Koh.

Menurut beliau lagi, pelajar SJI juga diberi peluang belajar bagaimana masyarakat berbilang bangsa dan agama Singapura ymenjalani kehidupan harian mereka.

'Kami membawa mereka ke masjid dan kuil dan juga mengadakan sesi yang membolehkan mereka mempelajari cara-cara pemakanan bangsa- bangsa lain,' ujarnya.

Seorang juru di SJI, Encik Azhar Ghazali, berkata sekolah itu mengamalkan keterbukaan dan bersikap toleran terhadap semua agama.