Wednesday, February 9, 2011

Yatiman kesal nama disalah guna (BH, 10.02.11)

Oleh Adli Yashir Kuchit
SEORANG mantan Anggota Parlimen (AP) melahirkan rasa kesal kerana namanya telah disalahgunakan seperti yang terpapar dalam laman web Temasek Review berhubung komen Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, mengenai Muslim Singapura.

Encik Yatiman Yusof memandang serius perbuatan itu lebih-lebih lagi apabila tukilan tersebut adalah berhubung isu serius seperti keagamaan dan perkauman.

Baru-baru ini, Temasek Review menampilkan tukilan kiriman seseorang yang menggunakan nama Yatiman Yusof sebagai mantan AP yang bersetuju dengan komen Encik Lee mengenai masyarakat Islam Singapura dalam buku Hard Truths To Keep Singapore Going.

Antara lain, Encik Lee, dalam buku itu menyarankan Muslim setempat agar tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran agama untuk membolehkan mereka berintegrasi dengan kaum lain.

Komen Encik Lee itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat Islam setempat.

Namun, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, ketika mengulas mengenai isu tersebut menjelaskan bahawa pandangan MM Lee itu tidak mencerminkan pendirian pemerintah.

Malahan, PM Lee berkata masyarakat Melayu/Islam telah melakukan banyak usaha untuk berintegrasi.

Temasek Review pula telah menukil seseorang yang menggunakan nama 'Yatiman Yusof' yang menggesa Muslim setempat menerima saranan MM Lee itu.

Kiriman Internet bertarikh 29 Januari itu juga mendakwa negara-negara Islam kian tertinggal berbanding negara-negara bukan Islam.

Tukilan 'Yatiman Yusof' itu juga akur 'sikap Muslim yang semakin warak merupakan antara sebab masyarakat itu ketinggalan'.

Kiriman Internet yang mengandungi banyak kesilapan tatabahasa dan ejaan itu juga membuat perbandingan antara kemajuan yang dicapai Singapura dengan Malaysia.

Ketika ditanya Berita Harian, Encik Yatiman berkata beliau hanya menyedari namanya digunakan dalam kiriman Internet berkenaan setelah diberitahu rakan-rakannya.
'Saya terima lebih sedozen mesej pesanan ringkas (SMS) dan e-mel yang ingin tahu jika saya ada membuat kenyataan menerusi Temasek Review,' katanya.

Encik Yatiman berkata beliau tidak pernah memberikan komen mengenai isu tersebut.

Ditanya jika beliau ingin mengambil tindakan terhadap Temasek Review, Encik Yatiman yang juga Pesuruhjaya Tinggi Kelana ke Kenya dan Rwanda berkata:

'Saya rasa kita boleh mempersoalkan kredibiliti Temasek Review, sesiapa sahaja boleh menggunakan nama untuk membuat sebarang kenyataan di Internet.

'Dan adalah sukar untuk memastikan siapa sebenarnya yang membuat kiriman-kiriman sedemikian di lelaman tersebut.'

Sementara itu, seorang peguam, Encik Chandra Yogaraja, berkata perbuatan menyamar sebagai pegawai awam adalah satu jenayah.

Beliau juga berkata lelaman forum Internet sepatutnya mempunyai moderator yang bertanggungjawab memantau kesahihan kenyataan yang disiarkan.

'Tindakan guaman boleh diambil terhadap penerbit lelaman yang menyiarkan kenyataan palsu,' kata Encik Yogaraja.

Pertanyaan BH menerusi e-mel kepada Temasek Review mengenai isu tersebut belum dijawab.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,181722,00.html?

No comments: