Tuesday, April 14, 2009

PENGEDAR DADAH DIJATUHI HUKUMAN PENJARA 25 TAHUN DAN 20 SEBATAN (BH, 15.04.09)

SEORANG pengedar dadah yang mendakwa bahawa dia dipergunakan oleh sindiket pengedar dadah yang canggih dan kompleks tidak mendapat belas kasihan daripada Mahkamah Tinggi semalam.

Hakim Lee Sieu Kin menganggap Khairul Anwar Zaini sebagai 'ejen perosak' sebelum menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Dia dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 20 sebatan.

Khairul, 42 tahun, pada mulanya menghadapi hukuman gantung setelah dia menerima kiriman dadah heroin seberat 16.53 gram - melebihi 15 gram, kesalahan yang membolehkannya dihukum gantung - daripada seorang wanita.

Namun pihak pendakwa raya mengurangkan kadar berat heroinnya kepada 14.99 gram.

Dia juga mengaku bersalah mengedar 6.43 gram heroin.

Empat lagi tuduhan mengedar Ice dan Subutex diambil dalam pertimbangan.

Khairul mengaku membungkus dadah itu untuk dijual.

Dia dibayar $4,400 bagi setiap kilogram heroin yang dikendalikannya untuk sindiket.

Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa peniaga Abdul Salam Musthafa memesan heroin itu dan menyerahkan $30,500 kepada Maryati Sipon, 27 tahun, pada 31 Disember 2007.

Maryati memasuki Johor Bahru pada hari yang sama untuk memberikan wang tersebut kepada pembekal dadah di Malaysia yang hanya dikenali sebagai Boy Cino.

Boy Cino kemudian mendapatkan Jamaliah Yacab, 24 tahun, untuk membawa masuk heroin yang disorok dalam barangan runcit ke Singapura.

Para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) mengekori Jamaliah dari Pusat Pemeriksaan Woodlands hingga ke tingkat 10 Blok 19 Telok Blangah Crescent - tempat dia memberikan dadah itu kepada Khairul.

Khairul dan Jamaliah diberkas pada hari yang sama.

Khairul mempunyai rekod kesalahan sebelum ini iaitu menghisap dadah dan mencuri.

Ketika memohon hukumannya diringankan kepada 20 tahun, peguamnya, Encik Mohamed Muzammil Mohamed, berkata Khairul 'bersih' setelah dibebaskan daripada penjara pada 2002 bagi kesalahan menghisap dadah.

Namun Hakim Lee berkata Khairul tewas dengan godaan untuk mencari duit mudah dan menjadi ejen perosak.